Monday 9 January 2023

Emas Yamashita : 7 lokasi dikaitkan sebagai tempat Jepun sembunyikan harta

Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH

Oleh Mastika -November 3, 2021
SUATU masa dahulu, Tanah Melayu juga digelar sebagai ‘semenanjung emas’ disebabkan terkandungnya mineral berharga yang banyak di dalam perut bumi. Diceritakan, raja Siam, Raja Suryavarman II pernah membawa 700 ekor gajah untuk mengangkut emas di Raub, Pahang untuk membina Angkor Wat pada pertengahan abad ke 12.
Kemewahan bumi semenanjung Tanah Melayu telah menyebabkan kuasa-kuasa besar dunia mengimpikannya sebagai tanah jajahan mereka. Negara kuasa besar seperti Siam, Champa, Portugis, Belanda dan British, pernah menguasai hasil kekayaan emas di tanah ini.
Perkara ini disedari negara matahari terbit, Jepun yang ketika itu cuba menjadi sebuah kuasa baru dunia. Pada 8 Disember 1941, tentera Jepun yang dipimpin oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita melancarkan serangan dari laut di sebelah pantai timur Tanah Melayu.
Yamashita bersama 30,000 askarnya telah berjaya menewaskan 130,000 tentera British dalam masa yang agak singkat. Ketika era inilah nama Jeneral Yamashita mula tersohor dan menjadi sebutan ramai.
Dalam tempoh tiga tahun Jepun menguasai Tanah Melayu iaitu daripada 1942 hingga 1945, mereka telah mengumpul banyak harta terutamanya emas untuk dibawa pulang. Lombong-­lombong emas di sekitar Jaluran Tengah (tulang belakang Titiwangsa), yang bermula di Batu Melintang, Jeli, Kelantan, merentangi Kuala Lipis, Pahang, sehinggalah ke Gunung Ledang, Johor, dijarah sehabis mungkin.
Kemudian, pada tahun 1944, kedudukan Jepun mula goyah apabila tenteranya di Filipina, diserang oleh pihak British. Jeneral Yamashita kemudian dihantar ke Manila untuk memperkuatkan benteng pertahanan Jepun.
Bagaimanapun, selepas Hiroshima dan Nagasaki dibedil bom atom, tentera Jepun menyerah kalah, termasuk kelompok di Tanah Melayu. Jeneral Yamashita kemudian telah ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah Antarabangsa atas tuduhan melakukan jenayah perang. Beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 23 Februari 1946 di Penjara Los Banos.
Selepas kematiannya, kisah emas tinggalan Yamashita dan tentera Jepun mula diperkatakan. Banyak pihak percaya, emas peninggalan Yamashita masih tersimpan di Teluk Ligayen, Pulau Luzon, yang merupakan kubu terakhir tentera Jepun sebelum mereka tewas dalam Perang Dunia Kedua.
Andaian mengenai emas Yamashita ini bukan saja tertumpu di Filipina, malah ia turut berkisar di tempat-­tempat lain yang pernah ditakluki tentera Jepun, termasuklah di Tanah Melayu dan sekitar kepulauan Borneo.
Jika difikirkan secara logik, adalah mustahil untuk pihak Jepun membawa pulang kesemua harta yang begitu banyak dalam tempoh masa yang singkat. Justeru, timbul kemungkinan harta tersebut disimpan dan disembunyikan di suatu tempat.
Berdasarkan cerita-cerita lisan, ada individu yang dikatakan telah berjaya menemui lokasi harta yang disembunyikan itu di sekitar semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, tidak ada fakta yang mengesahkan kuantiti serta lokasi emas tersebut ditemui.
Dikatakan juga bahawa pihak Jepun bukan sekadar menjarah rizab emas yang terdapat di Malaya, sebaliknya mereka turut membawa ‘bekalan’ emas dari Jepun untuk kegunaan tentera mereka di Tanah Melayu.
Ia bertujuan untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di jajahan yang mereka takluki. Ketika awal kedatangan Jepun ke Tanah Melayu, dikatakan imbuhan seperti emas akan diberikan sebagai habuan kepada sesiapa sahaja yang membantu mereka.
Bukti Peninggalan Harta Jepun di Tanah Melayu.
Spekulasi mengenai emas tinggalan Yamashita masih terus disebut malah turut mendapat perhatian ahli-ahli akademik di seluruh dunia.
Pelbagai spekulasi berkenaan harta karun peninggalan Jepun dibincangkan. Ia bukan saja melibatkan individu, malah turut menarik minat syarikat-syarikat konsesi pencari harta karun di seluruh dunia.
Ada juga yang mengaitkan harta ini mempunyai kaitan dengan alam ghaib. Tidak kurang juga individu yang tampil dengan mengemukakan skrol atau peta lokasi harta yang disembunyikan oleh pihak Jepun. Namun sehingga ke hari ini, ia masih belum benar-benar terbukti secara sah.
Berdasarkan teori dan catatan sejarah, dapat dirumuskan bahawa harta peninggalan Jepun terbahagi kepada dua bahagian. Pertama ialah harta yang disembunyikan oleh pihak Jepun di beberapa lokasi di semenanjung Tanah Melayu selepas peristiwa bedilan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Dan yang kedua pula ialah kelengkapan-kelengkapan perang Jepun yang telah tenggelam di dasar laut, sepanjang pesisir pantai semenanjung Malaysia.
Pada penghujung tahun 1970-an, kerajaan negeri Terengganu bersama Jabatan Muzium dan dibantu Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) telah menemui bangkai kapal karam tentera Jepun berhampiran perairan Chendering, Terengganu.
Ia adalah sebuah kapal perang yang digunakan oleh tentera Yamashita ketika menjalankan misi untuk menawan Tanah Melayu. Kapal tersebut dipercayai karam disebabkan terkena bedilan peluru berpandu dan tenggelam kira-kira 30 meter di dasar laut.
Di dalam kapal itu terdapat beberapa kelengkapan ketenteraan pihak Jepun yang karam bersama kapal tersebut. Antaranya ialah senjata seperti senapang, peluru dan beberapa peralatan perang yang lain. Bagaimanapun, tiada emas yang ditemui.
Terdapat juga kemungkinan kapal tersebut membawa emas, tetapi ia terlebih dahulu ditemui dan diambil oleh orang lain. Wapun sekadar teori, ia tidak mustahil kerana tentera Jepun suatu ketika dahulu dikatakan mewah dengan emas.
Dipercayai masih ada lagi bangkai kapal-kapal perang Jepun termasuk pesawat tempur Kamikaze yang tenggelam di perairan negara. Malah, tidak mustahil jika ada di antara kapal-kapal tersebut yang membawa muatan emas tentera Jepun dan masih belum ditemui oleh sesiapa.
7 Lokasi Emas Yang Disembunyikan

Semasa berakhirnya perang dunia kedua yang menjadi detik pengunduran Jepun, mereka dikatakan telah meninggalkan sejumlah harta yang banyak di Tanah Melayu. Dikatakan harta tersebut telah disembunyikan di tujuh lokasi rahsia yang hanya diketahui oleh pihak Jepun.
Ada yang mengatakan harta tinggalan tentera Yamashita itu berupa jongkong dan syiling emas. Bagaimanapun, ada juga yang mengaitkan ia hanya sekadar peralatan ketenteraan sahaja.
Lokasi-lokasi misteri itu sentiasa menjadi polemik yang dibincangkan oleh pencari-pencari harta karun.
Dahulu, kami pernah menemubual seorang pencari harta karun yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad. Beliau merupakan bekas tentera yang telah beberapa kali melakukan aktiviti mencari harta karun secara persendirian.
Menurutnya, terdapat dua lokasi di Terengganu yang dikatakan menjadi tempat harta-harta Jepun ini disembunyikan. Mengikut sejarah, pantai timur merupakan antara lokasi terawal pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu.
Jepun datang bukan dengan tangan kosong, tetapi dikatakan turut membawa bersama harta rampasan perang. Bagaimanapun, harta ini telah disembunyikan terlebih dahulu sebelum mereka menuju ke bahagian selatan untuk menawan Tanah Melayu dari cengkaman British.
Dikatakan lokasi pertama tempat persembunyian harta tersebut ialah di sebuah masjid yang terletak di daerah Dungun di mana harta tersebut tertanam di perdu sebatang pokok dalam perkarangan masjid tersebut.
Lokasi kedua pula ialah di puncak Bukit Chendering. Harta itu dikatakan ditanam di bawah sebongkah batu hampar yang besar. Diceritakan beberapa individu pernah menggali kawasan tersebut untuk mencari harta Jepun itu, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia ditemui ataupun tidak.
Spekulasi seterusnya berkisar di Gunung Stong yang terletak di hutan simpan Dabong, Kelantan. Di dalam sebuah gua di gunung itu, tersembunyi harta karun peninggalan pihak tentera Jepun yang masih belum ditemui sehingga kini.
Di Simpang Pulai, Perak juga menjadi antara lokasi yang disebut sebagai tempat harta Jepun disembunyikan. Terdapat andaian yang mengatakan Jepun telah menyimpan jongkong besi dan timah di dalam sebuah bukit batu kapur yang terdapat punca mata air panas.
Satu lagi kawasan yang turut dikaitkan dengan harta Jepun ialah di daerah Hulu Langat, Selangor. Pernah suatu ketika selepas perang dunia kedua berakhir, dikatakan pihak Jepun cuba untuk membeli tanah di kawasan tersebut dengan nilai yang sangat tinggi.
Disebabkan itulah tercetusnya spekulasi bahawa pihak Jepun berniat membeli kawasan tersebut bertujuan untuk menggali semula harta yang mereka tinggalkan. Apatah lagi kawasan tersebut pernah menjadi tempat persembunyian tentera mereka sewaktu zaman penjajahan dahulu. Pun begitu, ia hanya sekadar satu spekulasi sahaja.
Lokasi seterusnya ialah di hutan pedalaman Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. Dikatakan bahawa di lokasi inilah harta peninggalan Jepun yang mempunyai nilai yang paling tinggi tersembunyi.
Harta tersebut berupa jongkong emas, peralatan senjata, pesawat perang dan juga kereta kebal yang disembunyikan di dalam sebuah gua. Menurut andaian sesetengah pihak, tentera Jepun telah memasang perangkap berbentuk gas beracun untuk melindungi harta tersebut daripada dicuri.
Pedalaman hutan ini menjadi salah satu tempat persembunyian dan latihan ketenteraan pihak Jepun semasa mereka menguasai Tanah Melayu. Ia berdasarkan beberapa penemuan kelongsong-kelongsong peluru lama serta terdapat sebuah empangan yang dibina oleh pihak Jepun yang bertujuan untuk menyalurkan sumber air bersih ke kawasan persembunyian ini.
Seterusnya, lokasi terakhir yang dipercayai tersembunyi harta peninggalan tentera Jepun ialah di pesisir pantai Mersing. Dikatakan, pihak Jepun telah mengorek sebuah terowong bawah tanah untuk menyembunyikan longgokan jejari emas yang bersaiz sebesar kelengkeng.
Sehingga kini, emas tinggalan tentera Jepun di Malaysia yang terkenal dengan jolokan ‘emas Yamashita’ ini masih menjadi suatu subjek yang sukar untuk dijawab.
Sekalipun legenda mengenainya hangat diperkatakan, namun selagi ia belum terbentang di depan mata atau disahkan secara formal oleh pihak berkuasa, selagi itulah legenda mengenai kewujudan harta ini sukar diramal, namun masih terus menarik minat para pengkaji dan pencari harta karun.
__________
Kredit : UtusanTV
Copy and paste:
9 Januari 2023 > 17 Jamadilakhir 1444H: 9.51 pm