Monday, 5 January 2015

JANGAN JADI MUSUH AGAMA SENDIRI

By: Muhammad Azhari

Senario masa kini dapat dilihat bahawa Islam itu sedang dimusuhi oleh sebahagian umatnya sendiri. Ini dapat dilihat dengn penolakan terhadap hukum-hukum Allah.

Umat Islam zaman sekarang lebih suka untuk mengikut cara barat berbanding daripada mengikut panduan dan peraturan yang telah Allah tetapkan.
Umat Islam jenis ini boleh diklafikasikan sebagai golongan munafiq. Persoalannya siapakah golongan munafiq ini?
Golongan munafiq ini ialah golongan yang berpura-pura muslim tetapi pada masa yang sama cuba untuk merosakkan Islam itu sendiri.
Firman Allah swt:
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Surah al-Baqarah: 120)
Persoalannya apakah punca umat Islam memusuhi agamanya sendiri?
DIDIKAN BARAT
Salah satunya adalah kerana didikan budaya barat. Kegagalan sebahagian umat kita untuk menahan diri daripada digoda dengan budaya barat itu susah.
Apabila unsur-unsur barat sudah masuk ke dalam jiwa umat Islam, maka akan berlakulah  penolakan pada ayat-ayat Allah.
Pelbagai falsafah barat yang cuba diterapkan. Ada yang positif dan ada yang negatif.Akan tetapi bahayanya ialah apabila unsur-unsur negatif itu lebih banyak berbanding dari yang positif.
Barat terkenal dengan budaya yang bersifat kepuasan diri. Seks bebas, arak, dan sebagainya menjadi amalan biasa rakyatnya.Dan ia merebak kepada umat Islam itu sendiri.
Syaitan berusaha menggoda kita untuk menjadikan kita golongan yang sesat.
Firman Allah swt:
Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. (Surah al-Aaraf: 175)
KURANGNYA TARBIYAH
Apa yang kita lihat dengan fenomena ini adalah kerana kurangnya tarbiyah pada umat Islam.Cuba tanya pada mereka yang memilih budaya barat, bagaimanakah mereka meletakkan al-quran di dalam kehidupan mereka?
Bilakah kali terakhir mereka membaca maksud ayat-ayat Allah? Bagaimanakah perasaan mereka terhadap kecintaan mereka terhadap Rasulullah saw?
Tarbiyah memimpin kita ke jalan yang benar dan membawa kita dalam kehidupan Islam yang sebenar.
Firman Allah swt:
Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (Surah al-Baqarah: 132)
UTAMAKAN DUNIAWI
Selain itu salah satu puncanya ialah ketaksuban individu tersebut dalam mengejar urusan duniawi. Kerana mengganggap dengan mengamalkan konsep konvesional akan meraih harta yang berlipat ganda, maka segala hokum-hakam ditolak ketepi. Yang penting kepuasan diri.
Apabila memiliki kebendaan menjadi matlamat hidup, maka individu tersebut sudah semestinya akan memilih jalan yang senang walaupun ia terpaksa menolak al-quran.
Apabila dunia itu tidak disandarkan kepada Allah, maka kemusnahan dan kerosakan akan berlaku.Buktinya apabila nilai-nilai kemanusiaan bertukar menjadi negatif seperti buruk sangka, fitnah dan sebagainya.
Firman Allah swt:
Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan. (Surah al-Baqarah: 86)
Oleh yang demikian apakah penyelesaian yang terbaik?
KEMBALI PADA SYARIAT ISLAM
Dengan situasi yang kita lihat terhadap sebahagian umat Islam yang menolak al-quran dan as-sunnah ini, penyelesaiannya ialah dengan cara kembali kepada Islam.
Perhatikan di sudut manakah yang menyebabkan kita sedang menuju ke neraka? Segera perbaiki jalan kita. Ubah haluan kerana hidup hanya sekali.
Patuhilah segala hukum-hakam yang telah ditetapkan. Percayalah bahawa tujuan Allah memberi panduan syariat pada manusia adalah untuk membimbing manusia ke jalan yang benar.
Firman Allah swt:
“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariatdan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani; (Surah al-Baqarah:128)
 SENSITIF TERHADAP DOSA DAN PAHALA
Jadilah individu muslim yang sensitive terhadap dosa dan pahala.Jangan menjadikan dosa menjadi punca kita ke neraka sedangkan kita sudah diberi peluang dan ruang untuk memilih syurga ketika hayat kita.
Muslim yang berhati-hati terhadap nilai dosa dan pahala pasti akan selamat hidupnya di dunia dan akhirat.
Yang jelas sekiranay dosa yang kita miliki lebih banyak dari pahala ketika ia ditimbang di akhirat kelak, maka neraka  adalah tempat yang terbaik bagi orang tersebut.
Friman Allah swt:
Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu. (Surah al-Baqarah: 95)
AL-QURAN PENYELAMAT MANUSIA
Sangat jelas bahawa al-quran menjadi panduan buat umat Islam baik masa dahulu mahupun masa sekarang. Tanpa al-Quran manusia itu akan hilang arah.ibarat layang-layang yang terputus tali.
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; (Surah al-Baqarah: 2)
PENUTUP
Sebagai pengajaran pada hari ini ialah:
  1. Kita ketahui bahawa punca umat Islam memusuhi agamanya sendiri adalah kerana terlalu menganggungkan budaya barat.
  2. Selain itu kurangnya tarbiyah terhadap jiwa juga menjadi puncanya, dan apabila individu tersebut tidak mentarbiyahkan jiwanya maka ia akan lena dengan keasyikan duniawi.
  3. Apabila duniawi menjadi keutamaan hidupnya, kelak hidupnya menjadi tidak terurus dan akhirnya kehiudpannya berakhir dengan pengakhiran yang tidak baik.
  4. Islam datangkan penyelesaian iaitu dengan cara mematuhi segala syariat Allah.
  5. Sentiasa muhasabah diri terhadap segala dosa yang telah kita lakukan secara harian.
  6.  Sebagai orang Islam letaklah al-Quran ditempatnya iaitu bukan sekadar dilidah, akan tetapi juga dihati.

Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak
Wallahualam
Wallahualam

No comments: