Pada 1 June 1997, saya bersama keluarga (Emak, Isteri dan anak, Kakngah dan Keluarga dan Kaklang dan Keluarga telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Subang menuju ke Lapangan Kota Kinabalu, Sabah.
Sebenarnya Kota Kinabalu bukanlah asing bagi saya, kerana ketika saya berkhidmat dengan kapal-kapal TLDM dahulu, kapal saya sering berlabuh di Pelabuhan Kota Kinabalu.
Jarak perjalanan udara dari Subang ke Kota Kinabalu adalah 2,360.62 km.
Setibanya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, telah sedia menunggu ialah Abang Sulong saya yang berkerja sebagai Manager Sime Bank di Kota Kinabalu.
Dari Lapangan Terbang kami dibawa menaiki Van menuju ke rumah Abang sulong saya di Grave Ville, Kota Kinabalu yang jaraknya lebih kurang 6.5 km.
Tidak jauh dari rumah Abang saya, terdapat sebuah tugu peringatan iaitu Tugu Peringatan Double Six, sebuah memorial untuk mengingati tragedi kemalangan pesawat pada 6 Jun 1976 dikenali sebagai Tragedi Double Six yang telah meragut nyawa Ketua Menteri Pertama Sabah, Allahyarham Tun Fuad Stephen beserta 6 menteri Sabah.
Allahyarham Tun Fuad Stephen
BERSIAR-SIAR DI KOTA KINABALU
Pada hari pertama Abang Sulong kami membawa kami bersiar-siar di sekitar bandar Kota Kinabalu.
Antara yang kami lawati ialah Pusat Warisan Tumbuhan Sabah, Pusat Kraftangan Sabah, Pasar Filipina, Muzium Sabah dan banyak lagi.
PANTAI TANJUNG ARU
Antara yang cukup terkenal di Kota Kinabalu ialah Pantai Tanjung Aru yang terletak lebih kurang 2.7 km dari Grace Ville.
Kami mengambil kesempatan untuk berkelah di Pantai ini yang sangat cantik dan indah..... Kata Abang Sulong saya orang ramai lebih suka datang ke Pantai ini waktu menjelang senja untuk melihat dan mengabdikan foto waktu matahari terbenam di pantai ini.
KUNDASANG, SABAH
KG NABALU
Pada 2 June 1997, kami bertolak dari Kota Kinabalu menuju ke Kundasang, Sabah yang jarak perjalanan adalah 94.7 km dalam jangkamasa perjalanan 2 jam 7 minit.
Sebelum tiba ke Tempat penginapan kami di Seri Intan Resort, kami singgah sebentar untuk membelibelah di Kg. Nabalu atau Pekan Nabalu, sebuah pekan kecil yang sering menjadi tumpuan pengunjung. Pekan ini juga pernah menjadi "toilet Stop" untuk pelancong yang menuju ke Taman Kinabalu.
SRI INTAN RESORT
KUNDASANG, SABAH
Kami menginap di Sri Intan Resort (dimiliki oleh TM Resort) terletak di Kampung Sinisian, lebih kurang 6 km dari Taman Kinabalu.
Dari Sri Intan Resort ini kita boleh melihat puncak Gunung Kinabalu, iaitu Gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.
KUNDASANG KE JAMBATAN AIR PANAS PORING
Setelah bermalam 1 malam di Sri Intan Resort, Kundasang, pada sebelah pagi 3.6.1997 selepas bersarapan kami bertolak Jambatan Air Panas Poring yang terletak lebih kurang 35 km dari Kundasang. Ianya terletak di dalam daerah Ranau, Sabah. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 48 minit untuk tiba ke sana.
Poring adalah nama Kadazan-Dusun untuk sejenis spesis buluh yang tumbuh di kawasan itu. Taman Mata Air Panas Poring terkenal dengan Kolam Air Panas dan Jambatan Gantung sepanjang 157.8 m dan setinggi 41 meter di atas pokok.
PONDOK TIMPOHON, TAMAN KINABALU, KUNDASANG, SABAH
Dari Jambatan Mata Air Panas Poring kami bertolak semula ke Kundasang untuk ke Pondok Timpohon. Ada 2 laluan untuk ke Taman Kinabalu, satu melalui Timpohon Gate dan satu lagi melalui Mesilau.
Pondok Timpohon adalah tempat permulaan untuk mendaki ke Gunung Kinabalu. Udara di sini segar, dingin dan nyaman.
MAKAN MALAM DI MENGGATAL, SABAH
Dari Kundasang kami bertolak ke Menggatal untuk makan Malam. Perjalanan dari Pondok Timpohon ke Menggatal agak jauh iaitu lebih kurang 78.2 km dan memakan masa perjalanan selama 1 jam 22 minit.
Menggatal adalah sebuah pekan kecil terletak di daerah Pantai Barat Sabah. Nama Menggatal adalah nama sejenis pokok mangga yang apabila dimakan buahnya boleh menyebabkan kegatalan. Buah itu disebut Mangga Gatal dan akhirnya menjadi Menggatal.
Nama Pekan Menggatal kini telah diubah menjadi Pekan Manggatal. Mungkin sebabnya supaya nama pekan tersebut tidak lagi memberikan maksud lain yang boleh bikin pergaduhan sesama pasangan suami isteri
PULANG KE KUALA LUMPUR
Setelah beberapa hari berada di Sabah, akhirnya kami pulang semula ke Kuala Lumpur pada 7 June 1997.
Posted on Blog:
15/2/2024 : 11.46 pm