Monday, 17 September 2012

PESANAN LUQMAN AL-HAKIM KEPADA ANAKNYA

  • Hai anakku, jadikanlah takwa kepada Allah swt sebagai perdaganganmu, engkau pun mendapat untung tanpa barang dagangan.
  • Hai anakku, hadirilah jenazah-jenazah dan jangan menghadiri pesta kerana jenazah mengingatkan mu kepada akhirat sedangkan pesta menyebabkanmu menyenangi dunia.
  • Hai anakku, janganlah engkau lebih lemah daripada ayam jantan yang berteriak di waktu pagi sedang engkau tidur di tempat tidur mu.
  • Hai anakku, janganlah engkau menangguhkan taubat, kerana maut itu datang secara tiba-tiba.
  • Hai anakku, janganlah engkau mencintai orang bodoh, sehingga ia beranggapan engkau menyukai perbuatannya.
  • Hai anakku, jauhilah kejahatan, nescaya kejahatan akan menjauhimu. Kerana kejahatan itu berjangkit.
  • Hai anakku, hendaklah engkau bergaul dengan para ulama dan dengarlah pendapat para hukama (orang yang bijaksana). Kerana Allah menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah, sebagaimana menghidupkan tanah dengan hujan yang lebat. Jauhkanlah dirimu dari dusta dan akhlak yang buruk. Kerana orang yang berdusta hilanglah air mukanya (rasa malunya), dan orang yang buruk akhlaknya banyak  kesedihannya. Memindahkan batu besar dari tempatnya lebih mudah daripada memahamkan orang yang tidak mengerti.
  • Hai anakku, sesungguhnya dunia itu laut yang dalam. Banyak orang hanyut didalamnya. Jadikanlah takwa kepada Allah sebagai kapal mu di dalamnya, dan peralatannya iman kepada-Nya serta layarnya tawakkal kepada Allah supaya engkau selamat.
  • Hai anakku, apabila engkau ingin bersaudara dengan seseorang, buatlah dia marah sebelumnya. Jika dia berlaku bijaksana di waktu marah, teruskanlah. Kalau tidak , jauhilah dia.
  • Hai anakku, sejak engkau datang ke dunia, engkau meninggalkannya dan menghampiri akhirat. Tempat yang engkau tuju lebih dekat daripada tempat yang engkau tinggalkan.
  • Hai anakku, biasakanlah lidah mengucapkan “Ya Allah, ampunilah aku.” Kerana Allah mempunyai saat-saat ketika doa tidak ditolak.
  • Hai anakku, janganlah engkau berhutang. Kerana berhutang adalah kerendahan di siang hari dan kesusahan di malam hari. 
Buletin Al-Barakah – Masjid Tikam Batu, Kedah
17 September 2012





No comments: