Tuesday, 21 April 2015

ISLAM AGAMA TOLERANSI

Sumber : FB Ustaz Ahmad Shukri Yusoff
Firman Allah SWT, “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”. (Surah Al-Haj, ayat 40)
Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi.Ianya bukan kata-kata kosong tetapi sesuatu yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam banyak tempat dalam Al-Quran dan dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah S.A.W dalam sejarah kehidupan dan perjuangan baginda. Antara perkara awal yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W bila tiba di Madinah ialah mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi yang mana antara inti pati perjanjian tersebut ialah negara Islam Madinah perlu menghormati kepercayaan dan agama mereka, mempertahankan mereka dari segala bentuk ancaman dan menjadikan mereka sebahagian dari masyarakat Madinah yang akan mempertahankan setiap inci buminya.
Rasulullah S.A.W sendiri mempunyai jiran-jiran di kalangan ahli kitab yang dilayan begitu baik oleh baginda.Perkara biasa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika itu ialah memberikan mereka hadiah dan begitu juga sebaliknya di mana mereka turut menghargainya dengan memberikan kepada Nabi hadiah.

Pernah satu ketika rombongan nasrani Habsyah bertandang ke Madinah, Rasulullah S.A.W menempatkan mereka di masjid.Secara peribadi Rasulullah S.A.W melayan mereka dan mengungkapkan kata-kata yang penuh makna, “Mereka pernah memuliakan sahabat-sahabat kita dan aku suka diriku sendiri memuliakan mereka”.

Sebenarnya perbezaan agama tidak menghalang kita untuk berbuat baik, berkasih sayang dan bertoleransi dalam perkara yang diizinkan oleh syariat. Firman Allah, “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu”. (Surah Al Maidah, ayat 5)

Satu peristiwa yang lebih menakjubkan lagi tentang toleransi ini ialah kedatangan rombongan daripada nasrani Najran yang disambut oleh Rasulullah S.A.W. Sekali lagi Rasulullah menempatkan tetamu yang berlainan akidah ini di Masjid Nabawi dan membenarkan mereka sembahyang berdasarkan kepercayaan mereka di satu sudut, manakala Rasulullah dan para sahabat bersolat jamaah di satu sudut yang lain di dalam satu masjid!

Selepas itu Rasulullah berbincang, berdialog dan berdebat dengan mereka dengan penuh beradab dan berakhlak. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ini tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai kepatuhan kepada saranan Allah SWT, “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri”. (Surah Al Ankabut, ayat 46)

Bukankah penghinaan, ugutan dan menimbulkan bibit-bibit kebencian kepada penganut agama lain adalah sesuatu yang dicela oleh Al-Quran dan pada masa yang sama akan menimbulkan permusuhan dan kebencian yang pasti tidak akan menguntungkan sesiapa.
Firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan”. (Surah Al A’nam, ayat 108)
Di atas asas toleransi inilah sebenarnya tamadun umat Islam berkembang. Orang bukan Islam buat kali pertama dalam sejarah hidup mereka melihat bagaimana Islam membina tamadun tanpa prejudis kepada orang lain bahkan pada masa yang sama memberi ruang yang cukup luas kepada orang bukan Islam untuk sama-sama menyumbang kepada pembinaan kemajuan dan ketamadunan dunia.

Begitulah toleransi yang dituntut tanpa kompromi berkaitan akidah dan kepercayaan kita. Setiap muslim wajib beriman kepada rasul-rasul as disamping keimanan kita yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah S.A.W. Inilah umat Islam yang sebenarnya yang memiliki jiwa yang besar. Firman Allah SWT, “Katakanlah (hai orang-orang mukmin): Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya. Kami tidak membeda-bedakan seorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepadaNya". (Surah Al-Baqarah, ayat 136)
Jelas sekali Islam tidak membenarkan kita bertindak zalim kepada penganut agama lain melalui tindakan kekerasan atau melahirkannya dalam bentuk provokasi samada tulisan atau ucapan. Islam mewajibkan kepada pemerintah menjaga tempat ibadah mereka dari dicerobohi dan tidak masuk campur dalam urusan adat dan kepercayaan mereka.

21.4.2015

No comments: