Saturday 12 June 2021

Hubungan Melayu Dengan Orang Asli

OLEH : IBNU RUSYDI

1. Melayu dan Orang Asli merupakan dua kumpulan etnik yang sama-sama berstatus Bumiputera di semenanjung Tanah Melayu. Situasinya sama sahaja seperti kaum Dayak (Iban, Bidayuh dan Orang Ulu), Melayu Sarawak dan Melanau yang sama-sama berstatus Bumiputera di Negeri Sarawak. Atau seperti kaum Kadazan-Dusun, Murut, Sama-Bajau dan etnik-etnik pribumi lain yang sama-sama berstatus Bumiputera di Sabah.
2. Hubungan antara Melayu dengan Orang Asli di semenanjung Tanah Melayu sebenarnya bukanlah satu perkara yang asing kerana mereka telah saling berhubung dan bercampur sejak sekian lama. Jadi isu mengenai siapa yang lebih pribumi tidak langsung ada keperluan untuk ditimbulkan. Sebagaimana persoalan etnik manakah yang lebih pribumi di Negeri Sabah atau Sarawak yang langsung tidak relevan untuk dibangkitkan kerana kesemuanya sama-sama berstatus Bumiputera.
3. Definisi Orang Asli diperuntukkan di bawah Seksyen 3, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) Semakan 1974. Menurut Abdul Ghafar (2014), istilah ‘Orang Asli’ berasal dari perkataan ‘Orang’ dan ‘Asli’ (dari Bahasa Arab ‘Asali’) yang bermakna ‘original’, ‘well-born’ atau ‘aristocratic’. Ia menggantikan istilah ‘aborigines’ yang telah digunakan oleh penjajah British pada tahun 1955.
4. Jadi istilah ‘Orang Asli’ sebenarnya hanya diperkenalkan oleh Kerajaan pada sekitar tahun 1960-an. Jadi apakah nama panggilan yang digunakan untuk merujuk masyarakat ‘Orang Asli’ pada masa dahulu?
5. Istilah lama yang diketahui digunakan untuk merujuk masyarakat Orang Asli pada zaman silam ialah ‘Sakai’. Tetapi nama tersebut pada asalnya tidak membawa maksud yang negatif kerana menurut Couillard, istilah 'Sakai' berasal dari perkataan dalam bahasa Sanskrit iaitu ‘sakhi’, yang bermaksud ‘friend’, ‘companion’, atau ‘comrade’. Menurut Leary (2007), antara istilah lama lain yang digunakan untuk merujuk masyarakat Orang Asli ialah ‘Orang Bukit’ dan ‘Orang Darat’.
6. Antara bukti contoh penggunaan nama ‘Sakai’ pada masa dahulu adalah di dalam Undang-undang Melaka yang menggunakan nama Sakai Bala Tentera Melaka, Sya'ir Perang Johor yang secara jelas menyebut peranan 'Sakai' (merujuk kepada Orang Laut) dalam mempertahankan kerajaan Johor lama terhadap musuh-musuhnya, serta dalam Misa Melayu, yang membuat sebilangan rujukan kepada 'sakai', yang boleh ditafsirkan sebagai Orang Asli.
7. Namun begitu, ‘Orang Asli’ sebenarnya bukanlah satu kaum tunggal yang homogenous kerana ia sebenarnya merupakan satu istilah umum yang digunakan untuk merujuk kepada hampir 18 suku kaum pribumi di semenanjung Tanah Melayu yang berlainan bahasa, budaya dan kawasan tempat tinggal. 18 kaum ini dikelaskan kepada tiga (3) kumpulan utama iaitu Semang (kadang kala disebut sebagai Negrito), Senoi, dan Melayu Asli (kadangkala disebut sebagai Proto-Malay atau Aborigine Malay). Menurut Abdul Ghafar (2014), setiap kumpulan tersebut tidak memahami bahasa etnik atau sub-group yang lain. Justeru, bahasa komunikasi yang digunakan oleh mereka ialah Bahasa Melayu.
8. Bahasa-bahasa kaum Semang dan Senoi dikategorikan sebagai Austro-Asiatik kerana bahasa ‘Aslian’ mereka mempunyai pengaruh bahasa Mon-Khmer, mencadangkan kaitan mereka dari segi sejarah dengan kaum-kaum yang berasal dari wilayah Indo-China. Pribumi yang mirip dengan kaum Semang juga wujud di wilayah selatan Thai, pulau Andaman, dan kaum Aeta di Filipina.
9. Manakala bahasa-bahasa kaum Melayu Asli pula (kecuali etnik Semelai) dikategorikan sebagai Austronesia sama seperti kaum Melayu. Sebagaimana orang Melayu yang wujud di semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera, kaum-kaum Melayu Asli juga turut boleh dijumpai di Sumatera. Di Indonesia, suku-suku Melayu Asli yang boleh dijumpai di kepulauan Riau dan Sumatera dirujuk sebagai ‘suku terasing’ (Rujuk Andaya, 2008).
Baca lanjut mengenai 'Suku Terasing' (Orang Asli) di Sumatera :
10. Menurut Leary (2007), Suma Oriental yang ditulis oleh Tom Pires pada sekitar tahun 1512 higgga 1515 merupakan catatan Eropah pertama yang ada menulis mengenai Orang Laut, yang juga dikenali sebagai Orang Selitar (Celates), salah satu subetnik Melayu Asli. Orang Laut diketahui merupakan pengikut setia Sultan Kerajaan Johor lama.
11. Menurut Andaya, penghijrahan Parameswara ke semenanjung telah disusuli dengan perkahwinan dengan Permaisuri Bentan serta anak perempuan kepada Ketua Orang Laut / Orang Asli, lalu mewujudkan hubungan persaudaraan antara keduanya untuk menyokong kuasa baginda.
12. Menurut Wilkinson (1959), asimilasi masyarakat Orang Asli sebagai Melayu (bercakap bahasa Melayu, menerima budaya Melayu, dan diterima sebagai sama dengan masyarakat Melayu) telah berlaku sejak era Kesultanan Melayu Melaka dan mereka digelar sebagai ‘Biduanda’.
13. Manakala menurut Masron et al (2013), pada zaman dahulu, Sultan dan Raja-raja Melayu turut melantik ketua-ketua kaum Senoi untuk mentadbir wilayah hulu. Pelbagai gelaran turut dikurniakan kepada mereka seperti Tok Maharaja, Tok Singa Merban, Tok Singa Merjan, Tok Sang Lela Pujangga, Tok Lela Perkasa dan sebagainya.
14. Tetapi teks terawal yang ada menceritakan hubungan awal penduduk Orang Asli ialah Hikayat Merong Mahawangsa. Hikayat tersebut menceritakan kehadiran seorang putera, Raja Kelana Hitam, yang berusaha menjadi penguasa di Kedah yang masih tidak beraja. Justeru itu, baginda telah meminta Penghulu atau pemimpin Bangsa Semang, Wila, Orang Bukit, dan Sakai bertemu di majlis untuk membantu baginda mencari kawasan terbaik untuk didiami. Mereka melaksanakan tugas ini, dan kemudian turut berkhidmat dengan setia.
15. Orang Melayu pada masa dahulu menamakan kaum Semang mengikut kawasan penempatan mereka seperti Semang Paya, Semang Bukit, Semang Bakau, dan Semang Bila. Menurut Anderson (1965), kaum Semang Bila merupakan orang-orang yang telah meninggalkan gaya hidup Orang Asli mereka dan sering mengadakan perhubungan dengan orang Melayu lalu lebih cepat terasimilasi.
16. Begitu juga panggilan terhadap kaum Semai. Ada Mai Chenan (dari gunung), Mai Kuui Teio ('di kepala air', iaitu di atas sungai), dan Mai Bareh ('dari tanah rendah'). Disebabkan lokasi masyarakat Mai Bareh, mereka lebih mudah terasimilasi berbanding yang lain.
17. Manakala Wilkinson memetik contoh Besisi (Orang Melayu Asli) di Selangor dan Negri Sembilan yang tinggal di rumah Melayu dan meniru cara hidup Melayu. Selain bahasa, mereka tidak dapat dibezakan dari jiran Melayu mereka dan terasimilasi melalui perkahwinan dan pemelukan kepada agama Islam.
18. Menurut Toshihiro (2009), selepas British menguasai semenanjung Tanah Melayu, penjajah British memperkenalkan kategori yang membezakan antara penganut Islam dan bukan Islam. Penjajah British mengkategorikan Melayu yang beragama Islam sebagai ‘native’ manakala Orang Asli, termasuklah kaum-kaum Melayu Asli, yang umumnya belum Islam, sebagai ‘aborigines’.

C&P: 12/6/2021 @ 1 ZULKAEDAH 1442H: 12.01 PM

No comments: