Wednesday 24 April 2024

SIAPA SEBENARNYA SAN PENG?

Oleh : Nizam Ali
PERISTIWA N' SEJARAH


Flat Sri Selangor atau lebih dikenal sebagai Flat San Peng, tempat membesar salah seorang admin The Patriots. Flat ni antara flat terawal yang dibina di Kuala Lumpur pada 1972 dan terkenal selepas flat Pekeliling.
Flat ni dikenal sebagai Flat San Peng sebab flat ni terletak di Jalan San Peng yang berada tak jauh dari Jalan Loke Yew. Walaupun Jalan San Peng terkenal dengan beberapa tempat makan yang sedap, seperti San Peng Prawn Mee dan Nasi Lemak San Peng, ia juga sering dikaitkan dengan jenayah dan aktiviti berkaitan dadah.
Flat San Peng ni banyak lahirkan orang-orang penting antaranya Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang menjadi wira Malaysia ketika dilanda COVID-19.
Pada 1990-an, ramai orang Kuala Lumpur suka menyamakan nama “San Peng” dengan samseng. Tapi makin lama kawasan ni makin membangun dan lebih selamat daripada dulu.
Cuma mana datangnya nama San Peng ni?
Nama “San Peng” dipercayai merujuk kepada seorang lelaki bernama San Ah Peng, yang merupakan salah seorang kontraktor terkemuka di Kuala Lumpur pada akhir 1800-an.
San Peng dianggarkan lahir sekitar tahun 1808 hingga 1868. Beliau berasal dari wilayah Guangdong, China berhijrah dan menetap di Kuala Lumpur serta pernah menjadi pelombong bijih timah di Rawang, Ulu Selangor.
Beliau juga merupakan tokoh usahawan Cina yang banyak berkhidmat kepada masyarakat pelombong Cina di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.
Beliau menerima kontrak untuk buat banyak bangunan kerajaan, termasuk penjara baharu ketika itu di Pudu untuk menggantikan penjara di Bukit Aman.
Pembinaan Penjara Pudu telah siap pada tahun 1895, yang telah digunakan selama 101 tahun sebelum ditutup pada tahun 1996. Sekarang tapak Penjara Pudu dah jadi Lalaport Mall yang turut dikenal sebagai Bukit Bintang City Centre.
Banyak lagi nama-nama tempat di Kuala Lumpur yang diambil daripada nama-nama tokoh Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu seperti Chow Kit yang dinamakan bersempena dengan nama seorang pelombong timah dan kanselor perbandaran, Loke Chow Kit dan Jalan Chan Sow Lin, yang mana nama ini diperoleh daripada Chan Sow Lin, ahli perniagaan kaya di dalam industri besi.
Malah nama anak kepada San Peng sendiri iaitu San Ah Wing turut diabadikan namanya pada sebuah jalan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. San Ah Wing pernah menjawat jawatan sebagai pengarah urusan Kwong Yik (Selangor) Bank, bank tempatan pertama yang ditubuhkan di Tanah Melayu yang kini menjadi RHB Bank.
Oleh: Azizul Farhan
The Patriots

Copy and paste:
24 April 2024 > 16 Syawal 1445H: 10.58 p.m

No comments: