Monday, 4 March 2013

Aurat Wanita : Cantik Atau Jelik?


by ADMIN on JANUARY 30, 2013

 
Photo by gundamxwing via flickr

ByShuhadah Khalil
http://kasihkejannah.blogspot.com/

Masih saya ingat saat saya mula mengenakan tudung di kepala bagi menjaga aurat dan batasan pemakaian saya dihadapan bukan muhrim. Bukan tudung sahaja yang menjadi permulaannya. Tetapi saya mula mengenakan pakaian berlengan panjang, longgar dan tidak jarang.
Itu semua bagi menjaga peribadi sebagai muslimah sejati. Tergeraknya hati saya untuk menutup sempurna aurat saya sedari kecil berdasarkan di dalam hadis yang ada menyebut:
“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” – Riwayat Abu Dawud.
Saat zaman yang semakin mendekati akhirat ini, ramai kaum hawa yang masih mendendangkan lagu seronok menunjukkan aurat di hadapan bukan muhrim. Apatah lagi dengan pakaian yang menggoda dan menarik pandangan mata kaum lelaki.
Pada lelaki, bukan pakaian yang dilihat. Tapi apa yang didedahkan oleh seorang wanita itulah yang menyeronokkan mereka. Mana tidaknya, jika pakaian terbelah sini, terbelah sana, lalu apa yang tinggal untuk menutupi aurat? Makanya yang tidak ditutup itulah yang ditatap lelaki.
Semakin menjadi perhatian, semakin seronok mendedahkan aurat. Inilah yang boleh dikategorikan sebagai aurat jelik seorang wanita. Jelik kerana menampakkan apa yang tidak seharusnya dilihatkan. Jelik kerana ia menjadi satu kebanggaan dalam diri saat aurat menjadi tatapan ramai mata yang memandang.
Jelik kerana aurat yang sepatutnya disimpan buat tatapan suami, telah ditunjukkan kepada lelaki yang belum tentu menjadi suami. Bukan seorang, tetapi ribuan lelaki yang telah melihat aurat yang didedahkan.
Aurat jelik ini dikategorikan dalam keadaan di mana seorang perempuan berpakaian ketat, nipis dan jarang sehingga menampakkan anggota badannya. Malah, yang tidak menutup kepala juga dikatakan jelik.
Bertambah jelik apabila yang tidak bertutup inilah yang mengundang kemaksiatan semakin menghampiri. Berdasarkan sebuah hadis,
“Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.
Yang tertutup, Itu Lebih Cantik
Jauh berbeza dengan mereka yang menutupi auratnya. Bayangkan sahaja apa yang dimiliki oleh seorang wanita itu dijaga rapi. Dipelihara sempurna dari pandangan mata-mata lelaki yang bukan muhrim mereka. Cantik luaran, cantik peribadi. Bukan sahaja cantik kerana menjaga auratnya, tetapi menjadi cantik kerana memelihara diri dari berlakunya fitnah duniawi.
Bertudung dan berpakaian seperti yang dituntut dalam Islam mencerminkan peribadi sebagai muslimah sejati. Ini tidak membuatkan mereka bersenang-lenang menjual diri dengan menayangkan aurat tanpa had.
Peribadi seorang wanita muslimah akan sentiasa ada rasa malu dan segan apabila berhadapan dengan bukan muhrimnya. Itulah yang dikatakan cantik. Cantik kerana malu dan tahu nilai dirinya sebagai seorang wanita.
Bahkan, mereka sering saja mengingatkan diri sendiri dengan segala azab yang sudah siap sedia menunggu andai kata melanggar suruhan Allah yang satu ini. Ada hadis yang menyebutkan tentang azab memperlihatkan rambut pada lelaki bukan muhrimnya,
“Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.” - Riwayat Bukhari dan Muslim
Lantas, atas alasan apakah untuk seorang wanita itu tidak menutup auratnya? Namun jika satu alasan diberi, makanya azab seksaan sedia menanti.
 Bukan Mudah, Tapi Tidak Mustahil
Memang tidak dinafikan bukan mudah untuk berubah. Segala apa yang memerlukan bentuk perubahan akan mengambil tempoh masa yang lama. Namun, lakukanlah perlahan-lahan. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Diberikan peluang bernafas dan hidup bernyawa adalah ruang untuk perbaiki diri.
Menjadi cantik dihadapan Allah bukan dihadapan manusia, merupakan kunci perubahan yang bakal kita lakukan. Tidak mustahil jika kita lakukan perubahan demi mendapat kasih sayang Allah. Bukankah itu yang kita mahu dalam hidup? Dikasihi Allah sehingga bertemunya saat hari perhitungan tiba.
Kita boleh memulakan langkah mendekati Allah dengan:
  1. Buangkan sikap bangga diri dan mahu menunjuk-nunjuk aurat pada bukan muhrim.
  2. Tanamkan rasa kasihan pada bakal suami yang mengambil kita sebagai isteri kelak.
  3. Mahalkan nilai diri, jaga maruah peribadi.
  4. Sentiasa ingat Allah yang Maha Melihat.
  5. Berlengan panjang dan bertudung sebagai permulaan.
Sekecil-kecil usaha kita untuk Allah, sudah dicatat oleh malaikat yang setia kepada Penciptanya. Apatah lagi usaha kita ini seiring dengan tindakan yang istiqamah. Apa pun bentuk usaha, mulakan dengan memohon pengampunan dari Allah.
Sertakan dengan doa yang berterusan, kerana Allah jua yang memegang hati-hati kita. Mohon agar kita diberi petunjuk jalan-jalan yang lurus dan benar. Semoga Allah memberi ruang untuk kita mendapat tempat disisiNya sehingga akhirat.
Mulakan dengan kalimah alhamdulillah, aku berubah demiMu Ya Allah.
Tepuk dada, tanya jiwa. Tegur hati, tanya iman. Mahukah dipanggil sebagai wanita jelik atau wanita cantik?
Sumber: http://myibrah.com/aurat-wanita-cantik-atau-jelik
4.3.2013

No comments: