Sunday 14 April 2024

Benarkah Fo lo an itu Kedah Tua dalam catatan Zhu Fan Zhi

Oleh: Nizam Ali
PERISTIWA N' SEJARAH

Buku 诸蕃志 Zhu Fan Zhi ditulis oleh 赵汝适 Zhao Rukuo atau Chau Ju-kua (1170 - 1231) semasa Dinasti Sung. Beliau bertugas sebagai 福建路市舶提举 penyelia perdagangan maritim di 泉州 Quanzhou dalam Wilayah Fujian. Oleh itu beliau mempunyai peluang untuk berjumpa dengan para pedagang dari banyak negara dan merekodkan pelbagai barangan hasil mahsul sesebuah negara serta mengkaji peta kedudukan negara-negara sejauh ke timur dari Jepun sehingga ke timur Afrika.
Catatannya disiapkan dalam tahun 1225 yang terbahagi kepada dua jilid di mana jilid pertama mengisahkan kedudukan geografi, budaya, pemerintahan dan lain-lain. Manakala jilid kedua mengisahkan tentang hasil mahsul sesebuah negara dan barangan yang didagangkan.
Buku ini kemudiannya menjadi rujukan utama ahli-ahli sejarah untuk mengetahui perkembangan sejarah awal Asia Tenggara khasnya dalam abad ke 12 - 13. Terjemahan awal ke bahasa Inggeris serta catatan penerangan lanjut telah dilakukan oleh Friedrich Hirth dan William W. Rockhill yang diterbitkan di tahun 1911.
Artikel ini lebih memfokuskan tentang 15 buah negara naungan Srivijaya yang tercatat dalam Zhu Fan Zhi khususnya dan untuk menentukan adakah benar Fo lo an itu ialah Kedah Tua.
Dicatatkan terdapat 15 buah negara naungan Srivijaya iaitu 蓬丰 Péng fēng, 登牙侬 Dēng yá nóng, 凌牙斯加 Líng yá sī jiā, 吉兰丹 Jí lán dān, 佛罗安 Fó luó ān, 日罗亭 Rì luō tíng, 潜迈 Qián mài, 拔沓 Bá dá, 单马令 Dān mǎ lìng, 加罗希 Jiā luō xī, 巴林冯 Bālín féng, 新拖 Xīn tuō, 监篦 Jiān bì, 蓝无里 Lán wú lǐ dan 细兰 Xì lán.
Srivijaya adalah sebuah empayar kerajaan yang mengamalkan corak pemerintahan persekutuan atau federalisma di mana ia berpusat di Palembang dengan menguasai 15 buah negara naungan yang membayar ufti setiap tahun kepada Srivijaya.
Disebabkan Palembang iaitu 巴林冯 Bālín féng adalah sebuah negara naungan Srivijaya maka ramai yang keliru bagaimana Srivijaya menguasai 15 negara naungan sedangkan Palembang itu adalah sebuah negara dalam naungannya sendiri di mana pusat pemerintahannya terletak di Palembang?
Secara mudahnya kita boleh bandingkan ibukota Malaysia dahulunya iaitu Kuala Lumpur yang terletak dalam negeri Selangor di mana Selangor adalah salah sebuah negeri dalam Malaysia. Yang berbeza konsep persekutuan semasa Srivijaya ialah negara naungan tetapi persekutuan di Malaysia ialah gabungan negeri-negeri dan wilayah persekutuan.
Dalam catatan sejarah China menyebut 窒利佛逝 Shilifoshi atau 佛逝 Foshi sebagai Srivijaya. Ia juga kadang-kadang merujuk Shilifoshi sebagai Palembang iaitu tempat ibukota kerajaan Srivijaya. Sama juga dengan istilah moden dalam hubungan antarabangsa akan menyebut Kuala Lumpur atau Putrajaya sebagai entiti kerajaan Malaysia.
Dalam Zhu Fan Zhi selain 巴林冯 Bālín féng (Palembang), terdapat 3 buah negara naungan yang lain terletak di Sumatera dan Jawa iaitu 新拖 Xīn tuō (Sunda), 监篦 Jiān bì (Jambi) dan 蓝无里 Lán wú lǐ (Lamuri atau Lamri).
Disebutkan tentang Sunda, "新拖国,有港,水深六丈,舟车出入。两岸皆民居". Negara Sunda mempunyai pelabuhan dengan kedalaman air laut 6 zhang atau bersamaan 60 kaki di mana kapal-kapal boleh keluar masuk. Kedua-dua belah pantai juga terdapat penduduk.
Kenyataan ini menunjukkan yang negara Sunda terletak di bahagian paling selatan Sumatera iaitu di Provinsi Lampung dan ke bahagian paling barat Pulau Jawa iaitu Provinsi Banten sekarang.
Lebih lanjut dituliskan, "苏吉丹,即闍婆之支国;西接新拖, 東連打板. 有山峻极,名保老岸。番舶未到,先见此山". Negara 苏吉丹 Sujitan ialah negara cabang kepada 闍婆 Shepo iaitu kerajaan Mataram Kuno di Jawa Tengah. Mungkin yang dimaksudkan sebagai "negara cabang" ialah Sujitan didirikan oleh kerabat Mataram Kuno. Ke barat Sujitan ialah Sunda. Terdapat sebuah gunung yang tinggi bernama 保老岸 Pangrango. Kapal-kapal asing sebelum tiba ke pelabuhan telah nampak gunung ini. Ke timur Shepo bersambungan dengan 打板 Tuban.
Dalam Zhu Fan Zhi juga menyebut 闍婆 Shepo iaitu kerajaan Mataram Kuno mempunyai 14 buah negara naungan termasuk 打板 Tuban dan 戎牙路 Karajan Janggala yang terletak di sebelah timur Jawa yakni di Surabaya sekarang. Begitu juga 丹戎武罗 Tanjungpura dan 7 buah negara naungan Shepo yang lain terletak di pesisir Kalimantan yakni di Kalimantan barat, tengah dan timur sekarang.
Dengan ini jelas menunjukkan bahawa sempadan Srivijaya di Jawa hanya di Sunda iaitu Provinsi Banten sahaja. Manakala ke timur Sunda iaitu Sujitan adalah terletak dalam pengaruh kerajaan Mataram Kuno. Berdasarkan lakaran peta lama, kedudukan Sujitan ialah negara lama bagi Tarumanagara.
Tentang 监篦 Jiān bì kebanyakan ahl-ahli sejarah menterjemahkan sebagai Jambi tetapi dalam terjemahan yang dibuat oleh Friedrich Hirth dan William W. Rockhill menyebutnya sebagai Kampar. Sebenarnya ia juga tidak salah kerana keseluruhan kawasan tersebut yang bermula dari sempadan utara Palembang sehingga ke Lamuri iaitu Sumatera Utara sekarang disebut 监篦 Jiān bì di mana pelabuhan utamanya terletak di Sungai Kampar. Dipercayai Kampar adalah pusat pemerintahan kerajaan Moluoyue di mana terdapatnya sebuah kuil kuno yang dikatakan era Srivijaya bernama Kuil Muara Takus.
Dalam catatan 义净 Yi Jing semasa Dinasti Tang yang menyebut 末罗瑜 Moluoyue atau Melayu adalah merujuk kepada Jambi di mana pelabuhan tempat Yi Jing turun dari kapal raja Srivijaya yang ditumpanginya ialah pelabuhan Kampar. Perlu ditegaskan bahawa Jambi adalah merujuk kepada sebuah negara dan Jambi juga merujuk kepada sebuah kota lama di Sungai Jambi.
Dalam Zhu Fan Zhi menyebut, "监篦国,其国当路口,舶船多泊此。从三佛齐国,风帆半月可到。旧属三佛齐,后因争战,遂自立为王". Negara Jambi adalah pusat perkapalan yang bersimpang-siur di mana banyak kapal-kapal dagangan berlabuh. Dari negara Sanfoqi (di sini Sanfoqi merujuk kepada Palembang) kapal layar akan mengambil masa setengah bulan untuk sampai. Ia (Jambi) adalah bekas negara naungan Sanfoqi (Srivijaya). Disebabkan peperangan yang akhirnya merdeka dan menjadi raja.
Ini bermakna Jambi telah merdeka dari dari Srivijaya sebelum tahun 1225 ketika buku Zhu Fan Zhi disiapkan. Dengan fakta jumlah hari pelayaran setengah bulan dari Sanfoqi adalah sama dengan catatan Yi Jing yang menyebut dari Shilifoqi ke Moluoyu ialah 15 hari. Maka dengan itu mengesahkan tempat pelabuhan di mana Yi Jing turun dari kapal raja ialah di pelabuhan Kampar.
Negara Lamuri atau Lamri adalah nama asal bagi Aceh yang terletak di Sumatera Utara. Dalam Zhu Fan Zhi menyebut dari negara Jambi (dipercayai merujuk kepada pelabuhan Kampar) ke Lamuri ialah 5 hari pelayaran kapal. 蓝无里国 ... 国人好鬪,多用药箭。Negara Lamuri yang penduduknya 好鬪 suka berlawan dan kebanyakannya menggunakan anak panah beracun. Maka tidak hairanlah Aceh adalah sebuah negara yang berjiwa penakluk.
Tentang 细兰 Xì lán dituliskan, "自蓝无里风帆将至其国,必有电光闪烁,知是细兰也". Dari Lamuri kapal layar boleh sampai ke negara itu dan pastinya akan berjumpa dengan kilat sambar-menyambar maka tahulah sudah sampai ke Xi lan yakni Ceylon yang kini disebut Sri Lanka.
Beralih ke Semenanjung Tanah Melayu, 单马令 Dān mǎ lìng (Tambralinga) tidak ditulis secara khusus melainkan hanya disebut, "凌牙斯国,自单马令风帆六昼夜可到,亦有陆程". Kedudukan 凌牙斯国 negara Langkasuka dari Dan ma ling ialah 6 hari pelayaran kapal layar siang dan malam. Antara kedua-duanya juga terdapat jalan darat.
Kenyataan ini mengesahkan bahawa antara Dan ma ling dan Langkasuka bersempadan. Mengikut sejarah Dinasti Sung, Dan ma ling atau Tambralinga wujud antara abad ke 10 - 13 dan pernah menghantar utusan ke China di tahun 1001. Dan ma ling ditawan oleh Dinasti Sokhothai pada hujung abad ke 13 dan kemudiannya dinamakan Nakhon Si Thammarat. Dalam catatan Melayu menyebutnya sebagai Ligor.
Bagi 日罗亭 Rì luō tíng, 潜迈 Qián mài, 拔沓 Bá dá dan 加罗希 Jiā luō xī dituliskan dalam satu kumpulan yang sama, bermakna ia terletak berjiranan antara satu sama lain. 本国以所得金银器纠集日罗亭等国类聚献入三佛齐国. Semua barangan emas dan perak yang diperolehi dari negara-negara ini dikumpulkan di Ri luo ting untuk diserahkan kepada Sanfoqi (Srivijaya) sebagai hantaran ufti.
Dalam buku sejarah Dinasti Sung tidak pernah pun menyentuh kewujudan negara-negara Ri luo ting, Qian Mai dan Ba da. Ini menunjukkan negara-negara ini hanyalah negara-negara kecil yang wujud ketika itu sahaja. Bagaimana pun dalam catatan sejarah Dinasti Sung terdapat catatan tentang negara Jia luo xi. Ini bermakna antara keempat-empat negara itu hanya Jia luo xi mempunyai sejarah yang lebih panjang.
Dalam Zhu Fan Zhi hanya menyentuh tentang Jia luo xi secara sepintas lalu melalui bab Chenla. 真腊,接占城之南,东至海,西至蒲甘,南至加罗希. Chenla bersambung dengan bahagian selatan Champa. Timurnya hingga ke laut iaitu Laut China Selatan. Baratnya hingga ke Bagan iaitu sebuah bandar kuno di Mynmar sekarang. Selatannya sampai ke Jia luo xi.
Merujuk sejarah Chenla ketika 苏耶跋摩二世 Suryavarman II (1113 - 1150), wilayah Chenla telah sampai ke Jia luo xi. Dalam catatan China menyebut Chenla bermakna kerajaan Chenla dan Empayor Angkor digabungkan sekali. Istilah Empayar Angkor sebenarnya hanya diberikan oleh ahli-ahli sejarah barat terhadap pemerintahan Chenla yang bermula dari Jayavarman II di tahun 802 - 1431. Berdasarkan pertarikhan itu, Jia luo xi terlebih dahulu pernah menjadi tanah jajahan Chenla (yakni ketika Empayar Angkor) sebelum berada di bawah Srivijaya.
Ahli-ahli sejarah mengenalpasti Jia luo xi sebagai Grahi atau disebut Chaiya sekarang. Ia juga mudah dikenalpasti daripada huruf 希 xi (dibunyikan si) yang selalunyanya diterjemahkan daripada sebutan "hi" dalam bahasa Melayu. Oleh itu kedudukan Jia luo xi atau Grahi dengan 日罗亭 Rì luō tíng, 潜迈 Qián mài dan 拔沓 Bá dá adalah berada di antara Kra dengan Tambralinga yang mengadap Teluk Siam.
Antara negara naungan Srivijaya yang terbesar ialah 凌牙斯加 Líng yá sī jiā iaitu Langkasuka. Dalam buku sejarah China ia mula tercatat dalam 隋书 Suishu iaitu ketika utusan Langkasuka datang menghadap Dinasti Shui pada abad ke 5. Menurut utusan itu bahawa negaranya telah terbina 400 ratus tahun lebih awal. Maka sebab itulah ahli-ahli sejarah menganggarkan kerajaan Langkasuka telah terbina di abad pertama Masehi.
Banyak catatan China semasa Dinasti Tang dan Sung yang menyebut bahawa terdapatnya jalan darat yang pendek di Langkasuka yang yakini ialah Kra atau Segenting Kra di mana para pengembara dan sami-sami Buddha akan turun dari kapal di Teluk Siam. Setelah melepasi Kra mereka akan menaiki kapal di Laut Andaman untuk belayar ke barat.
Berpandukan kepada catatan 常骏 Chang Jun, seorang utusan Dinasti Sui yang datang ke negara Chi Tu di awal abad ke 7 menyebut sempadan antara Langkasuka dengan Chi Tu ialah sekitar 雞籠島 Pulau Jilong atau dalam setengah catatan menyebut Ki-lung. Ia terletak di selatan Nakhon Si Thammarat. Ini bermakna sempadan utara Langkasuka ialah di sekitar Kra dan sempadan selatan di sekitar Pulau Jilong.
Selepas abad ke 7 Chi Tu hilang dalam rekod China dan dipercayai ditawan oleh Langkasuka sehinggalah Langkasuka menjadi negara naungan Srivijaya. Setelah Siam di bawah Dinasti Sukhothai menawan sebahagian besar bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu sehingga ke bahagian utara Nakhon Si Thammarat, maka baki tanah Langkasuka itulah yang kita lihat pada peta Langkasuka sekarang. Sebenarnya Langkasuka dalam peta tersebut dahulunya adalah negara Chi Tu yang bersempadan dengan Kelantan.
Kekeliruan sering berlaku di kalangan ahli-ahli sejarah dan orang awam yang menganggap Langkasuka berpusat di Pattani sahaja kerana itulah peta yang ada pada masa sekarang. Terbentuknya kerajaan Pattani setelah kejatuhan Srivijaya di hujung abad ke 14. Namun mereka tidak mengetahui semasa wujudnya Langkasuka belum terbina lagi kerajaan Pattani.
Pengesahan kewujudan Langkasuka pada era ini dibuktikan dengan 郑和航海图 Zheng He navigation map yang tertera 狼西加 Langkasuka terletak ke utara 吉蘭丹港 Pelabuhan Kelantan dan 丁架路 Terengganu.
Dalam bab Fo lo an dituliskan, "其邻蓬丰、登牙侬、加吉兰丹类此". Negara jiran Fo lo an ialah 蓬丰 Péng fēng (Pahang), 登牙侬 Dēng yá nóng (Terengganu), 吉兰丹 Jí lán dān (Kelantan). Maka sudah tentulah Fo lo an terletak di Semenanjung Tanah Melayu yang berjiran dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Setelah 14 buah negara-negara naungan Srivijaya diketahui, maka di mana pula Kedah Tua? Sedangkan kita ketahui Kedah Tua adalah salah sebuah negara naungan Srivijaya yang utama. Baki negara yang ke 15 ialah Fo lo an, maka adakah Fo lo an itu merujuk kepada Kedah Tua?
Terjemahan Friedrich Hirth dan William W. Rockhill menyebut Fo lo an sebagai Beranang. Manakala Jerini, J.R.A.S menyebutnya sebagai Beranang yang terletak di Selangor. Ada pula orang-orang di Malaysia menyebutnya sebagai Kuala Berang berasaskan sebutan yang hampir sama dengan Beranang di mana dijumpai batu bersurat tentang kemasukan Islam terawal di Terengganu.
Dalam Zhu Fan Zhi hanya mencatatkan beberapa perkara utama tentang Fo lo an selain menyebut bentuk patung Buddha yang mempunyai 6 tangan dan nama 國主 penguasa negara tetapi tidak disebut sebagai 國王 raja. Ini dipercayai hanya raja Srivijaya sahaja yang disebut raja.
Pertama, 佛罗安国,自凌牙斯加四日可到,亦可遵陆. Dari negara Langkasuka ke negara Fo lo an boleh sampai dalam jarak masa 4 hari (mungkin dimaksudkan dengan kapal layar), ia juga boleh dihubungi dengan jalan darat.
Kedua, 番商兴贩,系就三佛齐、佛罗安等国转易. Perniagaan pedagang-pedagang asing begitu rancak iaitu dengan negara-negara Sanfoqi dan lain-lain negara yang menjadikan Fo lo an tempat bertukar-tukar barang.
Ketiga, 番商以金、银甆、铁 ......博易 ..... 岁贡三佛齐. Pedagang-pedagang asing berdagang dengan emas, peralatan perak, besi ....... setiap tahun menghantar ufti kepada Sanfoqi.
Dari segi geografi, Langkasuka dan Kedah Tua memang bersempadan maka ia menepati "boleh dihubungi dengan jalan darat" dan jaraknya juga dekat. Pelabuhan Kedah Tua merupakan sebuah pelabuhan yang sibuk ketika itu dengan kedatangan pedagang-pedagang Arab, India, China dan dari negara-negara naungan Srivijaya sendiri. Antara negara-negara naungan Srivijaya (Sanfoqi) hanya Kedah Tua saja yang disebut berdagang "dengan besi". Ini bertepatan dengan aktiviti peleburan besi di Sungai Batu.
Catatan 贾耽 Jia Dan semasa Dinasti Tang menyebut Kedah Tua sebagai 箇罗 Geluo (dibunyikan keluo). Dalam 新唐书 Xintangshu menulisnya sebagai 哥罗 Geluo yakni sama bunyi tetapi berlainan huruf. Manakala dalam buku sejarah Dinasti Sung menyebutnya sebagai 古罗 Guluo (dibunyikan kuluo). Yang dikatakan 羯茶 Jié chá atau dalam sebutan 中古音 ancient Chinese phonology disebut "kiet cha" sebenarnya bukanlah dari rekod sejarah Cina tetapi dari terjemahan bunyi perkataan "kedah".
Dalam Zhu Fan Zhi pula menulisnya sebagai 佛罗安 Fo lo an (sebenarnya dituliskan fo luo an). Dipercayai nama asalnya ialah 佛罗 Fo lo sahaja. Manakala 安 an pula mempunyai maksud aman sejahtera. Ia seperti amalan kita meletakkan penambahan Kedah Darul Aman, Selangor Darul Ehsan, Terengganu Darul Iman dan sebagainya.
Sebenarnya terdapat catatan dalam buku sejarah Dinasti Sung yang menyebut, "国有古罗山,因名焉". Negara terdapat sebuah gunung yang bernama 古罗山 Guluo shan maka diberikan nama negara sebagai 古罗 Guluo. Yang dimaksudkan Guluo shan ialah Gunung Jerai. Ini kerana Gunung Jerai telah sinonim dengan Kedah yang menjadi pedoman kepada para pedagang yang hendak berlabuh di Kedah.
Jika kita bandingkan 箇罗 Geluo (keluo) semasa Dinasti Tang, 古罗 Guluo (kuluo) semasa Dinasti Sung dan 佛罗 Foluo dalam catatan Zhu Fan Zhi mempunyai persamaan "罗 luo". Mungkin "luo" untuk mengekalkan identiti Gunung Jerai.
Huruf 佛 fo dalam Foluo bermakna Buddha. Ini juga terdapat dalam sebutan Srivijaya yang menulis huruf 佛 fo dalam 室利佛逝 Shilifoshi dan 三佛齐 Sanfoqi yang melambangkan sebuah negara yang berugama Buddha.
Walaupun tidak jelas alasan mengapa terjemahan Friedrich Hirth dan William W. Rockhill menyebut Fo lo an sebagai Beranang namun dipercayai ia merujuk kepada ayat 其邻蓬丰、登牙侬、加吉兰丹类此 jiran Fo lo an ialah Pahang, Terengganu dan Kelantan. Tidak dapat dipastinya siapa pula yang mengaitkannya dengan Kuala Berang di Hulu Terengganu yang seakan-akan sebutan Beranang. Kemudiannya pendapat yang mengatakan Fo Lo An sebagai Beranang telah diterima lebih daripada 100 tahun bermula dari tahun 1911 apabila terjemahan Zhu Fan Zhi diterbitkan ke bahasa Inggeris.
Terdapat ayat 佛罗安国,自凌牙斯加四日可到,亦可遵陆. Dari negara Langkasuka ke negara Fo lo an boleh sampai dalam jarak masa 4 hari (dipercayai dengan jalan laut), ia juga boleh dihubungi dengan jalan darat. Mungkin ditafsirankan jalan darat dari Langkasuka ialah melalui Kelantan dan Terengganu untuk sampai ke Kuala Berang.
Namun setelah 14 buah negara naungan diketahui tetapi tidak termasuk Kedah Tua, maka tentulah negara ke 15 dalam Srivijaya yang disebut Fo Lo An itu ialah Kedah Tua. Ciri-ciri yang disebutkan di atas juga adalah sama yang terdapat dengan Kedah Tua. Tambahan pula faktor perniagaan besi disebut di pelabuhan Fo Lo An di mana Sungai Batu, Kedah adalah pusat peleburan besi. Namun tidak pernah disebut pelabuhan di Hulu Terengganu berdagang besi. Oleh itu meyakinkan kita Fo Lo An bukanlah Kuala Berang.
Berdasarkan fakta-fakta di atas bolehlah dirumuskan bahawa yang dimaksudkan sebagai Fo lo an dalam buku Zhu Fan Zhi itu merujuk kepada Kedah Tua adalah tepat dan tidak sebagai Beranang. Ia juga menolak andaian setengah pihak yang mendakwa 日罗亭 Rì luō tíng itu sebagai Cherating adalah tidak benar.
Selain daripada itu berdasarkan catatan dalam buku Zhu Fan Zhi juga telah menjelas dua perkara penting:
Pertama, Srivijaya hanya dibentuk dengan 15 buah negara naungan dan hanya Sunda sahaja yang terletak di Pulau Jawa. Tidak pernah disebut Jawa Tengah atau lebih tepat Dinasti Sailendra pernah berada dalam Srivijaya. Ini kerana Sailendra adalah satu dinasti yang memerintah dalam Empayar Mataram Kuno yang mempunyai 14 buah negara naungan dan sebuah negara cabang. Srivijaya dan Mataram Kuno yang disebut Shepo dalam catatan China adalah dua kuasa yang berasingan.
Kedua, hanya Jambi sahaja daripada 15 buah negara naungan yang telah merdeka daripada Srivijaya (Sanfoqi) selewat-lewatnya pada tahun 1225 ketika tahun buku itu diterbitkan. Ini juga bermakna setelah serangan Chola kali keduanya di tahun 1025 tidak menyebabkan Srivijaya menjadi lemah dan tersungkur seperti dakwaan kebanyakan penulisan sejarah yang lain yang menyatakan sehingga banyak negara naungan membebaskan diri.
Menurut catatan Dinasti Ming, Srivijaya (Sanfoqi) hanya dapat ditewaskan oleh Majapahit di tahun 1397 yakni di penghujung abad ke 14 setelah sebahagian besar Sumatera jatuh ke tangan Majapahit dan kerabat diraja Srivijaya meninggalkan Palembang menuju ke barat Sumatera. Ada yang menyebut kemudiannya mendirikan kerajaan tertutup yang bersendirian iaitu kerajaan Minangkabau.
Namun kekosongan kuasa di Palembang diambilalih oleh 梁道明 Liang Dao Ming bersama lebih seribu orang-orang dari China yang berada di Palembang ketika itu yang kemudiannya membentuk kerajaan baru. Semasa kemuncaknya terdapat puluhan ribu orang-orang dari China yang dibawa dari Guangdong untuk mempertahankan kerajaan ini. Kemudiannya diwarisi oleh keluarga 施进卿 Shi Jinqing. Ia bertahan sekitar 30 tahun dan akhirnya ditawan oleh Mahapahit.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim

Copy and paste:
14 April 2024 > 6 Syawal 1445H: 11.28 p.m


No comments: