Sunday, 24 November 2024

MELAYU MENJADI PERHATIAN POPE VATICAN, EMPAYAR ROM, DAN KHALIFAH ISLAM

SUMBER: THE PATRIOTS
POSTED: 12 My 2014

Dunia Kristian sangat mengingati akan sebuah lagenda yang pernah suatu masa dahulu membayangi dunia Kristian tentang sebuah kerajaaan yang sangat hebat. Abad ke-12 sehingga abad ke-17 ini dikatakan merupakan lagenda Prester John ini membayangi diri dunia Kristian ketika dan saat itu. Namun, sehinga hari ini, entiti Prester John ini masih menjadi misteri, namun surat yang konon pernah dikirimkan kepada Maharaja Empayar Rom seperti Manuel I Comnenus yang beragama Kristian dan juga Pope Alexander III.

Dalam surat yang dikirimkan kepada dunia Kristian itu, kita sempat menangkap beberapa ciri yang dikatakan adalah merujuk kepada kerajaan Prester John yang misteri ini. Antara ciri-ciri tersebut saya gariskan di bawah, dalam proses kita mencari siapakah Prester John yang diperkatakan itu. Dalam surat tersebut ada memperkatakan mengenai perkara tersebut:

• Raja yang sangat kaya raya.
• Empayar yang sangat luas sehingga merangkumi tiga “INDIA”
• Surat yang seumpama dengannya yang isinya berbicara perkara yang sama tentang Prester John

Bila diselidik, di dapatoi bahawa Pope Alexander dan juga Maharaja Manuel I Comnenus bukan sahaja manusia yang menerima surat yang mempunyai isi yang sama seperti itu. Di dapati dalam sejarah di mana Khalifah Muawiyyah dan juga Khalifah Umar Abdul Aziz juga menerima surat yang seumpama dengannya.

Al- Jahiz dalam kitabnya Al hayawan ada berbicara mengenai surat itu. Menurut Jahiz, Abdul al Malik bin Umar melihat surat tersebut di pejabat setiausaha Khalifah Muawiyah yang kemudiannya telah diberikan kepada Abu ya’kub al Thaqafi yang kemudian pula memberikan kepada Al Haytham yang menjadi sumber kepada Ibnu jahiz. Surat itu sekadar dicatat oleh Al-Jahiz pada permulaan ayatnya sahaja.

“… ini surat dari Raja Al Hind, yang didalam kandangnya ada beribu-ribu gajah dan istananya dibina dari emas dan perak yang berkilauan, yang dilayan oleh beribu anak perempuan Raja-raja, yang menguasasi dua Sungai yang mengairi tanah-tanah subur, kepada Muawwiyah…”

Surat kedua ditemui dalam Al-Iqd al Farid oleh Ibnu Rabbih sekitar 860-940 Masihi yang menyatakan bahawa sumbernya diperolehi daripada Nuaim Bin Hammad. Nuaim menyatakan bahawa Raja Al Hind telah menghantar sepucuk surat kepada Khlifah Umar Bin Abdul aziz seperti berikut:

“Dari raja kepada Raja yang berketurunan dari seribu raja, yang kandangnya dipenuhi dengan beribu gajah dan kawasan taklukannya adalah dua sungai yang mengairi tanam-tanaman, wangi-wangian, pohon pala dan kapur wangi, yang wangiannya semerbak sehingga 12 batu jauhnya…kepada raja Arab, yang tidak menyekutukan tuhan dari tuhan yang satu. Beta telah menghantar hadiah, yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan dan beta harap agar anda menghantar seseorang yang dapat mengajarkan ajaran Islam serta menunjukkan undang-undangnya.”

Kebetulan atau tidak? Terdapat para sejarawan yang berpendapat bahawa surat yang konon sampai kepada Pope Vatican dan juga kaisar Maharaja Rom itu adalah sekadar saduran kepada surat yang ditemui oleh para orientalis yang dikirimkan oleh Srivijaya kepada Dinasti Umaiyyah lalu membuat surat yang sama untuk menunjukkan bahawa kerajaan mereka tidak kurang hebatnya. Namun ada juga pendapat daripada sejarawan mengatakan bahawa period yang berbeza namun surat masih datang daripada kerajaan yang sama.

Kekayaan

Empayar Srivijaya sangat kaya dengan emas. Satu-satunya tamadun di dunia yang menggunakan emas secara berleluasa ialah Tamadun Melayu. Sebagai contoh, saya memetik kenyataan Al-Biruni.

"...the eastern islands in this ocean (Sea of Champa), which are nearer to China than India, are the islands of Zabaj, called by the Hindus, Suvarnadvipa, i.e. the gold islands... because you obtain much gold as deposit if you wash only a little of the earth of that country."

Lihat bagaimana dia memetik bahawa Kepulauan Melayu dipanggil dalam kitab hindu sebagai Kepulauan Emas. Kita lihat pula catatan seorang ahli geografi yang hidup pada zaman pemerintahan Dinasti Abbasiyyah. Beliau merupakan orang Parsi.

"Di sebuah gunung yang bernama Zabaj (panggilan orang Parsi untuk Srivijaya), terdapat ular-ular besar yang memakan lelaki dan kerbau, dan beberapa yang juga memakan gajah. Negara ini menghasilkan pokok kapur barus gergasi, terdapat pokok-pokok yang boleh memberikan bayangan kepada hampir seratus orang." (Ibn Khordadbeh)

Ibnu Kordadhbeh (844-848AD) ada mencatatkan lagi mengenai kekayaan Srivijaya:

“Pemerintah Zabag (nama bangsa arab untuk Srivijaya) dipanggil sebagai maharaja dan saban hari, maharaja akan menerima hasil keluaran empayarnya yang berjumlah 200 man (ukuran yang tidak diketahui bagi menyukat emas di Srivijaya.

Pemerintah Zabaq ini akan menukarkan emas-emas yang merupakan pendapatan Empayar Srivijaya lalu menukarkannya ke dalam bentuk jongkong emas dan melontarkan ke dalam tasik lalu berkata:

“Ini adalah harta aku!”

Dalam catatan yang ditulis oleh Abu Zayd Hassan yang memberi komen terhadap buku yang ditulis oleh Pengembaraan Sulayman di India dan China menulis mengenai Srivijaya yang berbunyi seperti berikut:

“… dikatakan bahawa kekayaan yang dimiliki oleh Srivijaya bersamaan dengan 900 prasang persegi (ukuran Parsi - persamaan dengan 4995 KM). Terdapat juga pulau-pulau yang dikawal oleh rajanya yang berukuran 1000 prasang persegi…”

Catatan daripada Ibnu Said dalam manuskrip yang dikumpulkan daripada catatan Ptolemy dan Ibnu Fatima pula pula memperlihatkan peristiwa yang berikut:

"...setiap pagi, kami diberitahu, perbendaharaan kerajaan dibawa, seketul jongkong emas dalam bentuk batu-bata, ke hadapan maharaja yang mana untuk dilontarkan ke sebuah tasik berdekatan istana. Ketika maharaja masih hidup, tiada siapa yang berani mengusik jongkong-jongkong emas di dalam tasik itu. Apabila maharaja mangkat, penggantinya memerintahkan semua jongkong emas di dalam tasik dikeluarkan. Selepas dikeluarkan, emas-emas tadi dikira dan ditimbang, kemudiannya dibahagi-bahagikan di antara kaum kerabat diraja,para jeneral tentera,para hamba dan orang miskin. Bilangan jongkong emas dan beratnya dicatit ke dalam rekod istana dan prestij seseorang raja ditentukan berdasarkan jumlah jongkong emas yang mereka tinggalkan."

Empayar Yang Merangkumi Tiga India

Apakah Tiga india yang diperkatakan oleh surat Prester John? 
Apakah benar Empayar Srivijaya mampu sampai merangkumi tiga India? Mari kita buka kembali buku sejarah dalam kita memperkatakan dalam perkara ini.

Tiga India ini mungkin merujuk kepada negara-negara kawasan yang mempunyai dan mengamalkan budaya pengaruh daripada India. Pertam , kita harus tahu mengenai empayar hebat ini dengan merujuk kembali rekod-rekod sejarah yang membicarakan mengenai Empayar Srivijaya.

Kita harus mulakan pembelajaran dalam bab ini dengan menghayati petikan daripada AL-Masudi:

"Di Laut Champa (Laut China Selatan) adalah empayar sang Maharaja, raja seluruh kepulauan,yang berkuasa atas kerajaan tanpa batas dan mempunyai pasukan tak terhitung banyaknya. Bahkan kapal yang paling terpantas tidak dapat menyelesaikan dalam masa dua tahun mengelilingi pulau-pulau yang berada di bawah pengaruhnya.Wilayah raja ini menghasilkan segala macam rempah-rempah dan aromatik, dan tiada kerajaan lain (sebagaimana empayar ini) mampu mendapatkan banyak kekayaan dari bumi." - (Mas'udi, 943)

Diceritakan sendiri oleh Al-Masudi mengenai keluasan Empayar Srivijaya yang dikatakan andia kapal yang paling pantas pun tak dapat mengelilingi empayar ini dalam masa kurang daripada dua tahun. Mengapakah sedemikian? Apakah Srivijaya ini sebuah empayar kecil atau sebaliknya?

Kita kena selidik dulu mengenai perkara ini, selain daripada hampir keseluruhan Nusantara sehingga ke Filipina yang memang kita tahu pada sesuatu period, pernah menerima pengaruh hebat daripada India dengan agama Hindu dan Buddha yang tersebar luas. Maka, mari kita simpulkan bahawa kita sudah punya satu India di sini. Jadi, mari kita cari India Kedua. Di manakah India kedua? Kalau saya bilang bahawa terdapat bukti menyatakan bahawa wilayah yang luas di Sri Lanka dan India pernah menjadi sebuah negeri naungan Empayar Melayu Srivijaya?

Ya, meski terdapat dakwaan daripada Rajendra Cholas mengatakan bahawa dia pernah menjajah Empayar Melayu Srivijaya, namun dakwana Rajendra Cholas ini tidak dikuatkan dnegan catatan Arab, China, Parsi dan pedagang-pedgaang lain bahawa keseluruhan Srivijaya pernah berada di bawa Chola. Tambah menyedihkan apabila anak lelaki Rajendra Cholas hanya mampu mendakwa bahawa Cholas hanya mampu menawan Kataha, sebuah pelabuhan Srivijaya di Kedah Tua sebelum dihalau balik oleh Srivijaya.

Berikut di bawah adalah berkat kajian sahabat saya Al-Semantani yang juga berada di dalam The Patriots, dalam membicarakan mengenai apakah pernah Sri Lanka dan Selatan India pernah berada di bawah jajahan atau di bawah naungan Empayar MELAYU Srivijaya.

1) Kematian Raja Chola, Virarajendra dan anaknya Athirajendra yang misteri pada tahun 1070. Athirajendra dikatakan dibunuh dalam sebuah rusuhan atau pemberontakan, malah ada sejarawan India sendiri percaya bahawa Kulotungga ada peranan dalam hal ini.

2)Takhta Chola yang kosong ketika itu akhirnya diduduki oleh seorang raja asing yang bernama Kulotungga, satu nama yang asing bagi masyarakat Hindu Tamil di India selatan ketika itu tetapi adalah satu nama yang biasa bagi masyarakat atasan di Asia tenggara terutama Srivijaya dan diteruskan oleh Majapahit seperti Sangrama Vijayatungga, Samara Vijayatungga, Srimara Vijayatungga dan tak lupa seorang Srikandi Tribhuwana Vijayatungga Dewi.

3) Dalam sebuah catatan China pada tahun 1077, seorang Maharaja Srivijaya yang bernama Diwakara disebut dengan jelas sebagai seorang pemerintah asing kerajaan Chola.

4) Nama Kulothunga tercatat didalam catatan China yang sama sebagai Raja Chola sahaja dan bukan Maharaja Chola. Hal ini membuktikan bahawa Raja Chola ketika itu adalah raja bawahandari Maharaja Srivijaya. Berkemungkinan dia adalah raja daerah (saya ambil istilah geng nai-nai), Yuvaraja atau juga Obyaraja.

5)Sebuah prasasti yang terdapat di sebuah kuil Tao di Guangzhou menyatakan bahawa kuil tersebut telah dibaik pulih sekitar tahun 1064-1067. Tahun 1064-1067 membuktikan bahawa yang membiayai pembaikpulihan tersebut adalah Diwakara Maharaja Srivijaya. Jika kita melihat kepada catatan China yang menyatakan bahawa Diwakara adalah penguasa luar Chola pada tahun 1077, maka dapat kita simpulkan bahawa penguaaan Srivijaya terhadap Chola berlaku sekitar 1064-1077.

6) Sepucuk surat yang ditulis oleh seorang pegawai China Dinasti Song pada tahun 1106 dengan jelas menyatakan bahawa Chola berada dibawah penguasaan Srivijaya.

Mengenai Sri Lanka pula, diceritakan bahawa terdapat bukti di mana rekod dari Sri Lanka yang mengatakan bahawa Sri Lanka pernah ditawan dan dijajah oleh seorang raja dari Tambralingga yang mengatakan bahawa dialah keturunan Empayar Javaka.
Selepas dikaji siapakah Javaka yang diceritakan, maka para pengkaji bersetuju bahawa Javaka itu adalah nama lain yang digunakan atau dipanggil untuk menggambarkan Empayar Melayu Srivijaya.

Maka, kalau teori yang saya bangkitkan di atas adalah benar, di manakah India yang ketiga yang dimaksudkan dalam surat untuk Pope Alexander dan juga Maharaja Rom itu? Terdapat pengkaji mengatakan bahawa “India” ketiga adalah merujuk kepada Afrika Timur. Ya, Afrika Timur. Ehh sekejap… Srivijaya menguasai sampai ke Afrika Timur?

Ya saudara. Terdapat bukti bahawa Srivijaya pernah sampai sehingga ke sana. Pertama, mari kita ambil Madagascar sebagai contoh kita. Bahkan ketika zaman kemuncak Srivijaya juga, pelayar-pelayar Melayu daripada Srivijaya berlepas sampai ke Madagasacar, mengharungi laut yang umpama mainan bangsa kita sahaja ketika waktu itu.

Menurut pendapat pengkaji, Madagascar juga pernah menjadi sebahagian daripada wilayah jajahan Empayar Melayu Srivijaya. 1200 tahun yang lepas, terdapat rekod di mana Empayar Srivijaya meluaskan penggaruhnya kira-kira 8000 Kilometers ke arah barat empayar mereka.

Bahkan, kajian DNA yang dilakukan kepada pemerintah Madagascar pada hari ini sebenarnya membawa kepada rekod bahawa 1200 tahun dahulu, mereka asal datang daripada sebuah tempat di Sumatera, Indonesia sekaligus menguatkan lagi dakwaan bahawa Madagascar adalah satu lagi wilayah yang berada di dalam Empayar Srivijaya dan merupakan saudara MELAYU YANG HILANG DI BARAT JAUH…

Hari ini, linguistic bangsa Malagasy yang menjadi rulling class di Madagascar menampakkan banyak persamaan dengan bahasa Melayu. Perkataan seperti kulit, tangan, putih,

Selain daripada itu, dalam buku The Books of the Wonders Of India yang ditulis oleh seorang penulis Islam menyebut dalam 945 sebuah ekspedisi yang sangat mengangumkan di luar pantai Afrika Timur dengan armada 1000 kapal-kapal dari Hindia Timur (merujuk kepada Nusantara).

Abad kemudianya pada tahun 1154 pula menyaksikan seorang ahli geografi arab bernama Idrisi menulis dalam Kitab Rujjar bahawa

"Rakyat kepualaun daripada Zabag (panggilan Arab untuk Srivijaya) datang ke tanah Zanj atas kapal-kapal kecil dan besar ... untuk mereka memahami satu bahasa yang dituturkan antara satu sama lain. Penduduk Zabag pergi ke tanah Sofala (berhampiran Beira , Mozambique ) dan mengeksport besi dari sana lalu membekalkannya kepada semua tanah-tanah India Tiada besi setanding dengan mereka dalam kualiti dan ketajaman. . "

Tradisi Tanzania mencadangkan bahawa terdapat bukti bahawa Srivijaya pernah sampai di sekitar Pemba dan Zanzibar. Orang itu dipanggil oleh mereka sebagai Debuli daripada "Diba " dan Jawa. Mereka bertanggungjawab menanam pokok kelapa dan mangga di sepanjang pantai Tanzania. Pengkaji menyifatkan bahawa Diba adalah panggilan untuk Dabag dan Zabag yang digunakan merujuk kepada orang Srivijaya manakala Java mungkin merujuk kepada nama lain Srivijaya iaitu Javaka ataupun Jawa sendiri dan beberapa wilayah di Nusantara.

Kesimpulan

Kesimpulan daripada artikel ini adalah andai benar bahawa Prester John itu adalah sebuah surat daripada kerajaan Srivijaya, kita sebenarnya sedang menyaksikan bahawa Tamadun Melayu ini bukan sebarang Tamadun, kita bukannya tamadun yang sentiasa bersifat sangsi dengan Tamadun lain tetapi kita menjemput mereka untuk berkenalan dengan kita.

Tapi sayang sekali… sifat yang diwarisi oleh Srivijaya tidak lagi dimiliki oleh kita hari ini. Kita menjadi jumud dan sentias abertaklid buta dalam segala hal. Ya, Melayuku sudah menjadi bangsa yang sangat tertutup mindanya...

Rujukan:

1. Fatimi, SQ. "Two Letters from Maharaja to the Khalifah", Islamic Studies (Karachi), 2, 1 (1963), 121-40

2. Rost, Reinhold. Miscellaneous Papers Relating to Indo-China. London: Trübner & Co, 1886, 188-91.

3. Paul Michel Munoz. Early Kingdoms Of The Indonesian Archipelago And The Malay Peninsula. (2006)

4. Surat Prester John.

5. John Gray, “The Wadebuli and the Wadiba,” Tanzania Notes and Records, XXXVI, 1968, 22-41; W.H. Ingrams. Zanzibar, Its History and Its Peoples, 2nd ed. London, 1967, 125; Godfrey Dale. The Peoples of Zanzibar. New York, 1920, 13 and 25.

6. Blog Al-Semantani, penulis The Patriots.

Copy and paste:
24.11.2024: 1.59 p.m

No comments: