Monday, 31 December 2012

2012 - N.SEMBILAN (PORT DICKSON, NILAI DAN SEREMBAN)

KURSUS MOTIVASI - YAYASAN JANTUNG MALAYSIA
CASA RACHADO BEACH RESORT, PORT DICKSON, NS
11-12 FEBRUARI 2012

9 setaf Yayasan Jantung Malaysia telah menghadiri Kursus Motivasi di Casa Rachado Resort yang terletak di Port Dickson, N.Sembilan. Turut serta ialah 6 Ahli Lembaga Pengarah YJM. Kursus berjalan selama 2 hari. Kami menginap di Casa Rachado Beach resort.
Ceramah Motivasi disampaikan oleh Col (Rtd) Mohan. Selain dari kursus motivasi  setaf YJM juga terlibat dalam Latihan Team Building dan Jungle Trecking di Hutan Rekreasi Tg. Tuan.
Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Port Dickson adalah lebih kurang 110 km.
Port Dickson adalah bandar pesisir pantai di Negeri Sembilan. Banyak teori mengenai nama asal Port Dickson ini. Antara yang paling boleh dikatakan sahih adalah nama seorang Setiausaha Jajahan British Sir John Frederick Dickson dikatakan menemui Port Dickson dan Batu Arang pada tahun 1889. 
Pada bulan September 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengisytiharkan Port Dickson sebagai "Bandar Tentera" kerana di bandar inilah juga lahirnya Rejimen Askar Melayu DiRaja, antara unit Tentera tertua di Malaysia. 


CASA RACHADO BEACH RESORT PD


Sepanjang berkursus kami menetap di Casa Rachado Beach Resort
Casa Rachado adalah sebuah resort Caribbean bertemakan latihan di Pantai Cermin, pantai betul-betul di belakang Blue Lagoon di batu 10 Port Dickson. Hotel bajet ini menawarkan penginapan di dalam bilik tunggal, bersama-sama dengan unit-unit pangsapuri bilik tidur double dan triple. Kebanyakan kemudahan berfungsi, tetapi kemuncak penginapan di sini adalah ketenangan persekitaran, subur semula jadi, yang terletak bersebelahan dengan Cape Rachado hutan simpan. Juga, terdapat banyak aktiviti rekreasi yang dianjurkan oleh resort termasuk memancing, berakit, terbang musang, berkanu, kursus halangan, meredah hutan dan banyak lagi. Ini menjadikan ia satu tempat yang popular untuk perjalanan pembinaan pasukan kasual untuk kumpulan besar tetamu.

Casa Rachado Beach Resort
Jalan Pantai, Tanjung Tuan
71050 Port Dickson, NS
Tel: 06-662 5177





TEAM BUILDING SESSION

 Latihan membina rakit






JUNGLE TREKKING - RUMAH API TG. TUAN








Rumah Api Tanjung Tuan yang terletak di kawasan daerah Alor Gajah, Melaka merupakan rumah api antara yang tertua di Malaysia. Selain itu, rumah api ini dilancarkan pada tahun 1958.
Rumah api ini dibina pada tahun 1819 oleh kerajaan British, khususnya semasa Stamford Raffles. Ia kemudian dibina semula pada tahun 1860 setelah menara yang asal termusnah, akibat perang. Dari puncak Tanjung Tuan akan kelihatan pusaran air yang ganas yang menenggelamkan sekurang-kurangnya empat buah kapal perang Belanda dan Portugis pada tahun 1605.
Rumah api ini berfungsi untuk membantu kelasi, kapal-kapal dagang dan nelayan untuk singgah ke pelabuhan. Ia dikawal dan diselenggarakan oleh Shahbandar Melaka. Sebuah radar untuk tujuan pengawalan laluan kapal-kapal besar di Selat Melaka baru saja dipasang di stesen rumah api ini pada awal tahun 1990.
Rumah api ini asalnya daripada bangunan kayu sahaja tetapi kini telah diganti dengan bangunan batu dan dilengkapi dengan sistem lampu yang memenuhi piawai antarabangsa. Kos pembinaannya lebih daripada sejuta ringgit. Di tepi rumah api ada lorong denai menuju ke Tok Keramat Lela dan medan tinjau Pulau Intan. Laluan denai daripada batu telah dibina oleh Jabatan Perhilitan Melaka. Disebabkan faktor-faktor keselamatan, rumah api ini tidak dibuka kepada orang ramai.

Rujuk :
1. Wikipedia - Tanjung Tuan
2.  Wikipedia - Cape Rachado Lighthouse



Rumah Api Tanjung Tuan adalah nama yang tidak asing bagi pelaut-pelaut yang menyusuri Selat Melaka. Terletak di Port Dickson Negeri Sembilan, rumah api ini merupakan yang tertua di Malaysia. 
Rumah Api adalah merupakan panduan penting bagi kapal-kapal yang berlayar di sekitar kawasan berdekatan terutama di waktu malam. 
Sebagai bekas Pelaut, ketika berkhidmat dengan Tentera Laut Di Raja Malaysia dan bertugas dengan kapal-kapal TLDM ketika itu... kapal saya sering melalui Selat Melaka dan setiap kali melayari Selat Melaka, kami sering melalui perairan Tg Tuan.  Ketika itu di atas dek kapal, saya sering melihat Rumah Api Tanjung Tuan ini dari kapal. Ketika itu tak pernah terfikir dalam hati bahawa satu hari nanti saya akan mengunjungi rumah api ini.....

Ternyata apa yang pernah saya fikirkan puluhan tahun dahulu menjadi kenyataan ketika saya bekerja dengan sebuah badan NGO iaitu Yayasan Jantung Malaysia yang ketika itu mengadakan Kursus Motivasi di Casa Rachado Beach Resort yang terletak tidak jauh dari Rumah Api Tg.Tuan. Kursus yang berlansung selama 2 hari itu turut memasukan acara lawatan ke Rumah Api Tg Tuan dalam program latihan. Ini ialah kerana untuk sampai ke Rumah Api tersebut terpaksa mendaki lorong berbukit yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

Pemandangan yang indah sewaktu matahari terbenam di Tanjung Tuan, Port Dickson. 

SEREMBAN HEARTWEEK 2012
TERMINAL 1 SEREMBAN : 19-21 OKTOBER 2012


Terminal One Shopping Centre (sebelum ini dikenali sebagai Terminal One Mall) , lebih dikenali sebagai T1 oleh penduduk Seremban, terletak ditengah Bandar Seremban. Ia dibina pada tahun 1996. 
Kempen "Minggu Jantung Seremban 2012" berlansung di Terminal 1 Shopping Centre, Jalan Lintang, Seremban dari 19 -21 Oktober 2012. Kempen ini dijalankan dengan kerjasama pihak pengurusan Terminal 1 Shopping Centre, Nightingale International College dan SALAM Senawang Specialist Hospital, Senawang, NS. 


 
Kami menginap di Fame Hotel yang terletak di Terminal 2, Seremban sepanjang program dijalankan di sini.. jaraknya lebih kurang 550 meter dari Terminal 1 Shopping Centre. 




NILAI 3 - 1 DISEMBER 2012


Pada 1 Disember 2012, saya bersama keluarga dan juga keluarga 2 orang kakak saya telah ke Nilai 3 untuk membeli keperluan peralatan perkahwinan anak saudara saya. 
Pasar Borong Nilai 3 menawarkan pelbagai barangan dan pakaian pada harga yang berpatutan. Pasar ini mula diperkenalkan pada Disember 2001. 
Nilai 3 boleh dikunjungi melalui susur keluar Lebuhraya Utara-Selatan (Nilai/Pajam/KLIA) dan juga Lebuhraya LEKAS. Jarak dari Kuala Lumpur ialah 45 km.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah Nilai sila rujuk Portal Rasmi Majlis Perbandaran Nilai

Jarak diantara Nilai 3 ke Kuala Lumpur adalah lebih 44.5 km. 







Kami singgah untuk solat Zohor di Masjid Putra Nilai yang terletak di Bandar Putra Nilai. 



Kami sekeluarga menginap di Hotel Seri Malaysia Seremban yang terletak di Taman AST Seremban. 

Hotel Seri Malaysia Seremban

Makan Malam bersama Keluarga di Seremban 2 dimana Abang Sulong saya menginap. 



25.1.2015






Sunday, 30 December 2012

APABILA AL QURAN DI PIJAK PIJAK

Oleh: unclesams
Assalamua’laikum warahmatullah,
WAHAI SAUDARA SEAGAMA KU, BACALAH KISAH YANG TERKANDUNG DI DALAM UCAPAN YANG DITERJEMAHKAN KE DALAM BAHASA MELAYU DI BAWAH INI DAN FIKIRKAN,
ADAKAH MALAYSIA MENUJU KE ARAH BALA YANG SAMA?
Saudara-saudari Islam, berikut adalah ucapan seorang pelajar Islam, Najeeb Rahman di majlis “Charity Lunch For Maluku” di University of Leeds. Majlis tersebut di anjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia University of Leeds (Saudara Taufik dan beberapa mahasiswa perubatan)
Bacalah. Agak panjang tapi sangat menyentuh hati.
Segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam semesta ini. Sejahtera ke atas Rasulullah SAW dan Nabi-Nabi serta Rasul-Rasul, keluarga mereka, sahabat-sahabat mereka, dan kita semua yang hadir. Baru-baru ini pembunuhan dan penyembelihan umat Islam secara rambang (massacres) telah berlaku di Maluku dan Ambon Indonesia. Gambar- gambar yang mengerikan, mayat kanak-kanak Islam yang dicincang serta orang-orang Islam yang dibunuh beramai-ramai (massacre) boleh di lihat di internet.
Laporan bergambar yang dilakukan oleh Dr Jemilah mengenai pembunuhan- pembunuhan tersebut apabila difikirkan boleh menitiskan airmata kita. Dan kesemuanya ini benar-benar telah berlaku dan bukannya imaginasi seseorang. Saudara-saudari Muslim ku, sebenarnya, ini bukan insiden kekejaman ke atas kaum Muslimin yang terpencil. Tragedi atau bala yang serupa pernah berlaku di Bosnia di mana ratusan ribu orang-orang Islam dibunuh dalam kekejaman “cuci bersih” ( ethnic cleansing) oleh puak Kristian Serbs.
Begitu juga di Kosova dimana puluhan ribu orang-orang Islam juga telah “dicuci bersih”, dibunuh; juga oleh puak Serbs. Kanak-kanak dan kaum tua yang tidak berupaya untuk mempertahankan diri di bunuh begitu saja. Wanita-wanita Islam dirogol dan seterusnya dibunuh. Orang-orang Islam dipenggal dan dikelar anggota mereka. Ceritanya sama, berulang-ulang kali.
Mengapa kekejaman ini terus menimpa umat Islam di merata dunia?
Kita boleh salahkan kekejaman ini kepada konspirasi antarabangsa terhadap Indonesia , atau rancangan jahat Barat terhadap kaum Muslimin, atau pun sebagai tindakan kebencian Yahudi dan Kristian terhadap kita, atau pun operasi cuci bersih puak Kristian Serbs.
Tetapi adakah hanya ini SEBAB MUSABAB YANG SEBENARNYA?
Dari pengalaman saya sebagai Sukarelawan Perubatan di Kosova, saya dengan sendirinya telah melihat kubur-kubur orang-orang Islam yang dibunuh ditanam beramai-ramai (mass graves), mayat-mayat yang sedang reput dan busuk, keluarga-keluarga terutamanya kanak-kanak yang dalam ketakutan, rumah-rumah dan masjid-masjid yang telah hancur musnah. Memangnya suatu pengalaman yang kuat tamparannya.
Dengan izin Allah SWT saya telah berpeluang tinggal bersama-sama suatu keluarga yang baik di Prizren, Kosova. Ketua keluarga itu, Imam Ismail dan anak sulungnya, Navahi, kedua mereka adalah imam, begitu juga dengan datuk Navahi, juga seorang imam. Mereka mesra dan baik hati. Semasa satu dari perbualan kami di waktu petang, kami telah berbual mengenai bala dan tragedi yang telah menimpa, bagaimana masyarakat Kosova sebelum ditimpa bala pembunuhan massacre itu. Navahi yang fasih berbahasa Inggeris telah menceritakan dengan penuh rasa segan dan malu mengenai keadaan masyarakat Islam Kosova sebelum berlakunya genosid puak Kristian Serbs.
Antara perkara yang beliau sebutkan adalah kaum Muslimin di Kosova telah lupa daratan dan membelakangkan Islam. Ramai tidak tahu sembahyang, tidak tahu membaca Quran, telah lupakan syahadah, dan zina serta meminum arak (bir) berleluasa dimerata pelusuk.
Hanya kaum tua sahaja yang masih ke masjid. Di sebuah bandar kecil bernama Djakova, dimana berlaku pembunuhan massacre kaum Muslimin yang terdahsyat sekali, penduduk Islam disana telah melakukan syirik terhadap Allah SWT. Mereka menyembah kubur orang-orang alim (saints) yang dianggap keramat dan memasang lilin (seperti Kristian melakukannya di dalam gereja).
Mereka mendakwa yang mereka bukannya menyembah “keramat-keramat” tersebut tetapi menghampiri Allah melaluinya. Ini adalah kepercayaan mereka yang nyata sesat. Tidak ada “inter-mediaries” atau perantaraan dalam Islam. Ini nyata perbuatan syirik. Imam Ismail adalah Imam di masjid Djakova sebelum berlakunya genosid pembunuhan orang-orang Islam beramai-ramai di bandar itu oleh puak Kristian Serbs.
Di bandar Suhareka, satu lagi bandar di mana pembunuhan secara massacre ke atas orang Islam telah juga berlaku, penduduk bandar tersebut telah menggesa Bilal masjid supaya jangan melaungkan azan Subuh untuk memanggil orang mengerjakan solat. Ini kerana azan mengganggu tidur mereka. (Saya percaya ada dikalangan ummah kita yang sama menaruh perasaan benci mendengar azan, atau mereka akan kelak memekakkan telinga dan mengabaikan solat. Ada yang langsung tidak bangun mengerjakan fardhu Subuh).
Di satu lagi bandar di Kosova, seramai 40 orang Islam (lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang-orang tua) telah dibawa ke dalam hutan dan diikat. Mereka kemudiannya ditembak mati oleh puak Kristian Serbs dengan senjata AK47. Di bandar ini hanya golongan tua sahaja yang ke masjid. Semasa kami membuat lawatan rawatan medic kesana kami telah tiba sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Pemuda-pemuda disana memberitahu kami hanya orang tua sahaja ke masjid.
Benar kata mereka kerana apabila kami sampai ke masjid hanya ada Imam dan seorang lelaki tua dan rombongan medic kami yang bersolat di masjid tersebut. Semasa kami sedang mengedarkan Quran, seorang pemuda yang mulutnya berbau arak bir meminta senaskah Quran untuk dibakar buat memanaskan rumah beliau (Bandar tersebut dikelilingi hutan )
Oleh yang demikian tidak mungkin tiada cukup bekalan kayu untuk bahan api buat memanaskan rumah. Setelah membuat lawatan ke kawasan lain di Kosova, kami lihat kebanyakan pembunuhan serta kemusnahan harta benda kaum Muslimin berlaku di kawasan utara Kosova dimana masjid-masjid jarang kelihatan walau pun majoriti penduduk terdiri dari orang Islam. Bukan niat saya hendak menjatuhkan air muka saudara-saudari Islam kita di Kosova, tetapi untuk mengingatkan kita semua kepada pengajaran dan iktibar di Kosova agar kita tidak melakukan kesilapan yang sama.
Seorang lelaki tua yang kami temui, yang anak lelakinya telah dibunuh dan rumahnya dibakar, telah meminta kami memberitahu umat Islam yang lain apa yang sebenarnya telah berlaku..Oleh itu saya hanya menyampaikan apa yang diamanahkan oleh orang tua itu. Navahi juga memberitahu kami mengenai situasi di Turkey . Datok beliau kerap ke Turkey kerana ramai rakan kenalan disana. Turkey, bukannya negara Islam, walau pun menonjolkan imej sedemikian. Turkey diperintah golongan sekular yang ekstremis dalam fahaman bahawa agama Islam tiada kena mengena langsung dengan pemerintahan negara. Ini merupakan ideologi kebanyakan orang-orang Islam moden masakini. Mereka mendakwa Islam dan politik itu berasingan dan tidak boleh di campur.
Golongan sekular Turkey pernah berkata urusan pentadbiran negara hendaklah jangan “tercemar” oleh ajaran Islam (seolah-olah politik itu suci dan Islam itu kotor). Mereka mendakwa Islam itu perlu disekat amalannya kepada masjid dan rumah-rumah sahaja, dan dilarang digunakan di Parlimen, mahkamah dan sebagainya. Pemerintah sekular Turkey menganggap hukum-hukum Syariah itu kuno dan purba, hanya sesuai bagi puak-puak Arab zaman purba yang hidup di gurun dan menunggang unta.
Bagi golongan sekular Turkey , undang-undang Syariah tidak lagi sesuai bagi masyarakat bertamadun serba moden masakini, iaitu di zaman kereta, komputer dan internet, pro-kebebasan dan hak asasi manusia. Hukuman rejam ke atas penzina dan potong tangan yang mencuri dianggap oleh puak sekular Turkey sebagai kejam dan tindakan orang-orang yang tidak bertamadun, dan dengan demikian tidak lagi sesuai dilaksanakan.
Tidak terlintaskah kepada mereka bahawa mereka berlaku syirik terhadap Allah SWT. TIDAK KAH SEMUA INI SAMA DENGAN KEADAAN KITA? Wanita di Turkey dilarang berhijab / bertudung menutup aurat. Usaha untuk mempelajari agama Islam dijadikan perkara yang susah oleh kerajaan Turkey. Pihak berkuasa yang sangat menindas Islam adalah tentera Turkey . Navahi mengatakan anggota tentera yang ditangkap mengerjakan solat dikenakan ‘court marshal’ (adalah suatu kesalahan mengikut peraturan tentera Turkey untuk mengerjakan solat).
Saya menerima e-mail beberapa hari sebelum berlaku gempa bumi yang dahsyat di Turkey baru-baru ini. Beberapa hari sebelum berlaku gempa bumi tersebut, Jeneral-Jeneral tentera Turkey mengadakan temasya keraian (party) di apartmen peranginan mereka di pantai Mediterranean . Mereka mengundang perempuan jalang dari Israel dan telah bersukaria sakan, meminum arak dan berzina. Seterusnya Jeneral-Jeneral tersebut telah memanggil seorang anggota pangkat bawahan untuk membaca Al-Quran sambil mereka bersukaria, mabuk dan berzina.
Anggota pangkat bawahan enggan dan takut berbuat demikian, lalu seorang Jeneral merampas Al-Quran itu dan memijak-mijak Al-Quran itu sambil mencabar, “Mana dia Allah untuk selamatkan Quran ini”. Mereka semua ketawa terbahak-bahak. Anggota tentera pangkat bawahan telah melihat suatu cahaya berwarna merah samar memancar di horizon laut. Beliau ketakutan lalu melarikan diri keluar dari apartmen Jeneral-Jeneral itu. Sejurus kemudian satu ombak yang begitu tinggi melanda pantai dan menelan apartmen dengan Jeneral-Jeneral Turkey tersebut ke dalam laut. Yang berlaku sebijik semacam salah satu bala balasan
Di Palestine, saya terdengar dari seseorang di sana bahawa seorang Yahudi pernah berkata kepada seorang Arab, “Kami Yahudi tidak takut dan gentar selagi kami tidak melihat bilangan kaum Muslimin yang menunaikan solat fajar berjemaah di masjid sama dengan bilangan kaum Muslimin yang menetap di dalam qariah.”
Di Bosnia, kebanyakan orang Islam telah membelakangkan agama mereka sebelum berlakunya pembunuhan massacre di sana. Mereka telah meniru cara hidup Eropah kafir. Zina, arak begitu berleluasa, dan perkahwinan antara Kristian dan Islam (secara murtad) dibenarkan. Orang Islam yang menjaga keimanan mereka terlalu sedikit bilangan mereka berbanding dengan yang memilih hidup dalam keadaan kejahilan moden dan kesesatan. Saudara-saudari Islam, ini hanyalah contoh-contoh kemungkaran dan keingkaran.
Sekali lagi ditegaskan bukan niat saya mengaibkan mereka, tetapi suatu iktibar perlu di ambil. Saya pasti sudah jelas bagi anda semua SEBAB SEBENAR berlakunya bala bencana dan tragedi yang dahsyat tersebut.
Seperti firman Allah SWT di dalam Al-Quran (terjemahan) : yang bermaksud “Janganlah kamu jadikan seruan Rasul di antara kamu seperti panggillan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain. Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa ujian atau ditimpa azab yang pedih.” (Surah An Nuur Ayat 63).
Dan di dalam satu lagi ayat Allah berfirman (terjemahan) :yang bermaksud “Maka tatkala mereka membuat Kami murka, Kami menghukum mereka lalu kami tenggelamkan mereka semuanya (di laut)”. ( Surah Az Zukhruf Ayat 55)
Amaran-amaran di dalam Al-Quran itu sangat jelas. Dan Allah SWT tetap tidak akan mungkir janjiNya. Bukankah mereka ini (Bosnia , Kosovo , Turkey) telah tidak mematuhi perintah Allah dan RasulNya? Bukankah mereka telah mencabar Allah SWT? Adalah perkara mudah bagi Allah SWT menimpakan azab ke atas kita atau mengadakan dugaan bagi kita kerana Allah Maha Berkuasa atas segalanya.
Bala dari Allah SWT itu kalau tidak dalam bentuk pembunuhan, Allah SWT boleh turunkan bala itu sebagai wabak penyakit, ribut, taufan, gempa bumi dan banjir yang dahsyat seperti yang telah difirmankanNya didalam Al-Quran. Jangan pula kita mempersoalkan sifat Allah SWT yang maha pengasih, maha pengampun lagi maha adil kerana telah mengizinkan berlakunya pembunuhan massacre ke atas orang-orang Islam dan kanak-kanak itu. Rahmat Allah SWT tetap ujud walau pun kita tidak dapat mengamatinya.
Misalnya, sesetengah yang dibunuh itu mungkin orang Islam yang lemah keimanan mereka, telah melakukan banyak dosa dan sekiranya mereka mati secara biasa bukan mati syahid, sudah pasti tempat bagi mereka adalah api neraka. Wallahu ‘alam. Dan kanak-kanak yang terbunuh itu sebenarnya terselamat dari alam sekeliling yang berupa jahiliyah moden yang boleh merosakkan mereka dan mungkin apabila mereka dewasa kelak, mereka akan murtad atau berlaku syirik atau hidup bergelumang dengan dosa.
Tetapi Allah SWT telah mengambil mereka kembali dari dunia di waktu mereka kecil lagi, dan dengan itu mereka terselamat dari membuat dosa, dan Insya Allah akan masuk syurga di akhirat nanti, dan sayugia diingatkan akhirat itu adalah kehidupan buat selama-lamanya.
Bukankah ini berupa nikmat dan rahmat Allah jua? Kalau kita percaya hidup berakhir di dunia ini sahaja maka kita akan melihatnya sebagai tragedi yang tidak adil. Tetapi kalau kita percaya kepada akhirat segala-galanya adalah ujian dan dugaan dalam perjalanan ke akhirat. Tetapi ini tidak sama sekali bermakna kita membiarkan sahaja ummah kita terus ditindas dan menderita begitu sahaja. Kita ummat Islam merupakan keluarga yang besar dan menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka dan melindungi mereka kerana meraka adalah saudara-saudari Islam kita. Oleh yang demikian apakah yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan bala dari Allah yang berupa bencana alam dan pembunuhan menimpa diri kita dan mereka yang kita sayang?
Jawapannya sama seperti yang telah diturunkan zaman ke zaman. KITA PERLU: kembali ke jalan yang diredhai Allah SWT. memohon keampunan Allah SWT. bersatu dibawah panji dan kalimah ‘La ilaa ha illallah’ dan bukan dibawah panji masing-masing. berpegang sepenuhnya kepada HUKUM-HAKAM dan PERINTAH-PERINTAH Allah SWT dan berhenti melakukan segala yang dilarangNya.
Ini tindakan-tindakan yang perlu kita lakukan.
Nampaknya agak susah, tetapi ia sebenarnya mudah, Insya Allah. Semuanya perlu bermula dari diri dan hati kita. Jangan tinggalkan solat fardhu, pelajari dan dalami ilmu agama kita, dan berdoa memohon Allah SWT menguatkan iman kita, dan hentikan bertelingkah antara sesama sendiri mengenai perkara- perkara yang remeh.
Kita boleh mengelakkan dari ditimpa dengan bala pembunuhan dan lain-lain bala keatas diri kita dan keluarga kita. Allah SWT telah berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi kaum itu tidak terlebih dahulu dengan sendiri berusaha untuk mengubahkannya.
Kita perlu memulakannya dahulu, dan Allah SWT akan memberi kita pertolongan seperti yang dijanjikanNya. Sebagai bukti, satu keadaan di Kosova. Pada suatu petang saya telah ke daerah Opoya, terletak di wilayah selatan Kosova, tempat asal Imam Ismail.
Di kawasan itu bandarnya tidak mengalami apa-apa pun. Tiada berlaku pembunuhan massacre orang Islam, tiada pula kesan-kesan kemusnahan perang, dan tiada tanda-tanda bahawa puak Kristian Serbs telah ke tempat itu.
Tetapi sebenarnya puak Kristian Serbs telah menetap di kawasan itu selama 8 tahun, sama seperti di lain-lain kawasan. Perbezaan yang dapat kita lihat adalah diwaktu Maghrib, masjid di Opoya PENUH.
Itu hanyalah waktu solat fardhu harian yang biasa. Di hari Jumaat ianya penuh berlimpahan, dan bukan hanya kalangan tua sahaja tetapi ramai pemuda sama berjemaah. Dan mereka telah beramal walau pun godaan dan pengaruh buruk puak Kristian Serbs telah ujud. Kami tidak melihat sesiapa di kalangan orang Islam yang meminum arak di sana .
Saya diberitahu hanya satu tempat sahaja yang dimusnahkan oleh bom puak Serbs, iaitu sebuah kafe yang pernah menyajikan minuman arak. Pelanggannya datang dari kawasan lain.
Bandingkanlah perbezaan Opoya dengan bandar-bandar yang lain. Tidakkah jelas dan nyata bahawa kekuatan itu berada di tangan Allah SWT dan bukan bergantung sangat kepada tentera yang kuat untuk membalas serangan puak Kristian Serbs.
Inilah maknanya “La Haula walaa quwata illa billah”, tiada kekuatan atau daya kecuali dengan kehendak Allah SWT. Sekiranya Allah SWT tidak mengizinkannya, maka puak Kristian Serbs tidak akan dapat menyerang sesebuah bandar itu.
Oleh itu jadikanlah ianya suatu pengajaran dan iktibar. Akhirnya mari kita sama-sama memohon doa’ kepada Allah SWT.
Bismillahhir Rahmaanir Rahiim.
Ya Allah Tuhan kami.
Tingkatkanlah keimanan dan ketaqwaan kami kepada Engkau ya Allah dan Akhirat.
Ya Allah, perkenankanlah taubat kami dan ampunkan dosa-dosa kami di masa lepas dan yang akan datang.
Ya Allah, kami memohon taufik dan hidayah dari Mu kerana Engkau sahaja yang boleh memberikannya.
Ya Allah, tolonglah umat Muhammad SAW untuk bersatu, dan lindungi kami dari pertelingkahan sesama sendiri.
Ya Allah, kami berlindung dengan Engkau dari Syaitan, Dajjal, dan dari tamak haloba.
Ya Allah, hapuskanlah kekejaman dan penderitaan yang dihadapi oleh saudara-saudari Islam kami di Maluku, di Palestine, di Chechnya, dan dimana saja mereka ditindas.
Dan jika ditakdirkan mereka gugur, tetapkanlah Ya Allah bagi mereka mati dalam syahid, mati dalam memperjuangkan agama Engkau Ya Allah, dan mati di dalam iman.
Ya Allah, musnahkan kaum yang kafir untuk kami kerana sesungguhnya Engkau yang maha berkuasa. Pecah-belahkan mereka dan tanamkan ketakutan ke dalam hati mereka.
Ya Allah, kami adalah makhluk Engkau yang lemah. Tolonglah kami
Ya Allah kerana tiada kuasa melainkan kuasa Engkau Ya Allah.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, pesuruh Engkau
Ya Allah Tuhan semesta alam.
Wa billaahit-tawfiq wal hidayah.
Subhanaka Wabihamdika wa ash-haduallaa ilaaha illa anta.
Wa nastaghfiruka wa na tuu bu ilaik
Wasallallaahu ‘alaa Muhammaddin Nabiyil Wa ‘alaa aalihi wasahbihiwassalam. Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh!
CATATAN PENTING: Saya harap anda semua saudara-saudari Islam di Malaysia akan membaca kesemua bahagian ucapan diatas dengan teliti.
Ini bukannya perkara yang boleh diambil ringan. Bagi kita di Malaysia bukankah bukti-bukti dan tanda-tanda sudah jelas bahawa apa yang berlaku di Bosnia, Kosova, Turkey dan lain-lain yang mempelawa bala diturunkan oleh Allah SWT sudah pun berlaku di Malaysia dengan berleluasa?
1) Bilangan yang murtad di Malaysia semakin bertambah, dan pihak berkuasa seolah-olah mengalakkannya.
2) Zina dikalangan orang Melayu sudah berleluasa
3) Arak dijual di merata tempat (7 Eleven pun ada menjualnya) dan ramai orang Islam minum arak – lihatlah di Bangsar.
4) Ada segelintir orang Melayu yang tidak boleh menyebut shahadah. Jangan terperanjat.
5) Rasuah berleluasa.
Senarai kemungkaran dan keingkaran ini begitu panjang sekali. Dan segala-galanya adalah tanda-tanda yang sama dilihat di Bosnia dan Kosova sebelum genosid dimana puak Kristian Serbs telah membunuh dengan rambang untuk mencuci bersih orang Islam telah berlaku.
Dan jangan terperanjat kalau keadaan sama berlaku di Malaysia ini.
Adakah kita memilih untuk berdiam dan menunggu sahaja tanpa berbuat sesuatu sekarang juga. Kita tunggu sehingga bencana menimpa, tunggu sehingga kita dapat melihat anak isteri kita dan kita sendiri disembelih, tunggu sehingga lain-lain bala dari Allah seperti gempa bumi, banjir besar , ribut taufan melanda Malaysia barulah kita sedar dan tergesa-gesa kembali ke jalan Allah? Adakah bala dari Allah yang kita idamkan?
Gempa bumi dan ribut taufan tak berlaku di Malaysia ?
Kalau dikehendaki Allah gempa bumi yang dahsyat yang memusnahkan hampir kesemuanya rakyat boleh berlaku esok lusa. (Ingatlah kini gempa bumi sudah mula berlaku di Bukit Tinggi berhampiran Pusat Judi Terbesar di Malaysia)
Samada kita kembali ke jalan Allah atau kita mempelawa bala diturunkan oleh Allah ke atas Malaysia adalah pilihan kita sendiri.
Apa jua yang bakal berlaku, kita dan keluarga kita yang akan menanggungnya.
Diterjemahkan (sedaya yang boleh) oleh Tarabulsi semata-mata kerana Allah SWT.
Sudahkah anda menunaikan SOLAT
Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.”
Apa yang diharapkan supaya kita dapat memanjangkan perkara ini kepada rakan-rakan kita dan kita mendapat pengajaran dan kesedaran dari peristiwa-peristiwa yang telah diterangkankan tadi. Insyaallah kita berharap kita mendapat taufik dan hidayah dari Allah S.W.T.
Wassalam
Baca dan fahamilah ayat-ayat Quran berikut (terjemahan) bagaimana Allah mengazab kaum yang zalim.
Maryam:[58]
Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.
[59]
Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab
An-Nisaa’ [133]
Jika Allah menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Ia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu.
At-Taubah [39]
Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Hud:[57]
Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu.”
Al Anbiyaa’ [11]
Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai gantinya.

Sumber dari,
30.12.2012


ADAB MENYAMBUT TAHUN BARU


Masa berlalu dengan begitu pantas. Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Sama ada sedar atau pun tidak, kini kita sudah pun hampir melangkah ke tahun baharu 2010 dan dua minggu sebelum menyambut tahun baharu masihi, umat Islam di seluruh dunia menyambut tahun baharu hijrah 1431. Tahun baharu disambut dengan begitu meriah disusuli dengan ’azam’ baru yang dibuat sempena dengan kedatangan tahun baharu ini. Namun, apabila sambutan tahun baharu dicemari dengan perbuatan yang tidak beradab, maka segala keazaman yang dibuat tidak memberikan sebarang makna dan nilai. Hal ini kerana azam yang baik mestilah dimulakan dengan perilaku dan adab yang baik dalam kehidupan.

Ketika sambutan tahun baharu hijrah, terdapat segelintir masyarakat yang sering mempertikaikan upacara sambutan yang dibuat dengan doa awal tahun dan doa akhir tahun. Mereka menyifatkan sambutan tersebut adalah sesuatu yang bid’ah dan bercanggah dengan sunnah nabi. Akan tetapi, mereka tidak pula menyatakan bid’ah terhadap sambutan tahun baharu masihi yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang meruntun nafsu seperti perhimpunan besar-besaran muda-mudi dan remaja belia, kemudian diikuti dengan persembahan konsert dan percikan bunga api yang amat mempesonakan.

Tambah ‘menyeronokkan’ lagi ialah perhimpunan itu melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan serta pengkid dan pondan tanpa garis pemisahan! Konsert hiburan yang melibatkan percampuran serta pergaulan bebas merupakan acara ‘wajib’ dalam sambutan tahun baharu masihi. Seolahnya, tidak akan wujud tahun baharu sekiranya tidak disambut dengan hiburan dan konsert yang berteraskan budaya hedonisme barat ini.

Manakala amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut kedatangan awal muharram sempena tahun baharu hijrah ialah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Walaupun terdapat perbincangan dan kekhilafan tentang bacaan doa ini, namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya adalah sesuatu yang baik untuk umat Islam. Hal ini adalah kerana doa merupakan sesuatu yang sepatutnya dijadikan amalan harian sama ada pada awal tahun, pertengahan tahun, hujung tahun atau pada bila-bila masa sahaja.Sabda nabi saw bermaksud : ‘Doa adalah senjata bagi orang yang beriman’. Dalam hadis lain disebut bahawa ‘doa adalah asas kepada ibadat’. Cuma, sekiranya doa tersebut tidak diambil daripada doa yang ma’thur daripada al-Quran dan sunnah, maka janganlah menyandarkan amalan tersebut kepada Rasulullah saw. Tambahan daripada itu, sambutan tahun baharu hijrah juga disulami dengan pelbagai program yang bermanfaat seperti forum, ceramah agama, qiamullail dan sebagainya. Sambutan tahun baharu seumpama ini yang diisi dengan program-program yang bermanfaat merupakan sesuatui yang wajar dikekalkan dan diperkemaskan lagi dari semasa ke semasa.

Namun, persoalannya, apakah sambutan tahun baharu hijrah sahaja perlu disambut dengan penuh beradab dan sopan… dan bagaimana pula dengan sambutan tahun baharu masihi ? Sesuatu yang amat mendukacitakan yang berlaku ialah apabila tibanya sambutan tahun baharu masihi, ia dicemari dengan sambutan bercirikan maksiat yang bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, tetapi tidak menepati adab-adab dan nilai-nilai masyarakat Melayu yang terkenal dengan akhlak dan budi pekerti yang baik.

Kebiasaannya, sambutan tahun baru Masihi disambut dengan begitu meriah, percikan bunga api yang berwarna- warni dan gegak gempita dengan pelbagai program yang diadakan sempena ‘countdown tahun baharu’. Konsert hiburan diadakan di pelbagai tempat di seluruh Negara. Stesen-stesen televisyen pun tidak melepaskan peluang menyemarakkan semangat ‘Satu Malaysia’ untuk sama-sama menyambut kedatangan tahun baru masihi itu dengan memeriahkan suasana sambutan tahun baharu dengan pelbagai program seperti tayangan filem-filem kesukaan ramai termasuk filem ‘box-office’ untuk santapan mata penonton dan sebagainya.

Masyarakat Malaysia kini seolahnya tidak akan dapat menyambut tahun baru sekiranya tidak ada konsert dan hiburan!Masyarakat Malaysia yang bertunjangkan kepada masyarakat Melayu Islam sudah semakin hilang identiti dan jati diri. Segala apa yang datang dari barat dianggap sesuatu yang baik, lalu dilaksanakan dengan penuh bangga. Budaya ‘hedonisme’ disanjung dengan begitu tinggi. Segala adab dan kesopanan dalam masyarakat makin dilupa dan dipinggirkan. Baharu sahaja sambutan tahun baharu hijrah disambut dengan dengan doa dan ingatan untuk bertakwa kepada Allah, namun sesuatu yang amat malang sekali berlaku adalah apabila datangnya sambutan tahun baharu masihi dua minggu selepas daripada itu, masyarakat kita kembali melakukan maksiat tanpa perasaan malu dan segan silu kepada Allah.

Justeru, sekiranya perkara seumpama ini terus berlaku, apakah mungkin masyarakat dan negara akan memperoleh rahmat dan berkat daripada Allah SWT ?. Sekiranya sambutan tahun baharu terus menerus disambut dengan mengetepikan persoalan adab dan tata-susila, apakah kita akan memperoleh sebuah negara yang baik yang memperoleh keampunan Allah ? Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 96 bermaksud : ‘Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan’.

Sehubungan dengan itu, semua pihak sama ada ibu bapa, masyarakat, media massa dan kerajaan bertanggungjawab untuk berusaha mengembalikan ‘adab’ dalam sambutan tahun baharu agar tidak dicemari dengan perbuatan maksiat yang merugikan serta yang menghilangkan keberkatan. Ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak mereka daripada terjebak dalam aktiviti yang sia-sia serta yang melalaikan. Pastikanlah anak-anak tidak berpeleseran dan berkeliaran di waktu larut malam yang ianya sudah tentu akan mengundang situasi yang amat membimbangkan.

Media massa pula wajar memperhebatkan promosi terhadap sambutan tahun baharu yang bercirikan nilai-nilai Islam dan nilai-nilai murni dengan diperbanyakkan filem, drama, diskusi, dan sebagainya yang bermanfaat ke arah melaksanakan kewajipan agama, serta memperkukuhkan jati diri bangsa dan Negara. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa peranan media massa dan elektronik dalam hal ini sangat besar bahkan ia boleh merubah minda masyarakat serta mendidik mereka ke arah yang lebih berakhlak dan bersopan dalam apa jua sambutan yang diraikan.

Begitu juga peranan pihak pemerintah dan kerajaan amat diharapkan dalam usaha membentuk jati diri bangsa ‘Satu Malaysia’ ke arah yang lebih beretika dan bermaruah. Kuasa dan amanah kepimpinan yang dipertanggung jawabkan kepada pemerintah hendaklah digunakan dengan sebaiknya ke arah mengembalikan adab dan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Oleh yang demikian, sambutan tahun baharu hendaklah diisi dengan sesuatu yang penuh dengan adab dan beretika agar masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang hebat, bermaruah serta mempunyai jati diri yang unggul dan sejati.


Majalah Milenia Muslim Januari 2012