Thursday 15 June 2023

10 tanda anda menghidap penyakit buah pinggang

BY : ZUBAIDAH IBRAHIM > relevan.com.my

LEBIH 37 juta orang dewasa di Amerika Syarikat hidup dengan penyakit buah pinggang dan kebanyakan mereka tidak mengetahuinya.

Terdapat beberapa tanda fizikal penyakit buah pinggang, tetapi kadang-kadang orang mengaitkannya dengan keadaan lain.


Selain itu, mereka yang menghidap penyakit buah pinggang juga tidak mengalami sebarang gejala sehingga didiagnosis di peringkat akhir apabila buah pinggang gagal atau apabila terdapat sejumlah besar protein dalam air kencing.

“Ini adalah salah satu sebab mengapa hanya 10 peratus penghidap buah pinggang kronik menyedari bahawa mereka menghidapi penyakit itu.

“Golongan berisiko mendapat penyakit buah pinggang kerana tekanan darah tinggi, kencing manis, sejarah keluarga yang menghidap penyakit tersebut atau jika anda berumur lebih 60 tahun adalah penting untuk menjalani ujian setiap tahun bagi mengesan penyakit ini,” kata Ketua Pegawai Perubatan di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Dr. Joseph Vassalotti.


Walaupun satu-satunya cara untuk anda mengetahui dengan pasti sekiranya menghidap penyakit buah pinggang adalah dengan menjalani ujian klinikal, Vassalotti  berkongsi 10 kemungkinan simptom anda mengalami penyakit itu.


1. Keletihan

Anda berasa sangat letih, kurang tenaga atau menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian. Penurunan fungsi buah pinggang boleh menyebabkan pengumpulan toksin dan darah menjadi kotor.

Sehubungan itu, ia akan menyebabkan penghidapnya berasa sangat letih, lemah dan boleh menyebabkan sukar untuk memberi tumpuan. Satu lagi komplikasi penyakit buah pinggang ialah anemia yang boleh mencetuskan kelemahan dan keletihan.


2. Sukar tidur

Apabila buah pinggang tidak menapis dengan betul, toksin akan kekal dalam darah dan bukannya dikeluarkan dari badan menerusi air kencing. Masalah tersebut akan menyebabkan anda sukar untuk tidur.

Ia juga mempunyai hubung kait di antara obesiti dan penyakit buah pinggang kronik. sleep apnea atau apnea tidur lebih kerap dialami oleh pesakit buah pinggang kronik. 


3. Kulit kering dan gatal

Buah pinggang yang sihat melakukan banyak kerja penting. Organ itu mengeluarkan sisa dan cecair tambahan dari badan anda, membantu membuat sel darah merah, mengekalkan tulang menjadi kuat dan berfungsi untuk mengekalkan jumlah mineral yang betul dalam darah anda.

Kulit kering dan gatal boleh menjadi petanda penyakit mineral dan tulang yang sering berkait rapat dengan penyakit buah pinggang lanjutan, apabila buah pinggang tidak lagi dapat mengekalkan keseimbangan mineral serta nutrien yang betul dalam darah.


4. Kerap membuang air kecil 

Jika anda merasakan mahu membuang air kecil lebih kerap, terutamanya pada waktu malam. Ini boleh menjadi petanda penyakit buah pinggang.

Apabila penapis buah pinggang rosak, ia boleh menyebabkan peningkatan keinginan untuk membuang air kecil. kadang-kadang ini juga boleh menjadi tanda jangkitan air kencing atau pembesaran prostat bagi lelaki.


5. Darah dalam air kencing

Buah pinggang yang sihat biasanya menyimpan sel darah dalam badan ketika menapis bahan buangan daripada darah untuk menghasilkan darah air kencing, tetapi apabila penapis buah pinggang telah rosak, sel darah ini mula ‘bocor’ sehingga keluar dan bercampur dalam air kencing.


Selain menjadi tanda masalah buah pinggang, darah dalam air kencing juga boleh menjadi petunjuk kepada tumor, batu karang atau jangkitan.


6. Air kencing berbuih

Buih berlebihan dalam air kencing sehingga memerlukan anda mengepam tandas beberapa kali untuk membersihkannya menjadi petanda terdapat protein di dalam air kencing.

Buih ini mungkin kelihatan seperti buih yang terhasil apabila anda mengocak telur kerana protein yang biasanya berada dalam air kencing itu adalah albumin iaitu protein sama terdapat dalam telur.


7. Bengkak berterusan di sekeliling mata

Protein dalam air kencing adalah petanda awal bahawa penapis buah pinggang telah rosak sehingga protein itu bocor dan masuk ke dalam air kencing.

Bengkak di sekeliling mata adalah disebabkan oleh buah pinggang telah membocorkan sejumlah besar protein ke dalam air kencing dan bukan menyimpannya di dalam badan.


8. Buku lali dan kaki membengkak

Fungsi buah pinggang yang semakin berkurang boleh menyebabkan pengekalan natrium sehingga kaki dan buku lali membengkak.

Bengkak di bahagian itu juga boleh menjadi tanda penyakit jantung, hati dan masalah urat kaki yang kronik.


9. Hilang selera makan

Ini adalah simptom yang sangat umum, tetapi pengumpulan toksin yang disebabkan buah pinggang gagal berfungsi adalah menjadi salah satu puncanya.


10. Kejang otot

Ketidakseimbangan elektronik boleh disebabkan oleh fungsi buah pinggang terjejas. Contohnya, paras kalsium yang rendah dan fosforus tidak terkawal boleh menyumbang kepada kekejangan otot.-RELEVAN


Copy and paste 

15 Jun 2023 > 26 Zulkaedah 1444H: 1.52 pm


No comments: