Thursday, 28 November 2024

ERA EMPAYAR-EMPAYAR & KEBANGKITAN RAJA-RAJA

SUMBER: THE PATRIOTS

Akhirnya admin berjaya juga mendapat akses ke permainan strategi komputer yang terbaharu Age of Empires II: The Rise of the Rajas.
Untuk makluman ia merupakan lanjutan daripada beberapa siri AOE terdahulu yang menampilkan pelbagai ketamadunan dunia bermula dari Eropah, Timur Tengah dan Timur Jauh, ia kemudian berkembang dengan memperluaskan skop kepada ketamadunan Afrika, India dan eksplorasi konkuistador Iberia di rantau Atlantik, membuatkan admin terfikir bahawa ia seolah-olah garapan semula komuniti AOE yang sebelum ini kecewa apabila siri ketiganya, AOE3 tidak begitu mesra pemain walaupun grafiknya begitu hidup mirip produksi permainan Lord of The Ring, The Settlers dan lain-lain.
Hal ini seolah-olah memberi petunjuk bahawa penggemar setia dan 'noob-noob' baharu AOE akan terus tenggelam dalam ektsensi AOE2 dalam tahun-tahun akan mendatang.
Cuma admin selaku peminat tegar sejak dari bangku sekolah rendah lagi, hampir 15 tahun silam, mendapati agak leceh apabila harus menggunakan perisian 'Steam' online untuk bermain. Admin yakin rata-riti penggemar ada cara untuk memintas halangan ini dan menikmati isinya yang mengujakan.
Seperkara, tidak dinafikan bahawa orang yang memperkenalkan permainan ini kepada admin dan permainan ini sendiri adalah sebab bagi terpupuknya minat admin secara mendalam terhadap bidang sejarah dan ketamadunan.
AOE memberi impak yang besar dan berterusan, memberi ruang penyertaan yang lebih bagi pemain-pemain untuk mengolah sendiri corak dan desain permainan misalnya melalui 'Editor'-nya. Mode 'single player' atau 'campaign' selalunya akan habis. Ia mengundang kebosanan tetapi amat menarik dalam tempoh peningkatan usia dan era intermisi yang penuh dengan 'install' dan 'uninstall' seseorang yang gemar akan latar ketamadunan akan sentiasa mencari jalan untuk memuatnaik AOE2 semula kerana fungsi editor-nya. Ia boleh menghidupkan imaginasi dan fantasi 'geek' sejarah untuk membina satu 'scenario' sebuah rantau, sebuah kerajaan, atau yang paling digemari admin adalah membina sebuah kota ibunegara ketamadunan yang bermacam-macam mengikut pengetahuan sejarah yang infiniti.
AOE2: Kebangkitan Raja-raja ini sebenarnya amat ditunggu-tunggu ramai terutamanya oleh 'gamers' yang menjadi sebahagian daripada 200 ke 300 juta penduduk berbudaya, berbahasa dan berdarah Melayu di seluruh dunia bahkan penggemar-penggemarnya yang lain. Dari satu sudut kita melihat bahawa tindakan menampilkan 'extension' ini adalah strategi produser untuk menarik perniagaan dari rantau yang sedang membangun dan antara pengguna terbesar perisian dan perantian maya dan eletronik.
Tidak ada yang lebih menggembirakan penduduk rantau Melayu dan Asia Tenggara daripada diwujudkan tamadun-tamadun:
-Melayu
-Khmer
-Burma
-Vietnam
Tamadun Melayu ini admin dan beberapa rakan sepermainan mendapati agak dicemari dengan campur-aduk yang agak teruk antara identiti Melayu dan identiti Jawa cuma rasionalnya kita boleh menganggap bahawa persembahan 'Melayu' oleh produser kali ini cuba merangkumkan ras ketimuran ini yang wujud dalam ratusan bahkan ribuan etnik ke dalam satu rumpun linguistik yang dikenali sebagai 'the Malay speakers' yakni yang menghuni dari Laut Swahili di barat menganjur sehingga ke Laut Rapa Nui dan Hawai'i di timur, dan keluasan ini cuba direpresentasikan oleh kerajaan Majapahit. Agak tidak sesuai sebenarnya kerana ada saudara kerajaan Kejawaan ini yang lebih layak dipilih sebagai identiti pusat 'Melayu' yakni Srivijaya dan negeri-negeri purba di Semenanjung seperti Langkasuka dan Chih-tu.
Kemungkinan yang timbul akan 'misrepresentation' ini adalah disebabkan sebahagian besar rantau Asia Tenggara ini masih diselubungi kesamaran dan dalam pemahaman ketamadunan perspektif dunia intelektual Eropah, sejarah Alam Melayu dan Asia Tenggara ini masih bukan sejarah tetapi masih dalam peringkat perdebatan dan penghasilan teori-teori. Tidak ada yang pasti untuk dijadikan satu stereotaip atau silibus yang nyata apakah itu yang dinamakan sejarah sebenar alam sebelah sini pada zaman purba.
Jika diperhatikan juga rupa 'the Malays' dalam permainan ini juga agak janggal apabila berlaku kekeliruan untuk benar-benar mengasingkan yang mana ciri Jawa dan yang mana ciri Melayu secara etnik. Jika ingin dikatakan Jawa, pelbagai elemen seperti suara pemain kelihatannya Melayu, manakala jika ingin dikatakan Melayu desain dan 'storyline'-nya memang Jawa dengan Raja Jayanegaranya, Gajah Mada dan ibukota Trowulan.
Hal ini memang boleh membentur konflik antara celik budaya-celik-budaya Malaysia dan Indonesia khasnya Indonesia kerana Gajah Mada seolah-olah dinafikan kejawaannya dan menggambarkan ia sebagai seorang tokoh Malay akan mengundang salah faham bahawa ia beridentitikan Melayu yang lazim dirujuk bertempat di Malaysia. Buka tengok 'campaign' dan anda akan perhatikan ikon klik masuk itu diletak jauh di sekitar Sulawesi dan Maluku. Apakah cara untuk meneutralkan perebutan identiti Melayu-Jawa ini?
Apapun masalah timbul apabila admin memerhatikan yang 'portrayal' orang Melayu dan bangsawan Jawa di sini amatlah buruk dari sudut attitude. Mereka disebut cerdik, tetapi tepatnya admin sebut licik dan bernafsu buas sentiasa berebutkan kuasa. Ramai yang akan kepanasan telinga jika mendengar suara sinematik yang bercerita dengan aksen Manglish-Inglish nya yang seolah-olah dibuat-buat ditambahkan lagi dengan kisah-kisah yang lebih 'made-up' daripada berkonotasi 'historical' atau epik. Mengapa tiba-tiba keluar kisah sang kancil? Apakah benar Gajah Mada itu seorang yang gila kuasa yang apabila tua mati dalam persaraan yang penuh hina? Apakah Raja Jayanegara benar-benar mati dibunuh tuan doktornya sendiri?
Apakah raja-raja Melayu di Dharmasaraya dan Tumasik benar-benar akhirnya 'vanished' hilang lenyap selama-lamanya ditakluk Majapahit? Ia mengundang persoalan sejauh mana penguasaan sejarah team produser tamadun Melayu kerana banyak representasi bersifat anakronikal walaupun secara umum ia masih tepat dalam ruang rantau yang sama. Kita sedar hakikat permainan eletronik tidaklah begitu senang untuk bisa menjadi senyata benda yang nyata tetapi ia tidak mustahil pula dipenuhi dengan perkembangan industri permainan eletronik sebagai wadah pendidikan yang turut digemari golongan ulat buku(silverfish yang membinasa?) dan intelektual yang hipster.
Dengan tidak menafikan kecanggihan grafiknya, pemain tamadun Melayu dalam pada itu akan menghadapi masalah untuk bermain sebagai kerajaan Melayu yang sudah salin memasuki agama Islam kerana desain unit-unit bangunan dan ketenteraannya memang berunsur era Hindu-Buddha. Bagaimana mahu bermain sebagai kerajaan Melaka atau Patani yang Islam?
Bagi yang bijak admin kira ada kaedahnya dengan bermain sebagai player tamadun India, kerana banyak bangunan dan unitnya mirip identiti Melayu selepas era Melaka. Bangunan yang bersifat domestik seperti Town Center dan House, atau ekonomikal seperti Mill, Dock, dan Market pula bolehlah disusunkan sebagai player 'Malay' kerana bentuknya memang kena dengan identiti Melayu. Ia evergreen. Cuma masih dipertikaikan senibina Melayu Hindu-Buddha pun agak ketara bau Khmernya meskipun kita tahu perkaitan antaranya memang wujud. Castle Melayu agak janggal kerana berbentuk struktur vertical macam piramid Mayan sedangkan dalam sejarah kita tidak memiliki struktur castle, tetapi kita lebih kepada 'palace' yang horizontal dengan bumbungan hingga tujuh 'pangkat' dan taman bunga di sekelilingnya. Wonder-nya pula berupa seperti Borobudur, Cham Tower atau Prambanan tapi sekali lagi agak tak realistik dan deviant.
Disamping itu, permainan yang bagus adalah bergantung kepada usaha yang ditunjukkan pengeluar bagi aspek latar seperti 'terrain', unit 'gaia'(alamiah) dan 'map generator' kerana kita bermain dengan keinginan terhadap ciri realisme persekitaran. Siri AOE ini memberi tambahan yang banyak terhadap bentuk tanih, gunung bersalji, pohon-pohon renjung hutan khatulistiwa Asia Tenggara, hutan bakau, pasir pantai, air terjun, ngarai, sawah padi yang menjadi alternatif paling 'ngam' setelah bertahun-tahun bermain hanya dengan 'farm', kerbau, badak sumbu dan pelbagai tumbuh-tumbuhan yang unik.
Unit ketenteraan pula rata-rata masih terkebelakang dan kurang inovasi, semata-mata bergantung kepada introduksi watak-watak tokoh Melayu, unit elit istana yang bersenjatakan kerambit. Di sini admin lihat ada anakronikal pada keguguran penggunaan keris oleh unit istana yang tidak syak lagi adalah senjata yang tidak dapat dipisahkan dengan bangsawan dan hulubalang Melayu.
Unit-unit di barrack, stable, archery range, monastery, dock, siege workshop juga tidak ada inovasi yang menarik terutamanya yang paling disesali produser melupakan pelbagai jenis kapal Melayu yang sepatutnya diberikan penekanan lebih daripada tamadun lain memandangkan mereka memilih untuk meng'highlight'kan peranan talasokrasi(geo-politi kelautan) sebagai identiti Melayu.
Masih banyak yang perlu diterokai dalam permainan Age of Empires II: The RIse of The Rajas ini cuma dalam masa terdekat ini admin memang banyak menghadam produksinya dari aspek desain grafik, sejarah, budaya dan linguistik. Ulasan dari sudut 'gameplay' akan datang diulas lagi oleh rakan admin kita yang lain.
Admin fikir, seminggu dua ini paling lekas admin mahu desain satu ibukota kerajaan Patani, Kelantan atau Kedah dengan sawah padi yang terbentang dengan alor-alornya. Muaranya dijaga menara Sea Fortification dengan aliran keluar masuk kapal perang, kapal dagang Cina dan Arab dan perahu-perahu 'canoe' yang memeriahkan suasana negeri raja-raja yang kaya raya ini.
Dengan keluarnya siri Kebangkitan Raja-raja ini kita melihat akan realiti pengiktirafan terhadap budaya rantau dan rumpun Melayu. Ia bukanlah maya yang tidak wujud dan meminjam-minjam identiti luar tanpa rupa muka yang tersendiri. Ia sebuah ketamadunan langka yang bersejarah sebahagiannya kekal diingati sebagai legenda dan mitos agung yang diwarisi rantau yang makmur ini pada hari ini dinikmati oleh peribuminya dan sekelian dagang. Ia suatu kemuliaan dan penghormatan terhadap bangsa yang menjadi sukuan daripada 10 bahagian penduduk dunia. -tm
Allahua'lam

Copy and paste:
28.11.2024: 11.36 p.m

No comments: