Monday 3 January 2022

Pasak Ghaib Nusantara Di Pusat Bandar Metropolitan Kuala Lumpur.


Posted by : Muhd Ariffin > FB Kisah Sejarah Melayu

Memasuki tahun baru 2022..
1 Januari 20222. Mukadimah dimulakan dengan mengunjungi Makam Perkuburan Islam Jalan Ampang di pusat bandar Kuala Lumpur berdekatan KLCC.
Sangat takjub ditengah tengah ibu kota rupanya adanya tanah perkuburan Islam yang sangat luas , umur tanah perkuburan ini mencecah ratusan tahun.
Ramai ulama ,aulia ,tokoh negarawan disemadikan di makam ini terutama Makam Waliyullah P.Ramlee atau Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh.
Siapa sebenarnya P.Ramlee?
Tiap-tiap penonton ketawa dan rasa puas hati apabila mereka menonton lakonan seniman agung P. Ramlee.
Tetapi tiada seorang pun yang mengetahui yang seniman itu merupakan seniman ketuhanan. Ini kerana P.Ramlee belajar erti “ketuhanan” sebelum beliau bergelar anak seni lagi.
Sewaktu di Pulau Pinang, P.Ramlee pernah berguru dengan Syeikh Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga pengasas Sekolah Agama Daeratul Maarifatul Wataniah, Kepala Batas.
Allahyarham menuntut ilmu kesufian demi melengkapkan dirinya menjadi seorang penyair dan penulis lirik lagu, kerana menurutnya setiap syair dan lagu yang diresapkan dengan ilmu kesufian boleh mempesonakan manusia.
Sewaktu di Singapura, Allahyarham berkesempatan belajar ilmu Tauhid daripada Allahyarham Syeikh Tahir Jalaluddin dan Allahyarham Fadzullah Suhaimi. Allahyarham banyak mempelajari ilmu Sufi dan tarekat dari ulama-ulama tersebut.
Di Jalan Ampas pula, P.Ramlee sering merujuk kepada Waliyullah Seniman Allahyarham Hj. Mahadi atau nama sebenarnya Hj. Mohd Mahadi Hj. Mohd Said yang begitu arif di dalam selok-belok agama.
Seniman Haji Mahadi merupakan anak kepada ulama Nusantara yang terkenal, iaitu Syeikh Muhammad Said Jamaluddin Al-Linggi.
Sebagai seorang murid Sufi, Allahyarham banyak mengamalkan wirid nama-nama Allah terutama nama yang disebut 'Asma Ul Husna' dan 'Bismillah' 40 kali.
Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim pernah berkata, bahawa Ramli Putih (P. Ramlee) sangat dalam ilmu agamanya, terutama perihal ilmu Tauhid dan ilmu Sufi.
Apabila memperkatakan tentang P.Ramlee, masyarakat hari ini akan merujuk kepada kejayaan karya seni beliau.
Tidak dinafikan P.Ramlee sememangnya mempunyai bakat anugerah Allah (laduni) yang sangat luar biasa dan mempunyai satu sentuhan yang ajaib kepada sesuatu perkara yang dilakukan berkaitan dengan kerjayanya sebagai pengarah filem, pelakon, penyanyi, penulis lirik, penggubah lagu dan pelawak.
Segala kerja seninya selama 20 tahun berkecimpung di dalam bidang itu ada kaitan hubungannya dengan Tuhan.
P.Ramlee dengan tegas mengatakan apa sahaja yang beliau ingin lakukan yang bersangkut paut dengan kerjayanya, beliau tidak akan lupa memohon restu kepada Allah SWT.
P.Ramlee juga sering mengeluarkan ungkapan, "seni saya bukan kerana wang, tetapi seni saya adalah kerana Allah semata-mata".
Hari ini masyarakat sering menyamakan filem P.Ramlee dengan apa yang berlaku di dalam kehidupan dunia sekarang.
Sememangnya filem-filem P.Ramlee mempunyai kritikan sosial dan nilai sindiran yang tinggi bersangkutan dengan kehidupan manusia hari ini.
Selain Makam P.Ramlee, sekitar kawasan tanah perkuburan ini juga terdapat makam ulama besar tanah melayu suatu ketika dahulu. Mereka adalah:
1. Syeikh Muhammad Saleh bin Syeikh Muhammad Thayyib @ Syeikh Abdullah Minangkabau. Syeikhhul Islam Perak di zaman Sultan Iskandar Syah. Pengarang kitab Kasyful Asrar, kitab Jalan Kematian dan Nashihatul Mubtadi. Menuntut ilmu di Makkah selama 17 tahun. Menjawat jawatan Syeikhul Islam Perak Darul Ridhuan secara rasminya Jamadilahkir 1343H/1 Januari 1925M. Wafat pada 17 Dhulqaedah 1351H/12 Mac 1933M di Kuala Lumpur dan di makamkan di Perkuburan Islam Jalan Ampang.
2. Syeikh Muhammad Nur bin Ismail. Beliau merupakan Qadhi Kerajaan Langkat Bahagian Hulu. Lahir thn 1296H/1879M di Minangkabau. Beliau bersahabat dgn Hadratussyeikh Hasyim Asy'ari, Tok Kenali, Tok Kelaba, Syeikh Abdullah Fahim dan lain-lain. Berpindah ke KL ketika sahabatnya Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi yang ketika itu menjadi Syeikhul Islam Selangor. Wafat di Kg Baru, KL pada hari Rabu 18 Dhulhijjah 1362H/ 15 Disember 1943 pada usia 65thn.
3. Syeikh Utsman bin Abdullah.
Qadhi Pertama KL. Syeikh Utsman bin Abdullah, ulama besar asal Minangkabau ini adalah bersaudara dengan seorang lagi ulama besar yang banyak berjasa di Tanah Melayu iaitu Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah al-Minankabawi (no.1). Syeikh Utsman dilahirkan di Batu Sangkar, Minangkabau pada tahun 1267H/1850M. Wafat thn 1337H/1919M.
Ketiga-tiga mereka pernah menuntut ilmu kepada ulama besar alam melayu di Makkah iaitu Syeikh Wan Ahmad Al Fathoni.
Selain itu, terdapat makam panglima-panglima terdahulu iaitu Makam Raja Alang dan Makam Sutan Puasa
RAJA ALANG IBNI RAJA BERAYUN
Raja Alang merupakan seorang pahlawan dan pemimpin berbangsa Mandailing yang hidup abad ke 19 hingga ke 20. Merupakan salah seorang pemimpin besar di awal pembukaan Kuala Lumpur.
Pada tahun 1800-an sekumpulan orang Mandailing dari Sumatera telah sampai ke Kajang. Mereka datang dengan tongkang dan sampai ke Kajang melalui kuala Sungai Langat.
Ketua mereka ialah Raja Berayun, keturunan raja Mandailing, bersama anaknya yang bernama Raja Alang. Mereka menetap di satu kawasan yang kini di kenali sebagai Jalan Mandailing.
Jadi mereka boleh juga dianggap sebagai orang yang membuka pekan Kajang.
Sebahagian pengikut mereka kemudian meneroka kawasan lain dan bertanam padi di tempat yang kini dikenali sebagai Kampung Paya Batu 14 (tidak jauh dari Jalan Mandailing sekarang).
Raja Alang kemudian dilantik sebagai ketua di kawasan itu. Sejak itulah kawasan itu diberi nama Kajang, kerana di situlah mereka mula-mula berpondok (membuat pondok) atau "berkajang".
Akan tetapi, Raja Alang tidak terus menetap di Kajang. Beliau kemudian berpindah ke Kuala Lumpur . Beliau pernah tinggal di alamat No.13 Jalan Raja Laut, dekat kawasan Chow Kit yang pada satu masa dahulu merupakan kampung orang Mandailing.
Raja Alang dikatakan merupakan seorang kaya di Selangor pada zamannya, kerana pernah dikurniakan tanah oleh Sultan Abdul Samad di Kuala Langat. Di samping itu, dia juga mempunyai ladang getah yang diberi nama Estet Raja Alang (tidak diketahui di mana atau di derah mana).
Raja Alang pernah membina sebuah masjid pada awal tahun 1900-an di pekan Beranang, Hulu Langat. Masjid yang diberi nama Masjid Raja Alang itu masih wujud sampai sekarang.
Raja Alang meninggal dunia pada 11 Disember 1927 dan dikebumikan di tanah perkuburan Jalan Ampang. Namanya kini diabadikan sebagai nama jalan , iaitu Jalan Raja Alang di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
SUTAN PUASA
Sutan Puasa @ Sutan Naposa Bin Raja Ira Koling merupakan salah seorang pembuka Kuala Lumpur pertengahan abad ke 19 Masihi.
Beliau adalah seorang bangsawan Mandailing dari Sumatera yang membawa sejumlah pengikut mencari penempatan baru lalu terjumpa pertemuan Sungai Gombak dengan Sungai Kelang yang berlumpur. Dari situlah timbul nama Kuala Lumpur.
Ketika itu kampung halamannya sedang berlaku Perang Padri. Sebagai pemuda yang gagah beliau merantau ke Tanah Melayu melalui Siak, menyeberang Selat malaka dan sampai ke Melaka.
Dari Melaka beliau ke Sungai Ujong bersama2 pengikutnya yang terdiri dari orang Mandailing, Rawa, Kerinci dan Minangkabau di Sungai Ujong meredah hutan tebal dan sampai ke Lembah Sungai Kelang atau Sungai Lumpur sekitar tahun 1837.
Lembah Sungai Kelang ialah di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Ketika itu kawasan tersebut tiada berpenghuni ,hutan tebal dan binatang buas berkeliaran disitu. Apabila Sutan Puasa tiba dilembah itu , beliau pun mendirikan penempatan pertama ditebing pertemuan Sungai Kelang dan sungai Gombak. Pembuktian ini diakui sendiri oleh Haji Abdullah Hukum dalam akhbar Warta Ahad - 5 Mei 1935.
Sutan Puasa juga membuka penempatan disekitar Lembah Sungai Kelang seperti Ampang Street, pinggir Sg. Bunus, Setapak dan sekitar Sg.Batu. Setelah 'Perang Selangor' berakhir pada tahun 1873, beliau pun menetap kembali dirumahnya di Batu Road sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1908 dan dikebumikan di Perkuburan Jalan Ampang.
Alhamdulillah , kami telah menziarahi makam ulama/wali ditengah tengah ibu kota bandaraya Kuala Lumpur.
Ziarah ini berkat tunjuk ajar tiga orang insan :
1. Sheikh Ahmad
2. Pak Wahid
3. Kak Sue
Terima kasih kepada ketiga insan ini kerana memberi maklumat kepada saya teman dan masyarakat.
Bukan sekadar ziarah ,lebih dari itu mereka dengan murah hati memuatkan maklumat kepada jemaah tasawuf supaya masyarakat dapat menziarahi makam ulama/wali Allah yang banyak berjasa kepada agama dan masyarakat terdahulu.

Copy and paste:
3 Januari 2022 > 29 Jamadilawal 1443H: 7.40 am

No comments: