Thursday, 5 January 2017

35 SRIKANDI AGUNG DALAM SEJARAH

1. Adruja Wijayamala Singa (1335-1345 Masihi) – Melayu, Kota Grahi
Adruja harus menduduki nombor satu dalam senarai srikandi agung yang pernah wujud dalam sejarah. Baginda bukan sahaja seorang jeneral perang yang hebat apabila mengetuai pasukan elit yang terdiri daripada para wanita dalam mempertahankan Kota Grahi (sebuah kerajaan Melayu purba yang kini terletak di wilayah Chaiya dan Surat Thani) daripada Sukothai – di mana pasukan elit wanita inilah yang berjaya membunuh Raja Ramkhamhaeng,pemerintah Sukothai ketika itu dan menebas kaki gajah-gajah perang Thai dengan senjata kilatannya.Malah baginda turut mengasaskan sebuah kerajaan purba di selatan Kelantan yang dikenali sebagai Kesultanan Serendah Sekebun Bunga atau Kesultanan Kisaran Payung.
Orang pertama yang menggunakan gelaran Cik Siti Wan Kembang. Seorang yang mahir dalam bermain senjata, berani, bahkan merupakan seorang ahli politik wanita yang hebat. Kudanya berwarna putih dan diberi nama Halilintar dan mempunyai senjata kesayangannya yang diberi nama Kilatan.
Ucapan baginda yang terkenal ketika menubuhkan skuad elit wanita itu adalah seperti berikut;
“Cis! Semua kamu nak serahkan kepada lelaki. Sekarang, apa dah jadi kepada kamu? Hidup tercungap-cungap, merempat, harapkan belas kasihan orang. Bagaikan pengemis! Lebih baik kalian ku latih agar dapat berperang. Bahkan lebih berani daripada bapa-bapa dan abang-abang kamu yang takut menghadapi gajah Sukhothai hingga kecut pelir mereka."
"Inilah masanya kalian menuntut bela agar tenteram roh mereka yang sudah pergi. Beta tak dapat memberikan harta kepada kalian. Tetapi ingat! Ketika kalian mati, kalian akan mati syahid kerana mempertahankan agama dan negara kalian. Itulah janji bagi orang Islam, agama yang baru kamu anuti sekarang.”
2. Catherine The Great (1729 – 1796) – Empayar Russia
Russia memasuki zaman keemasannya di mana Russia semakin hari semakin luas di bawah pemerintahannya. Kehebatan pimpinannya apabila Turki kalah teruk dalam peperangan dengan Russia dalam Perang Russo-Turki dan empayar Russia di bawah pimpinannya melebar sehingga ke Laut Hitam. Dan di bawah pemerintahannya juga, Russia berjaya sampai ke Alaska dan menubuhkan Russia Amerika. Seperti Peter The Great, Catherine meneruskan revolusi budaya ke atas Russia.
3. Laksamana Artemesia I (480 SM) – Empayar Parsi
Beliau dipercayai merupakan laksamana wanita pertama dalam sejarah. Kejayaan Artemisia menjadi laksamana serta mendapat kepercayaan Darius,pemerintah Parsi yang sedang meluaskan kempen menakluk Yunani begitu mengagumkan. Beliau benar-benar mendahului zaman, pada ketika kaum perempuan langsung tidak dipandang tinggi, beliau naik dan berjaya memimpin armada laut Parsi yang merupakan kuasa besar dunia ketika itu.
4. Laksamana Keumalahayati (Abad Ke-16) – Kesultanan Acheh
Kalau Parsi boleh berbangga dengan kemunculan tokoh wanita yang merupakan seorang laksamana yang bernama Artemisia I, kita rumpun Melayu di Nusantara ini juga boleh berbangga dengan kewujudan Laksamana Keumalahayati. Beliau ialah laksamana wanita pertama di dunia dalam sejarah moden.
Beliau telah menubuhkan sebuah pasukan tentera dalam Kesultanan Acheh yang diberi INONG BALEE yang terdiri di kalangan janda janda pahlawan Acheh yang gugur di Teluk Haru. Awalnya pasukan Inong Balee hanya mempunyai 1000 orang sahaja. Namun,ianya kemudian bertambah kepada 2000 orang,disertai oleh gadis gadis muda yang ingin menjadi mujahidah dan syahid di jalan Allah.
Beliau juga membina sebuah kubu pertahanan di Teluk Krueng Raya,yang digelar sebagai BALAI INONG BALEE,di mana ianya juga merupakan tempat perlindungan kaum wanita yang kehilangan suaminya di medan perang.
Armada tentera laut Acheh yang diketuainya mempunyai sebanyak 100 kapal geliung besar(galleon) dengan boleh memuatkan setiap kapal seramai 400 hingga 500 orang. Setiap kapal galleon Acheh mempunyai sebanyak 5 buah meriam.
Antara kejayaan Laksamana Keumalahayati adalah berjaya memenangi pertarungan satu lawan satu dengan ketua penjajah Belanda bernama Jeneral Cornelius de Houtman. Selepas itu, Keumalahayati banyak membantu Acheh memenangi peperangan laut dengan kerajaan musuh sehinggalah akhirnya syahid dalam peperangan menentang armada Portugis berhampiran Teluk Krueng Raya.
5. Maharani Wu Zetian (624 – 705 Masihi)
Dalam banyak-banyak Maharaja yang pernah naik memerintah China, seorang mutiara dari kaum Hawa pernah memecah dominasi kaum lelaki dalam politik istana China.
Baginda ialah Maharani Wu Ze Tian. Naiknya beliau sebagai maharani dengan kelicikannya dalam berpolitik. Amatlah tidak dijangka dalam budaya Cina ketika itu, di mana kaum wanita langsung tidak mempunyai tempat sebagai pemimpin berjawatan tinggi, namun Maharani Wu Zetian berjaya memanggat tangga hierkari Cina ketika itu.
Walaupun pada awal pemerintahan Maharani Wu Ze Tian di penuhi dengan usaha baginda menghapuskan musuh-musuh politiknya, namun pada masa terkemudiannya,Baginda memperlihatkan kepandaiannya dalam mentadbirkan negara.
Baginda telah menggalakkan perkembangan pertanian, mengurangkan pungutan cukai dan mengambil bahagian dalam kegiatan pemeliharaan ulat sutera dan penanaman padi-padian. Wu Zetian telah mementingkan orang yang berbakat tanpa mengira keturunannya.
Dengan berbuat demikian, banyak orang yang berbakat walaupun berasal daripada keluarga yang berkedudukan rendah telah dilantik sebagai pegawai kerajaan menduduki peperiksaan. Berikutan dengan itu, sejumlah daripada mereka telah menjadi pegawai dan sarjana yang terkenal. Wu Zetian juga berusaha meningkatkan kedudukan kaum wanita. Ini merupakan tindakannya yang bersifat progresif dalam masyarakat feudal pada zaman itu.
6. Trung Sister (Abad Pertama Masihi) – Dai-Viet
Bayangkan dua orang wanita mengetuai pemberontakan di atas dua ekor gajah di dalam sebuah peperangan. Itulah yang boleh dikatakan mengenai adik beradik Trung. Dinasti Han ketika itu dikatakan telah menindas orang Viet yang ketika itu masih berada di China dan belum berhijrah ke Indo-China. Maka dikatakan adik beradik ini telah mengumpulkan 80 ribu orang untuk menghalau tentera China daripada negara mereka.
Maka diceritakan bahawa China kalah perang dengan mereka, dan lebih daripada 65 buah kubu kuat China di tawan oleh mereka. Namun, tidak lama kemudian, China membalas dendam dan malang untuk kali ini, kedua-dua adik beradik Trung ini tewas dalam pertempuran. Ketika itu, Dinasti Han mengarahkan semua orang memberi taat setia kepada mereka.
Namun, hanya ada dua orang perempuan sahaja yang masih degil di saat semua orang lelaki sudah menyerah kalah. Mereka inilah adik-beradik Trung ini, tatkala para lelaki dan wira semua tunduk menyerah, dua wanita ini tetap mendongak mempertahankan maruah bangsa wilayah mereka. Namun akhirnya... mereka dihukum bunuh.
6. Zenobia (240 – 275 Masihi) Empayar Palmyra
Zenobia ialah lambang bahawa perempuan juga boleh menjadi seorang penakluk hebat! Ketika suami dan anaknya mati dibunuh, pewaris lelaki yang akan mewarisi takhta empayar ini (yang terletak di kawasan Syria ini) baru berusia satu tahun menyebabkan Zenobia terpaksa mengambil alih.
Siapa tahu, Zenobia adalah seorang penakluk hebat. Dia telah berjaya menawan Mesir, Anatolia, Calcdeon, Ankara dan banyak lagi kawasan di sekitarnya. Bahkan ketika itu, gabenor Rom di Mesir yang dikalahkan oleh Zenobia turut dihukum bunuh. Tapi sayang sekali, apabila Maharaja Aurelia mahu menyatukan kembali seluruh Rom menjalankan ekpedisi ke atas empayarnya, dia telah kalah teruk dan menjadi tawanan perang.
7. Ratu Elizabeth I (1533–1603) - England
Ditabalkan sebagai salah seorang daripada ratu yang terhebat pernah memerintah England, Ratu Elizabeth I. Permulaannya sebagai seorang ratu adalah agak tidak memuaskan kerana dituduh sebagai anak luar nikah, dipenjarakan, diseksa oleh orang yang mahu menjatuhkan takhtanya. Namun, Ratu Elizabeth tetap berjaya melepasi dugaan itu, sekaligus memimpin England ketika Zaman Penerokaan dan ketika zaman kebangkitan eropah iaitu Rennaisance. Dibawah pemerintahan baginda juga, England berjaya mematahkan dan menewaskan armada Sepanyol yang selalu dikatakan antara terbaik dunia ketika tahun 1588, sekaligus membuka jalan untuk England menjadi antara kuasa dunia pada waktu itu.
8. Ratu Ungu (1624 Masihi – 1635 Mashi) - Kerajaan Melayu Pattani
Baginda ialah insan yang mengubah imej Pattani yang ketika itu banyak politiknya berhaluankan kerajaan Siam. Di bawah pemerintahannya, baginda telah merapatkan kembali hubungan-hubungan antara Pattani dan kerajaan-kerajaan Melayu di Selatan. Baginda telah memutuskan pertunangan antara anak baginda dengan putera Siam Pattalong. Baginda telah mengahwinkan anak perempuannya denan Sultan Abdul Jalil Syah III (1623 - 1677 Masihi) daripada Johor.
Dalam banyak-banyak peristiwa besar sepanjang pemerintahan baginda, bagi saya kita umat Melayu harus kenang bagaimana Ratu Ungu harus digelar sebagai raja perempuan yang berhati besi. Kisah bagaimana betapa tabah dan cekalnya prinsip Ratu Ungu dalam mempertahankan kedaulatan Pattani.
Kisah bermula ketika apabila selepas 1630 Masihi begitu, dan takhta kerajaan Ayuthhaya ketika itu diambil oleh seorang pemberontak bernama Sri Suriyawong dan menabalkan dirinya sebagai raja dengan gelaran Raja Prasat Thong (1630 - 1656). Maka ketika raja baru itu meminta kembali pemberian bunga emas sebagai tanda Pattani tunduk kepada kekuasan beliau ketika itu,maka Ratu Unggu dengan beraninya menolak perlawaan itu.Seperti mana yang kita tahu, raja-raja Melayu mengantar bunga emas itu sebagai hadiah diplomasi sahaja,tetapi raja Siam selalu memandangnya sebagai tanda bahawa negeri-negeri Melayu di utara tunduk di bawah kekuasaan Siam.
Raja Unggu tidak mahu mengiktiraf pemerintahan raja Siam yang baru iaitu Raja Prasat Thong sebagai raja Ayutthaya yang sah kerana mengutuk perbuatan kejam beliau sebelum itu ketika menggulingkan dan membunuh secara kejam raja sebelumnya,Athittayawong yang hanya memerintah selama 36 hari sahaja di Ayutthaya.
Maka berang dengan ketidaksudian Ratu Unggu untuk tunduk pada kekuasaan Siam, maka Raja Pattalong membina bala askar yang paling besar pernah dilihat dalam sejarah Siam, dan semuanya semata-mata untuk menundukkan ego Pattani dan Ratu Unggu. Ketika itu juga, Siam meminta bantuan daripada Belanda dan seperti mana yang kita sering belajar, jangan percaya kepada orang asing kerana mereka seperti lalang, berpihak pada mana-mana pihak yang mereka rasa lebih kuat.
Dalam masa yang sama juga, Ratu Unggu ketika itu membuat pakatan dengan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain dan juga Portugis di Melaka. Maka dicatatkan ketika 60 000 bala askar dari Ayyuthaya mahu menggempur Pattani, maka Pattani ketika itu dibantu pula oleh kapal-kapal dan perahu perang daripada Johor, Pahang dan juga Portugis yang ketika itu diketuai oleh Jeneral Antonio Vaz Pinto.
Selain itu, yang paling mengagumkan tentang kota Pattani ketika itu adalah diceritakan bahawa kubu pertahan Pattani dibina sepuluh lapis dan di mana pada setiap satunya diletakkan sebuah Meriam dan antaranya ialah Meriam Seri Patani, Meriam Seri Negara dan juga Meriam Mahalela.
Dicatatkan bahawa angkatan paling besar Siam dalam sejarahnya iaitu bala 60 000 orasng askar itu tumpas pada pakatan Pattani-Johor-Portugis. Dan ianya memberi tamparan yang sangat pada Ayyuthaya ketika itu. Maka semua panglima perang yang kalah perang itu ada dihukum mati, ada juga dipenjara dan dihukum tunduk di hadapan rakyat Ayyuthaya.
Dan paling mengecewakan buat Siam, Belanda yang menjanjikan bantuan pada Ayyuthaya untuk menyerang Pattani pula tak Nampak batang hidung mereka dalam peperangan. Pada tahun 1636, 2 tahun selepas serangan 60 000 bala askar Ayyuthaya ke atas Pattani, dicatatkan lagi bahawa Raja Siam merancang membina 100 buah kapal perang untuk menggempur Pattani. Belanda sekali lagi ditagih untuk membedal Pattani namun seperti biasa, Belanda berdolak dalik sebelum menyatakan sokongan kerana rancangan siam itu.
Namun campur tangan Kedah yang cuba jadi orang tengah antara konflik yang berlaku itu berserta ramalan sami-sami Buddha yang mengatakan bahawa kekuatan yang dimiliki oleh pakatan kerajaan-kerajaan Melayu berserta Portugis tidak akan mampu dikalahkan mereka, berserta pujukan dari Belanda kepada Ratu Unggu, barulah persahabatan antara dua kerajaan ini kembali terjalin.
Ketika pemerintahan baginda, Pattani sangatlah disegani lawan dan kawan. Baginda Ratu Unggu digelar sebagai seorang srikandi Melayu yang menjadi benteng dan maruah orang Melayu melawan Siam.
9. Jeanne d'Arc (1412-1431 Masihi) - Perancis
Sekitar 1424, Jeanne mula mendapat visi mengenai Malaikat Mikail serta Santa Catherine dan Santa Margaret, yang menyuruhnya mengusir tentera Inggeris dari bumi Perancis. Dia kemudian berusaha menghadap putera raja Charles VII di Chinon.
Baginda menghantar beliau menyertai tentera Perancis dalam Pengepungan Orléans dan menentang tentera England. Jeanne yang ketika itu masih lagi seorang gadis yang berusia 17 tahun, memakai pakaian lelaki dan menyertai misi bantuan ke Orléans.
Beliau berjaya mempengaruhi semangat tentera Perancis sehingga berjaya mematahkan pengepungan Inggeris ke atas kota Orleans itu pada Mei 1429, menukar gelombang peperangan beralih kepada tentera Perancis. Pada saat itu, Perancis cukup berterima kasih kepada beliau kerana atas jasanya, Perancis tidak dijajah oleh England.
10. Khaulah binti Al-Azwar (Abad Ketujuh Masihi) - Madinah
Khaulah Al-Azwar merupakan seorang wanita yang hidup di zaman Rasulullah saw di Madinah . Beliau adik kepada Dhirar bin al Azwar yang juga mempunyai kehandalan di medan perang serta mahir bermain senjata dan menunggang kuda.
Beliau antara srikandi wanita yang terhebat dalam sejarah Islam yang diberi peluang untuk menyertai peperangan bersama tentera Islam kerana kehebatannya bermain senjata.
Ketika Perang Yarmuk meletus, kisah kehebatan srikandi Islam ini masih mewangi sehingga hari ini. Raafe bin Umaira, seorang ketua skuad tentera Islam di situ sebelum ketibaan Khalid Al-Walid menyatakan seperti berikut:
“Beliau (Khawla) berlawan seperti Khalid, namun jelas beliau bukanlah Khalid.”
Abangnya Dhirar bin Al Azwar ketika itu telah ditangkap oleh tentera Rom Bizantium memaksa Khaulah untuk turun ke dalam medan pertempuran. Ketika itu pasukan tentera Islam sudah mula melemah untuk berdepan dengan serangan tentera Rom Bizantium , namun Khaulah brjaya meniupkan semangat baru untuk seluruh askar Islam di medan pertempuran Yarmuk . Berkat semangat yang ditiupkan Khaulah, tentera Islam mampu bertahan sehingga datangnya pasukan bantuan yang diketuai oleh Khalid Al-Walid.
Khalid yang digelar sebagai Saifullah (Pedang Allah) ini cukup kagum dengan kehebatan Khawla bermain senjata.
11. Maharani Jingū (201 – 269 Masihi) – Jepun
Baginda merupakan wanita pertama di Jepun yang wajahnya diabadikan pada duit kertas. Ini kerana baginda bukan calang-calang wanita. Selain menjadi seorang permaisuri untuk negara Jepun ketika itu, dia juga dikatakan telah berjaya memimpin sebuah ekspedisi penaklukan ke atas Korea ketika itu.
Untuk seorang perempuan pada zaman itu menjadi pemimpin dan penakluk pada masa yang sama memang sangat mengagumkan. Bahkan lukisan-lukisan yang dilukis untuk menggambarkan baginda oleh pelukis Jepun selepasnya semuanya dalam keadaan baginda menjulang senjata dan memakai baju besi.
12. Lin Siniang (Zaman Dinasti Ming) – Dinasti Ming
Lin Siniang pada asalnya merupakan seorang pelacur yang akhirnya menjadi srikandi hebat yang dikenang dalam sejarah China. Pada suatu hari, seorang raja di sebuah negeri bernama Qingzhou telah jatuh cinta pandang pertama pada beliau. Pada saat itu, raja tersebut melihat srikandi ini sedang berlatih seni mempertahankan diri. Melihatkan perkara itu, maka si raja mengarahkan Lin Siniang mengajar para gundiknya
Suatu hari pemberontakan berlaku, dan raja Qingzhou itu pun diculik dan dibawa ke sebuah gunung.
Mendengarkan berita ini, dengan pantasnya Lin Siniang pun memimpin askar-askar wanita yang terdiri daripada para gundik raja itu untuk menyelamatkan si raja di gunung tersebut. Tapi malangnya askar wanita itu satu persatu mati dan tinggalah Lin Siniang seorang diri melawan askar pemberontak yang menculik si raja.
Lin Siniang disuruh menyerah kalah sahaja namun dia menolak, lalu dibunuh. Raja itu kemudiannya terselamat apabila bala askar yang sebenar datang menyelamatkan si raja. Lin Siniang dikebumikan dengan penuh penghormatan dan adat istiadat oleh si raja bersama askar-askar gundiknya itu.
13. Ludmila Mihaylovna Pavlichenko (1916 – 1974) – Soviet Union
Memperkenalkan kepada anda, salah seorang sniper terhebat sewaktu perang dunia kedua dahulu. Ya, sememangnya beliau seorang perempuan. Catatan menunjukkan ketika Perang Dunia Kedua, beliau telah berjaya membunuh 309 orang tentera paksi AXIS (Jerman dan Itali) dan 36 daripadanya merupakan sniper-sniper yang dikira paling hebat dalam pasukan paksi AXIS tersebut!
14. Mochizuki Chiyome (Abad Ke-16) – Jepun
Srikandi Jepun ini adalah seorang tokoh yang dikenang dalam sejarah negaranya kerana jasanya membentuk sebuah pasukan ninja yang terdiri daripada kaum wanita. Takeda Shingen, seorang daimyo berkuasa di Jepun ketika itu yang juga merupakan pakciknya telah mengarahkan beliau untuk mengumpulkan para wanita dari seluruh Jepun dan kemudiannya, membentuk sebuah kumpulan ninja underground yang dikenali sebagai kunoichi untuk berkhidmat pada Puak Takeda. Dan beliau diberi tanggungjawab untuk memimpin semua calon-calon perempuan tadi daripada seorang gadis yang lemah kepada pembunuh hendap yang menakutkan pihak musuh!
15. Ratu Hatshepsut (1508–1458 Masihi) – Mesir Purba
Salah seorang daripada firaun wanita yang dikatakan bertuah memerintah Kerajaan Mesir Purba selama 21 tahun. Zaman pemerintahannya dikenali sebagai antara zaman kegemilangan tamadun Mesir. Rakyat hidup dalam keadaan makmur di bawah pemerintahan cemerlang tokoh itu. Baginda terkenal dengan binaan monumen-monumen hebat yang didirikan di Mesir Purba ketika itu. Bahkan ratu firaun ini turut dicatat pernah mengetaui bala askar Mesir Purba melawan puak gasar di Nubia dan Kanaan (Palestin).
16. Rani Lakshimibai (1828 – 1858) - India
Seorang balu yang baru sahaja kehilangan suaminya itu akhirnya bertukar menjadi harimau ganas yang menentang penjajah British di India. Rani ialah permaisuri negeri Jhansi,sebuah negeri di India. Dia yang mahu menabalkan anak angkat suaminya sebagai raja baharu negeri itu tidak diperkenan permintaanya oleh British membuatkan dia memimpin revolusi menentang Birish. Rani sering dilihat memimpin sebuah pasukan pemberontakan India sambil menunggang seekor kuda, menghayunkan pedang dan memegang senjata api.
17. Siti Aishah R.A (613 – 678 Masihi) - Madinah
Beliau menjadi salah seorang dari isteri Nabi dan digelar sebagai Ummul Mukminin (ibu kepada orang mukmin). Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w,beliau terus mengukir namanya dalam sejarah Islam.
Selain merupakan seorang ulamak yang disegani pada zamannya, beliau juga dikatakan telah meriwayatkan lebih daripada 2210 hadis dari Rasulullah s.a.w,Aishah juga merupakan yang sangat mahir dalam ilmu perubatan. Isteri Nabi ini turut mengetuai bala angkatan tentera ketika Perang
18. Tomyris (Abad ke-6 Masihi) - Scythia
Tomyris ialah seorang wanita yang telah membunuh penakluk agung dari Parsi bernama Cyrus The Great. Kisahnya ketika Cyrus menyerang puak berkuda Scythia, anak lelaki kepada Tomyris telah tertangkap dek Cyrus memaksa Tomyris mengirimkan surat kepada Cyrus.
“Sekarang dengar nasihat aku untuk kebaikan kau, berikan anak lelaki aku semula dan berambus daripada tanah air aku dengan keseluruhan bala tentera kau, dan kami akan membiarkan kau bergembira dengan kejayaan membunuh sebahagian daripada pasukan aku. Kalau kau menolak tawaran ini, aku akan bersumpah atas nama Matahari sebagai tuhanku untuk menghapuskan rasa haus kau pada darah dalam jumlah yang kau sendiri tak mampu meminumnya!”
Cyrus tidak mengendahkan ugutan yang dilontarkan oleh Tomyris ini. Tetapi kemuncak amuk Tomyris ialah apabila anak lelakinya berjaya melarikan diri daripada tawanan Cyrus lalu membunuh diri kerana rasa malu yang sedang membelenggu dirinya, maka Tomyris merasakan masa untuk dia berdiplomasi dan berlembut sudahpun tamat dan dendam terhadap Cyrus harus dibalas dengan darah.
Akhirnya, lelaki yang telah menakluk Timur dan Barat ini tewas di tangan seorang wanita yang mengamuk kerana kehilangan anak lelakinya.Dicatatkan bahawa Tomyris telah menjumpai mayat Cyrus The Great, memenggal kepala lelaki itu lalu memandikannya dalam mangkuk yang penuh dengan darah.
Tomyris telah membenarkan janjinya untuk menghapuskan rasa tamakkan darah Cyrus The Great dan memberikan darah kepada Cyrus The Great dalam jumlah dia sendiri tidak mampu menangungnnya. Bukan itu sahaja, bahkan dikatakan juga bahawa Tomyris telah mencabut otak Cyrus dari tempat asalnya lalu menjadikan tengkorak kepalanya sebagai mangkuk arak sepanjang hayat Tomyris sendiri.
19. Hua Mulan (Abad Keenam Masihi) – Kerajaan Wei Utara, China.
Nama Hua Mulan cukup disegani di China. Kisah kepewiraan seorang gadis yang terpaksa menyamar menjadi lelaki kerana mahu menyelamatkan ayahnya yang sudah tua yang dipaksa melawan puak gasar di utara yang mengancam keselamatan dan sempadan Kerajaan Wei Utara. Kisah kehebatan Hua Mulan yang bertempur dengan para lelaki gagah perkasa masih dikenang sehingga hari ini.
Keharuman namanya dalam sejarah menjadikan kisah hidup beliau dijadikan filem di China bahkan syarikat filem animasi terkenal,Walt Disney juga membuat sebuah filem animasi mengenai kisah hidupnya yang bertajuk Mulan.
20. Tribhuwana Wijayatunggadewi (1328 – 1350 Masihi) – Empayar Majapahit
Anak kepada raja pertama Majapahit , Raden Wijaya ini adalah pemerintah kedua kerajaan Majapahit yang berpusat di Jawa. Di bawah pemerintahannya, Majapahit meluaskan empayarnya ke serata Nusantara. Tetapi sebelum itu, baginda dikatakan pernah memimpin askar Majapahit untuk menghentikan pemberontakan pada tahun 1331. Kemudian, bagindalah yang menjadi pemerintah yang menghapuskan terus pengaruh Srivijaya di Nusantara. Tepat pada detik tahun 1347, baginda menghantar sepupu baginda iaitu Adityavarman untuk menghancurkan kerajaan Malayu atau Dharmasraya. Adityavarman ini kemudiannya menjadi raja di kerajaan Pagarayunung, sebuah kerajaan Melayu di Sumatera.
21. Cut Nyak Meutia (1870 – 1910 Masihi) – Acheh
Seorang wanita yang diceritakan oleh Belanda sebagai seumpama bidadari syurga. Namun, di sebalik kejelitaan itu, siapa tahu beliau ialah seorang pejuang hebat melawan penjajahan Belanda. Cut Nyak Meutia bersama dengan suaminya, Teuku Chiek Tunong mempergunakan taktik menyebarkan mata-mata untuk menyiasat rencana-rencana yang akan dilaksanakan oleh pihak musuh, terutama rancangan-rancangan perondaan dan operasi tentera Belanda.
Taktik ini sangat berkesan. Penyiasat mereka selalu dapat mengumpulkan informasi yang tepat tentang rancangan jahat serta daerah yang bakal dijadikan operasi oleh penjajah Belanda. Dengan demikian Cut Nyak Meutia bersama Teuku Chiek Tunong dapat mengatur serta mempersiapkan pasukannya untuk menyerang hendap pasukan Belanda.
Pasukan Cut Meutia sering melakukan sabotaj terhadap kereta api, memutuskan hubungan wayar telefon dan menyekat perhubungan untuk mengangkut logistik pasukan Belanda seperti di Lhoksukon dan Lhokseumawe di Acheh,dengan tujuan untuk melemahkan kedudukan penjajah Belanda di tanah Acheh sendiri.
22. Cut Nyak Dien (1848 – 1908) – Acheh
Cut Nyak Dhien sebenarnya adalah salah seorang daripada figura pejuang hebat yang mengadakan gerakan pembebasan Acheh secara besar-besaran dari kuasa kolonial Belanda. Cut Nyak Dhien dibantu oleh para uleebalang (hulubalang), datuk-datuk, serta penyair-penyair yang senantiasa membakar semangat juang masyarakat Aceh. Ribuan tentera Belanda tewas dan jutaan wang dihabiskan demi mengejar dan menewaskan pemberontakan Cut Nyak Dhien.
23. Marina Raskova (1912- 1943) – Soviet Union
Juruterbang Russia yang cukup dikagumi oleh pemimpin Russia ketika itu, Joseph Stalin. Dia merupakan salah satu daripada tiga orang hero wanita Soviet Union. Mejar Marina Raskova dikenang kerana berjaya memimpin unitnya, yang terdiri daripada semua wanita menerbangkan sebuah pesawat kayu yang kemudiannya memberi mimpi ngeri kepada tentera Nazi!
24. Fu Hao (Abad ke-12 SM) – Dinasti Shang
Lagenda Dinasti Shang pada era 1200 SM. Ketika pakar arkeologi menemui makamnya, mereka mendapati bahaw Fu Hao bukan sahaja merupakan permaisuri, tetapi seorang panglima perang yang sangat disegani. Mereka menemui patung gangsa harimau bersama dengan lebih 100 buah senjata menunjukkan betapa suatu masa dahulu, beliau merupakan seorang pangloma perang yang sangat disegani.
25. Tamar The Great (1160 – 1213 Masihi) – Empayar Georgia
Ketika pemerintahan Tamar di Georgia, beliau dikatakan antara pemerintah yang terbaik yang pernah memerintah kerajaan itu. Selepas berjaya mengalahkan tentera Islam Seljuk dalam peperangan, Tamar juga direkodkan meluaskan Empayar Georgia dan di bawah pemerintahannya juga,Georgia mengecapi zaman keemasannya.
26. Ahotep I (1560- 1530 SM) – Mesir Purba
Ahotep I adalah permaisuri yang memerintah Mesir bersama suaminya iaitu Firaun Seqenere Tao. Ketika suaminya mangkat, baginda memerintah untuk sementara menggantikan suaminya. Antara sumbangan baginda ketika memerintah Mesir dahulu adalah menghalau penjajah Hyksos keluar daripada Mesir dan memulakan usaha untuk menyatukan seluruh Mesir apabila mengerahkan askar untuk mempertahankan Kota Thebes di selatan Mesir. Di makam baginda, terdapat ukiran yang menggambarkan kehebatan baginda memimpin askar Mesir sambil menunggang kuda dan menghapuskan musuh.
27. Opu Daeng Risadju (1880 – 1960) – Sulawesi Selatan
Opu Daeng Risadju seorang pahlawan wanita dari kalangan bangsawan Bugis yang lahir pada tahun 1880 di Palopo, Sulawesi Selatan. Beliau telah melakukan pemberontakan terhadap tentera Netherlands Indies Civil Administration (NICA) pada tahun 1946 selepas tamatnya pemerintahan Jepun.
Beliau telah mengumpulkan anak-anak muda dari daerahnya untuk menentang penjajah Belanda yang bertindak biadap terhadap agama Islam dan bangsanya. Besarnya pengaruh dan perjuangan beliau terhadap peperangan menentang Belanda menyebabkan pihak Belanda telah menawarkan ganjaran besar bagi sesiapa yang dapat menangkap beliau samaada mati ataupun hidup. Beliau kemudiannya berjaya ditangkap dan mengalami penyiksaan teruk oleh pihak Belanda hingga mengakibatkan beliau menjadi pekak hingga akhir hayatnya
28. Suriyothai (1511 – 1548) – Ayyuthaiya
Suriyothai digambarkan sebagai srikandi Thailand yang sehingga hari ini masih dikenang sebagai lambang semangat gadis Thai yang tidak gentar pada musuh. Ketika Perang Burma-Siam pada tahun 1548, Suriyothai yang merupakan seorang permaisuri raja kerajaan Ayutthaya yang bernama Raja Maha Chakkraphat telah bersama-sama suaminya berada di barisan hadapan askar Siam menentang Burma. Namun sayang ketika itu, dia terkorban kerana cuba menyelamatkan suaminya daripada dibunuh oleh musuh.
29. Ratu Hijau (1584-1616 Masihi) – Pattani
Ratu Hijau adalah seorang ratu Melayu Patani yang bertakhta dari 1584-1616. Baginda adalah anak perempuan sulung Sultan Mansur Shah. Pattani ketika di bawah pemerintahannya telah mengecapi zaman kegemilangannya. Di bawah pemerintahannya juga, dilaporkan bahawa Ratu Hijau telah berjaya menundukkan beberapa pemberontakan yang berlaku serta serangan dari tentera Ayyuthaya dari Thailand.
30. Gudit (Abad Ke-10) – Di Ethiopia Moden Hari Ini
Dikatakan sebagai keturunan Permaisuri Saba, daripada Dinasti Axumite, Dia dikatakan telah memberontak ke atas pemerintahan Philotheos of Alexanderia, dan telah berjaya memenangi pemberontakan. Kemudian, Gudit dikatakan telah memerintah Ethiopia Utara selama lebih daripada 40 tahun.
31. Ratu Kuning (1635-1699 Masihi)
Ratu Kuning adalah anak kepada Ratu Unggu yang secara jujur merupakan pemerintah paling agung dalam sejarah Pattani. Kalau ibunya adalah seorang berhati besi dan lantang menentang musuh, maka Ratu Kuning mempunyai peribadi yang berbeza.
Ratu Kuning adalah orang yang sangat amanah. Dia tidak mahu mengambil satu sen wang kerajaan untuk peribadinya sebaliknya baginda membina sebuah taman dan dari penjualan bunga di tamannya, maka baginda menggunakan wang itu untuk menyara hidup baginda. Dalam masa yang sama juga, baginda juga menubuhkan Syarikat Perkapalan Diraja Patani bagi meningkatkan ekonomi Pattani yang ketika itu mengambil alih status sebagai pelabuhan paling maju di Asia Tenggara.
Kekayaan yang dimiliki oleh Ratu Kuning kerana kebijaksanaan baginda berniaga dikatakan sangatlah tidak terkira. Dalam Hikayat Pattani, ada diceritakan tentang bagaimana Ratu Kuning mengarahkan semuya hartanya dikumpulkan, dan dicatatkan bahawa masa untuk mengumpulkan setiap hartanya mengambil masa selama tiga hari, menandakan betapa ketika kekayaan Ratu Kuning adalah tidak ternilai hebatnya!
Semasa di bawah pemerintahan Ratu Kuning, Pattani dikatakan menjadi sebuah pusat kebudayaan Melayu bahkan tarian Makyung yang dipersembahkan ketika zaman pemerintahan Ratu Hijau dikembangkan lagi oleh baginda. Bahkan Tarian Asyik yang ditarikan oleh gadis-gadis cantik di dalam istana turut dimainkan di istananya.
32. Safiyah Binti Abdul Muthalib r.a (Abad Ketujuh Masihi) - Madinah
Beliau merupakan ibu saudara kepada Nabi Muhammad s.a.w itu sendiri. Terdapat sebuah kisah yang sangat heroik yang menyelubungi kisah keperwiraan srikandi ini ketika Perang Uhud. Pada ketika Perang Uhud berkecamuk, tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah mengalami kekalahan mengejut sehingga ramai tentera Islam lari menyelamatkan diri daripada dibunuh pihak musuh dari tentera Musyrikin Quraisy.
"Hai,tentera Islam, mengapa kamu semua lari dari medan perang dan meninggalkan Rasulullah seorang diri," jerit Safiyah kepada tentera Islam yang cuba melarikan diri tersebut sambil mengangkat tombak ke atas dengan kedua-dua tangannya
Namun, tiada seorang tentera Islam yang mempedulikan jeritan Safiyah dan terus lari meninggalkan medan peperangan. Hanya beberapa pahlawan Islam sahaja yang tinggal untuk bergadai nyawa menyelamatkan Rasulullah s.a.w daripada kepungan tentera pihak musuh.
Antara kisah yang melibatkan beliau ialah ketika Perang Khandaq di mana para wanita diletakkan di dalam sebuah rumah yang dijaga oleh seorang penyair. Dan ketika itu, seorang Yahudi sedang mengelilingi rumah itu dan disyaki sebagai pengintip. Ketika itulah Safiyah telah menyelinap dan memukul kepala lelaki tadi sehingga pengsan dan akhirnya berjaya menyelamatkan seisi rumah itu.
33. Razia Sultan (10 November 1236 – 14 October 1240)
Baginda merupakan pemerintah pertama dari kalangan wanita yang pernah memerintah India. Yang paling diingati tentang dirinya ialah kegigihan baginda mempertahankan takhtanya daripada pemberontak dan bagaimana baginda cuba mempertahankan cintanya yang ditentang oleh para bangsawan dan kerabat diraja. Antara babak yang paling dingati tentangnya ialah memerangi abenor Kesultanan Delhi yang memerintah sebuah wilayah bernama Bhatinda, yang terletak di Lahore, Pakistan, bernama Malik Ikthiaruddin Altuniya telah disepakat oleh para bangsawan Kesultanan Delhi untuk mewarisi Kesultanan Delhi. Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, maka Razia memimpin askar berperang melawan Altuniya.
Dicatatkan bahawa Jamaluddin Yaqut terbunuh dalam perang tersebut dan Razia pula dijadikan sebagai tawanan perang dan dipenjarakan oleh Altuniya. Namun, dicatatkan sepanjang Razia dipenjarakan, Altuniya pula seringkali melawat Razia lalu entah bagaimana, mereka berdua pula saling jatuh cinta antara satu sama lain sehinggalah Altuniya melamar Razia dan Razia pula menerima lamaran daripada Altuniya.
Namun ketika cinta mereka berdua baru sahaja mahu berputik, takdir seperti tidak memihak langsung kepada Razia. Saudara lelaki Altuniya bernama Bahram pula tiba-tiba menabalkan diri sebagai pemerintah Kesultanan Delhi yang seterusnya. Mahu menuntut haknya kembali, maka Razia bersama dengan suamianya Altuniya telah memimpin tentera untuk melanggar Bahram lalu peperangan pun berlaku yang berakhirnya dengan kekalahan pasangan suami-isteri ini.
34. Boudicca (Mati Pada 61 Masihi) – Puak Iceni,British Purba
Ketika Rom mula menjajah sebuah pulau yang merentasi barat tanah besar Eropah (British), terdapat sebuah lagenda yang menceritakan mengenai bagaimana seorang wanita yang memimpin puaknya yang dinamakan sebagai Iceni, serta beberapa puak lain yang bersatu di bawahnya melawan kemaraan tentera Rom. Sejarah mencatatkan jumlah tentera yang dipimpin oleh Boudica berjumlah 230 ribu orang manakala askar Rom hanya 10 000 orang. Sayangnya, Boudica terkorban dalam peperangan.
35. Tun Fatimah (Abad ke-16 Masihi) – Kesultanan Melayu Melaka
Tun Fatimah adalah seorang serikandi Melayu yang terkenal dan merupakan anaknda perempuan kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Dia yang pada asalnya berkahwin dengan Tun Ali/Hassan terpaksa berkahwin dengan Sultan Mahmud apabila seluruh ahli keluarganya yang lain dihukum mati.
Namun, Tun Fatimah tidak menyerah di situ apabila dia dengan beraninya cuba membongkar fitnah itu. Sultan Mahmud akhirnya menyesal dengan apa yang dilakukannya. Diceritakan ketika detik-detik terakhir kejatuhan Melaka pada tahun 1511, Tun Fatimah dikatakan telah memimpin askar Melaka melawan penjajah Portugis.
-HE-
Copied from Facebook
5 January 2017

No comments: