Friday 4 April 2014

ILMU DAN ULAMA

BAB 1: ILMU DAN ULAMA.
NIAT: PERMULAAN SEGALA AMALAN.
:Diriwayatkan daripada Amirul Mukminin Abu Hafs bin al-Khattab r.a., beliau berkata: ’’Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ’Sesungguh semua amalan perbuatan adalah (dinilai) mengikut niat dan sesungguhnya setiap orang (dinilai berdasarkan) apa yang di niat. Sesiapa yang melakukan hijrah kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya (dinilai) kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang melakukan hijrah kepada (untuk mendapatkan) dunia, dia akan memperolehmya, atau kepada (untuk) wanita, dia akan mengahwininya. Maka hijrahnya itu (dinilai) kepada apa yang dia berhijrah kepadanya.’’
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim - al-Arba’un an-Nawawiyyah)
Keterangan:-
*Amalan hanya diambil kira jika disertai dengan niat. Apa yang dimaksudkan dengan amalan segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan oleh mukalaf sama ada fardu atau sunat: sedikit atau banyak.
*Hijrah ialah telah meninggalkan sesuatu kepada yang lain. Maksudnya dalam syarak ialah meninggalkan larangan Allah SWT.
(Tuhfah al-Ahwazi)
@Hadis sahih 1-300.
....................................

BALASAN MENGKHIANATI ILMU
: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempatnya di dalam neraka.’ (Riwayat Muslim)
Keterangan:-
*Pendustaan ialah memberitahu sesuatu yang bercanggah dengan hakikanya yang sebenar.
*Walaupun orang yang tidak sengaja membuat pendustaan tidak berdosa, tetapi berkemungkinan ia berdosa dengan memperbanyakkan kesilapan adalah sesuatu kesalahan. (Fath al-Bari)
@Hadis sahih 2-300.
...................................

KEWAJIPAN MENYAMPAIKAN ILMU
: Dirgwayatkan dari Abdullah bin ’Amr r.huma., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah mengenai bani Israel dan tiada dosa.’’ (Riwayat al-Bukhari)
Keterangan:-
*’’Ayat’’: Bermaksud nasihat atau pedoman yang membezakan perkara baik dan buruk.
*Nabi SAW telah menegah daripada menceritakan tentang bani Israel ketika hukum-hakam Islam dan tapak agama belum kukuh, kerana dikhuatiri fitnah. Apabila tiada lagi perkara yang perlu dikhuatiri maka diizinkan agar boleh diambil iktibar. (Fath al-Bari)
@Hadis sahih 3-300.
.....................................

FAEDAH MEYAMPAIKAN ILMU
: Diriwayatkan daripada Zaid bin Tsabit r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Allah menyerikan seseorang yang mendengar sesuatu hadis daripada kami, lalu dia menghafalnya sehingga dia menyampaikannya (kepada orang lain). Kemungkinan orang yang membawa (meriwayatkan) sesuatu hadis kepada orang yang lebih memahami daripadanya dan kemungkinan juga orang yang membawa suatu hadis tidak memahaminya.’’ (’Riwayat Abu Daud)
Keterangan:-
*’’Menyerikan’’: Mengelokkan akhlak dan meninggikan darjat.
*Hadis ini menunjuk wajibnya menuntut ilmu (tafaqquh), bersungguh-sungguh mengkaji makna hadis dan merumuskan perkara yang tersingkap disebalik hadis. (’Aun al-Ma’bud)
@hadis sahih 4-300.
...................................

TIADA PENGECUALIAN MENUNTUT ILMU.
: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Menuntut ilmu adalah wajib atas setiap muslim.’’
(Riwayat Ibn Majah dan Abu Ya’la)
@hadis sahih 5-300.

ILMU ASAS KEBAIKKAN.
: Diriwayatkan daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan r.huma., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan padanya, nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya.’’
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan:-
* Tiada kebaikan bagi orang yang tidak memahami dan mempelajari kaedah-kaedah dan perkara cabang dalam agama Islam.
@hadis sahih 6-300.
....................................

KEUTAMAAN MENUNTUT ILMU.
: Diriwayatkan daripada Sa’ad bin Abi Waqqash r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Kelebihan ilmu lebih aku sukai daripada kelebihan ibadat. Kebaikan dalam agama kamu adalah warak.’’
(Riwayat al-Hakim)

KETERANGAN:-
* Kelebihan: menambah ilmu lebihan disukai dan lebih utama daripada menambah ibadat.
* Warak ialah meninggalkan perkara syubhah (terdapat kesamaran) atau sesuatu yang diragukan, ataupun meninggalkan sesuatu kerana khuatir kepada sesuatu kejahatan yang lain. Manakala takwa ialah meninggalkan perkara haram.
(Dr. Haji Zahazan Mohamed)
@hadis sahih 7-300.
....................................

WARISAN YANG MENGUNTUNGKAN.
: Diriwayatkan daripada Abu Darda’ r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Sesungguhnya para ulama ialah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi pula tidak mewariskan dinar dan dirham, sesungguhnya mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, ia telah mendapat bahagian yang banyak lagi sepurna.’’
KETERANGAN:-
* ’’Dinar dan dirham’’: Perkara dunia.
* Para nabi tidak mengambil perkara dunia melainkan sekadar keperluan sahja.
* ’’Sesiapa yang mengambilnya’’: Boleh juga difahami dengan erti perintah daripada Nabi SAW, iaitu siapa yang mengambilnya hendaklah ia mengambik dengan banyak dan janganlah berasa cukup dengan sedikit.
(Tuhfah al-Ahwazi)
@hadis soheh 8-300.
.....................................

KETINGGIAN DARJAT ORANG YANG BERILMU.
: Diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Kelebihan orang yang berilmu atas orang abid (orang yang rajin beribadah) adalah seperti kelebihan ku atas orang yang paling rendah darjatnya dalam kalangan kamu.’’
(Riwayat at-Tirmizi)
@hadis sahih 9-300.
....................................

GANJARAN MENYAMPAIKAN ILMU.
: Diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi: hinggakan semut didalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan didarat dan di laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara baik kepada manusia.’’
(Riwayat at-Tirmizi)
@hadis sahih 10-300.
......................................

BERHATI-HATI MENYAMPAIKAN ILMU.
: Diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah al-Bajali r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Sesiapa yang mengadakan ikutan yang baik dalam Islam, ia memdapat ganjaran amalan itu dan ganjaran orang yang mengamalkan selepasnya, tanpa mengurangi sedikit pun pahala mereka. Dan sesiapa yang mengadakan ikutan yang buruk dalam Islam, ia mendapat dosa daripada amalan itu dan dosa orang yang mengamalkan selepasnya. tanpa mengurangi sedikit pun dosa mereka.’’
(Riwayat Muslim)
@hadis sahih 11-300.
......................................

MENUNJUK CONTOH TELADAN YANG BAIK.
: Diriwayatkan daripada Abu Mas’ud al-Ansari r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapat ganjaran pahala seumpama pahala orang yang mengjkutinya.’’
(Riwayat Muslim)
@hadis sahih 12-300.
.......................................

KEIKHLASAN DALAM BERAGAMA.
: Diriwayatkan daripada Tamin ad-Dari r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Agama ialah nasihat. ’’Kami bertanya: ’’Terhadap siapa?’’ Baginda menjawab: Terhadap Allah, kitab-Nya, pemimpin-pemimpin dan kaum Muslimin umumnya.’’
(Riwayat Muslim)

KETERANGAN:
* ’’Nasihat terhadap Allah’’: Beriman kepada Allah, sifat-sifat-Nya dan menyucikan-Nya daripada seberang kekurangan. Melakukan ketaatan dan menjauhkan maksiat.
* ’’Nasihat tehadap kitab-Nya’’: Mengimani bahawa ia adalah kalam Allah yang diturunkan, menghormati kedudukannya yang tinggi, membacanya dengan betul dan tidak melanggar batasannya.
* ’’Nasihat terhadap Rasulullah’’: Mempercayai risalahnya, beriman kepada segela apa yang dibawanya, mentaati, membela, mengidupkan sunah, memerangi musuhnya dan menolong orang yang menyokongnya.
* ’’Nasihat terhadap pemimpin’’: Membantu dan mentaati pemerintahan atas dasar kebenaran, mengingati mereka dengan baik terhadap perkara yang diabaikan, tidak memberontak dan menjinakkan hati menusia agar mentaati mereka.
(Syarah Shahih Muslim)
@hadis sahih 13-300.
......................................

ANCAMAN MENYEMBUNYIKAN ILMU.
: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Sesiapa ditanya tentang ilmu yang ia ketahui, kemudian ia menyembunyakannya, ia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka pada hari kiamat.’’
(Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

KETERANGAN:
* ’’Dikekang dengan kekangan daripada api neraka’’: Mulut orang itu dikekang sebagai balasan setimpal atas perbuatannya. Ini kerana, ia mengekang mulutnya sendiri dengan berdiam, sedangkan ia perlu memperkatakan sesuatu pada ketika itu.
(Faidh al-Qadir)
@hadis sahih 14-300.
......................................

BAHANA KEHILANGAN ULAMA DAN KETENDUSAN ILMU.
: Diriwayatkan daripada Abdullah bin ’Amru r.huma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghilangkan) ilmu dengan mencabutnya daripada manusiah. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mencabut roh (mematikan) para ulama. Sehingga apabila tiada lagi orang yang alim (ulama) yang tinggal, (Ketika itu) manusia akan melantik ketua-ketua jahil. Apabila mereka ditanya (tentang sesuatu), mereka mengeluarkan fatwa tanpa ilmu. Maka, mereka telah sesat dan menyesatkan orang lain.’’
(Riwayat al-Bukhari)
@hadis sahih 15-300.
......................................

PEMIMPIN YANG SESAT
Diriwayatkan daripada Tsauban khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ’’Sesungguhnya perkara yang aku takuti ke atas umatku ialah para pemimpin yang menyesatkan.’’
(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

KETERANGAN
*Pemimpin yang sesat adalah pemimpin yang menyeru ke arah melakukan bidaah, kefasikan dan maksiat.
(Tuhfah al-Ahwazi)
@hadis sahih 16-300.

-----------------------
[sumber dari 300 HADIS BIMBINGAN KE ARAH MENCARI REDHA ALLAH Oleh DR. HAJI ZAHAZAN MOHAMED
dan AHMAD HASSAN MOHD. NAZAM]

No comments: