Wednesday, 14 May 2014

2014 - BUKIT MALAWATI, KUALA SELANGOR

BUKIT MALAWATI, KUALA SELANGOR
2 MEI 2014

Saya berpeluang mengunjungi sebuah tempat menarik dan bersejarah yang terletak di Bukit Malawati, Kuala Selangor ketika program Komuniti Yayasan Jantung Malaysia di Kg. Bestari Jaya pada 3 Mei 2014.



Bukit Malawati Kuala Selangor adalah merupakan pusat pentadbiran dan juga kubu kuat Kesultanan Melayu Selangor di akhir abad ke 18 dan awal abad ke 19. Sultan Ibrahim (1782-1826) telah mendirikan sebuah kota di Bukit Malawati bagi mempertahankan Kuala Selangor dari serangan Belanda. 
Kota tersebut bagaimanapun telah jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1784 dan dinamakan "Kota Altingsburg" bersempena nama Gabenor Belanda di sana. Namun Sultan Ibrahim telah berjaya menawan kembali kota tersebut pada Januari 1785 dengan bantuan pahlawan-pahlawan dari Pahang. Ini adalah kejayaan pertama seorang Sultan dari Tanah Melayu berjaya mengalahkah satu kuasa besar Asing di Tanah Melayu. 
Kota Malawati ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Bersejarah dibawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 8 September 1977. 



Pintu Masuk ke Bukit Malawati di Kuala Selangor

Replika Rumah Api Kuala Selangor



Daerah Kuala Selangor adalah merupakan pecahan kawasan pentadbiran bagi negeri Selangor. Ia dibahagiakan kepada beberapa daerah dan setiap daerah dibahagikan kepada beberapa mukim. 


Di Masjid ini kami menunaikan Solat Jumaat pada 2.5.2014

Di Kompleks ini masih terdapat berbagai tinggalah Sejarah diantaranya ialah tembok Kota yang masih berdiri teguh, bekas tapak istana, rumah Api, Batu Hampar dan lain-lain. 

RUMAH API




Rumah Api yang terletak di atas Bukit Malawati juga dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg bersempena dengan nama Gabenor General Belanda dibina pada tahun 1907 dan beroperasi secara rasminya pada 1910. 
Ketinggian Rumah Api ini adalah 25.3 meter dari dasar laut dan 27 meter dari darat dengan sinaran lampunya mampu memancar sehingga 56 kilometer. 

Bukit Malawati juga adalah salah satu lokasi tempat melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal setiap Tahun. Bangunan disebelah meriam itu adalah tempat untuk melihat anak bulan dilakukan. 

Diantara meriam-meriam tinggalan sejarah di atas Bukit Malawati


BATU HAMPAR


Mengikut sejarah dari zaman ke zaman, batu hampar ini dikatakan berasal dari batu tambatan bahtera. Batu berukuran  5 x 5 kaki ini dikatakan pernah menjadi tempat seorang dayang istana yang dipancung kepalanya akibat perbuatan zina yang menyebabkan Sultan menjadi murka. Darahnya dikatakan disimbah disekitar kota Malawati sebagai pengajaran kepada rakyat agar tidak melakukan perbuatan zina. Selepas kejadian itu juga dikatakan , sebatang pokok yang terletak berhampiran dengan batu hampar itu akan berdarah sekiranya ditoreh seolah-olah terkena sumpahan akibat hukuman itu. 
Pernah berlaku beberapa orang anggota ekspedisi menjelajah Kuala Selangor dilihat cuba menoreh batang pokok angsana itu dan ternyata ia mengalirkan getah berwarna merah...... wallahualam...



BUSUT MALAWATI


Terletak kira-kira 80 ela di hadapan pintu kota, terdapat pohon Sena yang telah berusia 200 tahun. Ia dikatakan adalah tempat Sultan bersemayam untuk berihat dan menyaksikan ayam bersabung. 

MAKAM DIRAJA DAN MERIAM PENGGAWA

 Makam Diraja Selangor ini terdiri dari 3 makam Sultan Selangor iaitu:
  • Sultan Selangor Pertama - Sultan Salahuddin (1742-1778)
  • Sultan Selangor Kedua - Sultan Ibrahim (1778-1826)
  • Sultan Selangor Ketiga - Sultan Mahmud (1826-1857)

Meriam Penggawa ini sentiasa dibalut dengan kain kuning dan terletak di dalam kawasan makam 3 orang Sultan Selangor. Ianya ditemui di pinggir Sungai Buluh, 12 km ke selatan Kuala Selangor pada 23 September 1966. Nama asalnya ialah Petoi Boga bererti Puteri Putih. 
Dinamakan Meriam Penggawa adalah atas kerana inisiatif Datuk Penggawa Permatang Paduka Mahabijaya Kuala Selangor yang membawa meriam itu ke tempatnya sekarang. 
Pernah diceritakan bahawa meriam ini pernah 2 kali meletup dengan sendirinya.


PERIGI BERACUN
Perigi ini airnya berisi racun, hasil ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung. Airnya diisi sehingga paras dagu sebagai penyiksaan kepada penderhaka. Terletak di hadapan Muzium Kuala Selangor.

LUTONG / SILVERLEAF MONKEY


Lutong adalah species yang berada dalam kategori 'Hampir terancam'. Kewujudan populasi Lutong spesis Trachpithecus cristatus yang hidup dalam kelompok yang besar di Bukit Melawati di Kuala Selangor kerana terdapatnya kawasan pemeliharan hutan paya bakau berhampiran bukit ini. 
Menurut seorang makanan lutong di Bukit Melawati, terdapat 4 kumpulan lutong di Bukit Melawati ini dan dianggarkan terdiri dari beratus-ratus ekor. Lutong ini nampaknya dah biasa dengan manusia .... mereka memang jinak tetapi boleh bersifat aggresif sekiranya diganggu .....



Kepada mereka yang berkesempatan ke Kuala Selangor, jangan lupa untuk singgah ke Bukit Melawati kerana terdapat banyak pemandangan yang menarik disamping dapat juga untuk kita menghayati kesan-kesan sejarah tinggalan nenek moyang kita ... dan juga berkenalan dengan lutong-lutong yang jinak di sini... haha


Zulheimy Maamor
14 Mei 2014

4 comments:

Anonymous said...

Terima kasih ya... maklumat ni telah banyak bantu dengan projek sekolah

zulheimymaamor.blogspot said...

sama sama

Unknown said...

Kampung saya la

Unknown said...

Masyaalah x sangka sampai gitu skali murkanya sultan