Monday 9 August 2021

Dengan itu, Olimpik 2020 melabuhkan tirai.

OLEH : AYMAN RASHDAN WONG

Jepun selaku tuan rumah mendapat kedudukan carta pingat terbaik dalam sejarahnya iaitu tempat ke-3.
Sama dengan Olimpik Tokyo 1964 malah jumlah pingat lebih banyak (29 pingat, 16 emas waktu tu). Berbaloilah segala pengorbanan dan kerugian.
Tempat pertama dan ke-2 masih dibolot oleh US dan China. Kalau ikutkan, US dan China juga merupakan negara nombor 1 dan 2 dalam ekonomi dan ketenteraan.
Benda ni bukan kebetulan. "Sports is an alternative to war". Dari perspektif negara-negara kuasa besar, sukan bukan pertandingan semata-mata tapi juga berkaitan soal "national glory", dan temasya peringkat dunia seperti Olimpik adalah medan untuk mempamerkan "soft power" masing-masing.
Di zaman Yunani purba, negara kota besar seperti Athens dan Sparta menjadikan Olimpik sebagai medan untuk menonjolkan keunggulan sistem politik mereka. Athens yang mengamalkan demokrasi dan Sparta yang mengamalkan autokrasi masing-masing nak tunjuk sistem mereka adalah terbaik dalam melahirkan manusia yang sihat, kuat dan cergas.
Olimpik moden pun sama. Di zaman Perang Dingin (1948-1991), Olimpik menjadi medan perlumbaan US dan USSR (Soviet Union) yang merupakan dua adikuasa (superpower) dunia. Satu kapitalis liberal, satu komunis totalitarian. Masing-masing nak menguasai dunia malah luar angkasa.
Dua negara ini membolot johan dan naib johan Olimpik dari 1952 hingga 1992, kecuali Olimpik 1980 yang diboikot oleh US (sebagai protes terhadap pencerobohan USSR ke atas Afghanistan bermula tahun 1979). US johan 1952, 1964, 1968, 1984. USSR johan 1956, 1960, 1972, 1976, 1980, 1988, 1992.
Selepas kejatuhan USSR, Rusia sebagai negara pewaris USSR masih menduduki tempat ke-2 selepas US pada 1996 dan 2000, sehingga China muncul sebagai naib johan pada 2004 dan johan pada Olimpik 2008 yang diadakan di Beijing, sebelum US kembali menjadi johan pada 2012 dan 2016.
US dan China juga mewakili dua sistem yang berbeza. Bukan saja berbeza dari segi sistem politik, ekonomi malah sistem pelatihan atlet.
Sistem US berasaskan individu, China pula berasaskan negara. Atlet di China dihantar ke sekolah sukan seawal umur 6 tahun untuk dilatih menjadi pemenang pingat emas bagi China. Soal utama adalah glory, kebajikan atlet soal kedua.
Kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi nombor 2 dunia sejak 2010an (dengan mengatasi Jepun) lagi membuat orang China memandang berat soal glory. Sebab tu orang China tak relax dan sukar menerima kekalahan. Kita dapat perak pun bersyukur, tapi bagi rakyat China perak tu kira gagal dan memalukan, lebih-lebih lagi kalau dapat perak akibat kalah dengan Chinese Taipei (dalam acara badminton beregu lelaki) dan Jepun (ping pong beregu campuran) yang dianggap musuh tradisional.
Yang menariknya, Chinese Taipei mencatat keputusan terbaiknya dalam sejarah dengan memungut 12 pingat (2 emas 4 perak 6 gangsa), memecah rekod 5 pingat pada 2000 dan 2004. Bagi sebuah entiti yang kekurangan pengiktirafan antarabangsa, pencapaian ini memberi semangat kepadanya untuk terus mempertahankan identitinya.
Olimpik Paris 2024 nanti pun pasti akan dimanfaatkan oleh Perancis untuk mengembangkan soft power dan pengaruhnya, lebih-lebih lagi di era pasca Brexit dan pasca Merkel yang memberi ruang kepada Perancis untuk kembali jadi negara dominan di Eropah. Akan ada persaingan antara Perancis, Britain dan Jerman untuk dapat tempat ke-3.
Negara yang melihat sukan sebagai sukan semata-mata, dan mengukur sukan dari segi "cost-benefit", tak akan pergi jauh dalam sukan antara negara.

C&P: 9 OGOS 2021 /30 ZULHIJJAH 1442H: 7.34 AM

No comments: