Oleh Srikandi
Dalam buku "Perdagangan Dunia Melayu-China Hingga Kurun ke-16 Masehi: Satu Tinjauan Sejarah & Arkeologi" yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Malaysia ada menyebut tentang dua kerajaan di semenanjung bernama ‘Fu-Kan-Tu-Lu’ dan ‘Shen-Li’ (dalam sebutan China) yang membuat hubungan dengan Maharaja Wu-Ti daripada Dinasti Han pada tahun 141 hingga 87 Sebelum Masehi berdasarkan rekod Chi’en Han Shu.
Ini maklumat yang menarik kerana pada abad-abad Sebelum Masehi lagi ternyata ada pihak dari penduduk di Semenanjung Tanah Melayu yang membuat hubungan diplomatik dengan negara asing dan ini menunjukkan ciri-ciri sebuah kerajaan.
Dalam makalah "Hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan China Sejak Awal Abad Masihi" pula ada menyatakan tentang sumber-sumber bertulis dari China yang mana ada menyebut mengenai negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu ataupun pernah melalui Semenanjung Tanah Melayu ini sejak 2000 tahun yang lalu. Rujukan awal mengenai Semenanjung Tanah Melayu terdapat dalam bab 28 dalam manuskrip Ch’ien han shu yang telah disiapkan pada tahun 80 Masihi. Lokasi seperti Shen-li, Fu kan-tu-lu, P’i-Tsung dan Huang-Chih mungkin merujuk kepada tempat-tempat yang letaknya di Semenanjung Tanah Melayu ataupun Sumatera.
H.B Sarkar dalam "A Geographical Introduction to South-East Asia: The Indian Perspective" ada menyatakan tentang nama-nama tempat seperti Takkola, Java dan Suvannabhümi yang muncul dalam teks-teks purba India boleh dipastikan terletak di Asia Tenggara. Ini berdasarkan analisisnya terhadap usia Niddesa, sebuah teks Buddha dalam bentuknya sekarang, berusia tidak lewat daripada 247 Sebelum Masehi, yang mana boleh dianggap bahawa nama-nama tempat yang terdapat dalam Mahäniddesa (bahagian dalam Niddesa) pastinya telah pun wujud di pertengahan abad ketiga Sebelum Masehi.
Dalam erti kata lain, tempat-tempat ini dikenali pada pertengahan abad ketiga Sebelum Masehi. Ini adalah selaras dengan kesimpulan beliau bahawa pengetahuan geografi orang India tentang Asia Tenggara pada awal abad keempat Sebelum Masehu tidak melampaui Burma Hilir, manakala, pada abad ketiga Sebelum Masehi semasa pemerintahan Asoka, ia juga merangkumi beberapa bahagian di sekitar Malaysia-Indonesia pada hari ini. Namun ini tidaklah bermakna bahawa tidak ada kawasan-kawasan lain di Asia Tenggara selain itu yang diketahui oleh orang India pada abad Sebelum Masehi.
Seterusnya beliau ada mencatatkan tentang teks Cina bertajuk Ch'ien Hun-Shu yang membawa bukti-bukti yang serupa bahawa terdapat beberapa negeri sedemikian sekurang-kurangnya pada abad kedua Sebelum Masehi. Ia berbunyi: "Dari sempadan Jih-nan, Hsu-wen dan Ho-p'u, kira-kira lima bulan pelayaran ke negara Tu-yuan. Ia adalah kira-kira empat bulan lagi pelayaran ke negara I-lu-mo, dan dua puluh hari lagi pelayaran ke negara Shen-li. Ia lebih daripada sepuluh hari perjalanan berjalan kaki ke negara Fu-kan-tu-lu, dari mana ia adalah kira-kira lebih dua bulan pelayaran ke negara Huang-chi."
Teks Ch'ien Hun-Shu, atau Annals of the Former Han (206 SM ke 8 M), telah disusun oleh Pan Ku kira-kira 80 M. Bab 28 daripada teks ini merujuk kepada pelayaran dari China ke pantai timur India semasa pemerintahan Maharaja Wu-ti, yang memerintah antara 141 dan 87 SM. Shen-li dan Fu-kan tu-lu terletak di Semenanjung Tanah Melayu di mana Shen-li di sebelah pantai timur dan yang Fu-kan-tu-lu di sebelah pantai barat.
~Srikandi
The History of Thy Beloved
No comments:
Post a Comment