Oleh Megat Hisemudin Megam Kasim
Melaka Dulu-Dulu : 20 Julai 2025
Ketika Afonso de Albuquerque mengaturkan orang-orangnya untuk menyerang bandar Melaka, satu keputusan konsensus telah dicapai antara para kapten Portugis bahawa kaedah terbaik ialah dengan membuat serangan dari darat. Afonso de Albuquerque sendiri akan mengetuai satu skuadron untuk menyerang jambatan yang menghubungkan tebing Sungai Melaka bersama dengan kapten Duarte de Silva, Jorge Nunes de Leao, Simao de Andrade, Aires Pereira, Joas de Sousa, Antonio de Abreu, Pero de Alpoem, Dinis Fernandes de Melo, Nuno Vaz de Castelo Branco, Simao Matins dan Simao Alfonso.
Satu lagi skuadron akan menyerang bandar Melaka di mana terletaknya masjid agong yang berhampiran dengan istana Sultan. Skuadrron ini diketuai oleh D. Joao de Lima, Fernao Peres de Andrade, Bastiao de Miranda, Gasper de Paiva dan Jaime Pereira Teixeira. Untuk tugasan menawan jambatan yang diketuai oleh Afonso sendiri, satu kumpulan akan segera mengepong jambatan dan kumpulan yang lainnya ditugaskan untuk melindungi jambatan daripada serangan balas pihak Sultan. Ini kerana jalan utama di dalam bandar adalah menuju ke jambatan dan tentunya tentangan dari pihak Sultan akan tertumpu di sini.
Pedagang-pedagang China melihat bahawa bandar ini akan jatuh ke tangan Portugis maka telah menawarkan bantuan untuk urusan pendaratan tentera kerana mereka telah dikhianati oleh Sultan. Ini kerana pada ketika itu Sultan Melaka mengadakan majlis perkahwinan puterinya dengan putera Sultan Pahang dengan penuh gilang gemilang yang dihadiri oleh Sultan Pahang sendiri. Sultan Melaka telah mengambil banyak barang-barang dari pedagang-pedagang China tetapi tidak membayar harganya. Sudah tentulah ianya dalam nilaian yang tinggi untuk satu majlis yang besar kerana hampir semua barang-barang keperluan di Melaka adalah dibekalkan oleh pedagang-pedang asing.
Inilah yang membuatkan para pedagang China amat marah kepada Sultan dan tidak meninggalkan pelabuhan. Kerana mereka harus pulang ke China dengan membawa muatan barangan lain pula yang dibeli dari pedagang lain. Kerana Melaka adalah sebuah pelabuhan entreport yakni yang menemukan pelbagai barangan yang dibawa oleh pedagang-pedagang China, kepulauan Maluku, Jawa, Sumatera, Pegu (Mynmar), India dan Arab.
Afonso de Albuquerque mengucapkan terima kasih kepada pedagang-pedagang China atas kesudian mereka untuk membantu pendaratan tentera Portugis namun tidak mahu mereka terlibat secara langsung. Bagaimanapun Afonso de Albuquerque bersedia untuk menerima dipinjamkan jong-jong China bagi mendaratkan angkatan tenteranya. Akhirnya jong-jong China telah digunakan untuk pendaratan tentera Portugis dengan kendalian mereka sendiri. Dikatakan pedagang-pedagang China juga telah mendapat habuan atas kerjasama ini bagi menggantikan kerugian ke atas barangan yang diambil oleh Sultan.
Sehari kemudiannya mereka bercuti di hari memperingati St. James, 12 daripada pengikut setia Jesus Christ di mana tiupan trumpet dimainkan di semua kapal-kapal. Kemudiannya setelah menerima arahan maka angkatan Portugis telah melakukan pendaratan. Berdasarkan carian internet, hari St. James ialah pada 25 Julai bagi orang-orang Kristian di barat maka tarikh Melaka diserang Portugis diyakini pada 26 Julai, 1511. Bermakna telah 26 hari armada Portugis berada di Melaka barulah berlaku serangan Portugis secara besar-besaran.
Skuadron yang bersama Afonso de Albuquerque telah berjaya merampas jambatan setelah bedilan meriam bertalu-talu di arahkan ke jambatan. Kedua-dua pihak antara tentera Portugis dan orang-orang Melaka telah bertempur secara berdepanan dari dua lokasi iaitu di jambatan dan dalam bandar Melaka. Pertempuran berterusan di jambatan yang mana di pihak Sultan diketuai oleh Tuan Bandar. Dalam catatan Portugis menulis, “….. much fighting, hand-to-hand and steel against steel”. Bermakna kedua-dua pihak menggunakan pedang dan tombak atau lembing untuk beradu kekuatan.
Akhirnya tiga orang kanan Sultan telah terkorban termasuk Tuan Bandar. Dalam catatan ini menyebut Tuan Bandar ialah seorang Benggali yang mempunyai kebijaksanaan dan licik. Dalam mempertahankan jambatan, putera Sultan, Alauddin dan adik iparnya iaitu putera Sultan Pahang yang baru berkahwin dengan puteri Sultan Melaka telah berjuang di jambatan habis-habisan yang menyebabkan pertempuran merebak hingga jauh ke jalan-jalan. Orang-orang Melaka pula telah menyerang tentera Portugis dari sebelah sisi.
Skuadron yang melindungi Sultan terdiri dari 700 anggota yang disusun dengan penuh persenjataan dan bergajah. Malah dua ekor gajah digunakan khas untuk melindungi Sultan. Mereka yang terlibat dalam pertempuran di lain-lain tempat juga berkejaran menuju ke skuadron Sultan untuk membantu mempertahankan Sultan. Tentera yang menaiki gajah duduk dalam satu “rengga” iaitu satu struktur kayu tempat duduk di mana mereka menggunakan senjata anak panah.
Tentera Portugis menerima tentangan hebat dari orang-orang Melaka melalui sebelah sisi lalu membahagikan kepada beberapa kumpulan. Satu kumpulan bertempur dengan skuadron putera Sultan, Alauddin manakala yang lainnya cuba untuk menghentikan serangan dari skuad bergajah dengan menggunakan lembing. Dua ekor gajah cedera lalu rebah disebabkan terkena balingan lembing yang kemudiannya bangkit kembali dan berlari laju tanpa arah tanpa dapat dikesan oleh tentera Portugis. Sultan pula melihatkan gajah-gajahnya sendiri yang lari dan berundur ke jalan-jalan yang lain untuk mengelakkan pertempuran namun masih mengharapkan untuk membuat serangan dari sisi.
Tentera Portugis membiarkan saja gajah-gajah itu lari ketakutan tetapi kemudiannya mereka mengejar dengan membalingkan lembing ke arah gajah-gajah itu. Akhirnya gajah-gajah ini dapat melepasi kepungan tentera Portugis dan lari ke jalan-jalan yang lain. Tentera Portugis membiarkan saja kerana tugas terpenting ialah untuk menjaga jambatan yang telahpun ditawan sebelum itu.
Ketika angin laut mula bertiup, Afonso de Albuquerque telah mengarahkan Gasper de Palva dan Simao Martins dengan membawa 200 orang askar membakar rumah-rumah yang terletak di kedua-dua tebing Sungai Melaka berhampiran dengan jambatan. Rumah-rumah ini mudah terbakar dalam masa yang singkat kerana diperbuat daripada kayu dan beratapkan daun nipah ditambah dengan tiupan angin laut.
Ini kerana askar-askar Portugis menerima tentangan daripada orang-orang Melaka yang berlindung di rumah-rumah ini dengan menggunakan anak panah dan buluh sumpitan. Tambahan dengan membakar rumah-rumah ini akan memberikan pandangan yang lebih luas kepada askar-askar Portugis. Selepas saja askar-askar Portugis membakar rumah-rumah ini, mereka juga memusnahkan gudang-gudang yang menempatkan barang-barang dan sebahagian daripada masjid.
Begitu juga sebuah rumah yang baru dibina dengan terdapatnya roda pada rumah tersebut dan digunakan semasa majlis perkahwinan puteri Sultan juga telah dimusnahkan. Dipercayai ia merujuk kepada sebuah kenderaan yang dibuat menyerupai sebuah rumah yang mempunyai roda dan ditarik oleh gajah. Adalah menjadi kebiasaan pengantin diarak sedemikian tambahan pula pengantin diraja. Keluasan kenderaan ini mungkin boleh memuatkan sebilangan tetamu termasuk Sultan Pahang.
Namun ia digambarkan oleh Pieter Van Der Aa dalam lukisannya di tahun 1706 dengan lebih sensasi sebagai, "royal carriage of thirty wheels pulled by twelve elephants". Ia juga berdasarkan tulisan Fernao Lopez de Constanheda dan catatan anak kepada Alfonso de Abuquerque sendiri yang mengumpulkan banyak maklumat selepas kematian Afonso de Albuquerque. Berdasarkan lukisan inilah terdapatnya catatan dalam buku-buku sejarah mengatakan ia sebuah "istana bergerak" padahal ia hanyalah kenderaan yang digunakan untuk mengarak pengantin diraja.
Pertempuran berakhir dua jam selepas tengahari dengan orang-orang Melaka berterusan menyerang dari kedua-dua belah jambatan. Orang-orang Portugis juga keletihan tetapi tiada masa untuk berehat dengan mengorek parit untuk dijadikan pertahanan di sekitar jambatan.
Askar-askar Portugis telah meluahkan rasa tidak puas hati dengan tanpa sebarang penghargaan selepas berperang dengan orang-orang Melaka. Maka pada sebelah petangnya Afonso de Albuquerque telah membenarkan askar-askarnya memindahkan barang-barang daripada dua buah gudang Sultan yang mana telahpun dimusnah sebelum itu. Ianya berakhir sehingga senja untuk memindahkan barang-barang ini ke kapal mereka.
Orang-orang Portugis juga bimbang kemungkinan orang-orang Melaka akan menyerang mereka dengan rakit-rakit yang dibakar ke arah kapal-kapal Portugis menjelang air pasang di waktu malam. Dengan catatan ini mengesahkan bahawa Melaka ketika itu tidak mempunyai angkatan laut, apatah lagi yang disebut memiliki kapal tempur Mendam Berahi yang dikatakan mirip kapal ghali.
Sebelum berundur ke kapal, bilangan orang-orang Portugis yang cedera di hari pertama pertempuran ialah 70 orang yang kebanyakannya disebabkan oleh racun anak panah dan buluh sumpitan. Kemudiannya 12 orang daripada mereka telah meninggal dunia. Tidak diketahui angka korban dan cedera di pihak Sultan Melaka. Sultan Pahang yang sebelum itu datang ke Melaka untuk meraikan majlis perkahwinan puteranya dengan puteri Sultan Melaka telah bergegas pulang dengan gajahnya.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim
Copy and paste:
20 Julai 2025: 8.24 p.m
No comments:
Post a Comment