Wednesday 11 January 2023

SUNGAI LEMBING @ ELDORADO TIMUR

Sumber : Mastika : 28 Oktober 2021
Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N'SEJARAH


Pekan Sungai Lembing


SUATU ketika dahulu, Sungai Lembing yang terletak 42 kilometer di barat laut Kuantan pernah digelar sebagai Kota El Dorado Timur kerana kaya dengan sumber mineral bijih timah.
Perlombongan bijih timah di Sungai Lembing dibuka pada tahun 1868 oleh seorang saudagar Cina berketurunan Baba bernama Lim Ah Sam.
Pada tahun 1888, pihak British yang meneroka kawasan itu mendapati rizab timah yang terdapat di dalam perut bumi di Sungai Lembing tidak terhad dan menyatakan, kekayaan sumber ‘emas putih’ di situ setanding dengan lombong-­lombong bawah tanah di Cornwall, England.

Sungai Lembing sewaktu zaman perlombongan bijih timah.

Begitu hebat industri perlombongan pada masa itu sehingga hasil daripada bijih timah di Sungai Lembing yang dihantar ke England dikatakan dapat menyelamatkan sebuah tanah jajahan British daripada muflis.
Memandangkan industri perlombongan begitu penting, pihak British menjaga kebajikan tenaga kerja tempatan lebih kurang seramai 2,000 orang. Pada ketika itu, setiap seorang pekerja menerima gaji lumayan bebas cukai sehingga RM500 sebulan.
Sewaktu zaman kegemilangan perlombongan, pihak British telah merancang bandar Sungai Lembing dengan sempurna termasuk menyediakan hospital dengan kapasiti 85 katil pesakit, wad bersalin dan kanak-­kanak.
Pada tahun 1948, sebuah sekolah rendah Inggeris, sekolah menengah Inggeris dan sebuah sekolah persendirian Cina dibina oleh syarikat bagi menampung kira­kira 2,000 orang murid di situ.
Bahkan, di era kemuncaknya sekitar 1950-­an hingga awal 1980-­an, pekan Sungai Lembing mempunyai lebih 40 deretan bangunan kedai yang sentiasa sibuk dengan kegiatan harian.
Pekan itu menjadi pusat perdagangan dan perniagaan terpenting di Pahang ketika itu dengan menjual pelbagai barangan keperluan, termasuk barangan bebas cukai. Hampir kesemua produk yang terdapat di England boleh dibeli oleh pelombong di sini melalui kredit, di gedung syarikat itu.
Bukan itu sahaja, pihak syarikat juga turut menyediakan padang permainan, rumah kelab untuk hiburan para pekerja serta sebuah pawagam yang menayangkan filem-­filem terbaru dari dalam dan luar negara. Sebuah pos kawalan keselamatan turut didirikan di pintu masuk utama untuk mengawal kemasukan orang luar.
Semasa sebahagian besar daripada penduduk negara ini bergantung kepada telaga dan lampu minyak tanah, penduduk di Sungai Lembing sudah menikmati tenaga elektrik percuma dan bekalan air bersih.
Kaedah pengangkutan utama semasa zaman kegemilangan lombong ini ialah sebuah kapal stim yang disediakan syarikat, yang membolehkan penduduk pekan ini ke Kuantan menerusi Sungai Kenau.

Bandar Paling Maju Bertukar Sepi

Mengikut kisah-kisah lisan, Sungai Lembing merupakan bandar yang paling maju dan canggih satu ketika dahulu.
Penduduknya sudah mula kenal barangan import dan mengamalkan gaya hidup yang mewah. Namun, kemakmuran itu hilang selepas harga timah jatuh merudum tahun 1986. Hal ini semacam satu sumpahan seperti mana yang berlaku dengan beberapa tamadun silam yang meninggalkan kesan bandar tanpa nama.

Perlombongan yang menjadi nadi kekayaan Sungai Lembing.

Dikatakan, ketika penduduk kawasan lain belum mengenali permainan golf dan tenis, orang-orang Sungai Lembing sudah pun mahir bermain. Mereka juga sudah pandai berfesyen dengan mengayakan pakaian, rokok dan cerut berjenama.
Mengikut rekod, di pekan Sungai Lembing memang ada dijual barangan import yang didatangkan terus daripada England. Semua barangan ini disediakan oleh syarikat perlombongan untuk kegunaan penduduk. Pada masa itu belum ada lagi mana-mana kawasan di Tanah Melayu yang menjual barangan import daripada Eropah.
Kasut jenama Clarks menjadi pilihan penduduk-penduduk di situ. Bukan itu saja, ketika penduduk di daerah lain masih menggulung rokok, orang Sungai Lembing sudah tahu menikmati rokok jenama England yang dibungkus kemas dalam tin. Begitulah mewahnya kehidupan penduduk-penduduk di Sungai Lembing dulu.
Pekan Sungai Lembing ketika itu ibarat sebuah bandar swasta yang diterajui oleh Pahang Consolidated Company Limited (PCCL). Ia umpama sebuah bandar Inggeris yang lengkap dengan segala kemudahan dan infrastruktur kerana kepentingan aktiviti perlombongan yang sangat bernilai di dunia ketika itu. Ia umpama emas yang dicari oleh peneroka Eropah di bumi luar.
Bagaimanapun, kegemilangan Sungai Lembing berakhir pada tahun 1987 apabila operasi perlombongan yang menjadi nadi kekayaan bandar ini diberhentikan secara rasmi akibat kejatuhan harga bijih timah dunia.
Akibat penutupan itu, penduduk mula berhijrah dan bermulalah detik kemeriahan Sungai Lembing mula bertukar menjadi sebuah bandar yang sunyi. Ia banyak mengubah wajah dan suasana, daripada sebuah pekan yang sibuk kepada sebuah pekan yang sepi.
Kemegahan Sungai Lembing yang dulunya dikenali sebagai pekan termoden hanya tinggal nostalgia dan menjadi kenangan kepada bekas pekerja lombong bijih timah dan penduduk asal kawasan ini.
Hari ini, rumah banglo yang pada satu ketika dahulu merupakan kediaman pengurus besar lombong itu, diubah menjadi muzium. Muzium tersebut mempamerkan peralatan lombong dan menayangkan video mengenai sejarah lombong dan zaman kegemilangannya.

Rumah pengurus lombong yang kini dijadikan muzium.

Beberapa bahagian struktur terowong lombong itu telah diperkukuhkan untuk membolehkan pelawat menikmati pengalaman berada di dalam lombong bawah tanah. Kawasan perlombongan itu kini merupakan aset pelancongan sejarah.

Wanita Tidak Boleh Mendekati Lombong

Di sebalik apa yang berlaku itu, ada sebuah kisah misteri yang masih menjadi tanda tanya sampai ke hari ini.
Terdapat kepercayaan penduduk zaman dulu yang menceritakan bahawa bijih timah sebenarnya unsur hidup dan mengalir di dalam tanah seperti aliran air. Bagaimanapun timah hidup ini cukup takut dengan perempuan.
Sekitar tahun 1960-an dulu, pihak PCCL telah menemui sebuah tapak lombong yang kaya dengan bijih timah. Selepas kerja-kerja menyediakan terowong, pihak PCCL pun melakukan sebuah parti bagi meraikan kejayaan itu di dalam terowong berkenaan.
Semua orang dijemput hadir. Bermula daripada pihak atasan syarikat hinggalah ke golongan pekerja lombong hadir ke majlis itu.
Bagi menghiburkan tetamu, pihak pengurusan telah menjemput beberapa orang wanita ke majlis tersebut. Keesokannya, satu kejadian pelik berlaku di situ. Bijih timah yang dianggarkan mampu bertahan selama 90 tahun ghaib secara tiba-tiba.
Kajian kaji bumi yang dilakukan oleh PCCL tidak menemui sebarang jawapan kenapa perkara itu berlaku. Peristiwa itu benar-benar memeningkan mereka. Sehingga ke hari ini, tiada jawapan kenapa bijih tersebut hilang. Bagaimanapun, orang kampung mengandaikan bijih timah itu hilang kerana PCCL melanggar pantang larangnya dengan membawa wanita ke situ.
Rentetan daripada peristiwa itu, perempuan dilarang mendekati lombong. Pihak syarikat bimbang kejadian yang sama berulang lagi. Bahkan ada yang menceritakan, orang perempuan yang membawa bekal makanan untuk suami mereka juga hanya boleh menunggu di luar kawasan lombong, tidak dibenarkan mendekati kawasan tersebut.
Kini, semua itu hanya tinggal kenangan dan nostalgia sahaja kepada penduduk Sungai Lembing. Usaha menghidupkan kembali bandar ini menjadi sebuah bandar pelancongan sejarah adalah usaha yang bagus untuk tatapan generasi muda, supaya mereka mengenali Sungai Lembing, sebuah pekan yang gah pernah berdiri suatu ketika dahulu.

Info Sungai Lembing

Sungai Lembing adalah bekas lombong tertua, terpanjang dan paling dalam di dunia. Tahap kedalaman lombong tersebut mencecah sehingga 971 meter atau 2,400 kaki.
Terdapat sembilan lombong bijih di kawasan tersebut dan lombong yang paling dalam ialah ‘nicholsons Shaft’ yang telah sampai ke aras 12,000 kaki dari permukaan.
Terowong bawah tanah dikorek secara manual tanpa menggunakan bahan letupan. Terdapat 14 tingkat terowong yang mana setiap satunya digali sepanjang 500 meter hingga 700 meter. Manakala jarak di antara setiap terowong pula ialah 100 kaki untuk menjaga kestabilan struktur tanah.
Sehingga tahun 1915, keseluruhan kawasan perlombongan meliputi kawasan seluas 40 batu atau 1600 hektar. Disebabkan itu, ia dianggap sesuatu yang luar biasa.
Semasa pendudukan Jepun dari 1941 hingga 1945, lombong itu dengan sengaja dibanjirkan dengan air oleh pihak British untuk menghalang pihak Jepun daripada menggunakannya.
Pemberontakan komunis dan Darurat pada tahun 1950­an dan 1960­an, turut menjejaskan kegiatan perlombongan.
Selepas Perang Dunia Kedua, beberapa perkembangan drastik berlaku di Tanah Melayu termasuk pengisytiharan kemerdekaan pada 1957. Pajakan lombong di Sungai Lembing juga berakhir pada 1968.
Perundingan antara PCCL dengan kerajaan negeri dan persekutuan untuk mendapatkan satu pajakan baru Berjaya dimeterai selama 21 tahun bermula 1 Julai 1965.
PCCL terus menjalankan operasinya dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan seperti pemodenan ‘rumah kuasa’, memperbaiki sistem aliran udara menggunakan pam yang lebih baik dan kabel elektrik bertekanan tinggi. Namun begitu, kejatuhan harga bijih timah dunia membuatkan aktiviti perlombongan tidak mampu lagi mendatangkan hasil seperti dahulu. Akhirnya, perlombongan di Sungai Lembing berakhir pada 1986.
_____________
Sumber artikel :UtusanTV
Copy and paste:
11 Januari 2023 : 19 Jamadilakhir 1444H: 8.36 pm

No comments: