Tuesday, 15 July 2025

Catatan Tentang Melayu Yang Meriah Di Luar Negara

Oleh Srikandi

Perkara ini tidaklah pelik pun sebab orang Melayu bukanlah duduk di Antartika atau di Mongolia yang 'landlocked' contohnya.
Orang Melayu tinggal di selat yang tersibuk di dunia!
Ada pihak yang menulis janganlah meromantiskan sejarah Melayu bla...bla...
Masalahnya, orang luar negara yang meromantiskan orang Melayu dan sejarahnya.
Perkongsian yang menarik.



Oleh: Helmi Effendy

Bagi bangsa lain, deme akan terkejut bila kita cerita pasal sejarah Melayu, kita akan petik sumber-sumber dari luar negara. Contohnya macam saudara Ram dalam gambar ni, bagi dia, dia pelik betul kenapa kita suka sangat petik sumber luar negara?
Pertama saudara Ram, saudara kena faham bahawa bangsa Melayu ni satu bangsa yang sangat-sangat international sejak dulu. Bangsa Melayu ni bukan macam bangsa lain, kami bina tamadun kami di antara laluan-laluan perdagangan antarabangsa dunia, antara India dan China, antara Eropah dan China. Semua orang yang nak pergi ke China kena singgah dulu kat pelabuhan kami, semua orang dari seluruh dunia akan bertemu dengan orang Melayu dulu sebelum jumpa maharaja China. Gila ke apa kalau deme tak catat pasal kami?
Contohnya kalau saudara Ram baca tentang Pelabuhan Melaka, saudara Ram akan dapati yang Melaka ada 88 bahasa, ada ribuan kapal yang berlabuh di pelabuhan Melaka, saudara akan baca tentang catatan-catatan orang Portugis, orang Cina, orang Eropah lain tentang kekaguman mereka mereka pada Melaka.
Contohnya macam Duarte Barbosa ada mencatatkan Pelabuhan Melaka adalah pelabuhan tersibuk di dunia dan bertaraf pelabuhan antarabangsa semasa pentadbiran Kesultanan Melaka. Dalam satu masa biasanya terdapat 2,000 buah kapal akan berlabuh di Melaka untuk berdagang dan membeli barang dagangan baru. Bagi mengendalikan kesesakan kapal pedagang ini, pelabuhan Jugra di Selangor, pelabuhan Bentan di Indonesia dan pelabuhan Tanjung Bidara menjadi tempat lokasi kapalkapal dagang dari timur dan barat berlabuh sementara untuk menunggu giliran masuk ke pelabuhan Melaka.
Tom Pires pulak berbicara bahawa Pelabuhan Melaka lazimnya dilawati 60 pedagang dari kerajaan berbeza dalam satu masa. Pelabuhan ini dikunjungi oleh pedagang dari barat, timur dan Asia Tenggara. Pada abad ke-15 hingga 16, antara pedagang yang biasa berdagang di Melaka ialah Mesir, Mekah, Aden, Habsyah, Kilwa, Malindi, Hormuz, Parsi, Rom, Turki, Turkmen, Armenia, Gujerat, Chaul, Dabhol, Goa, Dekkan, Malabar, Kalinga, Orissa, Sri Lanka, Bengal, Arakan, Pegu, Siam, Kedah, Pahang, Pattani, Kemboja, Champa, Cochincina, China, Taiwan, Brunei, Lucoes, Tanjung Pura, Laue, Bangka, Lingga, Maluku, Banda, Bima, Timor, Madura, Jawa, Sunda, Palembang, Jambi, Tongkal, Inderagiri, Kappata, Minangkabau, Siak, Arkat, Aru, Batak, Negeri Tamiang, Pasai, Pedir dan Maladewa (Maldives).
Terdapat 84 bahasa yang dituturkan di Melaka. Ia berpunca dari kepelbagaian latar belakang pedagang dan penduduk Melaka itu sendiri. Walau bagaimanapun, mereka akan menggunakan bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan pedagang dan juga pentadbir Melaka. Kesemua bahasa tersebut sebahagiannya dipelajari oleh pembesar dan Syahbandar Melaka untuk memudahkan urusan perdagangan yang dijalankan. Setiap syahbandar biasanya berkebolehan untuk bertutur lebih dari satu bahasa untuk memudahkannya berinteraksi dengan para pedagang. Disebabkan terdapat kepelbagaian bahasa pertuturan di Melaka, ia akhirnya telah mempengaruhi kosa kata bahasa Melayu itu sendiri.
Dan benda ni bukan baru tau saudara Ram, bahkan kita dapat menyaksikan leluhur kepada Melaka, iaitu Empayar Melayu Srivijaya sendiri dah diceritakan oleh pelbagai catatan dunia. Dari catatan pengembara-pengembara Arab/ Parsi yang pernah sampai ke Alam Melayu (Nusantara) antara abad ke- 8 hingga abad ke-10, maka kita akan mendapati mereka kagum dengan kekayaan-kekayaan dan ketamadunan yang dimiliki oleh kerajaan Srivijaya.

Ibn al-Faqih mencatatkan dalam Kitab al-Buldan bahawa antara benua India ke benua China (Alam Melayu) terdapat sebanyak 30 buah kerajaan. Raja yang paling kecil (paling miskin atau paling sengkek) memiliki apa yang dimiliki oleh Raja Arab. Kemudian Ibn al-Faqih mencatatkan bahawa kerajaan yang paling besar di wilayah itu adalah kerajaan Srivijaya (Arab menyebutnya dengan nama Al-Zabaj). Rajanya memakai nama ‘Maharaja’ yang bermaksud raja bagi sekalian raja.
Catatan ini sezaman kerajaan Abbasiyah. Adakah Ibn al-Faqih memaksudkan bahawa raja di Alam Melayu yang paling sengkek, kekayaannya setanding kekayaan khalifah Abbasiyah? Saudara Ram, tak gila ke orang Arab bila dia mai Empayar Melayu, dia jumpa raja Melayu yang lagi kaya dari raja-raja deme, lepas tu deme tak nak catat langsung pasal raja ni.
Abu al-Qasim Ubaidillah bin Abdullah yang juga dikenali dengan nama Ibn Khordhabeh mencatatkan bahawa pendapatan cukai sahaja bagi Maharaja Srivijaya adalah sebanyak 200 jongkong emas sehari. Satu jongkong seberat hampir 1kg. Maknanya pendapatan Maharaja Srivijaya sehari hampir 200 kg emas.
Abu Zaid as-Sirafi pula menulis bahawa istana Maharaja Srivijaya terletak di atas kolam (istana terapung). Jika air kolam itu surut, maka kelihatan jongkong-jongkong emas yang berkilau-kilau disinari cahaya matahari. Agaknya dari mana datang kekayaan tu? Dari pelabuhan-pelabuhan antarabangsanya lah saudara Ram!
Orang ramai yang nak singgah ke China, akan singgah ke dulu ke pelabuhan tamadun dan nenek moyang kami. Jadi, secara tak langsung, mereka akan berdagang, bayar cukai, duduk dekat sini sementara tunggu angin monsun bertukar, jadi secara tak langsung, tuan akan dapati...
Bahawa seluruh bangsa di dunia akan berdendang, bersyair, bercerita, berlipur lara tentang satu bangsa yang mereka temui di Selat Melaka, di Semenanjung Melayu atau Sumatera, di Pulau Jawa atau Borneo, bercerita tentang kekaguman, ketakjuban mereka, melihat bangsa ini membina tamadun-tamadun agung yang mereka bandingkan dengan segala keindahan dan kehebatan. Sekali lagi saya tanya, gila ke deme tak bercerita pasal kami selepas melihat keagungan kami?

Copy and paste:
15 Julai 2025: 9.45 p.m

No comments: