Posted by: Nizam Ali
PERISTIWA N' SEJARAH
Salah satu catatan terawal yang menceritakan tentang Melaka diperolehi dari buku 瀛涯胜览 Yíng yá shèng lǎn yang disusun oleh 马欢 Mǎ huān, pencatat pelayaran dan penterjemah bahasa Arab dan Parsi semasa ekspedisi 郑和 Zhèng hé. Mǎ huān telah mengikuti 3 daripada 7 kali ekspedisi Zhèng hé iaitu di tahun 1413, 1421 dan 1431. Seperti Zhèng hé yang berugama Islam, Mǎ huān juga berugama Islam yang sering disebut sebagai 回回 Huíhui atau 回族 Huízú yakni bangsa Islam. Mǎ huān merekodkan pelbagai perkara yang berlaku bagi 20 buah negara yang dilawati oleh Zhèng hé.
Selain daripada 瀛涯胜览 Yíng yá shèng lǎn, terdapat dua buah buku lagi yang dicatatkan oleh pembantu-pembantu Zhèng hé yang lain iaitu buku 西洋番国志 Xīyáng fān guó zhì dan 星槎勝覽 Xīng chá shèng lǎn. Bagaimana pun catatan yang dibuat oleh Mǎ huān dalam 瀛涯胜览 Yíng yá shèng lǎn khususnya tentang Melaka lebih lengkap. Versi terjemahan ke bahasa Inggeris ialah The Overall Survey of the Ocean's Shores terbitan Cambridge University Press, 1970.
Tentang Melaka, Mǎ huān menulis, "自占城向正南,好风船行八日到龙牙门。入门往西行,二日可到。此处旧不称国,因海有五屿之名,遂名曰五屿。无国王,止有头目掌管。此地属暹罗所辖,岁输金四十两,否则差人征伐".
Dari Champa mengarah ke selatan jika bertemu dengan angin yang baik maka kapal akan sampai ke 龙牙门 Lóng yá mén dalam 8 hari. Masuk melalui pintu Long ya men belayar ke barat dan akan sampai (ke Melaka) dalam 2 hari. Tempat ini dahulunya bukan sebuah negara. Disebabkan di laut terdapat 5 buah pulau kecil maka kemudiannya disebut 五屿 Wǔ yǔ. Di sini tidak ada raja, hanya ada seorang penghulu yang menjaganya. Tempat ini di bawah naungan Siam. Setiap tahun perlu membayar ufti 40 tahil emas dan jika engkar akan diperangi.
龙牙门 Lóng yá mén ialah pelabuhan Keppel, Singapura sekarang. Dahulunya laluan kapal untuk masuk ke pelabuhan akan melalui satu pintu batu yang seakan-akan gigi naga. Makna 龙牙门 Lóng yá mén ialah pintu gigi naga. Semasa Inggeris menguasai Singapura, bungkah batu ini telah dirobohkan.
五屿 Wǔ yǔ ialah gugusan 5 buah pulau-pulau dan yang lebih menonjol ialah pulau yang terbesarnya disebut Pulau Besar. Kini merupakan salah satu pusat pelancongan di Melaka.
永乐七年己丑,上命正使太监郑和等统〔宝船〕赍诏勑,赐头目双台银印冠带袍服,建碑封城,遂名满剌加国,是后暹罗莫敢侵扰。其头目蒙恩为王,挈妻子赴京朝谢,贡进方物,朝廷又赐与海船回国守土.
Pada tahun ke 7 pemerintahan Maharaja Yong Le iaitu di tahun 1409, Laksamana Zhèng hé telah menjunjung titah baginda sebagai diplomat dengan mengetuai armada (宝船 Bǎochuán) serta membawakan watikah diraja, menghadiahkan kepada penghulu (Melaka) sepasang cop mohor yang diperbuat daripada perak, tanjak, bengkung dan jubah. Meletakkan batu peringatan pembinaan kota. Itulah akhirnya yang disebut negara 满剌加 Mǎn lá jiā iaitu Melaka. Kemudiannya Siam tidak lagi berani untuk mengganggu. Penghulu (Melaka) amat berterima kasih kerana diwatikahkan sebagai raja (yakni Parameswara) dan kemudiannya telah membawa isteri serta hadiah menghadap maharaja China. Pihak istana China telah menghadiahkan sebuah kapal untuk rombongan ini kembali ke Melaka dan digunakan untuk menjaga keselamatan tanah air.
Sebenarnya Zhèng hé telah pun sampai ke Melaka bersama 尹庆 Yǐn qìng di tahun 1405 dengan membawakan watikah untuk memperajakan Parameswara sebagai raja Melaka dan hadiah dari Maharaja Yong Le. Sebab itulah kita sebut Melaka didirikan secara rasmi di tahun 1405 setelah mendapat pengiktirafan dari Dinasti Ming. Namun demikian kedatangan Zhèng hé sekali lagi ke Melaka pada tahun 1409 membawa makna yang lebih besar iaitu membawakan alat kebesaran diraja iaitu cop mohor perak, tanjak, bengkung dan jubah. Di samping itu menjemput Parameswara untuk melawat China.
Menurut 明實錄 Míng shílù iaitu rekod rasmi Dinasti Ming menyebut rombongan raja Melaka, Parameswara ke China ialah dengan mengikut kapal-kapal dari armada Zhèng hé yang seramai 540 orang ke 南京 Nánjīng, ibu kota China pada masa itu dalam tahun 1411 semasa pelayaran balik armada Zhèng hé yang singgah di Melaka.
Dalam tahun 1440 pula ketika pemerintahan Sultan Muhammad Shah, utusan Melaka telah datang menghadap maharaja China. Dicatatkan dalam 明史 Míngshǐ iaitu buku Sejarah Ming, "乞賜一巨舟,以便遠涉,帝悉從之". Memohon ke bawah duli Maharaja China untuk diperkenankan menghadiahkan sebuah kapal yang besar untuk tujuan pelayaran yang jauh bagi pengikutnya yang ramai. Setelah Maharaja China mengetahuinya dan bersetuju menghadiahkan sebuah kapal.
Ini kerana setelah kematian Zhèng hé di tahun 1433 tiada lagi kapal-kapal kerajaan China yang mengunjungi Melaka kecuali kapal-kapal dagang. Dengan ini Melaka telah pun memiliki dua buah kapal laut pemberian dari kerajaan China. Atau mungkin kapal yang pertama sudah terlalu uzur untuk digunakan lagi maka perlu diganti dengan yang lain.
Sultan Muhammad Shah mangkat di tahun 1444 dan digantikan oleh Sultan Abu Syahid (1444 - 1445). Selalunya usia sesebuah kapal laut menjangkau lebih daripada 50 tahun bergantung kepada penggunaan dan pemeliharaannya. Ini bermakna kapal laut yang baru pemberian kerajaan China telah digunakan semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansor Shah, Sultan Alauddin Shah dan Sultan Manmud Shah.
Ini diperkuatkan lagi dengan insiden pembunuhan utusan Melaka semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah, 端亞智 Duān yà zhì (Tuan Ah Zhi atau Tuan Haji) di Guangdong sekembalinya dari menghadap Maharaja Ming di tahun 1509. Ini gara-gara penterjemah bahasa, 蕭明舉 Xiāomíngjǔ yang menyebut kapal mereka telah rosak dipukul badai dan perlu diperbaiki dengan perbelanjaan sendiri di Guangdong. Walaupun ia satu helah jahat Xiāomíngjǔ namun kita dapati kapal yang digunakan adalah kapal milik kesultanan Melaka. Pertengkaran antara Duān yà zhì dengan Xiāomíngjǔ akhirnya membawa kepada pembunuhan Duān yà zhì.
Mǎ huān turut menyebut tentang perahu yang digunakan di Melaka, "人多以渔为业,用独木刳舟泛海取鱼". Kebanyakan penduduknya bekerja sebagai nelayan. Mereka ke laut menangkap ikan dengan menggunakan perahu jalur iaitu sejenis perahu yang diperbuat dari sebatang kayu balak yang ditebuk. Oleh itu kita dapati kaedah pembuatan perahu ini adalah sangat primitif.
Tahun terakhir Mǎ huān mengikut ekspedisi Zhèng hé ialah di tahun 1431 iaitu ketika kelahiran Hang Tuah. Ini berdasarkan catatan Portugis yang menyebut ketika Portugis menawan Melaka di tahun 1511 dikatakan Hang Tuah telah berusia dalam 80 tahun. Ini bermakna Hang Tuah dilahirkan di tahun 1431.
Ramai ahli sejarah termasuk para ahli akademik tempatan menggambarkan kapal Hang Tuah iaitu Mendam Berahi yang dicatatkan dalam Hikayat Hang Tuah sebagai sebuah kapal yang menyerupai kapal ghali (galley). Bagaimanapun kaedah pembuatan kapal ghali belum lagi sampai ke Asia Tenggara di abad ke 15, ia hanya dipopularkan setelah kedatangan Portugis.
Sedangkan menurut catatan Mǎ huān perahu nelayan ketika itu hanyalah sebuah perahu jalur dan bolehlah ditafsirkan yang orang-orang Melaka belum pandai lagi membina kapal yang besar. Ini kerana untuk membuat perahu yang lebih besar perlukan kemahiran membelah atau menggergaji kayu balak untuk dijadikan papan, ia ditakrifkan sebagai proses sekunder untuk mendapatkan bahan asas pembuatan kapal. Transformasi untuk mendapatkan kemahiran membelah balak dijadikan papan dan seterusnya membina perahu menggunakan papan juga perlukan masa puluhan tahun untuk dipelajari dari luar khususnya Jawa yang lebih maju dalam pembinaan kapal.
Sekiranya Hang Tuah dalam usia pertengahan yakni 40 - 50 tahun telah mengendalikan Mendam Berahi bermakna adakah selama 40 - 50 tahun kaedah pembuatan kapal di Melaka sudah berubah dengan begitu drastik sekali dari perahu jalur ke pembuatan kapal yang begitu gah sekali? Ia dianggap tidak logik pada sebuah masyarakat yang hidup menangkap ikan sebagai mata pencarian utama di tahun 1430an dengan perahu jalur tetapi tiba-tiba boleh jadi pembuat kapal yang berteknologi tinggi di tahun 1470 - 1480. Sedangkan di zaman moden pun kita jauh ketinggalan dalam pembuatan kapal tempur, contohnya skandal kapal LCS yang menggemparkan.
Namun dalam masa 40 tahun itu dipercayai orang-orang Melaka sudah mempelajari kaedah pembuatan perahu bertiang layar atau lancaran tetapi belum lagi mempunyai kepakaran membina kapal yang lebih besar apatah lagi seperti gambaran Mendam Berahi yang dikatakan seperti kapal ghali. Tambahan penceritaan tentang Mendam Berahi dalam Hikayat Hang Tuah ditulis di abad ke 17. Bermakna penulis hikayat telah mengimaginasikan kapal ghali yang telah wujud di abad ke 16 untuk digambarkan sesuatu yang wujud di abad ke 15. Ia dianggap sebagai menokok-tambah sesuatu yang tidak wujud untuk menyedapkan cerita sebuah hikayat.
Dengan memiliki kapal laut pemberian dari maharaja China itulah dipercayai telah digunakan oleh Sultan Melaka untuk meminang puteri raja Majapahit. Dipercayai dengan kapal ini juga digunakan oleh Tun Perak untuk melawan Siam dan meluaskan jajahan takluk Melaka. Begitu juga disebutkan Hang Tuah telah belayar ke banyak negara yang selama ini dituliskan dalam buku-buku sejarah tempatan dengan kapal Mendam Berahi. Namun kewujudan Mendam Berahi masih dipertikaikan tetapi yang nyata dan terdapatnya catatan bertulis tentang pemilikan kapal laut oleh Melaka ialah dari catatan China.
其国东南是大海,西北是老岸连山。皆沙卤之地,气候朝热暮寒,田瘦谷薄,人少耕种。有一大溪河水,下流从王居前过入海。其王于溪上建立木桥,上造桥亭二十馀间,诸物买卖俱在其上.
Di tenggara negara itu ialah sebuah laut yang luas. Di sebelah barat lautnya berkeadaan pantai bertemu dengan bukit-bukit. Kesemua tanahnya berpasir air payau, cuaca siangnya panas dan lewat malamnya sejuk. Sawahnya kecil dan hasil padi pun sedikit. Tidak ramai yang bertanam padi. Terdapat sebuah sungai yang besar di mana di hilir sungai masuk ke laut ialah tempat kediaman raja. Rajanya mendirikan sebuah jambatan di atas sungai itu dan dibina lebih daripada 20 buah pondok bertujuan meletakkan barangan untuk jual-beli.
国王国人皆从回回敎门,持斋受戒诵经。其王服用以细白番布缠头,身穿细花靑布长衣,其样如袍。脚穿皮鞋,出入乘轿。
Raja dan rakyatnya menganut ugama Islam dan mengamalkan peraturan ugama serta menghafal kitab Quran. Rajanya menggunakan kain yang nipis berwarna putih untuk dijadikan serban. Mengenakan pakaian bungaan yang kecil berwarna hijau yang labuh seperti sehelai jubah. Memakai kasut kulit dan apabila keluar menaikki tandu yakni sejenis usungan yang biasanya dikandar oleh 4 orang.
国人男子方帕包头,女人撮髻脑后。身体微黑,下围白布手巾,上穿色布短衫.
Orang-orang lelaki dalam negara ini menggunakan kain empat segi seperti sapu tangan untuk menutup kepala. Manakala orang-orang perempuan bersanggul di belakang. Anggota badan agak sedikit gelap, (orang lelaki) memakai kain putih seperti tuala di bahagian separuh badan ke bawah. Bahagian atas mengenakan baju lengan pendek pelbagai warna.
风俗淳朴,房屋如楼阁之制,上不铺板,但高四尺许之际,以椰子树劈成片绦,稀布于上,用藤缚定,如羊棚样。自有层次,连床就榻盘膝而坐,饮卧厨灶皆在上也。
Adat penduduknya amat jujur dan amanah. Kaedah pembuatan rumah didirikan lebih tinggi tetapi tidak dibina lantai. Sekitar 4 kaki dari tanah dibina pangkin yang diperbuat daripada belahan batang pokok kelapa. Di atasnya diletakkan tikar. Diikat dengan rotan supaya kukuh seperti membina kandang kambing. Ada dibuat tingkat pangkin yang lebih tinggi untuk dijadikan katil dan tempat duduk. Juga di sinilah tempat memasak dan tempat makan.
Catatan Mǎ huān tidak menyebut tentang dinding rumah. Namun berdasarkan pengamatan bentuk rumah-rumah lama Melayu dipercayai dindingnya diperbuat daripada belahan buluh atau anyaman buluh yang disebut dinding tepas. Berdasarkan catatan Portugis pula menyebut rumah orang-orang Melaka beratapkan daun palma yang dipercayai daun pokok rumbia.
Hasil-mahsul tempatan selain kayu gaharu juga banyak menghasilkan damar . 打麻儿香本是一等树脂,流出入土,掘出如松香沥靑之样,火烧卽著。番人皆以此物点照当灯. Damar adalah sejenis cecair getah dari pokok damar yang bermutu tinggi. Ia mengalir masuk ke dalam tanah. Setelah tanah dikorek rupa damar adalah seperti tar. Ia boleh terus dibakar. Orang-orang asing juga menggunakan barangan ini untuk dijadikan bahan bakar sebagai pelita atau jamung.
番船造完,则用此物熔涂于缝,水莫能入,甚好。彼地之人多采取此物以转宝他国.
Kapal-kapal asing yang telah siap dibina harus menggunakan damar yang telah dicairkan lalu dimasukkan ke dalam tempat sambungan (antara dua keping papan) supaya air tidak masuk ke dalam kapal. Di tempat ini ramai orang yang mengambil damar untuk dijual sebagai hasil negara yang amat berharga.
花锡有二处山坞锡场。王命头目主之,差人淘煎,铸成斗样,以为小块输官。每块重官秤一斤八两,或一斤四两,每十块用藤缚为小把,四十块为一大把,通市交易皆以此锡行使。
Terdapat 2 tempat kawasan lembah yang dijadikan lombong bijih. Raja memerintahkan penghulu untuk menjaganya. Pengawal akan menjaga orang-orang yang mendulang dan bijih dilebur menjadi seketul jongkong yang menyerupai 斗 Dòu iaitu satu bentuk selinder yang menyerupai cupak atau gantang. Dengan seketul jongkong inilah dikira berapa cukainya kepada pemerintah. Setiap ketul jongkong ini beratnya ialah 1 kati 8 tahil atau 1 kati 4 tahil. Setiap 10 ketul jongkong diikat dengan rotan menjadi satu ikatan kecil. Ikatan yang besar pula mengandungi 40 ketul jongkong. Inilah bentuk bijih timah yang dipasarkan.
山野有一等树,名沙孤树,乡人以此物之皮,如中国葛根捣浸澄滤其树作丸,如菉豆大,晒乾而卖,其名曰沙孤米,可以作饭契。
Di dalam hutan terdapat sejenis pokok dinamakan 沙孤树 Shā gū shù iaitu pokok sagu. Orang-orang kampung akan mengambil isi batangnya (dalam teks asal menyebut dari kulitnya) untuk diproses menjadi berbiji-biji sebesar kacang hijau. Setelah dijemur bolehlah dijual. Ia dinamakan 沙孤米 Shā gū mǐ iaitu beras sagu. Boleh ditanak macam nasi.
牛、羊、鸡、鸭虽有而不多。价亦甚贵。其水牛─头直银一斤以上。Lembu/kerbau, kambing, ayam dan itek juga ada tetapi tidaklah banyak. Harganya juga amatlah mahal. Harga seekor 水牛 Shuǐniú iaitu kerbau adalah lebih sekati perak.
Berdasarkan catatan ini bolehlah dikatakan makanan ruji orang-orang Melaka ketika itu ialah sagu dan berlaukkan ikan. Patutlah pekerjaan utama penduduk Melaka sebagai nelayan. Daripada catatan Portugis pula mengatakan beras dibawa oleh pedagang dari Jawa dan Pegu iaitu selatan Mynmar sekarang.
凡中国宝船到彼,则立排栅,如城垣,设四门、更鼓楼,夜则提铃巡警,内又立重栅,如小城。盖造库藏仓廒,一应钱粮顿在其内,去各国船只回到此处取齐,打整番货,装载船内,等候南风正顺,于五月中旬开洋回还。
Setiap kali kapal 宝船 Bǎochuán yakni kapal Laksamana Zhèng hé dan armadanya tiba di sini maka didirikan pagar geriji yang menyerupai dinding kota. Dibuatkan 4 buah pintu, dibina menara gendang yang menandakan waktu. Di waktu malam ada kawalan peronda yang membawa loceng. Di dalamnya terdapat satu lagi pagar geriji yang membentuk sebuah kota. Di sinilah didirikan sebuah gudang untuk menyimpan stok makanan, disebutkan 粮 liáng yang selalunya dimaksudkan ialah beras, gandum dan makanan kering. Kapal-kapal yang pergi ke negara-negara lain akan mengambil bekalan makanannya di sini untuk dibawa ke dalam kapal. Menunggu sehingga angin selatan (yakni angin barat daya bagi kita) di pertengahan bulan 5 barulah kapal belayar meredah lautan untuk kembali (ke China).
Sesungguhnya catatan Mǎ huān telah memberikan gambaran awal tentang keadaan di Melaka sekurang-kurangnya sekitar tahun 1430an iaitu ketika pemerintahan Sultan Muhammad Shah. Melaka boleh menjadi pelabuhan yang pesat ketika itu adalah disebabkan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah laluan perkapalan timur barat di Selat Melaka.
Melaka hanya mempunyai sumber utama seperti bijih timah, kayu gaharu dan damar untuk diperdagangkan selainnya adalah barangan yang dibawa oleh para pedagang asing untuk didagangkan. Oleh itu Melaka banyak bergantung kepada cukai pelabuhan atau barangan yang diperdagangkan sebagai sumber negeri.
Ditulis oleh :
Megat Hisemudin Megat Kasim
Copy and paste:
24 Jun 2024 : 17 Zulhijjah 1445H: 12.14 a.m
No comments:
Post a Comment