Sunday 6 November 2022

JOM BELAJAR MENDENGAR

SUMBER : MAJALAH SOLUSI 76 (2015)

KITA LEBIH BANYAK MENDENGAR
Orang dewasa menghabiskan sekitar 70% masanya dalam komunikasi pelbagai rupa. Daripada jumlah ini, sekitar 45% digunakan untuk mendengar berbanding bercakap 30%, membaca 16% dan menulis 9%. 
(Berdasarkan kajian Alder R. Rosenfeld and  Proctor R (2001) dalam Interplay, the process of Interpersonal Communicating. )

Bagaimanapun, kita lebih banyak belajar bercakap dan menulis. Mungkin tidak pernah langsung belajar mendengar. 

MENDENGAR SEBENAR
Mendengar ialah keupayaan untuk secara tepat menerima dan memahami mesej dalam komunikasi. 
Mendengar bukan sekadar membiarkan kata-kata masuk ke telinga, sebaliknya tindakan aktif memikirkan maksud daripada kata-kata yang diterima. Mendengar memerlukan fokus. 

6 JENIS MENDENGAR
  1. Mendengar untuk BELAJAR
  2. Mendengar untuk MENGANALISIS
  3. Mendengar untuk MEMAHAMI
  4. Mendengar untuk BERHIBUR
  5. Mendengar untuk MEMBINA HUBUNGAN
  6. Mendengar untuk PILIH-PILIH
Realitinya kita boleh melakukan beberapa jenis mendengar dalam satu masa. 

AKIBAT TIDAK PANDAI MENDENGAR
  1. Berlaku salah faham
  2. Terlepas maklumat penting
  3. Menjejaskan hubungan
  4. Membahayakan
KESERONOKAN MENDENGAR
Telinga dengan mulut, dua nisbah satu. Maknanya kalau bercakap itu seronok, mendengar seganda lebih menyeronokkan. 

01. DISAYANGI
Orang amat berterima kasih kepada kita yang sudi mendengar masalahnya. Pendengar yang baik mudah mendapat kawan. "Oh, menarik cerita awak!"
Orang akan lebih terbuka berkongsi dengan kita. 

02. DIHORMATI
Dia ahli mesyuarat yang paling bijak. Tatkala orang lain banyak bercakap, dia mendengar sahaja. Namun sebaik bersuara, dia boleh merangkumkan semua sudut pandang orang lain. Kadang-kadang dengan satu pertanyaannya sahaja pecah semua kebuntuan. Maka apabila dia mula bercakap orang semua memberi perhatian. 

03. DAPAT BELAJAR LEBIH BANYAK
Apabila meletakkan diri dalam mood mendengar, kita akan mendapat ilmu dan pengajaran daripada sesiapa sahaja walaupun orang itu bukan berniat mengajar. Dengan mendengar, berapa banyak kita mendapat pengalaman berharga, kisah berinspirasi dan buah fikiran bernas orang lain?

04. DAPAT BUAT YANG TERBAIK UNTUK DIRI
Pendengar yang baik tahu banyak perkara yang dia tidak tahu dalam hidup. Jadi dia mengatasi kekurangan ini dengan bersedia mendengar buah fikiran, teguran dan pengalaman orang lain. Hasilnya dia dapat merancang dan membuat keputusan yang terbaik di samping membaiki diri. Berapa ramai orang kerugian dek tidak mendengar nasihat orang lain?

05. KURANG DOSA, LEBIH PAHALA
Banyak cakap, banyak salahnya. Dengar dan diam pula pahala percuma tanpa perlu berkata-kata

06. LEBIH MENYIHATKAN
Ada kajian mendapati dalam keadaan biasa aktiviti bercakap menaikkan tekanan darah, manakala mendengar menurunkan tekanan darah

KESALAHAN KETIKA MENDENGAR
  • Berpransangka tentang apa yang akan diperkatakan. 
  • Sibuk memikirkan apa yang hendak dicakapkan selepas ini. 
  • Tidak memberi maklum balas. 
  • Dengar sedikit terus membuat kesimpulan. 
  • Terus memotong cakap. 
  • Mendengar sambil melakukan kerja lain.
Disalin :
Hj Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL
6/11/2022 > 11 Rabiulakhir 1444H: 4.14 pm






No comments: