Friday, 22 November 2024

Sesungguhnya Bangsa Melayu dan Bangsa Maori Bersaudara!

Dari The Patriots Studios

Oleh: Helmi Effendy
Viral di media sosial tentang seorang ahli Parlimen New Zealand yang melakukan Haka dalam parlimen demi menentang undang-undang yang mencabar HAK KEISTIMEWAAN BANGSA MAORI sesuai dengan Perjanjian Waitangi (Treaty of Waitangi) yang merujuk kepada penjagaan hak kaum Maori sebagai pribumi New Zelanad.
Dimeterai pada 6 Februari 1840, perjanjian ini merupakan persetujuan antara Kerajaan British dan lebih daripada 500 ketua puak Māori (rangatira). Ia bertujuan untuk mengawal hubungan antara pendatang British dan penduduk asli Māori, melindungi hak tanah Māori, dan mewujudkan pemerintahan British di New Zealand. Dan kita orang Melayu, ada perjanjian serupa yang kita rujuk sebagai ARTIKEL 153, hak bangsa Melayu sebagai pribumi di Tanah Melayu ini.
Sebenarnya selain dari persamaan undang-undang ini, bangsa Melayu dan Maori mempunyai hubungan yang mendalam, berakar dari asal usul nenek moyang Austronesia yang sama. Hubungan ini telah lama menjadi subjek kajian dalam bidang genetik, linguistik, antropologi, dan arkeologi, yang kesemuanya menunjukkan betapa dekatnya kedua-dua masyarakat ini dalam aspek sejarah dan budaya.
Nenek moyang orang Melayu dan Maori dari kaum Austronesia, dari puak-puak orang Asli Taiwan seperti Amis, Atayal, dan Paiwan. Bermula sekitar 4,000 tahun lalu, nenek moyang orang Melayu meninggalkan pulau Taiwan dan merentasi lautan menuju ke Kepulauan Melayu, Pasifik, hingga ke Madagascar dan New Zealand.
Diaspora ini membawa kepada kewujudan pelbagai komuniti termasuk bangsa Melayu di Nusantara dan Maori di Kepulauan Pasifik. Dalam tempoh ini, mereka membawa bersama bahasa, budaya, dan amalan hidup yang sebahagiannya masih dapat dilihat hingga ke hari ini.
Kajian genetik menunjukkan bahawa kedua-dua bangsa ini berkongsi DNA yang berasal daripada kumpulan nenek moyang yang sama. Apa yang membezakan mereka ialah penyesuaian unik terhadap persekitaran setempat. Contohnya, ketika nenek moyang Austronesia Maori melalui kawasan Papua, terdapat bukti DNA bangsa Maori yang menunjukkan pencampuran terhad dengan masyarakat Papua (Australoids) membentuk badan mereka lagi tegap, lagi muscular.
Berbanding saudara mereka bangsa Melayu di Asia Tenggara yang nenek moyang Austronesia menetap di Kepulauan Melayu, dan bersemenda dengan etik berbeza seperti kaum orang Asli yang terdiri daripada masyarakat Austroasiatik (ini meninggalkan jejak 60, 000 tahun dalam DNA kita, merujuk kepada nenek moyang orang Asli kita yang bersemenda dengan orang Austronesia ini), dan juga kaum pedagang seperti orang Cina dan India yang berdagang di pelabuhan mereka.
Walaupun sedemikian, kita masih dapat menjejak persamaan antara dua bangsa ini. Misalnya dari sudut linguistik, bahasa Melayu dan Maori berkongsi banyak persamaan. Bahasa adalah antara bukti kukuh yang menunjukkan hubungan rapat antara bangsa Melayu dan Maori. Banyak perkataan dalam bahasa Maori dan Melayu bukan sahaja serupa dari segi bunyi, tetapi juga dari segi makna. Sebagai contoh, perkataan "dua" dalam bahasa Melayu bersamaan dengan "rua" dalam bahasa Maori, dan "lima" dalam bahasa Melayu hampir sama dengan "rima" dalam bahasa Maori.
Selain itu, beberapa istilah yang melambangkan ciri geografi dan kehidupan harian juga menunjukkan persamaan yang ketara. Contohnya, "bukit" dalam bahasa Melayu bersamaan dengan "puke" dalam bahasa Maori, sementara "ikan" dalam bahasa Melayu serupa dengan "ika" dalam bahasa Maori. Hubungan ini menunjukkan bahawa kedua-dua bahasa ini berasal daripada akar Austronesia yang sama sebelum berkembang menjadi bahasa yang lebih spesifik di kawasan masing-masing.
Peribahasa dari kedua-dua bangsa turut memperlihatkan nilai-nilai budaya yang hampir serupa, terutamanya dalam aspek keberanian, kejujuran, dan daya juang. Dalam budaya Maori, terdapat peribahasa seperti Ka mahi ta tawa uho ki te riri yang bermaksud "Pahlawan pemberani dengan hati yang teguh seperti pohon tawa." Sementara itu, dalam budaya Melayu, peribahasa seperti Berani kerana benar, takut kerana salah mengangkat nilai keberanian dan kejujuran sebagai prinsip hidup.
Peribahasa-peribahasa ini menunjukkan bahawa walaupun masyarakat Melayu dan Maori berkembang dalam persekitaran yang berbeza, mereka berkongsi nilai-nilai moral dan prinsip yang serupa, diwarisi daripada nenek moyang Austronesia mereka. Jadi, bila mana bangsa Maori sedang berjuang mempertahankan hak mereka di New Zealand sana, kita sebagai saudara jauh mereka, yang berkongsi keturunan yang sama seawal 4000 tahun yang lalu, haruslah sama-sama memberikan sokongan, mengambil tahu kerana seperti mereka yang hak mereka sebagai pribumi sedang dihenyak oleh orang putih keparat, kita juga boleh menerima nasib yang sama sebagai pribumi tanah ini!
___
Akhir kata, kalau anda nak mengkaji dan mendalami tentang persamaan dan hubungan antara bangsa Melayu dan bukan sahaja kaum Maori, tetapi kaum-kaum Austronesia lain dan juga kaum Austroasiatik juga, bolehlah beli buku yang saya tulis, KITAB TAMADUN MELAYU di pautan: https://s.shopee.com.my/8KUqbLX6cR
Terima kasih!

No comments: