Wednesday, 16 December 2015

KEMBARA ROHANI - UMRAH 2015 (MADINAH AL MUNAWARRAH)

16 DISEMBER 2016 - MEKKAH KE MADINAH
Setelah selesai mengerjakan Tawaf Wida' atau tawaf Selamat Tinggal, para jemaah menaikki bas untuk memulakan perjalanan dari Mekkah al Mukarramah ke Madinah al Munawarrah..
Jarak perjalanan dari Mekkah ke Madinah adalah lebih kurang 424 kilometer. Berbeza dengan perjalanan kita di Malaysia yang melalui Lebuhraya PLUS diman terdapat banyak pemandangan yang indah dan menarik... namun di sini yang kelihatan hanyalah gunung berbatu dan padang pasir. 




Perjalanan yang mengambil masa 6-7 jam memang meletihkan. Kami berhenti rehat di sebuah Hentian Rehat yang saya tidak ingat di mana untuk bersolat Jamak Maghrib dan Isyak. 





Di sinilah kami menunaikan solat Jamak Maghrib dan Isyak sebelum meneruskan perjalanan seterusnya ke Madinah.
Kami tiba di Madinah al Munawarrah telah hampir agak lewat malam juga. Kami terus di bawa ke Hotel penginapan kami iaitu Hotel Louloat Mubarak 3 yang terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi. Selepas selesai urusan penginapan kami naik ke bilik hotel masing-masing untuk beristirehat. 




MADINAH AL MUNAWARRAH
Kota Madinah bercahaya sepanjang masa, tidak kira waktu kerana cahaya Muhammad s.a.w berada dimana-mana di kota suci ini, menyambut setiap insan yang tiba ke sini. 
Madinah ialah sebuah kota moden, panjang tanah haram Madinah adalah 16 km sementara jaraknya dari Jeddah adalah kira-kira 420 km dan dari Mekkah adalah 480 km. 
Madinah dibuka oleh Yathrib bin Qaniah (Yathrib adalah nama lama Madinah sebelum Nabi s.a.w berhijrah dari Mekkah ke Madinah). 
Madinah menjadi tapak perkembangan Islam sebaik sahaja Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. 
Kini Madinah dikenali dengan nama al-Madinah al-Munawwarah bermaksud "Kota yang Bercahaya" atau al-Madinah al-Nabawiyyah yang bermaksud "Bandar Nabi s.a.w.". 
Di Kota Madinah ini jugalah bersemadinya jasad insan yang paling mulia di dunia ini iaitu baginda Rasulullah s.a.w yang terletak didalam Masjid Nabawi. 










17 DISEMBER 2015 
Pagi ini jam pukul 4 pagi, kami telah ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Sunat dan berdoa di Raudhah. 

MASJID NABAWI


Masjid Nabawi asalnya dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w pada bulan Rabiulawal tahun pertama Hijrah (622M) merupakan masjid kedua tersuci dan terbesar di dunia setelah Masjidil Haram. Rasulullah s.a.w besabda, "Satu waktu solat di masjidku adalah lebih baik dari mengerjakan solat sebanyak seribu kali di masjid lain kecuali Masjidil Haram."

** Hadis mengenai kelebihan Bersolat 40 waktu di Masjid Nabawi dipertikaikan kesahihannya kerana seorang daripada perawinya, Nubait bin Umar dianggap dhaif (lemah). 
(Rujuk Al-Silsilah al-Dha'ifah 1/366 no. 364 Fadhail Madinah, hlm 435-436)







MAKAM RASULULLAH S.A.W
Di dalam Masjid Nabawi inilah bersemadinya jasad insan yang paling agung di dunia ini Rasulullah s.a.w.  bersama dua sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab. Makam baginda terletak di dalam bangunan yang berkubah hijau (Al Khadrak). Disebelah makam baginda terletaknya Ar-Raudhah, sebuah taman syurga yang ditanda dengan tiang marmar putih dan hamparan hijau. 






RAUDHAH AL- MUTHAHHARAH
Sebuah tempat yang istimewa terletak di antara makam Nabi s.a.w dan mimbar. Merupakan salah satu tempat yang mustajab untuk berdoa. Ia dianggap suatu tempat yang mulia, pernah disifatkan oleh Nabi s.a.w sebagai sebuah kebun di antara kebun-kebun syurga. 

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Di antara rumah ku dan mimbar ku adalah satu taman daripada taman-taman syurga. Dan mimbarku terletak di atas kolam ku."
(Sahih Bukhari no. 1196)


PERKUBURAN BAQI' AL-GHARDAD

Disebelah Masjid Nabawi terletaknya Jannatul Baqi' (Perkuburan Baqi'). Dianggarkan lebih 10,000 para sahabat dan keluarga Baginda Rasulullah s.a.w yang meninggal dunia di Madinah di semadikan di sini. 9 Ummul Mukminin (Isteri Rasulullah s.a.w) di semadikan di perkuburan Baqi' ini kecuali Saidatina Siti Khadijah bt Khuwalid dan Saidatina Maimunah bt Haris di semadikan di Mekkah al Mukarramah. 
Disini juga terdapat pusara Ahlul Bait (keluarga Rasulullah s.a.w.) iatu anak-anak dan cucu-cucu baginda dan juga para sahabat yang mulia. 
Muhajirin yang pertama dikebumikan di perkuburan Baqi' ini ialah Usman bin Ma'azun. 

18 DISEMBER 2015 - ZIARAH LUAR
Hari ini para jemaah di bawa untuk melakukan ziarah luar di sekitar Kota Madinah al Munawarrah. Di antara tempat-tempat yang sempat kami lawati adalah:

MASJID QUBA


Masjid Quba adalah masjid pertama di Madinah setelah Nabi s.a.w berhijrah dari Mekkah ke Madinah. Pada hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi Rasulullah s.a.w bersama Saidina Abu Bakar as Siddiq tiba di perkampungan Bani Amru ibn Auf, 3 kilometer dari kota Madinah dan membina masjid yang pertama di Madinah ini. Masjid ini disebut dalam al-Quran dengan nama Masjid At-Taqwa. 
Rasulullah s.a.w pernah bersabda mengenai masjid ini:
"Barangsiapa telah berwudhu dirumahnya kemudian ia berkunjung ke Masjid Quba, lalu ia mengerjakan solat maka ia akan mendapat pahalanya seperti pahala mengerjakan umrah."
Bagaimanapun masjid yang ada sekarang ini bukanlah masjid asal yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. Masjid yang baru ini adalah hasil sentuhan arkitek Mesir, Abdel Wahed El Wakil yang siap dibina pada tahun 1986. 






LADANG KURMA MADINAH
Kemudian kami dibawa mengunjungi Ladang Kurma Bani Hasyim di Madinah. Buah kurma banyak fadilatnya terutama Kurma Nabi atau Kurma Najwa. Dikatakan kurma Nabi kerana Rasulullah s.a.w sendiri telah menyebut ketika memegang buah kurma ini, "Inilah kurmaku.". 
Kurma Nabi ini mahal harganya, kakak saya telah membelikan untuk saya dan isteri kurma Nabi yang berharga 80 Riyal sekilo.



JABAL UHUD



Salah satu tempat yang paling lama sekali aku begitu teringin untuk kunjungi ialah Medan Uhud yang terletak di Bukit Uhud lebih kurang 16 km dari Masjid Quba. 
Disinilah berlakukan pertempuran Uhud pada tahun ke 3 Hijrah (bersamaan 625 masihi) diantara Tentera Islam Madinah seramai 700 orang dibawah pimpinan Rasulullah s.a.w dan Tentera Quraisy Mekkah seramai 3,000 orang  yang dipimpin oleh Abu Sufyan, Khalid ibn Walid dan Ikrimah bin Abu Jahal. 
Mengikut sejarah tentera Islam tewas akibat keingkaran Tentera Pemanah Islam supaya tidak meninggalkan Bukit Rumat samada menang atau kalah atas perintah Rasulullah s.a.w. 
Tetapi setelah melihat tentera Musyrikin melarikan diri dan meninggalkan peralatan perang mereka, tentera Pemanah ini telah keluar dari tempat persembunyian dan lari menurun bukit untuk mengambil harta rampasan perang yang ditinggalkan. Ketika inilah tentera Berkuda Quraisy dibawah pimpinan Khalid ibn Walid (yang ketika itu belum Islam) menggempurkan mereka. Akibatnya 70 tentera Islam telah syahid termasuk bapa saudara Nabi s.a.w iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib. 
Dari sebuah hadith yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Uhud adalah satu gunung yang mencintai kami dan kami juga mencintainya."
(HR Bukhari dan Muslim)
Bukit Uhud juga adalah salah satu bukit di syurga. 







Memandang hari ini adalah Hari Jumaat, jadi kami tidak mempunyai banyak kesempatan untuk mengunjungi lain - lain tempat bersejarah di Madinah. Kami hanya sempat lalu sahaja. Antara lain-lain tempat bersejarah di Madinah ialah Masjid Qiblatain (Masjid 2 Kiblat), Masjid 7, Masjid Al-Ghamamah dan banyak lagi. 
Kami terpaksa kembali ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Jumaat. 


19 DISEMBER 2015 - HARI TERAKHIR DI MADINAH

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Madinah dan akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada malam ini. 
Sebelum itu para jemaah dinasihatkan untuk membuat Ziarah Wida' ke Makam Rasulullah s.a.w. 

Kami berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Prince Muhammad bin Abdul Aziz di Madinah menaiki pesawat Flynas XY 912 pada jam 11.55 malam dan selamat tiba di Kuala Lumpur International Airport pada jam 1 tengahari. 

Sesungguhnya perjalanan Kembara Rohani ini amat bermakna bagi ku kerana Allah telah memakbulkan doa ku selama ini yang aku teringin sangat menjejakkan kaki ku ke Tanah suci sebelum aku menutupkan mata ku.... Terima kasih Ya Allah..... aku amat rindu untuk kembali lagi ke sana.....







Zulheimy Maamor
7 Januari 2016
3.41 pm





No comments: