Thursday, 28 November 2024

Yi-Jing mengesahkan tentang besi dari Kedah

SUMBER: SUNGAI BATU 788 BC: THE GREAT KINGDOM OF KEDAH TUA

Sepengetahuan Admin, Yi-Jing atau I-Ching atau I-Tsing tidak pernah mencatatkan dia sampai ke Palembang atau suatu negeri yang berbunyi seakan Palembang, tetapi Shilifoshi iaitu Srivijaya (Tansen,2018) atau Shih-li-fo-shih / Sribhoga (Takakusu,1898). Srivijaya adalah kerajaan/negara. Bermakna tidak semestinya Srivijaya itu ialah Palembang. Jika seorang pelancong mengatakan sampai ke Malaysia, ia boleh saja bermaksud Penang, Langkawi, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching, Kelang dan sebagainya. Saya tidak pasti siapa yang mula-mula menetapkan Srivijaya yang disebut Yi-Jing itu mesti Palembang. Malahan jika diteliti, tempoh perjalanannya dari Guangzhou ke Srivijaya adalah 20-22 hari. Saya masih mencari catatan lain yang mengatakan pelayaran ke Palembang atau Jambi sekitar 22 hari pada abad ke 7 Masihi.
Pelayaran pada zaman itu dipercayai masih lagi menelusuri jajaran daratan.
Sebilangan penyelidik percaya bahawa Srivijaya yang dimaksudkan oleh Yi-Jing bukan Palembang tetapi sekitar Semenanjung Melayu. Ini mungkin menimbulkan bantahan dari sesetengah pihak, tetapi berdasarkan hujah diatas iaitu tempoh pelayaran dan ketidakhadhiran nama Palembang dalam catatan Yi-Jing, adalah sangat munasabah untuk mengatakan bahawa Yi-Jing sebenarnya telah sampai ke sebuah kota pelabuhan di pantai timur Semenanjung Melayu. Apabila disebut Semenanjung Melayu bermaksud ia adalah wilayah yang bermula dari Segenting Kra dan ke hujung selatan semenanjung.
Tujuan Yi-Jing singgah di Srivijaya ialah untuk mendalami tatabahasa Sanskrit untuk melengkapkan keupayaan bahasanya sebelum melanjutkan pelajaran ke Nalanda, sebuah biara-pusat pengajian Buddha yang penting.
Kedatangan beliau mendapat layanan istimewa dari Raja Melayu Srivijaya, diberi makan minum dan tempat tinggal yang selesa. Beliau datang bersama sahabatnya, namun tidak dapat meneruskan perjalanan kerana sakit.
Disingkatkan cerita, selepas enam bulan berada di pantai timur semenanjung untuk mengasah ilmu bahasanya, beliau pergi ke Moloyu dan kemudiannya Chieh-Cha. Chieh-cha ialah Kedah yang ketika itu sebuah negeri yang belum menyertai 'persekutuan' Srivijaya dan di Kedah lah, Yi-Jing meluangkan masa 4 bulan mengamati dan mencatatkan perikehidupan masyarakat Kedah Tua. Semasa di Kedah Tua inilah, Yi-Jing ada mencatatkan tentang besi yang dijadikan komoditi untuk ditukarkan dengan barangan lain. Catatan beliau ini merupakan rekod penting tentang industri besi Kedah Tua yang menjadi jambatan antara peristiwa sejarah dan dapatan arkeologi Sg Batu. Malahan bentuk dan saiz jongkong besi yang diungkapkan oleh Yi-Jing adalah sama seperti apa yang dijumpai di Kompleks Arkeologi Sungai Batu !
Selepas 4 bulan di Kedah, pada Disember 672, beliau berangkat ke Nalanda menaiki kapal orang Melayu Kunlun.
Setelah tamat pengajian di Nalanda selama beverapa tahun, beliau kembali ke Kedah dan tinggal untuk beberapa tahun menyiapkan penulisan kajian, pengalaman dan kitab beliau. Pada tahun 683 beliau kembali ke ibukota Srivijaya di pantai timur Semenanjung dan apabila segala penulisan kitab dan kisah perjalanannya selesai, beliau belayar pulang ke China pada tahun 689 Masihi.
Sebenarnya pengalaman dan catatan Yi-Jing tentang Kedah perlu di terokai lagi untuk kita memahami sosio-politik-ekonomi negeri Kedah sekitar abad ke 7 dulu. Malah dari catatan beliau kita ketahui sekitar bila Kedah menyertai Srivijaya.
Menurut Dr Suzuki Takashi dalam bukunya tentang Srivijaya, ibu kotanya ialah Chaiya (asalnya Chahaya) yang terletak di pantai timur Semenanjung Melayu juga diperkukuhkan dengan dapatan arkeologi. Itulah kota yang dimaksudlan oleh Yi-Jing sebagai Shilifoshi iaitu Srivijaya.
[Kisah Yi-Jing atau I-Ching dan 2 lagi pengembara silam ini ada dimuatkan dalam buku "Tamadun Sungai Batu tanah lahir Kedah Tua".]

Copy and paste:
28.11.2024: 12.09 p.m

No comments: