Saturday, 21 January 2023

Bagaimana Surah Disusun Di Dalam Al-Quran?

SUMBER: ISLAM ITU INDAH

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَالَمِينَ

“Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam.”(Surah Al-Takwir, 81:27)

Al-Quran merupakan salah satu mukjizat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kekasih-Nya, Muhammad SAW. Ia bertujuan sebagai peringatan dan petunjuk kepada seluruh umat pada zaman tersebut dan boleh diguna pakai sehingga ke hari ini.

Malah, hebatnya kuasa al-Quran ini sehingga ia sesuai digunakan sehingga ke hari kiamat. Bak kata orang, tiada expired date. Bahkan, ia juga boleh digunakan oleh seluruh manusia, tidak kira tua atau muda, kaya atau miskin, malah golongan Islam atau bukan Islam.

Ramai pakar yang telah mengkaji dan menemui kelebihan al-Quran yang tidak dapat disangkal lagi kehebatannya. Ada di antara mereka juga yang telah kembali kepada Islam dek kerana keagungannya.

Hebatnya Allah, melalui Al-Quran, manusia boleh jadikan ia sebagai panduan hidup. Malah, Rasulullah SAW sendiri telah bersabda yang bermaksud:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّ بِعْدَهُمَا كِتِابُ اللهِ وَسُنَّتِيْ

“Aku tinggalkan di tengah-tengah kalian dua hal, kalian tidak akan tersesat setelah (kalian berpegang teguh pada) keduanya, kitabullah dan sunnahku.”(Hadis Riwayat At-Thabrani)

Umum mengetahui, terdapat banyak yang boleh dipelajari dan dijadikan teladan melalui Al-Quran. Ada sirah, ada mengenai hukum-hakam, alam cakerawala, ibadah, fikah dan sebagainya.

Sekarang, dengan kemajuan teknologi dan kehebatan tenaga manusia, kita sudah tidak punya alasan lagi untuk membaca Al-Quran. Bak perumpamaan, dunia di hujung jari. Nak baca Al-Quran di mana-mana sahaja dengan telefon bimbit pun sudah boleh.

Apa itu Al-Quran? Kenapa ia dinamakan Al-Quran?

Al-Quran, asalnya ialah قُرْآ. Pada bahasa ia membawa maksud mengumpul dan menghimpun. Manakala, قرأْهُ (qiraah) bermaksud menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam ucapan yang tersusun rapi.

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ

Mafhum: “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu).” (Surah Al-Qiyamah, 75:17)

Dari segi istilah, ia merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW, merangkumi surah Al-Fatihah sehingga surah An-Nas yang bersifat mukjizat, jika membacanya akan diganjarkan pahala.

Keistimewaan Al-Quran

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, beliau berkata bahawa istimewanya al-Quran ialah apabila ia boleh dihafaz oleh sesiapa sahaja. Hal ini kerana, kitab Allah ini adalah anugerah yang paling indah buat seluruh hamba-Nya.

Maka, beruntunglah bagi mereka yang setia menjadikan Al-Quran sebagai sahabat sejatinya, kerana ia juga yang akan menolongnya di akhirat kelak.

Berikut merupakan beberapa keistimewaan Al-Quran yang telah disebut melalui firmannya dan juga sabda Rasulullah.

1 – Kitab Yang Nyata

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Mafhum: “Maka Sesungguhnya Kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).” (Surah Ad-Dukhan, 44:58)

2 – Tiada Keraguan Padanya

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

Mafhum: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, 2:2)

3 – Pemberi Syafaat

اقْرَأُوا القُرآنَ.فَإِنَّهُ يَأْتِيْ يَوْمَ القِيَامَةِ شَفِيْعًا لأَصْحَابِهِ

Maksud: “Bacalah Al-Quran, sesungguhnya Al-Quran akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

4 – Tiada Tandingan

Menurut Tafsir al-Maraghi (8/4024), Al-Quran dikatakan sebuah kitab mukjizat kerana tiada makhluk yang akan mampu untuk mencipta kitab setandingnya walaupun terdapat kesepakatan antara manusia dan seluruh makhluk lain.

Malah, Rasulullah SAW merupakan seorang yang buta huruf. Jadi, mustahil Al-Quran ditulis olehnya.

Memberi Ketenangan

Menurut sebuah kajian yang telah dilakukan oleh Dr Al-Qadhi dan dikuatkan oleh kajian doktor-doktor lain melaporkan bahawa Al-Quran mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarnya.

Hal ini ada disebut melalui persidangan Perubatan Islam Amerika Utara pada tahun 1984.

Proses Pengumpulan Al-Quran

Umum mengetahui bahawa Al-Quran telah diturunkan pada tarikh Lailatul Qadar. Melalui wahyu pertama yang telah dibawa oleh Malaikat Jibril a.s, iaitu surah al-Alaq, ayat 1-5.

Wahyu-wahyu lain pula diturunkan secara mutawattir متواتر, iaitu berperingkat selama 22 tahun dan 2 bulan. Ada wahyu yang diberi melalui mimpi, melalui jelmaan malaikat dan ada yang secara terus dari Allah.

Hikmahnya adalah untuk memberi peluang kepada umat terdahulu memahami ajaran yang disampaikan dengan baik serta menghafaznya.

Malah, jumhur ulama’ yang mengatakan bahawa Al-Quran itu sebenarnya telah lengkap, namun diturunkan satu persatu berdasarkan kejadian atau peristiwa yang berlaku dan juga pertanyaan daripada umat terdahulu mengenai kemusykilan yang timbul.

Menurut Zaid bin Thabit:

قُبِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَكُنِ الْقُرْآنُ جُمِعَ فِي شَيْءٍ

Maksud: “Saat Nabi SAW wafat, Al-Quran masih belum dihimpun dalam satu bentuk buku.” (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/12)

Jadi, bagaimana Al-Quran boleh menjadi lengkap sebagai sebuah mushaf, iaitu ayat yang dikumpul dan dibukukan secara sistematik dan teratur?

Berikut merupakan cara pengumpulan Al-Quran pada zaman Nabi SAW dan para sahabat.

1 – Pada Zaman Rasulullah

Terdapat beberapa orang yang menuliskan Al-Quran, iaitu Zaid bin Harithah, Ali bin Abi Talib, Muawiyah bin Abu Sufyan dan Ubay bin Kaab.

Penulisan dilakukan di atas pelepah kurma, batu, daun lontar, kulit atau daun kayu serta potongan tulang.

Malah, ramai sahabat yang turut menghafaz setiap dari ayat Quran yang telah turun, iaitu dengan membacanya ketika solat.

2 – Pada Zaman Abu Bakar

Selepas terjadinya perang Ridda’ yang telah mengakibatkan tewasnya huffaz, Abu Bakar berasa sangat bimbang jika hilangnya al-Quran.

Oleh itu, beliau telah memerintahkan Zaid bin Thabit untuk menuliskan seluruh tulisan al-Quran bersama beberapa orang huffaz yang lain.

Abu Bakar menyimpannya sehingga ia wafat dan diberikan kepada Khalifah Umar Al-Khattab. Seterusnya, ia telah dijaga oleh isteri Rasulullah, iaitu Hafsah bt Umar Al-Khattab yang juga merupakan puteri kepada Umar.

3 – Pada Zaman Uthman

Masalah yang berlaku pada zaman Uthman ialah, terdapat pelbagai ragam bacaan al-Quran (qiraat) disebabkan oleh perbezaan dialek. Beliau sangat khuatir lalu memerintahkan Zaid bin Thabit dan beberapa orang huffaz lagi untuk menyalin dan menulis semula al-Quran.

Pada awalnya, ia telah dikirim ke Mekah, Syam, Yaman, Bahrain, Bashrah dan Kufah. Melalui inilah, ia dikenali sebagai Resam Uthmani sehingga ke hari ini.

Penyusunan Al-Quran

Lalu, timbul juga persoalan, bagaimana Al-Quran boleh dibukukan sedangkan ayatnya diturunkan secara mutawatir dan dalam keadaan tidak tersusun? Mengapa ia disusun seperti yang telah dibaca pada hari ini?

Hal ini telah disebut melalui al-itqan fi ‘Ulum Al-Quran oleh Imam al-Suyuti berkenaan pendapat jumhur ulama’ ini, iaitu al Quran telah disusun melalui tiga cara:

1 – Bersifat Tauqifi

Ia bermaksud mempunyai arahan yang jelas daripada syarak. Menurut Manna’ al-Qattan, ia bermaksud segala yang telah diterima oleh Rasulullah SAW dalam bentuk wahyu dan baginda menjelaskan sendiri kepada para sahabat.

2 – Bersifat Taufiqi

Ia membawa maksud susunan adalah berdasarkan ijtihad umat, iaitu para sahabat sendiri.

3 – Bersifat Tauqifi Dan Taufiqi

Ia bermaksud susunan surah ini adalah berdasarkan arahan daripada Rasulullah SAW dan juga ada yang melibatkan ijtihad para sahabat.

Walau bagaimanapun, para ulama’ telah bersepakat bahawa, pendapat yang diterima ialah penyusunannya bersifat tauqifi. Ini adalah berdasarkan Fatimah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya:

أَنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يُعَارِضُنِي بِالقُرْآنِ كُلَّ سَنَةٍ، وَإِنَّهُ عَارَضَنِي العَامَ مَرَّتَيْنِ، وَلاَ أُرَاهُ إِلَّا حَضَرَ أَجَلِي

Maksud: “Sesungguhnya Jibril selalu menyemak bacaan al-Quran aku setiap tahun. Kemudian, pada tahun ini beliau menyemak bacaan aku sebanyak dua kali. Aku tak melihat hal itu selain sebagai isyarat mengenai kematianku yang semakin dekat.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Syeikh Al-Kirmani melalui al-Burhan juga mengatakan bahawa: “Susun atur surah-surah ialah ketetapan di sisi Allah, sebagaimana termaktub di Luh Mahfuz dalam tertib ini. Dalam menentukan itu, Rasulullah SAW dikunjungi Jibril setiap tahun untuk menyemak al-Quran yang terkumpul dari nabi. Dan Jibril menyemak (bacaan) al-Quran Nabi pada tahun wafat Baginda sebanyak dua kali. Manakala, ayat terakhir yang diturunkan ialah surah Al-Baqara, ayat 281.”

Kesimpulan

Penyusunan Al-Quran merupakan sesuatu yang sungguh unik yang telah dilakukan sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Malah, sebelum Al-Quran dibukukan para sahabat dan Rasulullah sentiasa membaca ayat-ayatnya di dalam solat walaupun tidak semua surah turun secara lengkap. Hal tersebut dilakukan bagi memastikan ia tidak luput di ingatan.

Sungguh pun begitu, melalui beberapa riwayat sahih, telah ada surah-surah yang telah disebut secara jelas namanya dan dianjurkan pembacaannya contohnya Surah Al-Baqarah, Surah Ali-Imran, Surah Al-Mulk, Surah Al-Kahfi, Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Alaq dan Surah An-Nas.

Ajaib bukan? Al-Quran adalah kata-kata daripada Allah sendiri, dan sekarang ia boleh kita tatap dan pegang berkat usaha para muslim dari zaman ke zaman untuk memeliharanya. Oleh itu, sebagai muslim yang sudah merasai kemajuan, kita perlu lebih mudah dan senang untuk membaca dan menghafaznya tanpa sebarang alasan.

Copy and paste: 21/1/2023 > 28 Jamadilakhir 1444H: 7.04 pm

No comments: