Friday 21 June 2024

Kehadiran platform penghasilan gambar berasaskan AI seperti Midjourney sememangnya sangat seronok diterokai ramai. Pelbagai gambar menarik yang boleh dihasilkan dengan input teks sahaja namun apa pula pandangan sisi Islam berhubung penggunaannya.

Ustaz Azhar Idrus selaku penceramah yang berilmu kini memberikan pandangan daripada sisi agama dalam menjawab persoalan yang dilontarkan oleh orang awam menerusi satu video di YouTube.

Menerusi video tersebut, beliau menjawab dua persoalan yang dilontarkan iaitu hukum penggunaan  AI untuk hasilkan lukisan seorang model dan juga orang yang sudah meninggal dunia.

Untuk persoalan pertama, anda diharuskan membuat lukisan manusia untuk tujuan yang baik seperti mempromosi bisnes baju kurta dan seumpamanya. Tetapi haram hukumnya jika gambar tersebut digunakan untuk tujuan maksiat.

Bagi persoalan kedua, anda masih dibenarkan mencipta atau melukis gambar seseorang ikon yang sudah mati bagi tujuan kebaikan kerana harus hukumnya. Sebaliknya jika anda menjadikan individu tersebut dalam keadaan hina, maka haram menurut sisi Islam.

Bukan itu sahaja, gambar yang boleh menimbulkan fitnah atau aib juga ditegah daripada dihasilkan menerusi AI. Hal ini kerana boleh memecah belahkan silaturahim di dalam masyarakat jika anda berbuat sedemikian.

Secara dasarnya, anda boleh melukis sesuatu benda hidup jika bertujuan untuk pembelajaran malah sebaiknya melukis gambar benda yang tidak bernyawa. Tetapi haram bagi mereka yang melukis untuk sekadar suka-suka sahaja.

Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang melukis  atau mengukir gambar, sesungguhnya ALLAH akan mengazabnya sehingga (jika disuruh) meniupkan roh ke dalam gambar tersebut, dia tidak mampu berbuat sedemikian selama-lamanya”. (Riwayat Bukhari)

Dengan penerangan ini, kita mestilah cakna dan menggunakan AI dengan berhemat berlandaskan hukum syariat Islam. Kita boleh sahaja memanfaatkan teknologi AI selagi bertujuan ke arah kebaikan selaras dengan era digital ketika ini.

Copy and paste: 21 Jun 2024 > 14 Zulhijjah 1445H: 11.55 a.m


No comments: