Thursday, 7 May 2015

BERDOA UNTUK SAUDARA MUKMIN TANPA PENGETAHUANNYA ADALAH SATU AMALAN MULIA

Oleh : Mohd Kamel bin Mat Salleh,
Pusat Pemurnian Akidah, Jakim
Majalah Cahaya Keluaran September-Oktober 2008
Amalan berdoa merupakan suatu tuntutan yang amat digalakkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Banyak ayat-ayat Al-Quran mahupun hadith menyebut tentang galakan berdoa. Firman Allah SWT yang bermaksud : “dan Tuhanmu berfirman : berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku-perkenankan bagimu.” (al-Mu’min: 60). Firman-Nya lagi yang bermaksud : “berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendahkan diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas (tentang apa yang diminta dan cara meminta).” (al-A’raf : 55).
Manakala di antara petikan hadith yang menggalakkan amalan berdoa ialah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Doa itu ialah ibadat.” (Riwayat Bukhari). Hadith lain ialah Nukman bin Basyir meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : “Doa merupakan satu ibadat, lalu baginda membaca ayat, “Dan berkata Tuhan-Mu: “Berdoalah kepada-Ku...” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Justeru itu, pelbagai doa diajar oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan sepanjang kehidupan manusia seawal bangun daripada tidur sehinggalah waktu untuk tidur semula. Begitu juga bacaan doa dalam menghadapi apa jua cabaran dan ujian hidup seseorang muslim dalam kehidupannya. Semua itu adalah benteng kekuatan individu itu sendiri melayari bahtera kehidupan sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini. Semoga setiap doa yang dipanjatkan akan dapat mengatasi segala permasalahan hidup dihadapi oleh setiap manusia.
Namun begitu Islam tidak hanya mengajar penyelesaian masalah secara bersendirian. Dalam konteks berdoa ini amat dianjurkan kepada individu muslim di samping berdoa untuk dirinya sendiri, berdoa untuk kesejahteraan orang lain juga sebagai tanda kesatuan ummah yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing.
Semangat bantu membantu sesama muslim perlu dilaksanakan secara kolektif. Dalam sesebuah masyarakat, jika mampu menghulurkan bantuan menggunakan tenaga atau wang ringgit amatlah digalakkan, malah dalam suasana dunia yang kini tiada sempadannya, sumbangan tersebut masih tetap terlaksana. Justeru, jika tiada upaya menghulurkan bantuan dalam bentuk fizikal, maka di sinilah letaknya peranan doa sebagai salah satu jalan menyelesaikan permasalahan kaum muslimin lain walau dalam jarak yang teramat jauh.
Ini menjelaskan lagi nilai kesejagatan Islam yang tidak membatasi sempadan benua, warna kulit, bahasa pertuturan, budaya mahupun corak kehidupan. Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud, “barangsiapa yang tidak mengambil berat permasalahan orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan mereka”.
Sehubungan dengan itu, sebagai salah satu cara membantu orang Islam lain yang ditimpa kesusahan adalah dengan cara mendoakan kesejahteraan walaupun tanpa pengetahuan mereka. Amalan ini memang ada sandaran nas atau dalilnya. Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud, “dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa : Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” ( al-Hasyr : 10).
Ayat ini menjelaskan tentang doa orang Muhajirin dan Ansar kepada saudara mereka yang terlebih dahulu beriman daripada mereka menunjukkan bahawa amalan berdoa kepada orang yang telah meninggal dunia adalah dibenarkan kerana jika ia dilarang sudah pasti ayat tersebut tidak termaktub di dalam kitab suci Al-Quran. Maka apabila doa tersebut dibolehkan, maka apatah lagi jika doa itu datangnya dari seorang anak yang soleh buat arwah kedua ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia sudah pasti ianya dibenarkan juga.
Dalam satu ayat Al-Quran, Allah menukilkan doa yang dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim yang bermaksud, “ya Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku, kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Ibrahim: 41).
Manakala dalam ayat yang lain, Allah menukilkan pula doa Nabi Nuh yang bermaksud : “Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang-orang yang beriman baik lelaki mahupun perempuan, dan janganlah Engkau tambahkan lagi bagi orang-orang yang zalim itu selain dari kebinasaan.” (Nuh : 28).
Semua ayat yang dinyatakan di atas adalah contoh perbuatan mulia mendoakan kesejahteraan serta keampunan orang mukmin yang lain secara tidak berdepan dengan mereka, dalam keadaan orang yang didoakan itu tidak mengetahui doa itu dipanjatkan oleh orang lain untuknya.
Manakala petikan daripada hadith pula, daripada Abu Darda’ RA bahawa dia mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya : “ Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” (Riwayat Muslim).
Dalam satu riwayat lain juga daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).
Daripada Ibnu Umar RA, Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud : “Doa yang paling segera dimakbulkan ialah doa secara ghaib (tanpa pengetahuan orang yang didoakan itu).” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).
Berdasarkan pernyataan jelas dan terang daripada dalil naqli di atas menunjukkan bahawa doa bukanlah sebarang amal individu semata-mata tetapi ada kaitannya dengan kelangsungan hidup bersama saudara mukmin yang lain. Selain menjadi penghubung melalui komunikasi langsung hamba kepada Khaliqnya, tetapi ia juga penghubung silaturrahim di antara sesama muslim yang lain.
Inilah cantiknya Islam yang melangkaui batasan sempadan ras mahupun warna kulit dan keturunan serta perbezaan bahasa. Tidak semata-mata mutlak mendoakan orang yang dikenali, malah merentasi sempadan yang lebih global walau tanpa perkenalan secara formal, namun ia dihubungkan oleh Allah melalui ukhuwwah Islamiyyah dan yang menjadi terasnya ialah kesatuan akidah dan satu pegangan.
Justeru apabila diketahui sifat doa itu sebagai satu kaedah melepaskan bebanan dan kesengsaraan orang mukmin yang lain, sewajarnyalah rutin ini dimanfaatkan sebaik mungkin dalam membantu kesusahan hidup manusia lain yang mungkin tidak mampu dibantu melalui sumbangan wang ringgit dan tenaga, tetapi cukuplah doa sebagai senjata, sekurang-kurangnya ia adalah tanda solidariti kemanusiaan sejagat. Amat tepatlah firman Allah SWT dan pernyataan sabdaan Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa orang mukmin itu bersaudara, saling kasih mengasihi antara satu sama lain, malah diibaratkan mereka itu seumpama satu jasad yang apabila sakit satu jasad, pasti anggota badan yang lain merasai sakitnya.
Sehubungan dengan itu juga, amat tidak wajar setiap individu muslim hanya mementingkan keadaan dirinya sahaja tanpa memikirkan nasib orang lain, walaupun saudaranya itu telah meninggal dunia. Hujah ini jugalah yang dipegang dalam membenarkan amalan bacaan doa kepada orang yang telah meninggal dunia dari sudut wajarnya bacaan doa itu dipanjatkan. Jika tidak masakan adanya sunah bacaan doa kepada orang mukmin yang telah meninggal dunia dalam solat jenazah.
Dalam mengerjakan solat jenazah, selepas takbir ketiga doa dibacakan untuk memohon kebaikan kepada si mati. Antara doa yang selalu dibaca ialah doa yang bermaksud : “Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia dan jauhilah dia daripada bala, muliakanlah tempatnya, luaskanlah tempat masuknya (kubur), bersihkanlah dia dengan air, air salji dan air embun, bersihkanlah dia daripada dosa-dosanya seumpama baju putih yang bersih dari kotoran, gantikanlah rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, isteri yang lebih baik daripada isterinya, masukkanlah dia ke dalam syurga, lindungilah dia daripada azab kubur dan siksa api neraka,” (Riwayat Muslim)
Dalam solat jenazah, Nabi SAW juga pernah memboca doa yang bermaksud : “Ya Allah, ampunilah orang-orang yang masih hidup dari kalangan kami yang sudah meninggal dunia, yang hadir mahupun yang ghaib, yang kecil mahupun yang besar, yang lelaki mahupun perempuan. Ya Allah, sesiapa di antara kami yang masih hidup ini, hidupkanlah dia dalam agama Islam dan sesiapa dari kalangan kami yang engkau matikan, maka matikanlah dia dalam iman.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
Sesungguhnya doa seorang anak yang soleh kepada arwah ibu bapanya yang telah meninggal dunia adalah satu amalan yang boleh menjadi penyambung pahala mereka di alam barzakh. Hal ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud : “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa dari anaknya yang soleh.” (Riwayat Muslim).
Apabila melalui tanah perkuburan, Nabi SAW mengajar umatnya berdoa memohon keampunan dan kesejahteraan buat ahli kubur. Antara doa yang diajar oleh Baginda ialah : “Salam atasmu wahai penduduk kampung daripada golongan mukminin dan muslimin, kami Insya-Allah akan mengikuti kamu. Kamu adalah pelopor kami dan kami akan menjadi pengikut kamu dan kami memohon kepada Allah agar kami dan kamu juga dilimpahi keselamatan oleh Allah.” (Riwayat Muslim). Nabi juga pernah berdoa dengan doa ini : “Salam sejahtera ke atas mu wahai ahli kubur, semoga Allah mengampunkan dosa kami dan dosa kamu, kamu adalah golongan perintis dan kami akan menuruti jejakmu.” (Riwayat Tirmidzi).
Berdasarkan kepada fakta yang telah dinyatakan, didapati bahawa doa-doa tersebut dibacakan buat mereka yang telah meninggal dunia dan menjadi bukti bahawa amalan tersebut ada manfaatnya kepada si mati. Jika tidak mendatangkan apa-apa manfaat sudah pasti Nabi SAW tidak menganjurkan perbuatan tersebut untuk dilakukan oleh orang-orang Islam. Doa yang dibaca oleh Nabi SAW adalah untuk membantu meringankan kesusahan dan kesengsaraan ahli kubur di alam barzakh. Dalam hal ini, Rasulullah SAW melakukannya bererti perbuatan ini bukanlah sia-sia, tetapi datang dari wahyu Allah sendiri.
Sebagai kesimpulan, indahnya ajaran Islam bukan sekadar amalan-amalan yang dilakukan secara fardi (untuk individu itu sendiri), tetapi mencakupi amalan secara jamaie (kolektif) supaya kerukunan dalam masyarakat dapat dijalinkan berlandaskan ajaran syariat supaya hidup sentiasa dalam keberkatan-Nya.

Sumber: http://www.islam.gov.my
7.5.2015

No comments: