Friday 2 June 2023

Adakah 羅越國 Negara Louyue Itu Adalah Kota Gelanggi?

Posted by : Megat Hisemudin Megat Kasim > Kisah Sejarah Melayu

Dalam 新唐书 Shintangshu, catatan sejarah China semasa Dinasti Tang (618 - 907) terdapat 4 kali ditulis perkataan 羅越 Louyue yang menyebut ia terletak di Nanhai atau Laut Selatan. Namun ia ditulis dalam masa yang berlainan dan kemungkinan besar merujuk tempat-tempat yang berlainan berasaskan sebutan oleh penduduk tempatan.
Daripada satu sumber luar negara, seorang ahli akademik menyarankan huruf Cina 羅越 Louyue mungkin dipadankan daripada sebutan La Wuat atau Lavo di mana kedudukannya terletak di lembangan Chao Phraya, Thailand dan kerajaan Mon di Burma (Mynmar). Ini untuk dipadankan dengan salah satu daripada catatan Shintangshu namun catatan ini tidak lengkap.
Seorang ahli akademik tempatan pula menyarankan Louyue terletak berhampiran dengan delta Chao Phraya di kawasan paling utara semenanjung di Teluk Siam yang mengunjur ke Tanah Melayu.
Lebih lanjut beliau menggabungkan satu lagi catatan dalam Shintangshu dengan nama 訶陵 Heling yang dikatakan terletak di sekitar kerajaan Patani, Thailand.
Secara amnya rata-rata ahli sejarah dan ahli akademik bersetuju bahawa 訶陵 Heling adalah merujuk kepada Jawa Tengah bagi kerajaan Khaling, Kheling atau Holing mengikut sebutan Cantonese atau Hokkien.
Dalam 4 kali sebutan yang mengaitkan 羅越 Louyue hanya satu catatan sahaja yang memperincikan kedudukannya.
又二日行,至軍突弄山。又五日行至海硤、蕃人謂之「質」、南北百里、北岸則羅越国、南岸則佛逝国、佛逝国東水行四五日、至訶陵国、南中洲之最大者。
Lagi 2 hari pelayaran sampailah ke Pulau Consun [ada yang menyebut Pulau Kundur atau Juntulong]. Lagi belayar 5 hari sampailah ke selat. Orang-orang asing menyebutnya sebagai “zhi”. Utara selatan ratusan li, pantai utara ialah negara Loyue manakala pantai selatan pula ialah negara Fo-shi. Dari negara Fo-shi belayar ke timur selama 4 - 5 hari sampailah ke negara Kha-ling. Ia adalah antara pulau terbesar di bahagian selatan.
Pulau Consun adalah sebuah pulau yang berada di selatan negara Vietnam. Dari sini kapal-kapal akan mengikut tiupan angin, selalunya merujuk kepada angin timur laut selama 5 hari menuju ke selatan Semenanjung Tanah Melayu dan sampailah ke selat.
Yang dimaksudkan "utara selatan ratusan li" diyakini ialah perairan antara selatan Johor termasuk Singapura dengan Pulau Batam, Indonesia yakni di Selat Singapura.
里 Li adalah unit panjang yang bersamaan 500 meter. Jika seratus li, 500 m x 100 = 50,000 m yakni 50 km. Mengikut carian internet purata kelebaran Selat Singapura ialah 19 km. Namun ada tempat yang lebar dan ada yang sempit. Maka kelebaran di bawah 50 km adalah logik. Kerana masa itu para pelaut hanya membuat anggaran saja.
Jika kapal berada di selatan Semenanjung Tanah Melayu yakni di Selat Singapura maka di pantai utaranya ialah negara Loyue. Manakala pantai selatan ialah negara Fo-shi (Srivijaya) di Palembang, Sumatera. Sila rujuk peta yang diberikan di bawah.
Dari Fo-shi belayar ke timur dalam 4 - 5 hari sampailah ke 訶陵 Heling iaitu Jawa Tengah yang berkerajaan Kha-ling.
Dari sudut geografi jika kita bandingkan dapatan daripada ahli akademik tempatan itu yang mengatakan Louyue terletak berhampiran delta Chao Phraya di Teluk Siam dan di sekitar kerajaan Patani pula terletaknya Heling dirasakan tidak logik. Kerana dalam teks asal tulisan Cina menyebut Heling adalah sebuah pulau yang besar di selatan sedangkan sekitar Patani adalah tanah daratan semenanjung.
Rekod Jepun menyatakan Putera Mahkota Jepun, Putera Takaoka, Shinnyo Hosshinno (780-856) mati di Louyue kerana diserang oleh harimau dalam perjalanan ke India untuk mempelajari ugama Buddha. Sekitar 20 - 30 tahun dahulu Kedutaan Jepun di Malaysia pernah mengadakan upacara memperingati roh putera raja itu di selatan Johor.
Dalam Sulalatus Salatin mencatatkan, "hatta berapa lamanya berjalan itu datanglah ke negeri Langgiu; dahulu negeri itu negeri besar, kotanya daripada batu hitam, sekarang lagi ada kota itu di hulu Sungai Johor. Adapun nama asal Langgiu itu dengan bahasa Siam ertinya Perbendaharaan Permata."
Setengah pihak menyebut negeri Langgiu itulah Kota Gelanggi dan asalnya seperti catatan Dinasti Tang sebagai negara Louyue.
Dalam catatan China hanya menyebut 羅越國 negara Luoyue pada Dinasti Tang di abad ke 7 - 10 sahaja yang ketika itu kawasan ini di bawah pemerintahan empayar Srivijaya. Sedangkan semasa Sulalatus Salatin di tulis ketika Melaka telah ditakluki Belanda dan kerajaan Johor Lama berpusat di Kota Tinggi pada abad ke 17.
Dalam catatan China menyebut nama 羅越 Loyue adalah padanan dari sebutan "la ut = laut" dimana 羅越人 Louyue ren iaitu orang Louyue yang diertikan sebagai orang laut. Kerana ketika abad ke 7 - 8 disebut keberadaan "Orang-orang Laut" di Palembang, selatan Tanah Melayu serta sekitar kepulauan Riau, Indonesia.
Orang-orang laut memainkan peranan penting dalam menunjukkan arah pelayaran dan menjaga keselamatan di pelabuhan. Sebab itulah pelabuhan di negara Louyue begitu signifikan dan tercatat dalam sejarah Dinasti Tang. Kepentingan tempat persingahan kapal-kapal ini yang amat strategik akhirnya menjadikan Pelabuhan Singapura, Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas sebagai pelabuhan utama dunia.
Orang-orang laut telah melalui asimilasi yang menjadikannya sebahagian daripada pembentukan bangsa Melayu kemudiannya. Namun sebahagian orang-orang laut masih meneruskan tradisi nenek-moyang mereka yang tidak boleh dipisahkan dari kehidupan laut.

Copy and paste:
2 Jun 2023 > 13 Zulkaedah 1444H: 9.22 am