Monday 15 June 2020

KAPTEN MUKHTIAR SINGH





(Kapten Mukhtiar Singh)

Salam 2 all.

Saya tertarik membaca lapuran akhbar The STAR bertarikh 18.09.2010 yang membangkitkan isu berkenan kisah "Hero Tidak Bernama" iaitu Kapten Mukhtiar Singh yang telah banyak berkorban untuk negara diwaktu era komunis berleluasa dan zaman dharurat (sila lihat lapuran dibawah).
Oleh itu saya telah mengambil inisiatif mengemukakan soalan kepada Dewan Rakyat yang dijawab secara lisan hari ini oleh YB Menteri Pertahanan:

SOALAN:
YB Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) bertanya kepada Menteri Pertahanan:
a. mengapa Kapten (B) Mukhtiar Singh dinafikan menerima pencen sedangkan beliau telah banyak berjasa dan berkorban nyawa untuk menjaga keselamatan negara saperti yang dilapurkan oleh akhbar the Star bertarikh 18.09.2010; dan

b. sebagai alternatif, adakah Kerajaan bercadang memberikan anugerah Pingat Gagah Berani kepada Kapten Mukhtiar Singh untuk membolehkan beliau menerima elaun bulanan yang ditetapkan.


JAWAPAN YB MENTERI PERTAHANAN
Tuan Yang DiPertua, Kapten (B) Mukhtiar Singh (60135) telah memulakan perkhidmatan dengan Angakatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Askar Wataniah sebagai Permanent Staff Instructor selama 8 tahun, 5 bulan dan 27 hari.
Selepas itu beliau diserapkan kedalam Angkatan tetap sebagai Pegawai Tauliah Jangka Pendek (TJP) selama 8 tahun, 5 bulan dan 19 hari. Beliau menamatkan perkhidmatan TJPnya pada 12.06.1978.

Mengikut peraturan syarat-syarat perkhidmatan ATM yang berkuatkuasa pada ketika itu, Kapt (B) Mukhtiar Singh tidak layak dibayar Pencen Perkhidmatan tetapi hanya layak dibayar Ganjaran Tamat Perkhidmatan sebagai Pegawai TJP.
Secara keseluruhannya, dengan mengambil kira perkhirdmatan yang lepas, pelarasan Ganjaran Tamat Perkhidmatan yang telah dibayar kepada beliau adalah berjumlah RM71,280-00. Kementerian Pertahanan tidak menafikan bahawa Kapt (B) Mukhtiar Singh telah banyak berjasa serta mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang termasuk semasa beliau berkhidmat dengan PDRM. Walaubagaimanapun, semasa beliau menamatkan perkhidmatannya, syarat-syarat perkhidmatan yang berkuatkkuasa hanya melayakkan beliau dibayar Ganjaran Tamat Perkhidmatan tanpa pencen mengikut undang-undang yang berkuatkuasa ketika itu.

Tuan Yang DiPertua, walaupun begitu, sebagai seorang veteran ATM yang diiktiraf, beliau layak dibantu oleh Kementerian Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM. Kerajaan amat menghargai8 jasabakti serta keberanian luar biasa yang ditonjolkan oleh beliau, khususnya dengan penganugerahan Colonial Police Model for Gallantry In Action oleh Kerajaan Britain pada bulan Mei 1957. Beliau juga dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian oleh DYMM Sultan Selangor diatas jasanya.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pertahanan telah mengambil langkah yang proaktif dengan mengemukakan sokongan kepada Kerajaan agar Kapt (B) Mukhtiar Singh dianugerahkan Pingat Keberanian Persekutuan yang setimpal dengan keberanian yang telah beliau tunjukkan".

Semoga jawapan dan jaminan dari YB Menteri Pertahanan ini akan melegakan Kapt (B) Mukhtiar Singh. Saya sedar bahawa apa juga anugerah yang kita berikan tidak setimpal dengan pengorbanan dan jasa Kapt (B) Mukhtiar Singh. Namun kita berharap sumbangan kecil ini akan memberi semangat kepada Kapt (B) Mukhtiar Singh bahawa negara tidak melupan beliau.


Adios amigos.
Zulkifli Bin Noordin
Isnin
17 Zul Qaedah 1431
25 Okt 2010
###################################
(Lapuran akhbar The STAR bertarikh 18.09.2010)

No comments: