Tarikh: 11 Jun 2013
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Olahan Web Majalah I
Fenomena buta solat dan buta Al-Quran semakin meruncing di kalangan generasi muda akhir ini. Walaupun membaca Al-Quran itu sunat, tetapi ia sangat penting untuk membolehkan seseorang melakukan bacaan dengan baik dalam solat yang merupakan tiang seri agama Islam dan amal pertama hisaban di akhirat kelak. Sebab itu celik solat dan Al-Quran sentiasa selamanya berjalan seiringan, sehala, seia dan sekata.
Jika negara kita menyasarkan sifar buta huruf menjelang tahun 2015 sebagai menyokong Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA), bagaimana pula dengan sifar buta solat dan buta Al-Quran di negara yang menjunjung Artikel 3 (1) dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia?
Benteng Akidah
Himpunan Sejuta Umat: Menyelamat ‘Aqidah (HIMPUN) pernah berlangsung di Stadium Shah Alam. Dalam Islam, akidah perlu disempurnakan dahulu sebelum melaksanakan rukun dan aspek Islam yang lain. Malah, jika kita lihat kepada turutan Rukun Islam, yang pertama adalah mengucap syahadah (aqidah) dan kedua hingga kelima iaitu mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji (bagi yang berkemampuan) lebih menjurus kepada aspek ibadah.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mafhumnya, “Dari Abu ‘Abdal Rahman ‘Abdullah Ibn ‘Umar ra katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Didirikan Islam atas lima (rukun): Syahadah (pengakuan) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji di Baitullah, dan puasa di bulan Ramadhan.”(Mustafa ‘Abdul Rahman (2008), Hadith 40:Terjemahan dan Syarahnya, halaman 119).
Justeru, fenomena buta solat dan Al-Quran dewasa ini boleh dijadikan hujah kepada permasalahan ‘aqidah di kalangan masyarakat Islam sendiri. Kita meyakini, kelalaian dalam menunaikan kewajipan agama terutama solat adalah bertitik-tolak daripada aqidah dan keimanan yang melemah akibat tuntutan hawa nafsu yang tiada kenal erti puas.
Tahsin Solat
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama merenung, mengkaji di mana silapnya sehingga lahirnya generasi Islam yang buta hati pada keagungan solat dan meninggalkan Al-Quran dewasa ini.
Tidak hairanlah kenapa aqidah senang sekali dicarik sehingga gejala murtad berleluasa, maksiat senang sekali dikerjakan sehingga fenomena zina, buang anak, dadah dan pelbagai penyakit sosial dijuarai oleh golongan manusia beragama Islam. Ini secara batiniyyahnya terjadi lantaran solat tidak menjadi perisai yang menjadi benteng ampuh mengekang hawa nafsu dan meninggalkan pegangan paling utuh iaitu Al-Quran dengan berbangga dengan rasional intelek semata.
Dicadangkan agar kempen-kempen tahsin solat dan semangat Iqra’ disuburkan, diakar umbikan dalam semua institusi sosial terutama institusi keluarga, institusi pendidikan, institusi keagamaan, institusi pemerintahan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan media massa. Ini usaha untuk menjadikan Solat dan Al Quran terus kekal seiring, seia, sekata, selamanya dan pembela apabila kita dihisab kelak.
11 Jun 2013
No comments:
Post a Comment