Saturday, 21 January 2023

Selepas Beri Salam, Jangan Ubah Kedudukan Kita, Cuba Baca Zikir Ini

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

Seringkali kita lihat, ramai juga yang datang berjemaah di masjid. Dan sudah semestinya ada yang solat di rumah. Tetapi terlalu ramai orang yang tidak mengetahui kelebihan-kelebihan atau fadhilat jika kekal pada kedudukan tahiyat akhir selepas solat subuh dan maghrib.

Apa yang kita lihat, selepas sahaja memberi salam, ada yang terus sahaja ubah kedudukan samada duduk bersila, duduk belunjur atau berpindah dari tempat bersolat tadi. Jika mereka nampak kelebihan atau fadhilatnya, nescaya mereka tidak akan bergerak dari situ dan tidak bercakap-cakap.

Solat Subuh, Solat Maghrib

Duduk Tahiyat Akhir
Janganlah kita tinggalkan dua amalan sunnah ini terutama selepas menunaikan solat Subuh dan Maghrib samada ketika kita bersolat di rumah atau di masjid. Amalan tersebut dibaca di dalam wirid tetapi kita masih dalam kedudukan seperti ketika tahiyat akhir.

Apakah bacaan itu? Sila baca sehingga selesai artikel ini.

BACAAN PERTAMA
Dibaca sebanyak sepuluh kali semasa berwirid tanpa berkata-kata yang lain sehingga selesai iaitu:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ, لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ, يحيي ويميت, وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya:

“Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu baginya, Baginya segala kerajaan dan segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.

“Barangsiapa yang membaca selepas solat Subuh, dalam keadaan kakinya masih seperti tasyahhud akhir, sebelum berkata-kata sebanyak sepuluh kali, ditulis baginya sepuluh kebaikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan (dosa), diangkatkan baginya sepuluh darjat (kedudukan), dan pada hari itu dia dijaga daripada segala perkara yang dibenci, terbentang daripada syaitan, serta tidak ada suatu dosapun yang dapat membinasakannya kecuali syirik kepada Allah’.

(Riwayat at-Tarmizi dengan sanad Hasan, Imam ath-Thobrani menyebutnya di dalam Al-Aushot dan Al-Kabir. Lihat juga Shahih at-Targhib wa at-Tarhib: 1/306)

Imam at-Tabrani menambah:

“Dan baginya setiap apa yang dibacanya seperti pahala membebaskan seorang hamba daripada anak Nabi Ismail dengan harga seorang daripada mereka 12000.”

Ditambah oleh Imam an-Nasa’I:

“Dan baginya setiap yang dibacanya pahala seumpama membebaskan seorang hamba”.

BACAAN KEDUA
Dibaca sebanyak tujuh kali, sebelum berkata-kata sehingga selesai bacaan ini iaitu:

اللَّهُمَّ أَجِرْني مِنَ النَّار

Maksudnya:

“Ya Allah, peliharalah aku daripada api neraka”.

Atau:

اللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنَ النَّار

Maksudnya:

“Ya Allah, peliharalah kami daripada api neraka”.

Fadhilatnya:

Hadis daripada al-Harith bin Muslim, ayahnya berkata, Nabi S.A.W bersabda:

“Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata, “Allahumma ajirna minannar” tujuh kali. Maka sekiranya kamu meninggal dunia pada hari itu, Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka. Dan apabila kamu selesai menunaikan solat Magrib, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata, “Allahumma ajirna minannar” tujuh kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka”. – (Riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)

Semoga sahabat-sahabat semua dapat manfaat daripada artikel ini dan beribadah dengan sempurna dan ikhlas hati. Wallahu a’lam.

 Copy and paste: 21/1/2023 > 28 Jamadilakhir 1444H: 6.57 pm


No comments: