Sunday, 9 June 2024

Sikap Positif & Semangat Orang Melayu Ketika Kemuncak Peradaban

Oleh: Srikandi

Boleh dikatakan pada masa keemasan perdagangan maritim, pelaut Melayu merupakan golongan perantara yang menghubungkan pedagang-pedagang dari India di sebelah barat dan pedagang-pedagang China di sebelah timur (Ahmad Jelani 2006). Jalan perdagangan merentasi Segenting Kra itu semakin penting pada abad kedua apabila jalan darat yang menghubungkan barat dan timur melalui Asia Tengah terganggu akibat kekacauan yang berlaku.
Ini adalah kerana ketika akhir zaman Han, telah banyak kekacauan dan pemberontakan di China. Pemberontakan daripada para jeneral dan juga kebangkitan dua golongan agama iaitu pertama golongan serban Kuning (Huang-Chin) dan kedua golongan Lima Takar Beras. Kawasan Segenting Kra yang telah maju ini telah menjadi pusat jaringan perhubungan yang dikendalikan oleh orang Melayu. Sumber China mencatatkan tentang kehadiran kapal-kapal Melayu (Kun-lun po/bo) di pelabuhan-pelabuhan tenggara China pada abad pertama Masihi (Manguin 1989).
Kapal- kapal ini dikatakan besar-besar belaka. Ada di antara kapal tersebut yang sampai 50 meter panjang dan timbul di permukaan air empat atau lima meter serta boleh menampung kargo seberat 250 ke 1000 tan dan juga terdapat kapal-kapal yang membawa 1000 orang penumpang (Manguin 1989). Sumber dari Yunani pada awal abad Masihi juga ada menyebut tentang segerombolan kapal dari Nusantara membawa muatan kargo yang banyak sedang menuju ke pelabuhan di India.
Memang ada zaman di mana orang Melayu menjadi pengendali perdagangan maritim yang utama di rantau ini. Diperkirakan catatan awal popular tentang zaman ini adalah seawal abad ke-3 SM dan kemuncaknya ketika zaman kedatuan dan zaman empayar (seperti Srivijaya, Kesultanan Melaka).
Jika kita baca sejarah, kerancakan kegiatan orang-orang Melayu di laut dan selat sini hanya berakhir apabila para penjajah Eropah menjalankan dasar-dasar yang menghapuskan saingan dari para pedagang dan pengendali perniagaan maritim tempatan di Asia Tenggara termasuk orang-orang Melayu. Peranan itu kemudiannya digantikan oleh pengusaha Eropah dan orang asing seperti pengusaha Cina.
Jadi, sifat tamadun ini memang tak terlepas dari zaman kemuncak dan zaman kejatuhan. Orang Melayu pada zaman kemuncak perdagangan maritim memang adalah sebuah masyarakat tersusun, berpendapatan tinggi dan berperadaban tinggi sehinggakan catatan pengembara China menyatakan orang-orang di sini memakai wangi-wangian di badan, memakan haiwan yang disembelih, membersihkan diri di sungai, membersihkan tangan sebelum makan atau memotong rambut dari pelbagai catatan berkenaan kerajaan-kerajaan awal Melayu.
Untuk tahu tentang falsafah dan gaya hidup Melayu sebenarnya adalah dengan mengkaji peribahasa, pepatah atau puisi tradisi seperti pantun. Di situlah orang Melayu merakam falsafah dan cara pandang hidup mereka.
Namun, semasa dan selepas zaman kolonial, kita akan biasa membaca yang buruk-buruk dan hodoh-hodoh tentang orang Melayu, yang dikarang oleh pegawai penjajah dan penulis Melayu/bukan Melayu yang terpengaruh dengan mazhab penulisan kolonial. Ini berbeza dengan laporan dari para pencatat zaman imperial China itu, yang mencatat ketika zaman keemasan orang Melayu ketika berperadaban tinggi. Semangat mereka untuk berniaga dan menguasai perdagangan ketika itu berlainan dengan sikap orang Melayu sekarang yang masih bertatih-tatih untuk mencari rentak selepas zaman kolonial. Semangat orang Melayu zaman perdagangan maritim dalam hal-hal peradaban adalah setara dengan semangat bangsa-bangsa maju pada hari ini.
Ketika diserang, diperangi dan dijajah oleh para penjajah seperti Siam dan kuasa Eropah, rata-rata keadaan ekonomi dan pembangunan di negeri-negeri Melayu terencat dan ini mempengaruhi aspek pendidikan, sosial dan pengurusan pentadbiran. Keadaan ini sedikit-sebanyak mempengaruhi juga kehidupan orang Melayu termasuk dari segi semangat untuk maju dan melawan kemunduran, yang mewujudkan sejenis 'zon selesa' dan 'putaran ganas kehidupan' yang tertentu.

sumber-Srikandi

Copy and paste:
9 June 2024 > 2 Zulhijjah 1445H: 1.49 p.m


 


No comments: