Sunday, 23 February 2014

Hakikat Setiap Bernyawa


Oleh Mohd Fadly Samsudin

SETIAP makhluk bernyawa akan merasai kematian namun bila saat kematian itu akan tiba tiada seorang pun tahu. Yang pasti, giliran kita menjadi jemputan Allah akan tiba bila-bila masa.

Adakah kita bersedia menghadapinya atau masih lagi lalai hingga terlupa sedetik masa berlalu kematian semakin hampiri kita?

Sering kali juga kita mendengar kematian, tetapi sejauh manakah kita mengambil iktibar daripada kematian yang berlaku sama ada dalam kalangan keluarga, sahabat atau jiran tetangga.

Bayangkan ruang di liang lahad yang sempit serta gelap gelita hanya seorang diri. Tidak ada lagi masa dan peluang untuk memperbaiki kesalahan lalu. 

Ketika itu, kita tidak mampu lagi keluar dan kembali ke dunia nyata untuk bertemu orang yang kita sayangi.

Bagi orang beriman, mereka hendaklah sentiasa berdoa supaya dapat mengakhiri 'pengembaraan' di dunia ini dalam keadaan khusnul khatimah (pengakhiran yang baik).

Lakukanlah persediaan pada setiap masa untuk bertemu dengan Allah supaya amalan yang dilakukan di muka bumi ini dikira sebagai amalan soleh.

Barangkali ada di antara kita pernah menyembahyangkan atau mengusung jenazah ke tanah perkuburan namun satu hari akan tiba giliran kita yang akan disembahyangkan serta diusung untuk disemadikan.

Itulah hakikat kematian yang waktunya tidak boleh ditangguhkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Dalam sebuah hadis menceritakan bagaimana hendak mengubati hati yang berkarat.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi. Sahabat bertanya kepada Rasulullah bagaimana hendak mengubatinya Ya Rasulullah? Maka Rasulullah menjawab: Tilawah al-Quran dan sentiasa mengingati mati" .

Mengingati mati adalah pencuci hati yang cukup berkesan. Apabila melihat kematian menjemput orang terdekat menjadikan kita terdorong mengetahui hakikatnya.

Dalam mengingati kematian, Al-Ghazali membahagikan manusia kepada tiga tingkatan iaitu Al-Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia.

Mereka tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian. Golongan seperti itu tidak mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat.

Kedua At-Taib, iaitu golongan yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah dan mereka banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat.

Ketiga, Al 'Arif, iaitu golongan yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Mereka sentiasa mengingati kematian bahkan selalu menanti saat kematian kerana kematian baginya adalah pertemuan dengan Allah.

Maka, mengingati mati sebenarnya mendorong seseorang bertindak positif. Kematian yang baik yang disebutkan Allah di dalam kitab-Nya: "Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kalian mati melainkan kalian mati dalam keadaan Islam". (Surah Ali Imran ayat 102).

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata kematian adalah hakikat yang akan dilalui setiap yang bernyawa.

Mati bukan sesuatu yang perlu ditakuti tetapi yang perlu dibimbangkan bagaimana keadaan kita semasa menghadapi saat kematian itu.

"Ia berkait rapat dengan persediaan menghadapi alam akhirat yang menjadi kehidupan abadi kita," katanya.

Beliau berkata sebab itu, zikrul maut atau mengingati mati menjadi tuntutan kepada setiap manusia supaya mereka menyedari kehidupan dunia ini pasti ada penamatnya.

Peluang menyediakan bekalan ke akhirat akan terhenti di saat kematian kita. Kematian juga mengingatkan kepada alam akhirat yang memberi ganjaran sama ada ke syurga yang penuh kenikmatan atau menghadapi seksaan api neraka.

Setiap manusia mengharapkan syurga Allah namun tiada siapa yang dapat meyakini mereka layak menerimanya. Keadaan ini pastinya akan mendorong ke arah peningkatan amalan dan perubahan diri yang lebih baik, katanya.

Menurutnya majoriti ulama berpendapat doa meminta kematian sama ada untuk diri sendiri atau orang lain amat ditegah oleh syarak kerana ia adalah urusan Allah.
Penentuan takdir untuk setiap hamba adalah hak Allah s.w.t sepenuhnya. Sebagai hamba kita hanya perlu akur dengan apa yang ditakdirkan oleh Allah.

Manusia perlu sedar nyawa pemberian Allah adalah satu peluang untuk membuat persiapan akhirat yang tidak sepatutnya diabaikan.

"Apa saja ujian yang dilalui dalam hidup adalah untuk menentukan sama ada kita layak menjadi hamba yang diredhai Allah," katanya.

Beliau berkata, hakikat yang sering manusia terlepas pandang ialah kesabaran dalam mengharungi situasi sukar.

Ia lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Tidak wajar sama sekali seseorang hamba berputus asa dengan rahmat Allah dan berdoa supaya Allah segera mencabut nyawanya.

"Sebahagian ulama mengharuskan tindakan sedemikian dengan syarat doa itu dikaitkan dengan kehendak Allah seperti mendoakan, "Ya Allah matikanlah aku andai kematian itu lebih baik untukku di sisi-Mu", dan seumpamanya namun ia pandangan sebahagian kecil ulama saja," katanya.

Katanya, persiapan menghadapi kematian bukan bererti perlu beriktikaf di masjid tanpa melakukan sebarang pekerjaan lain.

Persediaan yang perlu dilakukan ialah memastikan tingkah laku dan perbuatan kita tidak melanggar perintah Allah s.w.t. Andai kita tidak mampu memperbanyakkan amalan kebaikan cukuplah sekadar mengawal diri daripada melakukan dosa dan menunaikan segala perintah Allah.

Allah inginkan kita menjadi hamba yang taat dengan menunaikan yang wajib dan meninggalkan perkara dilarang.

"Amalan sunat pula adalah penyempurnaan kepada kewajipan itu. Jika mampu, ia satu bonus bagi mengecapi kebahagiaan akhirat namun bukan halangan mendapat syurga Allah," katanya.

Menurutnya, Nabi mengajar umatnya doa untuk dijadikan amalan berterusan bagi memohon kematian berlaku secara baik iaitu doa yang bermaksud: "Ya Allah, tamatkanlah kehidupan kami dengan penamat yang baik (husnul khatimah), dan janganlah Engkau tamatkan kehidupan kami penamat yang buruk (su'ul khatimah)".

Sumber : Akhbar Harian Metro
23.2.2014

No comments: