Friday 7 January 2022

ANCAMAN KOMUNIS DI BAHAGIAN KETIGA, SARAWAK (1966-1990)

Oleh : Nararossa Peter Ballak
Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi.
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Kertas kerja ini bertujuan untuk melanjutkan penelitian berhubung dengan isu ancaman komunis yang berlaku di Sarawak iaitu Bahagian Ketiga yang menerima ancaman komunis dari segi ancaman subversif dan ancaman keselamatan dalam jangkawaktu 1966 sehingga 1990. Kedatangan komunis ke Bahagian Ketiga pada lewat 1968 dan permulaan 1969 adalah disebabkan oleh perubahan dasar Parti Komunis Sarawak (PKS) yang lebih menekankan gerakan subversif mereka untuk menyebarkan ideologi komunis. Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) telah dihantar oleh PKS untuk mengetuai pemberontakan bersenjata di Bahagian Ketiga. Mereka telah memulakan perjuangan mereka di Bahagian Ketiga dengan memperkasa dan mempertingkatkan lagi usaha dalam gerakan subversif mereka. Hasil daripada gerakan tersebut, ramai penduduk yang terpengaruh dengan ideologi komunis. Selain daripada gerakan subversif mereka turut melakukan ancaman keselamatan apabila pasukan keselamatan telah menghalang perjuangan mereka. Pelbagai insiden pembunuhan terhadap orang awam dan pasukan keselamatan dilakukan oleh PARAKU. Oleh itu, bagi mencapai objektif kajian ini pengkaji telah menggunakan sumber-sumber primer dan sekunder di samping sumber lisan untuk melengkapkan kajian ini.

PENGENALAN

Malaysia suatu ketika dahulu pernah mengalami masalah ancaman komunis. Sewaktu jangkawaktu 1948 sehingga 1960, Tanah Melayu telah diisytihar darurat sebagai akibat ancaman komunis. Pemberontakan komunis di Tanah Melayu pada ketika itu dipelopori oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Begitu juga di Sarawak, kedatangan komunis ke Sarawak dalam jangkawaktu 1960-an sehingga 1990, turut menyebabkan Sarawak menghadapi ancaman komunis yang dipelopori oleh Parti Komunis Sarawak (PKS). Sebelum tahun 1960, ideologi komunis sememangnya sudah bertapak di Sarawak cuma belum kukuh lagi. Namun, selepas tahun 1960-an, pihak komunis telah merangka strategi mereka untuk memperkukuhkan lagi strategi untuk melancarkan pemberontakan bersenjata di Sarawak. Pada masa yang sama, pemberontakan Brunei 1962 dan Konfrontasi Indonesia telah menjadi batu loncatan kepada PKM dan PKS kerana mereka berpeluang untuk melatih anggota-anggota mereka di Indonesia. Pada akhir tahun 1969, PKS telah mengatur strategi perjuangan untuk melancarkan pemberontakan bersenjata.

Kehadiran Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) pada penghujung tahun 1966 ke Bahagian Ketiga iaitu Sibu, Sarikei, Binatang, Kanowit dan Kapit telah menandakan pertapakan dan permulaan perjuangan komunis di Bahagian Ketiga. Setelah melihat keadaan di bahagian Kuching dan Sri Aman dipantau ketat oleh pihak keselamatan, pihak komunis telah mengubah strategi perjuangan mereka dan beralih arah ke Bahagian Ketiga. Perjuangan untuk mendirikan sebuah republik atau kerajaan komunis diteruskan juga walaupun menerima ancaman daripada pihak keselamatan dan kerajaan. 
Pada tahun 1969, barisan yang telah direkrut dan anggota PARAKU telah meninggalkan pangkalan yang berpusat di sempadan Kalimantan, Indonesia untuk kembali berjuang dalam pemberontakan bersenjata di Sarawak khususnya di Bahagian Ketiga. Usaha pengukuhan kedudukan Parti Komunis Sarawak (PKS) telah dilakukan apabila mereka kembali semula ke Sarawak pada tahun 1969 . Perjuangan pemberontakan bersenjata diteruskan dan dikuasai oleh PKS di bahagian Sibu yang mana menyaksikan perubahan dasar dalam pentadbiran mereka untuk bergerak dengan lebih agresif dalam menyebarkan ideologi komunis di Sarawak. Kedatangan pasukan komunis ke Sarawak untuk melancarkan pemberontakan bersenjata telah berpecah kepada tiga bahagian yang meliputi bahagian pertama (Kuching), bahagian kedua (Sri Aman) dan Bahagian Ketiga (Sibu, Sarikei, Bintangor, Julau, Kanowit). Pertapakan mereka di ketiga-tiga bahagian tersebut disebabkan oleh bahagian tersebut mempunyai populasi penduduk yang tinggi. Apabila populasi penduduk tinggi di sesuatu bahagian tersebut, ia akan memudahkan PKS untuk mengatur strategi yang lebih efektif untuk melancarkan pemberontakan bersenjata di Sarawak. 
Di Kalimantan pula, PKS masih menggunakan pangkalan tersebut untuk melancarkan pemberontakan bersenjata di Indonesia. PKS cuba untuk menggunakan wilayah asing iaitu Kalimantan untuk melancarkan perjuangan bersenjata tersebut. Namun begitu, pasukan keselamatan Malaysia dan Indonesia telah berjaya memusnahkan pangkalan-pangkalan mereka di Kalimantan. Hal ini menyebabkan PKS telah mengubah dasar dan menyebabkan mereka memilih Sarawak untuk melancarkan perjuangan bersenjata.

Kedatangan pasukan PKS ke Sarawak bagi mengukuhkan kedudukan mereka untuk melancarkan serangan gerila dan kempen keganasan. Dengan itu, pemantapan dari segi kelengkapan dan strategi telah dilakukan demi misi tersebut. Untuk memenuhi tujuan tersebut, PKS telah memilih kawasan yang dianggap “selamat” di Sarawak di mana kawasan tersebut jarang dilakukan pemantauan oleh pasukan keselamatan Sarawak. Oleh sebab itu, mereka telah memilih kawasan yang selamat kerana ingin mendapatkan sokongan daripada penduduk tempatan terutamanya penduduk di kawasan pedalaman yang kurang terdedah dengan perkembangan dunia luar.

PKS ingin melaksanakan kempen keganasan di Sarawak dengan menjadikan Bahagian Ketiga sebagai tempat bagi mereka mengembangkan perjuangan ke kawasan lain. Bagi mereka, bahagian Sibu merupakan satu batu loncatan kepada mereka untuk meneruskan misi mereka untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah kerajaan komunis. Selain itu, Bahagian Ketiga dianggap sebagai kawasan yang sesuai kerana mempunyai penduduk yang ramai serta keadaan geografikal Bahagian Ketiga yang mempunyai hutan yang tebal. Hal ini kerana, kawasan hutan yang tebal amat sesuai untuk mereka melancarkan perang gerila dan tempat persembunyian mereka. Begitu juga, PKS turut meletakkan sejumlah besar anggota PKS di Bahagian Ketiga berbanding dengan bahagian yang lain.

Dalam melancarkan pemberontakan bersenjata dan penyebaran ideologi komunis di Bahagian Ketiga, PKS telah meletakkan matlamat mereka untuk meraih sokongan penduduk tempatan melalui kegiatan subversif untuk menyebarkan ideologi komunis kepada penduduk tempatan.  
Dalam pada itu juga, PKS telah melancarkan perang saraf di mana mereka telah memburuk-burukkan kerajaan serta pasukan keselamatan untuk mendapatkan simpati dan sokongan daripada penduduk tempatan. Kempen keganasan telah dilakukan oleh PKS pada tahun 1969 dan diperkuatkan lagi pada tahun 1970 dan seterusnya. Oleh sebab itu, PKS telah bertapak kukuh di Bahagian Ketiga dan melakukan kekejaman dan keganasan terhadap orang awam yang tidak berdosa serta menyerang pasukan keselamatan.

Justeru, dalam tahun 1969 sehingga 1990 merupakan jangkawaktu yang begitu sukar bagi negeri Sarawak apabila menghadapi ancaman komunis terutamanya di Bahagian Ketiga. Kekejaman komunis semakin berleluasa sehingga menggugat keselamatan dan keamanan di Bahagian Ketiga. Implikasinya, banyak aktiviti yang dilakukan oleh komunis di Bahagian Ketiga dilabelkan sebagai kawasan hitam oleh kerajaan. 
Hal ini telah menyebabkan kerajaan menubuhkan Rejang Area Security Command (RASCOM) untuk menumpaskan pergerakan komunis di Sarawak terutamanya di Bahagian Ketiga. Penubuhan RASCOM juga dapat dikaitkan dengan konsep kerajaan yang menubuhkan pertubuhan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) sebagai langkah untuk membendung kegiatan subversif komunis di negeri-negeri yang menghadapi ancaman komunis. Sarawak turut menjadi salah sebuah negeri yang telah menjadi kawasan gerakan subversif komunis terutamanya di Bahagian Ketiga di mana keganasan komunis telah mencetuskan rusuhan, pembunuhan orang awam yang tidak berdosa, situasi yang huru-hara, kacau bilau dan pertumpahan darah berlaku.

LATARBELAKANG BAHAGIAN KETIGA, SARAWAK

Secara umumnya, Sarawak telah dibahagikan kepada 12 bahagian yang terdiri daripada; Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas. Lanjutan daripada perkembangan komunis di Sarawak turut memberikan kesan ke atas Bahagian Ketiga. 
Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut, penulis akan membincangkan sejarah Bahagian Ketiga secara sepintas lalu. Bahagian Ketiga di Sarawak yang merangkumi kawasan Sibu, Sarikei, Binatang , Julau, Kanowit dan Kapit. Kawasan di Bahagian Ketiga sekitar tahun 1960-an sehingga 1990-an merupakan sebuah kawasan yang menerima ancaman komunis yang menyebabkan keadaan di kawasan tersebut tidak aman. Antara kawasan di Bahagian Ketiga yang menerima ancaman komunis adalah; Teku, Pasai Siong, Jalan Oya 14 kilometer-16 kilometer, Pulau Keladi, Pulau Kerto, Tanjung Kunyit, Tulai, Paradom, Narasit, Durin, Sungai Pak, Stabau, Menyan, Telian, Bukit Lan, Bukit Lima, Sungai Bidut, dan Pasar Sibu.

Kawasan Bahagian Ketiga telah didiami oleh berbagai etnik yang terdiri daripada Iban, Cina, Melayu dan Melanau. Sungguhpun begitu, majoriti etnik yang mendiami kawasan Bahagian Ketiga adalah etnik Cina yang terdiri daripada beberapa kumpulan Cina iaitu Kantonis, Foochow, Hainanese, Hakka, Henghua, Hokkien, Teochew dan lain-lain. 
Kumpulan Cina yang terbesar mendiami Sibu adalah Foochow dan masih ramai sehingga kini. Mereka mulai menduduki kawasan Rejang dan Sibu sekitar abad ke-19 dan 20 di mana Brooke telah memberi galakkan kemasukan kumpulan Cina ini ke Sarawak. Raja Brooke iaitu Charles Brooke berasa kagum dan yakin apabila melihat semangat kegigihan yang ada pada orang Cina. Beliau juga berpendapat bahawa orang Cina dapat memberikan sumbangan besar kepada pembangunan di Sarawak.

Kedatangan orang Cina ke Sarawak adalah dorongan daripada Brooke. Orang Cina ini telah melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti pertanian, perlombongan, pembalakkan dan perniagaan.
Semasa zaman pemerintahan Brooke, orang Cina ini dianggap sebagai pendatang dan tidak diberikan sebarang keistimewaan kerana mereka hanya datang ke Sarawak untuk aktiviti ekonomi semata-mata. Pada awal kedatangan orang Cina ke Sarawak, mereka tidak begitu berminat dengan perkembangan politik di Sarawak kerana mereka lebih menumpukan perhatian kepada Negara asal mereka sahaja iaitu Tanah Besar China. Namun ada di antara orang Cina ini telah menjadi penduduk tetap di Sarawak kerana berkahwin dengan orang tempatan. Begitu juga, ada di antara mereka kembali pulang ke Negara asal mereka.

Selepas perang dunia kedua, kerajaan berasa bimbang dengan perkembangan dan penyusupan ideologi komunis terhadap orang Cina terutamanya. Fahaman komunis ini telah berkembang di Sarawak seterusnya mempengaruhi perkembangan politik di Sarawak. Ideologi komunis ini telah disalurkan melalui sekolah, pertubuhan dan media cetak serta mempengaruhi penduduk di Sarawak. Orang Cina merupakan salah satu komuniti yang ramai menyertai komunis kerana mereka masih mengekalkan hubungan dengan Tanah Besar China. Perkembangan tersebut menyebabkan ketidakstabilan dari segi politik, ekonomi dan sosial di negeri Sarawak sebagai akibat daripada ancaman komunis yang secara tidak langsung telah membantutkan perkembangan pembangunan di Sarawak.

Kegiatan subversif komunis giat berlaku di Bahagian Ketiga terutamanya di Sibu kerana ramai orang Cina yang terpengaruh dengan ideologi komunis ini. Sasaran pihak komunis adalah orang Cina kerana mereka ingin meraih sokongan daripada masyarakat Cina yang sememangnya masih berpegang kuat kepada pengaruh dari Negara China. Mereka yang terpengaruh dan dipengaruhi oleh ideologi komunis tersebut berusaha untuk menyebarkan dengan lebih luas lagi ideologi komunis khasnya kepada orang Cina untuk mencapai matlamat untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis di Sarawak. Begitu juga, pihak komunis cuba untuk menyebarkan ideologi tersebut terhadap etnik lain seperti Iban.[10] Walau bagaimanapun, hanya segelintir sahaja orang Iban yang terlibat dengan gerakan komunis di Bahagian Ketiga.

ANCAMAN SUBVERSIF


Operasi di Sri Aman telah berjaya dalam tahun 1974 menyebabkan PKS telah beralih ke Bahagian Ketiga untuk melancarkan matlamat untuk mendirikan kerajaan komunis di Sarawak.[11] Kedatangan rombongan Pasukan Rakyat Kalimantan Utara di Ulu Katibas pada akhir tahun 1966 menjadi permulaan kepada perjuangan komunis di Bahagian Ketiga. Pada tahun 1969, semua anggota PARAKU telah meninggalkan pangkalan-pangkalan mereka di Kalimantan Barat untuk pergi ke Lembah Rajang. Seramai 150 ahli PARAKU pergi ke Bahagian Ketiga untuk meneruskan perjuangan komunis mereka. Bahagian Ketiga dipilih kerana PKS menganggap ia sebagai kawasan yang ideal untuk meneruskan perjuangan serta memiliki penduduk yang ramai. Keadaan geografikal Bahagian Ketiga yang mempunyai hutan tebal memudahkan lagi untuk mereka melakukan perang gerilya dan tempat persembunyian.

Barisan Bersatu Komunis merupakan satu landasan kepada kewujudan Parti Komunis Sarawak (PKS) atau Clandestine Communist Organisation (CCO) untuk menyebarkan ideologi komunis mereka serta mendirikan kerajaan komunis. Barisan Bersatu komunis ini merupakan sebagai badan penggerak kepada agenda dengan menumpukan kepada beberapa strategi iaitu melalui kegiatan subversif dan militari. Melalui kegiatan subversif, fokus utama mereka adalah masyarakat di Sarawak khususnya golongan pelajar, buruh, petani, parti politik, kaum Cina dan kaum bumiputera Sarawak. Pada awal tahun 1961-an, PKS telah mengambil keputusan untuk meredakan sedikit demi sedikit kegiatan-kegiatannya di medan terbuka dan halal. Perubahan dasar yang dilakukan oleh PKS menyebabkan mereka menggunakan kader-kader Barisan Bersatu komunis untuk melakukan kerja-kerja asas yang perlu bagi mempersiapkan pemberontakan bersenjata di Sarawak. Dalam dasar tersebut, PKS menekankan kepada kerja-kerja bawah tanah dan mengurangkan kegiatan Barisan Bersatu. Tujuan PKS melakukan perubahan tersebut adalah kerana mereka merasakan bahawa beberapa tahun yang sebelumnya mereka hanya menumpukan kerja politik dan kerja pelajaran ideologi. 
Perubahan yang dilakukan oleh PKS adalah untuk mengatasi kelemahan dalam pentadbiran Barisan Bersatu dengan menumpukan kepada kerja-kerja politik dalam proses perjuangan revolusioner yang semakin genting. Barisan Bersatu berusaha untuk mempengaruhi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk memperjuangkan pemberontakkan bersenjata mereka. Pada tahun 1970, Barisan Bersatu mengalami keadaan yang sulit kerana SUPP telah menyertai Kerajaan Campuran Sarawak kerana matlamat perjuangan pemberontakan bersenjata mereka bergantung kepada parti tersebut. Namun begitu, Barisan Bawah Tanah PKS mengatur strategi dengan cuba mempengaruhi kesatuan-kesatuan buruh yang ditubuhkan dalam sekitar tahun 1960an-1970an.

Seterusnya, golongan pelajar merupakan sasaran Barisan Bersatu untuk menyebarkan dakyah komunis. Pergerakan pelajar menjadi sasaran mereka kerana golongan pelajar merupakan golongan yang senang dipengaruhi terutamanya di sekolah-sekolah. Anggota komunis yang mula-mula datang dari Tanah Besar China menumpukan perhatian mereka kepada sekolah-sekolah Cina yang menjadi sasaran yang mudah sekali untuk kegiatan subversif. Corak keCinaan PKS masih tidak berubah dan pengaruhnya dalam kalangan pemuda masih tertumpu ke sekolah-sekolah Cina. PKS sememangnya bergantung kepada pergerakan pelajar untuk menyediakan kader-kader yang pintar dan idealistik. PKS memberi tumpuan kepada pergerakan pelajar untuk menjayakan rancangan revolusionernya pada awal tahun 1970. Menurut PKS, pergerakan pelajar tersebut boleh mengalakkan pergerakan pembebasan kebangsaan dan digunakan untuk memperkuat pertubuhan revolusioner serta membantu kerja-kerja Barisan Bawah Tanah yang lain. Penglibatan golongan pelajar telah menyumbang keahlian yang paling ramai jika dibandingkan dengan golongan lain yang disasarkan oleh PKS. PKS menjadikan sekolah-sekolah Cina sebagai tempat penyebaran ideologi komunis. Bagi melakukan indoktrinasi kepada pelajar atau kegiatan subversif di sekolah-sekolah Cina, PKS mengadakan beberapa aktiviti untuk menarik minat pelajar seperti mengadakan kelas tuisyen, aktiviti keseniaan dan kebudayaan, aktiviti bercorak riadah atau aktiviti yang dianggap seperti aktiviti kokurikulum tetapi telah ditentang oleh kerajaan. 
Melalui aktiviti yang diperkenalkan oleh PKS di sekolah-sekolah Cina ini, ia akan membina semangat dan keazaman yang tinggi dalam kalangan pelajar untuk bersama-sama membina kerajaan komunis di Sarawak. Pembentukan kumpulan Hsueh-hsih atau kumpulan belajar bersendiri pada bulan Disember 1971 dalam kawasan kampus universiti dan di sekolah adalah bertujuan untuk menambah pengetahuan ideologi melalui pengkajian serta perbincangan bahan-bahan subversif.
Bahan-bahan subversif yang dibincangkan adalah terbitan berkala seperti majalah “Voices of Students” yang diterbitkan setiap bulan oleh pergerakan pelajar PKS. Begitu juga, mereka menerbitkan komik bertajuk “Children Readers” untuk bacaan kanak-kanak sebagai satu cara menyebarkan ideologi komunis kepada golongan kanak-kanak.

Selain itu, PKS telah menggunakan pelbagai cara untuk meresapi dan menguasai kesatuan-kesatuan sekerja. Antara cara yang digunakan adalah mengenali secara rapat ahli dalam kesatuan sekerja, mengumpul maklumat ahli-ahli, mengorganisasikan ahli-ahli tersebut ke dalam kumpulan Hsueh-hsih, membantu ahli-ahli mempelajari ideologi komunis dan sebagainya. Dengan menggunakan cara tersebut PKS telah berjaya menguasai sebilangan besar kesatuan-kesatuan sekerja yang sebahagian besarnya dianggotai oleh kaum Cina di Sarawak. PKS menganggap bahawa kesatuan sekerja amat penting kerana mereka merupakan penggerak utama kepada tercapainya revolusi PKS. Begitu juga, kesatuan sekerja tersebut dibentuk oleh golongan belia yang mudah menerima ideologi baru. Terdapat banyak kesatuan sekerja yang telah dipengaruhi oleh ideologi komunis ini seperti Sibu Poultry and Pig Rearer’s Association, Sibu Foochow Association, Sibu Lorry Association, Sibu Contruction Workers’ Association dan sebagainya.

PKS turut mempengaruhi golongan petani Penubuhan Sarawak Farmers Association (SFA) di Sarawak telah menunjukkan bahawa golongan petani turut diresapi oleh ideologi komunis tersebut. Maka, dalam tahun 1962, SFA mendapat sambutan di Bahagian Ketiga iaitu Sibu di mana terdapat 1000 orang telah mendaftarkan diri untuk menjadi ahli SFA. Di Sibu, terdapat pergerakan SFA iaitu di Nanga Ngemah di mana mereka telah menyebarkan ideologi komunis kepada penduduk tempatan.
PKS cuba untuk mendampingi golongan petani disebabkan mereka ingin mendapatkan sumber makanan, ubat-ubatan dan keperluan yang lain. PKS telah membantu golongan petani ini mengerjakan sawah padi, membantu menuai padi, membaja padi, menoreh getah dan sebagainya di samping menyebarkan ideologi komunis tersebut kepada penduduk tempatan. PKS juga mengambil pendekatan sebegini untuk meraih sokongan daripada penduduk tempatan.

Di samping itu, penduduk peribumi Sarawak terdiri daripada masyarakat Dayak, Melayu, dan sebagainya telah menjadi sasaran PKS. Penduduk peribumi Sarawak merupakan penduduk yang begitu ramai dan PKS berpendapat bahawa mereka harus mempengaruhi penduduk peribumi Sarawak dengan agenda komunis untuk mendirikan sebuah kerajaan komunis di Sarawak. PKS turut mengalami kesukaran untuk mempengaruhi golongan ini disebabkan oleh masalah komunikasi. Masalah komunikasi terjadi apabila penduduk tidak memahami bahasa yang digunakan oleh PKS dalam menyebarkan ideologi tersebut. Tambahan pula, penduduk peribumi tidak berminat untuk menyertai PKS kerana mereka beranggapan bahawa dengan menyertai PKS keadaan di negeri Sarawak akan menjadi huru-hara. Di samping itu, penduduk peribumi mengetahui bahawa PKS merupakan sebuah pertubuhan haram dan mana mungkin penduduk peribumi ingin menyertai mereka. Penduduk peribumi juga tidak terpengaruh dengan PKS kerana mereka tidak memahami perjuangan sebenar PKS. Kaum Melayu menolak komunisme kerana bertentangan dengan ajaran Islam, menolak kewujudan Tuhan dan komunis melakukan kekejaman terhadap orang awam. Hanya segelintir sahaja penduduk peribumi yang terpengaruh dengan ideologi komunis iaitu Ubong Anak Nuing iaitu seorang daripada komunis berbangsa Iban yang menyertai PKS.

ANCAMAN KESELAMATAN

Ancaman keselamatan di Sarawak khususnya di Bahagian Ketiga adalah dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan Negara oleh kerana matlamatnya ialah untuk menggulingkan kerajaan yang sah dengan menggunakan kekerasan senjata. PKS telah mengatur kempen keganasan mereka dengan melancarkan dasar ketenteraan yang agresif, menggunakan barisan bersatu dan barisan bawah tanah mereka. Penghujung tahun 1969, PKS telah mengatur strategi dan tindakan yang lebih agresif dalam dasar ketenteraan mereka. Seramai 900 ahli anggota PKS terlibat dalam memperhebatkan lagi dasar ketenteraan mereka. Dalam melaksanakan dasar ketenteraan yang agresif yang digerakkan oleh Pasukan Komunis Bersenjata (PKB) atau Armed Work Force (AWK). PKS telah melancarkan kempen keganasan mereka di Bahagian Ketiga untuk menunjukkan kuasa dan kekuatannya kepada penduduk tempatan di kawasan-kawasan yang maju di Bahagian Ketiga tersebut. Hal ini kerana, PKS merasakan bahawa mereka perlu mendapatkan sokongan daripada penduduk tempatan daripada segi tenaga manusia, wang dan bekalan logistik dalam usaha meneruskan perjuangan bersenjata dengan lebih berkesan. Mereka telah mempengaruhi dan memaksa penduduk tempatan untuk menjadi ahli dalam PKS. Oleh sebab itu, adalah amat perlu bagi PKS mensasarkan golongan yang kaya seperti Datuk Ling Beng Siew, arkitek Ting Ing Chiew, Dr. Wong Uk Giek dan sebagainya untuk memberikan bantuan kepada mereka.
Selain itu, PKS telah memperhebatkan serangan-serangan hendap ke atas sasaran-sasaran pasukan keselamatan. Mereka telah menyerang hendap pasukan keselamatan dengan menggunakan sepenuhnya kelebihan bentuk rupa bumi Bahagian Ketiga melalui jalan raya dan sungai.

Selain itu, PKS telah melakukan banyak kemusnahan fizikal dengan melakukan pengeboman di tempat awam untuk menakutkan penduduk tempatan di samping sebagai tanda protes mereka terhadap anggota keselamatan. Pengeboman ini telah dilakukan beberapa buah sekolah untuk menakutkan orang awam terutamanya golongan pelajar. Hal ini menyebabkan beberapa buah sekolah ditutup untuk sementara waktu untuk keselamatan para pelajar dan tenaga pengajar. Di samping itu, pengeboman turut dilakukan oleh pihak komunis ke atas sebuah kilang getah yang terletak di Sungai Nyelong kerana dipercayai pengusaha tersebut enggan memberikan bantuan kepada mereka.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari sekitar bulan Jun tahun 1974. Hal ini juga menyebabkan kilang getah tersebut telah ditutup disebabkan oleh tindakan komunis yang kejam tersebut. Kemusnahan fizikal yang turut dilakukan oleh komunis adalah mereka telah membakar rumah kedai di Tulai kerana para peniaga enggan memberikan bantuan dari segi ubat-ubatan, makanan, pakaian dan sebagainya.
Para peniaga pula telah diugut dan akhirnya kedai mereka dibakar kerana enggan memberikan bantuan. Tindakan kejam komunis ini telah menyebabkan para peniaga ini hilang punca pendapatan mereka dan hidup dalam ketakutan. Selain daripada itu, komunis bertindak dengan agresif dengan membakar balai polis di Sibu kerana kemarahan terhadap pasukan keselamatan di Bahagian Ketiga yang mengganggu perjalanan rancangan mereka untuk menawan Sarawak. 
Kejadian membakar balai polis di Sibu oleh komunis telah dilakukan pada bulan September tahun 1969. Hal ini kerana, pihak komunis telah mensasarkan pasukan keselamatan untuk dihapuskan kerana pasukan ini telah bertindak membunuh ahli-ahli komunis yang lain.

Pembunuhan dilakukan dengan begitu kejam oleh pihak komunis seperti membakar mangsa, memotong badan-badan mangsa dan sebagainya. Pembunuhan yang dilakukan dengan kejam adalah bertujuan untuk menakutkan orang awam dan pasukan keselamatan. Ia juga dilakukan sebagai amaran kepada orang awam dan pasukan keselamatan agar tidak menghalang propaganda mereka untuk menjadikan Sarawak sebagai Negara komunis. Misalnya, pihak komunis telah membunuh seorang peniaga iaitu Ong Kung Ling di sebuah rumah kedai yang terletak di Tulai kerana enggan memberikan bantuan kepada mereka.
Kejadian tersebut berlaku pada tahun 1973 apabila peniaga tersebut enggan memberikan bantuan berupa makanan, ubat-ubatan dan pakaian kepada pihak komunis tersebut. Dalam jangkawaktu 1970 sehingga 1972, pihak komunis telah melakukan pembunuhan sebanyak 79 terhadap orang awam. Daripada 79 ini, sebanyak 54 orang Cina yang merangkumi empat orang tenaga pengajar telah dibunuh dengan kejam sebelum Tahun Baru Cina yang bertujuan untuk menakutkan penduduk Cina. Manakala, sebanyak 25 penduduk Iban yang merangkumi dua orang penghulu dibunuh dengan kejam yang melibatkan pembunuhan Penghulu Imban di Rh. Balang, Jalan Ulu Oya.

Keganasan komunis memuncak sekitar jangkawaktu 1970 sehingga 1972 apabila mereka telah mensasarkan ahli pasukan keselamatan untuk dibunuh yang juga telah menghalang cita-cita mereka untuk mendirikan kerajaan komunis di Sarawak. Dalam jangkawaktu 1970 sehingga 1972, terdapat 191 serangan dilakukan. Pada jangkawaktu tersebut, ia merupakan jangkawaktu yang kritikal di Bahagian Ketiga Sarawak disebabkan oleh ancaman keselamatan yang dilakukan oleh komunis. Pihak komunis telah melakukan lebih banyak serangan berbanding dengan pasukan keselamatan. Pihak komunis ini telah melakukan sebanyak 51 serangan terhadap polis dan tentera yang bertugas di Bahagian Ketiga pada ketika itu. Menurut Leftenan Kolonel (bersara) Fabian Wong Boon Soon, komunis telah membunuh 50 ahli pasukan keselamatan dan 49 orang cedera yang terdiri daripada polis dan tentera.

Perangsaraf turut dilancarkan untuk mempengaruhi orang awam untuk memberikan sokongan terhadap perjuangan bersenjata komunis serta menidakkan peranan kerajaan dalam pembangunan di negeri Sarawak. Oleh sebab itu, komunis sedaya upaya meracuni minda orang awam terutamanya di Bahagian Ketiga agar sokongan orang ramai beralih kepada mereka. Untuk menjayakan perangsaraf tersebut, pihak komunis telah menjanjikan memberikan kehidupan yang baik kepada orang awam agar menjadi sebahagian daripada anggota komunis.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan mengenai ancaman komunis di Bahagian Ketiga, Sarawak yang berlaku dalam jangkawaktu 1966 sehingga 1990, perjuangan di Bahagian Ketiga adalah kerana perubahan dasar pentadbiran dalam PKS. Mereka mulai mengubah dasar dengan lebih menekan kegiatan subversif dalam memenangi hati rakyat di Bahagian Ketiga. Antara kegiatan subversif yang dilakukan adalah menyebarkan ideologi komunis kepada golongan belia, golongan pelajar, golongan petani dan sebagainya. Hal ini menyebabkan ada segelintir belia, pelajar mahupun petani telah terlibat dengan PKS. Dalam pada itu, komunis mensasarkan masyarakat Cina untuk terlibat dalam PKS. Mereka berjaya mempengaruhi masyarakat Cina terutamanya yang masih belajar untuk menjadi sebahagian daripada anggota PKS. Selain daripada orang Cina, masyarakat bumiputera turut dipengaruhi oleh anasir-anasir komunis tetapi kurang berjaya.

Dalam pada itu, mereka turut melancarkan ancaman keselamatan di Bahagian Ketiga untuk menakutkan orang awam dan pasukan keselamatan. Di Bahagian Ketiga, PARAKU telah mengetuai gerakan komunis dan mengatur banyak strategi untuk mempengaruhi penduduk di Bahagian Ketiga. Komunis telah membunuh ramai orang awam dan beberapa orang pasukan keselamatan sebagai tanda protes dan pengajaran kepada kerajaan. Misalnya, komunis telah membunuh seorang penduduk dengan kejam dan sengaja menyebarkan kejadian pembunuhan tersebut kepada khalayak umum untuk menakutkan penduduk. Di samping itu, mereka turut mensasarkan golongan elit kerana golongan ini mampu memberikan bekalan kepada mereka. Namun, dalam Operasi Judas, pasukan keselamatan berjaya menangkap 29 orang awam yang bertaraf sosial tinggi di Bandar Sibu kerana bersimpati dan memberi sokongan kepada pihak perjuangan pengganas komunis. Sesungguhnya, perjuangan pemberontakkan komunis di Bahagian Ketiga berakhir pada tahun 17 Oktober 1990 dan cita-cita mereka terkubur serta perjuangan selama hampir tiga dekad tidak membuahkan hasil.

Copy and paste :
Hj Zulheimy Bin Maamor
Lembah Keramat, KL
7 January 2022 > 4 Jamadilakhir 1443H: 1.57 pm

[1] Nama kawasan Binatang telah ditukarkan kepada Bintangor pada tahun 1974 ketika Dato’ Abdul Rahman Yaakub melawat ke Binatang. Dalam penulisan ini, penulis akan menggunakan nama Bintangor.

[2] Sarawak Karang Dalam Saminggu. 1963. hlm. 1.

[3] Kertas Cetak Kerajaan. The Threat of Armed Communism in Sarawak. Jabatan Cetak Kerajaan. hlm. 5.

[4] Kertas Cetak Kerajaan. The Threat of Armed Communism in Sarawak. Jabatan Cetak Kerajaan. hlm. 6.

[5] Sunday Times. 23 September 1973.

[6] Michael B.Leigh. The Chinese Community of Sarawak: A Study of Communal Relations.Malaysia Publishing House Ltd. Department of History,University of Singapore. 1964. hlm.42.

[7] Setelah tahun 1903, seramai 3 kumpulan Cina Foochow yang datang ke Sibu dan menetap di kawasan Rejang. Kumpulan ini merupakan kumpulan yang terbesar datang ke Sibu pada ketika itu dan Brooke telah merangka pelan untuk membuka lebih banyak petempatan untuk orang Cina. Sila rujuk, John M.Chin, The Sarawak Chinese, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1981, hlm. 60.

[8] Ho Hui Ling. Dari Imigran kepada Penggerak Politik Berparti: Kajian Terhadap Perkembangan Orang Cina di Negeri Sarawak 1841-1963. Kertas Pembentangan “Seminar Antarabangsa Sejarah, Arkeologi dan Budaya di Nusantara”. Anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia. 15 Oktober 2012. hlm. 6.

[9] John M.Chin. The Sarawak Chinese. Oxford University Press. Kuala Lumpur. 1981. hlm. 85.

[10] Kertas Cetak Kerajaan.The Communist Threat to Sarawak. Jabatan Cetak Kerajaan. 1972. hlm. 8.

[11] Kertas Cetak Kerajaan. Sri Aman Peace Restored in Sarawak. Jabatan Cetak Kerajaan. 1974. hlm. 1.

[12] Mohd.Reduan Haji Asli. Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1993.hlm.183.

[13] Kertas Cetak Kerajaan. Countering Communist Subversion in Schools. Jabatan Cetak Kerajaan. 1973. hlm.4

[14] Kertas Cetak Kerajaan. Kegiatan Parti Komunis Malaya dalam Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Malaya. Jabatan Cetak Kerajaan. 1974. hlm.9.

[15] Kertas Cetak Kerajaan. Countering Communist Subversion in Schools. Jabatan Cetak Kerajaan. 1973. hlm.4.

[16] Fail Cawangan Kontinjen Khas Sabah dan Sarawak RASCOM./ No. Siri: 0.08997/37.

[17] Fail Cawangan Khas Kontinjen Sabah dan Sarawak RASCOM./No.Siri: 0.08997/37

[18] Temubual bersama Pn.Rosita Lawa Binggu pada 7 Februari 2013, bertempat di kediaman Taman Bintang di Bintangor.

[19] Straits Times. 19 Oktober 1973.

[20] Temubual bersama dengan Pn.Rosita Lawa Binggu, pada 6 April 2013, bertempat di rumah kediaman Taman Bintang di Bintangor.

[21] Temubual bersama dengan En. Binggu Bawin, pada 5 April 2013, bertempat di kediaman Rh.Suring di Sungai Tulai.

[22] Sarawak Dalam Karang Saminggu. 13 September 1969. hlm 5

[23] Temubual bersama dengan Pn.Rosita Lawa Binggu, pada 6 April 2013, bertempat di kediaman Taman Bintang di Bintangor.

[24] Fabian Wong. RASCOM:Military Operation. 26 Julai 2007. hlm. 3.

[25] Sarawak Dalam Karang Saminggu. 23 Januari 1973. hlm. 6.

No comments: