Friday 9 December 2022

51 tahun Kor Risik Diraja: Antara kejayaan dan kerahsiaan

Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH

Bermula dengan hanya empat pegawai, penubuhan organisasi ini mengorak langkah mendepani cabaran menyatukan organisasi dan unit-unit perisikan di dalam Angkatan Tentera Malaysia di bawah satu nama iaitu Kor Risik Angkatan Tentera.
Jeneral Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa


la pada 7 November 1969 apabila Ketua Turus Angkatan Tentera (KTAT), Jeneral Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa dengan rasmi telah mengisytiharkan penubuhannya.
Kesemua anggota yang sebelum itu berada dalam Malayan General Service Corps-Intelligence (MGSC-Int) telah diserap ke dalam Kor Risik.
Di awal penubuhannya, Kor Risik hanya mempunyai empat pegawai iaitu Kapten Abd Halim Hamzah , Kapten Ng Chat Seng, Kapten Abd Rahman Ibrahim dan Leftenan Ahmad Badri Yaman.
Pada 7 Jun 1997, Kor Risik dianugerahkan ‘Diraja’ oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-10, Al-Marhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Pengurniaan gelaran tersebut sekaligus membuka lembaran baharu kepada sejarah ketenteraan tanah air dan merupakan satu pengiktirafan terhadap jasa-jasa KRD dalam tugas mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP)
Berkuatkuasa mulai 1 Oktober 1981, BSPP telah ditubuhkan secara rasmi, diketuai oleh seorang pegawai berpangkat Leftenan Jeneral sebagai Ketua Staf Perisikan Pertahanan (KSPP) dan seorang timbalan berpangkat Brigadier Jeneral. Objektif penubuhan BSPP adalah untuk memenuhi keperluan perisikan ATM dan merangka strategi serta dasar pertahanan negara. Fungsi BSPP semasa penubuhannya ialah sebagai satu bahagian tunggal dari segi mendapatkan sumber perisikan. Ia bertanggungjawab untuk merancang, menasihat dan menyelaras semua sumber perisikan tentera meliputi perisikan di darat, laut dan udara.
Di bawah BSPP terdapat tujuh cawangan iaitu Cawangan Risik Taktikal (Risik 1), Cawangan Strategik (Risik 2), Cawangan Gambar Foto Udara/Peta (Risik 3), Cawangan Perang Elektronik (Risik 4), Cawangan Keselamatan/Risik Cegah (Risik 5), Cawangan Perangsaraf/Geraksaraf (Risik 6) dan Cawangan Urusetia/Perhubungan Luar. Objektif penubuhan BSPP ini adalah untuk memenuhi keperluan perisikan bagi membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangka strategi, dasar dan merancang pertahanan negara.
91 Grup Operasi Perisikan (91 GOP)
91 Grup Operasi Perisikan (91 GOP) sebelum ini dikenali sebagai 91 Rejimen Khas Perisikan Tempur (91 RKPT). Pada tahun 2009, 91 RKPT bertukar nama selaras dengan pengstrukturan semula Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bagi memperkasakan peranan, fungsi dan tanggungjawab sebagai operator perisikan di peringkat strategik.
Sebelum itu, bermula 1 April 1972 pasukan ini dikenali sebagai Pasukan Khas Perisikan Tempur (PKPT) di Kem Rasah yang merupakan sebuah unit khas KRD dan diletakkan di bawah perintah Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP).
Pada awal penubuhan, pasukan ini hanya berkekuatan satu Markas Trup dan tiga kumpulan Ronda Kumpulan Kecil (RKK) dengan keanggotaannya terdiri dari seorang pegawai dan 35 anggota LLP. Mereka dipilih daripada pasukan Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM) yang berpangkalan di Kem Sungai Udang, Melaka.
Anggota RKK Rejimen Khas Perisikan Tempur yang terlibat dalam Operasi Khas di kawasan Sungai Gapis, Serendah, Selangor.
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh PKPT dalam gerakan-gerakan khas yang dilaksanakan telah menjadikan trup ini dikenali ramai dan menjadi popular di kalangan pemerintah-pemerintah tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Panglima Briged, Cawangan Khas Polis dan pihak atasan Kementerian Pertahanan.
Pasukan Khas Perisikan Tempur memeriksa salah seorang anggota PGK yang terbunuh.
Pada tahun 1978, pasukan ini telah diperbesarkan daripada satu Trup kepada satu Skuadron. Susulan itu, anggota yang terlatih dalam bidang perisikan terutamanya dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD) telah diambil dan ditumpangkan ke skuadron ini.
92 Angggota Tentera Cawangan Khas (92 ATCK)
Secara ringkasnya, sejarah ATCK bermula sejak darurat pertama diisytiharkan pada tahun 1948 yang dikenali sebagai British Special Military Intelligence Service (SMIS) dalam mengendalikan tugas-tugas perisikan tempur bagi membanteras ancaman pengganas komunis.
Berakhirnya darurat pertama pada tahun 1960, bagi memacu ke arah konsep pengisian perjawatan oleh anak tempatan, SMIS telah ditukarkan nama kepada Military Staff Special Branch (MSSB) yang beroperasi di bawah Sel E7A, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada 1 Oktober 1962, MSSB ditukar nama ke bahasa Melayu yang dikenali sebagai ATCK. Cawangan ini beroperasi di bawah Cawangan Khas, PDRM namun bertanggungjawab kepada KTAT bagi memenuhi keperluan perisikan taktikal untuk membanteras ancaman komunis. Pada tahun 1983, nama ATCK telah ditukarkan kepada 92 ATCK.
Pasukan keselamatan dan PTT mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung berkenaan aktiviti PGK.
93 Rejimen Semboyan Peperangan Elektronik (93 RSPE)
Pasukan Risik Elektronik ditubuhkan pada tahun 1966 dikenali dengan nama Trup Elektronik. Trup ini ditempatkan di sebuah rumah kerajaan, Kuala Lumpur dengan keanggotaan seramai dua anggota risik dan enam anggota semboyan.
Pada bulan Februari 1968, trup ini telah ditukar nama kepada Trup Bebas Corong dan dipindahkan ke Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).
Pada bulan November 1968, sebuah penempatan Trup Bebas Corong telah ditubuhkan di Kem Lapangan Terbang, Tawau, Sabah dengan kekuatan seramai 14 anggota yang diketuai oleh seorang pegawai risik sebagai Ketua Trup.
Trup ini dari semasa ke semasa terus diperbesarkan sehingga menjadi sebuah skuadron dan rejimen yang dikenali sebagai 93 Rejimen Semboyan Peperangan Elektronik (RSPE).
Penutup
Sepanjang 51 tahun penubuhannya, pelbagai kejayaan telah dilakar oleh Kor Risik Diraja. Kejayaan penangkapan ejen perisikan asing di Malaysia sehinggalah kepada penglibatan sebagai penggerak perjanjian damai melibatkan pelbagai pihak bertelagah di luar negara. Tidak pernah terucap nama Kor Risik mengaku pelaksana.
Kerahsian yang dipegang dan sikap berdiam diri KRD seringkali menyebabkan umum tertanya-tanya siapakah mereka dan apakah yang mereka lakukan. Namun itulah nyawa dan jiwa penubuhan mereka. Segalanya bukan kerana nama, Hanya demi Agama, Bangsa dan Negara tercinta.
Selamat Hari Ulang Tahun Kor Risik Diraja ke 51.
Kredit : AirTime
Copy and paste:
9 Disember 2022 > 15 Jamadilawal 1444H: 9.50 pm








No comments: