Monday, 14 July 2025

Melayu-ku! Melayu-mu! Melayu kita!

Posted by: Nurul Kejora Muhammad
Kisah Sejarah Melayu: 25 Mei 2022

Tanah Melayu dipanggil dengan nama itu walau pun di dalamnya duduk semua kaum di Nusantara, termasuk Jawa, Banjar, Rawa, Mandailing, Kampar, Bugis, Champa dan Acheh.
Orang Champa di Kemboja dan Vietnam menamakan diri mereka Melayu Champa. Bahasa Champa adalah bahasa Melayu menurut mereka.
Lebih dari separuh perkataannya daripada bahasa Melayu. Cuma ia disebut dengan sebutan yang agak berbeza.
Orang Acheh di Sumatera menamakan diri mereka Melayu Acheh. Bahasanya lebih kurang sama dengan bahasa Melayu Champa. Mereka merasai hubungan mereka dengan kerajaan Islam di Tanah Melayu.
Penduduk kepulauan Riau menamakan diri mereka Melayu Riau. Sebahagiannya berasal daripada kaum Bugis yang tidak lagi bertutur dengan bahasa Bugis.
Pertuturan mereka lebih mirip kepada orang Johor. Mereka makan asam pedas dan otak-otak.
Mungkin orang Jawa di Pulau Jawa kadang-kadang tidak mahu menamakan diri mereka Melayu Jawa. Tetapi orang Betawi menamakan diri mereka Melayu Betawi.
Cuma asalnya orang Jawa menurut sebahagian sejarahwan adalah daripada Melayu Champa. Wali Songo itu sendiri asalnya Melayu Champa. Ketika Indonesia merdeka, pejuang kemerdekaan yang berbangsa Jawa menjadikan bahasa Melayu bahasa rasmi Indonesia.
Orang Sulawesi pula ada pelbagai sukunya, termasuk Bugis, Mandar, Duri, Makassar dan Toraja. Di sana mereka memasukkan diri mereka di dalam rumpun Melayu. Bila mereka Islam, mereka menulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi, bukan lagi aksara lontarak.
Di Filipina, ada belasan etnik Muslim yang digelar etnik Melayu, kerana asalnya mereka memang orang Melayu dan penutur bahasa Melayu.
Kitab Perukunan masih ada di sana. Generasi dulu mengajar al-Quran kepada anak-anak menggunakan Muqaddam. Sama seperti alam Melayu lainnya.
Di Borneo, Brunei, Sabah, Sarawak dan Kalimantan, dulunya satu keluarga duduk di bawah Kesultanan Melayu Brunei. Penjajah memisahkan mereka lalu mengembalikan mereka kepada etnik-etnik yang lebih kecil.
Tetapi sebenarnya mereka semua adalah rumpun Melayu. Kerana itu di dalam Akta Taraf Brunei 1961, Melayu ditakrifkan sebagai salah satu dari tujuh etnik; Brunei, Bisaya, Belait, Kedayan, Murut, Dusun dan Tutong.
Begitulah pertautan antara etnik-etnik di Nusantara dengan Melayu, lalu mengapakah ada pihak yang mahu menghapuskan pertautan ini?
Kredit : Nik Mansour Nik Halim

Copy and paste:
14 Julai 2025: 11.07 p.m


No comments: