Saturday, 20 July 2024

Di manakah kedudukan Chìtǔ atau Kerajaan Tanah Merah?

Posted by: Nizam Ali
PERISTIWA N' SEJARAH

赤土 Chìtǔ atau ada yang menyebutnya sebagai Chih Tu merupakan kerajaan kuno yang terletak ke utara Kelantan dan ke selatan Langkasuka. Chìtǔ hilang dalam rekod Dinasti Tang sekitar pertengahan abad ke 7 dan dipercayai ditawan oleh Langkasuka.
Dalam artikel ini memfokuskan kedudukan Chìtǔ berdasarkan dari catatan 隋书 Suí shū iaitu buku sejarah Dinasti Sui (581 - 619) dan 通典 Tōng diǎn yang dikarang oleh 杜佑 Dùyòu semasa Dinasti Tang.
Dalam 隋书 Suí shū bagi bab yang mengisahkan 赤土传 Chìtǔ chuán iaitu Biografi Chìtǔ menyebut, "赤土國,隋時通焉,扶南之別種也". Negara Chìtǔ telah ada perhubungan dengan Dinasti Sui. Bangsanya adalah berlainan dengan bangsa Funan.
Yang dimaksudkan berlainan dengan bangsa Funan ialah kerana kebanyakan negara-negara yang didirikan di Teluk Siam ketika itu adalah dari orang-orang Khmer yang menjadi penduduk bagi negara Funan. Begitu juga dicatatkan penduduk asal Langkasuka adalah dari orang-orang Khmer. Dengan catatan Suí shū jelas menerangkan yang orang-orang Chìtǔ adalah terdiri daripada orang-orang Melayu atau dari kelompok orang-orang Austronesia.
所都土色多赤,因以為號. 東波羅剌國,西婆羅娑國,南訶羅旦國. Ibu kotanya banyak tanah yang berwarna merah maka nama negara diambil sempena tanah yang merah. Di sebelah timurnya ialah negara 波羅剌 Bō luó lá, sebelah barat ialah negara 婆羅娑 Póluó suō dan di selatan ialah negara 訶羅旦 Hē luó dàn.
Dipercayai Tanah Merah, Kelantan adalah ibu kota negara Chìtǔ atau kerajaan Tanah Merah yang diambil sempena warna tanahnya yang berwarna merah. Huruf 赤 chì (dibunyikan che) bermakna merah dan 土 tǔ bermakna tanah. Jadi 赤土 chìtǔ ialah tanah merah.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh seorang ahli mineralogi di Australia di mana emas banyak dilombong di situ mengatakan di tempat sisa mineral seperti emas dan sebatian logam lain akan membuatkan tanah menjadi keperangan disebabkan proses oksidasi yang seakan-akan warna merah.
Namun setelah berlaku hakisan dan banjir sejak ribuan tahun dahulu maka tiada lagi kesan tanah merah tetapi Tanah Merah tetap menjadi pengeluar emas utama di Kelantan sehingga ke hari ini.
Yang disebut ke timur Chìtǔ ialah negara 波羅剌 Bō luó lá dipercayai merujuk kepada Pulau Borneo kerana dalam bahasa Cina, Borneo disebut 婆羅洲 Póluó zhōu. Ini kerana ke timur Chìtǔ ialah Laut China Selatan, melainkan ke tenggara atau south east ialah Pulau Borneo yang besar.
Di sebelah baratnya ialah negara 婆羅娑 Póluó suō. Secara umumnya orang akan membacakan huruf 娑 suō sebagai "sha" berdasarkan huruf-huruf lain yang hampir sama iaitu 鯊 shā dan 裟 shā. Kerana ketika itu belum wujud lagi sistem pengejaan yang standard seperti sekarang dan belum wujud kamus yang boleh dirujuk. Sistem pengejaan moden yang standard bagi huruf-huruf Cina dimulai sekitar tahun 1950an. Dipercayai sebutan yang ingin dinyatakan sebagai "póluó shā".
Sebutan "póluó shā" adalah mirip kepada 哥罗富沙 Gē luō fù shā iaitu salah satu nama Kedah Tua dalam catatan China. Nama lain bagi Kedah Tua dalam catatan Dinasti Tang dan Sung ialah 哥罗 Gē luō (dibunyikan ke luo) atau 古罗 Gǔ luó (dibunyikan ku luo) Setengah ahli sejarah pula mentafsirkan 婆羅娑 Póluó suō sebagai 婆鲁师 Pó lǔ shī yakni Barus di utara Sumatera. Jika dilihat secara realiti kedudukan pada peta, diyakini Póluó shā adalah merujuk kepada Kedah Tua yang bersempadan dengan Chìtǔ.
Di sebelah selatan ialah 訶羅旦 Hē luó dàn (Heluotan). Kebanyakan ahli-ahli sejarah bersetuju bahawa Heluotan ialah 丹丹 Dān dān (Tantan) iaitu Kelantan. Namun dipercayai sempadan selatan Chìtǔ termasuklah lembangan Sungai Kelantan sekarang.
Kedudukan Chìtǔ yang lebih jelas direkodkan oleh 常骏 Cháng jùn, utusan Maharaja 隋炀 Suí yáng yang melawat Chìtǔ di tahun 607.
又南行,至師子石,自是島嶼連接。又行二三日,西望見狼牙須國之山,於是南達雞籠島,至於赤土之界.
Belayar lagi ke selatan sampai ke batu singa, ia adalah sekumpulan pulau-pulau yang bersambungan. Kemudian belayar lagi selama 2 - 3 hari nampaklah pada pandangan mata gunung negara Langkasuka di bahagan barat. Di selatannya maka sampailah ke Pulau Jilong, ia adalah sempadan Chìtǔ.
Batu singa dipercayai ialah pulau-pulau Koh Samui dan belayar lagi 2 - 3 hari boleh nampak gunung negara Langkasuka di sebelah barat bermakna ketika itu mereka berada di sekitar Nakhon Si Thammarat.
Fakta ini jelas menunjukkan bahawa Langkasuka berada ke utara Chìtǔ dengan sekitar Pulau Jilong sebagai sempadan. Tidak dapat dipastikan di manakah kedudukan sebenarnya Pulau Jilong namun dipercayai merujuk kepada tempat bernama Talumphuk sekarang di mana ia adalah satu tanjung kecil yang terhadang dari ombak besar dan tentunya menjadi tempat persinggahan kapal-kapal sebelum meneruskan perjalanan ke selatan.
Berdasarkan Google Map antara Pulau Jilong dengan tanjung yang mengunjur ke laut telah bersambungan antara kedua-duanya sekarang. Dipercayai dahulunya ia tidak bersambungan dan digunakan sebagai laluan perkapalan untuk ke selatan.
其王遣婆羅門鳩摩羅以舶三十艘來迎,吹蠡擊鼓,以樂隋使,進金鎖以纜駿船。月餘,至其都.
Rajanya menghantar pendeta Brahmin bersama 30 buah kapal untuk menyambut
Cháng jùn. Meniupkan serunai dan dipalukan gendang untuk meraikan utusan Dinasti Sui. Dimasukkan kunci emas dan disambungkan tali kepada kapal Cháng jùn. Lebih sebulan barulah sampai ke ibu kota.
Persoalannya mengapa disambut dengan 30 buah kapal? Dipercayai apabila kapal Cháng jùn sampai ke Kuala Sungai Kelantan hendak mudik ke ibu kota di Tanah Merah maka perlu ditarik oleh kapal-kapal penarik yang berjumlah 30 buah. Ini kerana kapal Cháng jùn tidak lagi boleh menggunakan layar untuk memudiki Sungai Kelantan dengan arus air yang deras.
Kekayaan kerajaan Chìtǔ terserlah sehingga kunci pengikat kapal pun diperbuat daripada emas. Dengan kemasyhuran kerajaan Chìtǔ sehingga Dinasti Sui menghantar utusannya ke Chìtǔ. Sebagai rujukan, Ptolemy seorang ahli matematik dan falsafah Greek yang menulis buku "Geography" telah menyebut Semenanjung Emas dipercayai merujuk kepada penghasilan emas di Chìtǔ. Menurut dapatan arkeologi telah menjumpai serpihan tembikar era Greek di pelabuhan Funan. Bermakna Chìtǔ adalah dalam laluan kapal-kapal Greek untuk berdagang ke China.
Dalam 通典 Tōng diǎn menyebut ibu kota Chìtǔ, 僧祇城亦曰獅子城. Kota Sēng qí juga disebut Kota Singa. Ramai ahli sejarah mengatakan Sēng qí terletak di Songkhla atau dalam tulisan Sanskrit ialah Singgora yang bermaksud singa. Namun fakta yang lebih kukuh menyebut kapal Cháng jùn perlu memudiki sungai selama sebulan baru sampai ke ibu kotanya.
Melihatkan kepada bentuk geografi, Songkla terletak di tepi laut tetapi kedudukan Tanah Merah ialah hampir satu pertiga daripada panjang Sungai Kelantan. Maka dengan itu Sēng qí atau Kota Singa adalah merujuk kepada Tanah Merah.
Selepas abad ke 7 Chìtǔ hilang dari rekod China kerana ditawan oleh Langkasuka sehinggalah Langkasuka menjadi negara naungan Srivijaya. Setelah kejatuhan Srivijaya barulah terbentuk kerajaan Ligor, Singgora dan Pattani. Sesungguhnya Ligor, Singgora dan Pattani adalah legasi negara Chìtǔ.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim

Copy and paste:
20 July 2024 > 15 Muharram 1446H: 9.41 p.m

No comments: