Tuesday, 14 March 2017

Agama Manakah Yang Membenarkan Zina?


Perkataan Zina di dalam bahasa arab bermaksud perhubungan (persetubuhan) antara lelaki dan perempuan yang tidak ada ikatan yang sah. Hubungan tidak sah ini dilarang di dalam agama kerana secara fitrahnya manusia sendiri tidak mahukan hubungan terlarang ini berlaku ahli keluarganya sendiri.

Ini kerana manusia secara fitrahnya dapat memahami tuntutan untuk berkahwin. Lihat sahaja di dalam mana-mana tradisi dan agama di seluruh dunia pasti tidak akan terlepas daripada adat perkahwinan di antara lelaki dan perempuan. Malah perkahwinan itu merupakan tuntutan untuk manusia menjauhi zina. 

Di dalam agama-agama dunia, tidak ada istilah kebebasan seks. Malah dari sudut fitrahnya manusia juga tidak mahukan perzinaan ini berlaku jika dia tidak hanya memikir kehendak dirinya sahaja. Ini kerana, apabila seorang ayah memikirkan perkara itu berlaku kepada anaknya dan sanak saudaranya pasti ia tidak akan benarkan anaknya melakukan hubungan seks bebas. Begitu juga jika si abang memikirkan hal ini berlaku kepada adiknya pasti dia akan ambil tindakan.

Hal ini bukan disebabkan mereka menolak fitrah keinginan seksual tetapi mereka memahami nilai kehormatan, maruah dan juga tanggunjawab yang perlu dihadapi oleh setiap pasangan. Sebab itu agama tidak menghalang manusia untuk berhubungan antara satu sama lain tetapi agama mengawalnya. Itulah fungsi agama dan undang-undang untuk mengawal masyarakat supaya lebih bermoral dan tidak berkelakuan seperti binatang.

1) Zina Dalam Agama Islam

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (al-Isra 17:32)

“Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela. Barangsiapa mencari yang dibalik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. (Al-Mukminuun: 5-7)

Di dalam satu hadis yang bermaksud:

Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah berzina seorang yang berzina ketika ia berzina dalam keadaan beriman. Dan tidaklah meminum khamr ketika ia meminumnya dalam keadaan beriman. Dan tidaklah mencuri ketika ia mencuri dalam keadaan beriman. Dan tidaklah pula orang yang merampok harta yang orang-orang melihatnya, ia dalam keadaan beriman”. (Shahih Bukhari no: 2475)

2) Zina Dalam Agama Hindu

Di dalam kitab Manusmriti banyak membincangkan mengenai hukuman dan larangan mengenai berzina khususnya dalam bab 8 bermula ayat 353 hingga 387.

Di dalam kitab ini juga menceritakan bagaimana bentuk zina:

“(seseorang lelaki) Menawarkan hadiah (untuk wanita), gembira-ria (dengan dia), menyentuh perhiasan dan pakaian beliau, duduk dengan dia di atas katil, semua (perbuatan ini) adalah dianggap perbuatan zina (samgrahana)” (Manusmriti 8: 357)

Dan bagi hukuman orang yang melakukan zina ini menurut Manusmriti adalah:

1) Hukuman mati (Manusmriti 8: 372 dan 359)
2) Hukuman sebat (Manusmriti 8: 364, 366, 369)
3) Hukuman kurung di rumah (Manusmriti 8: 365)
4) Hukuman potong 2 jari dan membayar 600 ‘panas’. (Manusmriti 8: 367)

Dan masih banyak lagi perincian terhadap hukuman yang dikenakan mengikut situasi pelaku tersebut. Hukuman ini berbeza-beza mengikut situasi dan juga dilihat kepada kasta si lelaki dan juga perempuan. 

Malah hukuman ini juga jelas disebut terpakai kepada pelakon dan penyanyi juga. (Manusmriti 8: 362)

Di dalam kitab Dharmasastra (versi Hindu Bali) juga menyebut: 

“Aku telah menguraikan tentang upacara penebusan dosa bagi keempat golongan; seorang lelaki setelah menggauli seorang wanita yang dilarang untuknya, harus melakukan penebusan dosa candrayanam.” (Kitab Parasara Dharmasastra bab 10: 1) 

3) Zina Dalam Agama Buddha

Di dalam buku Sutta Nipata, Buddha menjelaskan bahawa keseronokan dan keinginan seksual adalah punca penderitaan:

“If one, longing for sexual pleasure, achieves it, yes, he's enraptured at heart. The mortal gets what he wants. But if for that person — longing, desiring — the pleasures diminish, he's shattered, as if shot with an arrow.” (Sutta Pitaka: Khuddaka Nikaya: Sutta Nipata: 4 Atthaka Vagga, [SN 4.1] Kama Sutta)

Dan dalam kitab Dhammapada juga menyebut:

“Orang yang lengah dan berzina akan menerima empat ganjaran, iaitu : pertama, ia akan menerima akibat buruk; kedua, ia tidak dapat tidur dengan tenang; ketiga, namanya tercela; dan keempat, ia akan masuk ke alam neraka.” (Dhammapada: Niraya Vagga: 309)

4) Zina Dalam Agama Kristian

“Kamu telah mendengar firman: Jangan berzina. Tetapi Aku berkata kepadamu: Setiap orang yang memandang perempuan serta menginginkannya, sudah berzina dengan dia di dalam hatinya.” (Matius 5: 27 & 28)

“Kata orang itu kepada-Nya: “Perintah yang mana?” Kata Yesus: "Jangan membunuh, jangan berzina, jangan mencuri, jangan mengucapkan saksi dusta.”(Matius 19:18)

5) Zina Dalam Agama Yahudi

“Jangan berzina” (Keluaran 20: 14) 
“Jangan berzina” (Ulangan 5: 18)

6) Zina Dalam Agama Zoroaster

Di dalam agama Majusi atau Zoroaster di dalam kitab sucinya Zend Avesta menyebut, siapakah golongan yang paling menyakiti hati Tuhan (Ahura Mazda): 

“Zarathushtra asked Ahura Mazda: 'Who grieves thee with the sorest grief? Who pains thee with the sorest pain?'

Ahura Mazda answered: 'It is the Jahi” (Zend Avesta, Vendidad 18: 61 & 62).

Perkataan Jahi atau Jehi di dalam konteks ayat ini adalah penzina. Ia adalah golongan yang dibenci oleh Ahura Mazda. 

7) Zina Dalam Agama Sikh

Di dalam kitab suci agama Sikh menyebut:

“The philanderer lusting after numerous women does not give up seeking in others' homes. What he does daily only brings regrets--In sorrow and greed he is shriveled up.” (Kitab Adi Granth, Dhanasari, hlm 672).

Kesimpulan

Di dalam setiap agama mengharamkan perbuatan hubungan seks di luar nikah. Malah masing-masing memiliki pendefinisian yang lebih luas dari itu untuk disabitkan dengan perlakuan zina. Umpamanya, di dalam Bible, Yesus menyebut “Setiap orang yang memandang perempuan serta menginginkannya, sudah berzina dengan dia di dalam hatinya.” (Matius 5: 28) dan juga di dalam agama Hindu Manusmriti menyebut “ (Seseorang lelaki) Menawarkan hadiah (untuk wanita), gembira dengan dia, menyentuh perhiasan dan pakaian dia, duduk dengan dia di atas katil, semua (perbuatan ini) adalah dianggap perbuatan zina” (Manusmriti 8: 357). 

Malah dalam dunia Islam juga terdapat istilah berzina mata, zina hati dan kesemua perbuatan yang boleh mendekati zina juga dilarang. Sebab itu, di dalam perbincangan kebebasan seksual ini tidak dapat dibincangkan di bawah kebebasan beragama kerana tidak ada agama yang membenarkannya. Oleh itu, apa yang diperjuangkan oleh golongan liberal seperti isu kebebasan seksual dan juga LGBT ini tidak didasari oleh mana-mana ajaran kecuali dengan hawa nafsu dan kehendak mereka semata-mata dan perkara ini boleh merosakkan keturunan, maruah dan juga rumah tangga sesebuah institusi kekeluargaan.

InsyaAllah artikel yang akan datang nanti bakal membincangkan mengenai homoseksual dalam pandangan agama-agama.

Wallahua’lam

R&D MRM Team

Sumber: Facebook (Multiracial Reverted Muslim)
14.3.2017

No comments: