Friday 9 June 2023

Dimana letaknya Langkasuka?

Posted by Megat Hisemudin Megat Kasim > FB PERISTIWA N' SEJARAH

Nama Langkasuka mula dijumpai dalam catatan China dari 梁书 Liangshu yang menyebut sebagai 狼牙脩 atau 狼牙修 Lang ya xiu iaitu ketika 南梁朝 Dinasti Liang Selatan (502 - 557).
Semasa Dinasti Sung, Langkasuka dituliskan sebagai “凌牙斯加” Ling ya si jia, ketika Dinasti Yuan iaitu orang-orang Monggol memanggilnya “龙牙犀角” Long ya si jiao. Manakala semasa Dinasti Ming menyebutnya “狼西加” Lang si jia.
Pada prasasti Tanjore yang dijumpai di selatan India mencatatkan sebagai Ilangasongam. Dalam puisi Jawa pada abad ke 14 mencatatkan sebagai Nagarakrtagama. Kitab al-Minhaj al-fakhir fi-ilm al-bahr al-zakhir pula menulisnya sebagai Langashuka.
Perkataan Langkasuka juga dipercayai berasal dari bahasa Sanskrit, Langka atau langkha bermakna "tanah yang indah permai" manakala Sukha ialah "suka". Jadi Langkasuka diertikan sebagai suka dengan tanah yang indah permai.
Dalam Hikayat Merong Mahawangsa pula menyebut permulaan negeri Kedah adalah dari Langkasuka. Namun ramai ahli sejarah menganggap Kedah dan Langkasuka adalah dua politi yang berlainan di mana Langkasuka terletak di pantai timur dan Kedah di pantai barat Semenanjung.
Dalam tahun 515 raja Langkasuka, 婆加达多 Bhagadatta Pajiadaduo telah menghantar utusan ke China. Kemudiannya diikuti dalam tahun 523, 531 dan 568. Langkasuka adalah sebuah negara Hindu - Buddha. Kebanyakan rakyatnya ialah orang Khmer.
Utusan Langkasuka (lihat gambar yang telah berusia lebih 1,500 tahun) menyebut 立國以來四百余年 telah terbina negara lebih daripada 400 tahun. Maka dengan itu dipercayai Langkasuka telah diasaskan pada abad pertama Masehi.
Sehingga kini para ahli sejarah masih tidak dapat menentukan kedudukan sebenar Langkasuka namun secara amnya bersetuju ia terletak ke utara daripada negeri Kelantan dan berada di pantai timur.
其界东西三十曰,南北二十行,去广州二万四千里. Sempadannya timur - barat (berjalan kaki) 30 hari, utara selatan (berjalan kaki) 20 hari. Pergi ke Guangzhou sejauh 24,000 li (li ialah satu unit ukuran panjang sekitar 500 meter).
Bagi mengetahui kedudukan sempadan selatan Langkasuka di abad ke 6 - 7, kita harus merujuk kepada satu catatan 隋书 Suishu tentang pelayaran 常骏 Chang Chun ke 赤土 negara Chih Tu atau kerajaan Tanah Merah dalam tahun 607.
又南行,至師子石,自是島嶼連接, 又行二三日,西望見狼牙須國之山,於是南達雞籠島,至於赤土之界, 月餘至其國都.
Belayar lagi ke selatan sampai ke batu singa, ia adalah sekumpulan pulau-pulau yang bersambungan (dipercayai ialah pulau-pulau sekitar Koh Samui).
Kemudian belayar lagi selama 2 - 3 hari nampaklah pada pandangan gunung negara LANGKASUKA di bahagan barat. Akhirnya sampailah ke selatan iaitu Pulau Ji Long, maka di sinilah SEMPADAN Chih Tu. Sebulan lebih barulah sampai ke ibu kota Chih Tu.
Jika kita melihat kepada peta selatan Thailand sekarang, dari batu singa iaitu pulau-pulau Koh Samui belayar 2 - 3 hari boleh nampak gunung negara LANGKASUKA bermakna ketika itu mereka berada di sekitar Nakhon Si Thammarat atau Ligor yang mungkin sekali sempadan utara Chih Tu.
Oleh itu sempadan selatan Langkasuka ialah negara Chih Tu yang terletak di sekitar Nakhon Si Thammarat atau Ligor.
Dalam catatan China menyebut sempadan utara Langkasuka ialah 盘盘 Pan Pan. Ia sebuah negara yang lebih kecil daripada Langkasuka.
Semasa Dinasti Tang dikatakan ramai sami Buddha telah ke India untuk mempelajari ugama Buddha. Selain mengikut jalan darat iaitu Jalan Sutera, ramai yang mengikut jalan laut seperti 义净 Yi Jing yang telah ke Srivijaya, Molouyu dan Chieh Cha (Kedah) untuk terus ke India.
Ada pula yang menaiki kapal dari China tetapi menggunakan jalan darat yang dipercayai melalui Langkasuka dan kemudiannya meneruskan perjalanan laut terus ke India. Ini kerana terdapatnya sebuah sungai yang mengalir ke pantai timur di tempat yang dikenali sebagai Pak Nam Lang Suan di utara daerah Surat Thani sekarang. Selalunya di kuala sungai akan dibina sebuah pelabuhan.
Pengembara akan memudiki sungai ini dan kemudiannya berjalan kaki atau menaiki gajah untuk menyambung perjalanan ke pelabuhan di pantai barat.
Dipercayai sungai inilah sempadan utara Langkasuka kerana kebanyakan negara menggunakan sungai sebagai sempadan. Di sebelah utara ialah negara Pan Pan.
Jika kita teliti ayat, "sempadannya timur - barat (berjalan kaki) 30 hari, utara selatan (berjalan kaki) 20 hari" dan mengambilkira kedudukan Nakhon Si Tammarat atau Ligor, kita dapati ia menepati keluasan kawasan ini. Sila rujuk peta yang menunjukkan timur - barat lebih panjang dari utara - selatan.
Pada abad ke 7 Chih Tu hilang dari rekod China dan dipercayai Langkasuka telah menakluki Chih Tu. Asalnya sempadan negara Chih Tu ialah di utaranya bersempadan dengan Langkasuka manakala selatannya ialah 旦旦 atau 丹丹 Tan Tan iaitu Kelantan.
Dengan penaklukan ke atas Chih Tu oleh Langkasuka maka tempat-tempat yang bernama Songkhla, Pattani dan lain-lain telah menjadi sebahagian daripada takluk Langkasuka.
Oleh itu peta Langkasuka pada abad pertama sehingga ke 7 adalah sehingga sekitar Nakhon Si Thammarat atau Ligor sahaja. Ia berkemungkinan adalah sebahagian besar daripada daerah Surat Thani sekarang. Sebab itulah di daerah ini banyak terdapat tinggalan artifak sejarah perkembangan ugama Buddha.
Manakala dari abad ke 7 sehingga ke 14 sempadan Langkasuka adalah meliputi kawasan yang lebih besar di selatan yang didiami oleh ramai orang-orang Melayu. Sebab itulah dalam banyak catatan mengatakan Langkasuka berpusat di Pattani dan menganggap Langkasuka sebagai kerajaan tua orang-orang Melayu di Nusantara.
Dari abad ke 7 - 14 Langkasuka berada di bawah empayar Srivijaya yang mengamalkan corak pemerintahan "federalisma" yang mana Langkasuka adalah sebuah negara naungan Srivijaya.
Pada masa yang sama Kedah juga berada di bawah empayar Srivijaya. Pada abad ke 11 Kedah ditakluki oleh Raja Chola dari selatan India lalu melantik sebuah kerajaan boneka Kadaram. Namun perubahan pemerintahan di Kedah tidak mengaitkan perubahan di Langkasuka.
Semasa Dinasti Yuan (1260 - 1368) dikatakan hubungan dagangan antara China dengan Langkasuka amat rancak. Juga dicatatkan Islam telah berkembang di Langkasuka.
Terdapat peta Zheng He's Navigation Map 郑和航海图 zheng he hang hai tu yang mencatatkan Langkasuka terletak ke utara Terengganu dan Kelantan. Laksamana Cheng He meninggal dunia di tahun 1433 ketika ekspedisinya yang ke 7. Dengan ini mengesahkan bahawa di awal abad ke 15 masih wujud kerajaan Langkasuka.
Sila rujuk kepada peta ini yang ditulis 狼西加 Lang xi jia iaitu Langkasuka mungkin merujuk ibu negara Langkasuka yakni Pattani kerana kedudukannya di selatan Songkla.
Setelah kekuasaan Srivijaya semakin merosot di hujung abad ke 14, maka banyak negara-negara naungan telah berpecah dan membebaskan diri termasuklah Langkasuka.
Tidak diketahui dengan tepat bila kerajaan Langkasuka terbubar yang akhirnya lahirlah kerajaan Patani di bahagian selatan dan kerajaan Ligor di utara sebagai pewaris Langkasuka.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim

Copy and paste:
9 June 2023 > 21 Zulkaedah 1444H: 9.06 pm

No comments: