Wednesday, 6 March 2019

PEMAKANAN SELEPAS SERANGAN SAKIT JANTUNG!

” En. Khairul, saya sering mendengar tentang diet bagi mengelakkan sakit jantung. Bagaimana pula dengan datuk saya yang baru sahaja balik dari hospital akibat serangan jantung? Sama juga kah dengan orang yang belum pernah kena serangan jantung? “


Di hospital, saya bertugas di wad yang melibatkan pesakit sebelum pembedahan jantung kebanyakannya CABG. Pesakit yang akan menjalani pembedahan jenis ini selalunya memang sudah biasa kena serangan jantung minor atau sakit-sakit di dada atau pernah buat stenting pada saluran ke jantung.

Bagi orang yang pernah kena serangan jantung, pemakanan yang baik dan rawatan susulan ke hospital adalah perlu lebih kerap bagi mengelakkan serangan kedua yang mungkin lagi teruk. Mungkin 3 bulan sekali untuk melihat tekanan darah, bacaan gula, kolesterol dan lain-lain.

Sebagai Dietitian , saya hanya mahu fokus kepada pemakanan dan gaya hidup yang sihat bagi mereka yang pernah terkena serangan jantung.

1. Mulakan dengan tidur yang cukup dan kawalan stress yang baik. Berjalan sekitar taman atau kampung bagi menghirup udara segar. Tak perlu bersenam seperti orang lain. Cukup dengan berjalan dahulu. Untuk yang baru bermula ‘ less is better ‘ .

2. Sarapan yang sihat – makan putih telur setiap pagi , karbohidrat kompleks yang tinggi serat seperti roti mi penuh atau wholegrain, oats – bukan 3in1, susu rendah lemak atau susu omega. Tambahkan sebiji buah setiap pagi – simpan buah lebih banyak dalam peti sejuk.
Nak minum teh/kopi nescafe kena pastikan ia nipis dan tiada susu pekat manis/susu cair/krimer – lemak tepu. 1 sudu teh gula tiada masalah.

3. Bekalkan buah & snek rendah lemak seperti biskut rendah lemak tinggi serat – baca label, yogurt rendah lemak, kekacang yang berlemak baik seperti almonds, cashew dll. Makan dalam jam 10-11 pagi + air masak 2 liter sehari. Buah dan sayur adalah antara yang terbaik untuk jantung yang sihat!

4. Makan tengahari ikut konsep suku-suku separuh. Nasi 2 senduk, kuah 2-3 sudu, lauk jenis rebus, bakar, singang dll yang kurang lemak – banyakkan ikan ( at least sehari sekali ) , sayur- kurangkan kuah santan. Kalau masak di rumah , gantikan santan dengan susu rendah lemak atau kari tanpa santan. Saya pernah cuba, sedap juga! Masak kat rumah juga kita boleh guna minyak masak yang lebih sihat untuk sayur seperti minyak zaitun, minyak jagung, canola dan flexseed oil.

5. Kalau ada makan-makan di majlis atau mesyuarat, kurangkan kuih yang dibuat dari santan atau isi kelapa atau yang digoreng tenggelam. Sebaiknya kurangkan atau elakkan jika ada pilihan kuih yang lebih baik. Paling bagus ambil buah yang kita dah bawa dari rumah tu. Sakit kita tanggung, bukan orang lain.

6. Garam perlu betul-betul dijaga dalam diet. Selalunya dari kuah, kicap, sos tiram, sos cili, nasi goreng. Kajian di Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia banyak ambil garam dari makanan yang telah dimasak seperti nasi goreng ikan masin, nasi goreng kampung dan makanan segera.

7. Awalkan makan malam. Makan lebih kurang macam makan tengahari, bezanya kurangkan gula waktu malam terutamanya air manis dan makanan manis. Pergerakan yang agak kurang pada waktu malam boleh menyebabkan lebihan gula menjadi lemak. Stevia boleh.

8. Functional foods seperti beta glucan dalam oats – rolled oats, quick rolled oats atau pelbagai lagi jenis oats selain instant atau 3in1; omega 3 dalam ikan, chia seed dan flex seed, soya, green tea, plant sterols – omega milk contohnya.

Diet di atas adalah diet sihat yang boleh diamalkan oleh semua orang tapi sangat bagus untuk mereka yang pernah terkena serangan jantung.

Semoga memberi manfaat untuk dikongsi bersama.


Mohd Khairul Azuan
Dietitian


#dietsakitjantung
#jantungsihat
#dietitian
#nasihatdiet 
#jantungsihat

Sumber:
6/3/2019: 10.02 pm

No comments: