Friday, 20 October 2023

5 lagu ini tersimpan kisah mistik kewujudan makhluk halus

POSTED BY NIZAM ALI > PERISTIWA N' SEJARAH

ELEMEN seram bukan sahaja digunakan sebagai tarikan kepada plot penceritaan sesebuah naskhah layar perak atau kaca televisyen, tetapi perkara sama turut dimuatkan dalam lagu.
Sama ada dengan sengaja atau tidak, kadangkala perasaan takut itu muncul secara tiba-tiba atau disuntik sebagai tarikan kepada pendengar.
Namun, harus diingatkan Islam mendidik umat Islam bahawa makhluk halus atau jin tidak mampu untuk mendatangkan kemudaratan kepada manusia tanpa izin ALLAH.
Bagaimanapun terdapat beberapa lagu yang diletakkan dalam senarai ‘lagu seram’ dan mampu membuat membuat bulu roma meremang tidak mengira sama ada mendengar kepada melodi atau lirik.
Berikut disenaraikan lima lagu yang mampu membuatkan pendengar tidak senang duduk lebih-lebih apabila mendengarkannya sendirian.
Lingsir Wengi
Lagu ini diciptakan oleh seniman Indonesia, Sukap Jiman pada 1995. Disampaikan dalam bahasa Jawa, lagu tersebut dikatakan merupakan sebahagian daripada luahan Sukap kepada isterinya Waliem yang sudah meninggal dunia.
Lagu ini turut dijadikan sebagai runut bunyi filem Kuntilanak manakala liriknya dikatakan seperti memuja makhluk halus. Tetapi ada juga pandangan yang mengatakan lagu terbabit hanyalah nyanyian biasa yang didendangkan untuk menidurkan bayi.
Nina Bobo
Memiliki melodi perlahan dengan penyampai yang sederhana, lagu ini kedengaran biasa. Lagu berasal dari Indonesia ini dihasilkan sekitar era penjajahan Belanda di negara Republik itu. Diceritakan seorang wanita bernama Mustika berusaha untuk menidurkan anaknya Helenina Mustika yang sering menangis dan sukar untuk tidur.
Akhirnya pada umur 6 tahun, Helenina dikatakan meninggal dunia akibat penyakit misteri. Disebabkan itu, Mustika berasa tertekan dan terus menyanyikan lagu itu dan menyangka anaknya masih hidup.
Cindai
Lagu berentak irama tradisional yang dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza ini turut dikatakan mengandungi unsur seram. Ini kerana dalam maksud Cindai dalam bahasa Minangkabau ialah Pontianak.
Bagaimanapun, pencipta lagu ini Hairul Anuar Harun menafikan perkara tersebut dan tegas mengatakan Cindai membawa maksud kain sutera.
Dikatakan sebelum ada pendengar yang menceritakan kisah seram dihadapinya ketika mendengar lagu tersebut sendiri pada waktu malam. Ceritanya individu terbabit mendengar dan menyanyikan lagu Cindai pada waktu malam dan dia secara tiba-tiba mendengar ada suara wanita yang berkata:”Cindai di sini.”
Kelam Malam
Lagu runut bunyi filem Pengabdi Setan ini pernah mencetuskan kejutan ketika dinyanyikan semula oleh Naim Daniel pada 2017. Ketika mendendangkan lagu itu dikediamannya dikatakan muncul kelibat entiti putih melintasi belakang penyanyi itu.
Dikatakan gimik, Naik bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mengakui terkejut apabila melihat semula rakaman video nyanyiannya.
Nang Nak
Biarpun tidak mempunyai lirik, lagu ini hanya dipersembahkan secara berdengung atau humming. Kedengaran seperti wanita sedang menangis, lagu ini yang juga menjadi runut bunyi filem Nang Nak pada 1999.
Dikatakan Nang Nak merupakan kisah benar yang berlaku di Thailand tentang seorang perempuan bernama Nak yang meninggal dunia bersama anaknya. Disebabkan kerinduan, roh Nak tetap setia menunggu kepulangan suaminya.
Penduduk setempat yakin insiden tersebut benar-benar wujud dan ada yang mengatakan kubur Nak terletak di Kuil Mahabute, Thailand.
Sumber Majoriti

Copy and paste:
20/10/2023 > 6 Rabiulakhir 1445H: 9.38 pm

No comments: