Monday, 11 March 2013

ISLAM, LIM DAN AKU


Seorang rakan PERKIM memanjangkan satu emel bertajuk “Islam,Lim and Me” mengenai kisah seorang anak muda Malaysia bernama Lim Wei Choon yang memeluk Islam di Amerika Syarikat. Emel tersebut agak panjang. Maka hanya ringkasan & sedikit sedutan (diterjemah secara bebas) daripada tulisan berkenaan sahaja yang dapat dimuatkan.

[MUKADIMAH: Talha dan Lim Wei Choon merupakan sahabat karib sejak kecil. Selepas Ting. 5, Lim melanjutkan ke Amerika sementara Talha meneruskan pelajaran di Malaysia. Mereka terputus putus hubungan selama 20 tahun, sehinggalah secara kebetulan Talha bertemu dengan kakak Lim. Melalui kakaknya, Talha mendapat tahu yang rakannya itu kini seorang Muslim sejak 5 tahun lalu, dengan nama Mohd. Zulfakar Lim. Kebetulan beliau akan kembali ke Malaysia. Pada hari ketibaan, Talha berkunjung ke rumah keluarganya. Mereka mengambil peluang untuk bersendirian & berbual di halaman rumah. Ikuti perbualan mereka yang cukup menyentuh perasaan, dan sekaligus “Talha, tidakkah kau menganggap aku ini rakan karibmu?”
 
“Sudah tentu. Mengapa?”

“Kalau betul begitu, mengapa kamu biarkan aku menderita”

“Aku tak faham. Menderita? Maksud kamu?”

“Cuba kamu fikir. Kita telah berkawan begitu lama. Rumahmu dah jadi macam rumah keduaku. Tak pernah terfikirkah kamu untuk menceritakan tentang Islam? Sehingga aku pergi beribu-ribu batu..untuk menemuinya? Mengapa tidak di sini, di Malaysia – sebuah negara Islam?

Tidakkah aneh bahawa aku diislamkan oleh seorang bekas paderi Kristian?”

Aku terpempan dan kelu tanpa kata. Juga rasa terpukul kerana tidak menjangka akan terpacul pertanyaan seperti itu. Setelah suasana hening sejenak, dia meneruskan. “Kalau betul aku ini kawan karibmu, mengapa kamu hanya kisah tentang kehidupan duniawiku sahaja? Tidak mengenai kehidupan akhiratku nanti? Sampai hatikah kamu melihat aku menderita di siksa api neraka kelak?”

“Kamu tahu, andainya aku tak menemui Islam dan mati dalam kesesatan, aku akan menuntut setiap Melayu Muslim di kejirananku untuk bertanggungjawab terhadapku. Bertanggung-jawab kerana tidak menyebarkan dakwah, sedangkan kamu semua adalah duta dalam menyebarkan mesej Islam. Menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Kamu tengoklah sendiri akibat kegagalan kamu itu, terutama kepada mereka yang ada di sekeliling kamu.” “Tahukah kamu betapa bertuahnya kamu lahir dalam keluarga Muslim?

Tidakkah kamu faham bahawa Islam diturunkan untuk semua manusia  bukan untuk segelintir mereka yang bertuah sahaja? Sebagai Muslim, kamu kena tunjukkan Islam yang sebenar dan yang terbaik. Al-Quran menyuruh kita bersatu dalam ajaran Islam, berdakwah kepada mereka yang tidak dilahirkan Islam, orang seperti aku dulu.” Dengan pandangan yang berpinar, aku menundukkan kepala kerana malu yang teramat sangat……

Aku tidak mahu melebih-lebihkan cerita. Tetapi aku memang rasa begitu tertusuk oleh rasa kesal yang mendalam. Kita patut bersyukur kerana dikurniakan nikmat Islam dan Iman. Dan sesungguhnya kerja menyeru manusia kepada jalan Allah akan melengkapkan ibadah kita, memandangkan kita sememangnya dijadikan Allah untuk beribadat kepada-Nya. Dan usaha dakwah ini merupakan satu ibadah yang mendapat ganjaran yang tinggi.

Seperkara lagi, adalah tidak sesuai untuk memanggil orang-orang bukan Islam sebagai “kufr” kerana “kufr” bererti engkar; melainkan kita telah terlebih dahulu berdakwah kepada mereka secara bersungguh-sungguh dan dengan penuh kebijaksanaan, tapi mereka masih tetap menolaknya. Aku berasa betul-betul teruja dengan setiap kata yang diucapkan Lim. Kebenarannya tidak mampu disangkal – satu perkara yang tidak terfikir olehku selama ini - disebabkan oleh kesibukan mengejar kemajuan. Sehingga aku terlupa akan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Kini aku tersedar betapa tanggungjawab berdakwah bukanlah satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab……

Petang hari tersebut, semangatku pulih kembali. Aku bertekad untuk menjadi seorang da’ie. Lim, walaupun baru memeluk Islam 5 tahun lalu, telah berjaya mengislamkan lebih 20 orang, termasuk saudara lelakinya sendiri. Mengapa aku, seorang Muslim selama 40 tahun … tidak pernah cuba menerangkan kebenaran Islam walau sekali pun kepada seorang bukan Muslim.

Semoga Allah mengampuni aku kerana keupayaan yang terhad dalam menghargai keluasan nikmat Allah, sekalipun aku dilahirkan sebagai seorang Muslim.

Sumber: PERKIM Kepong Barat, KL
11.3.2013

No comments: