Friday 6 August 2021

DEBU HIROSHIMA


OLEH : THURMIZI JI > FB MALAYSIA KU DULU DULU OFFICIAL

76 tahun lalu, seorang anak Melayu tidak pernah menduga terbabit dalam peristiwa ngeri ledakan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 06 Ogos 1945. Peristiwa di negara Matahari Terbit itu dialami sendiri anak Melayu berkenaan iaitu Allahyarham Haji Abdul Razak bin Abdul Hamid, juga dikenali sebagai Cikgu Razak.
Ketika itu Cikgu Razak berusia 20 tahun. Pada saat bom atom meledak, semua jarum jam di Hiroshima terhenti tepat 8.15 pagi, bukan kerana letupan tetapi ia sememangnya terhenti sejak beberapa hari sebelum Itu dan tiada usaha memperbaikinya.
Berjuta-juta mata sempat melihat awan tebal berbentuk cendawan raksasa berwarna putih dan ungu menjulang tinggi. Dalam sekelip mata, asap itu menyambar Hiroshima. Manusia bertempiaran lari, berteriak, menjerit kesakitan dan kehausan.
Ekoran ledakan itu, menyusul pula letupan amat dahsyat. Bumi bagaikan bergerak kerana gempa, lantai bangunan kayu tempat mereka berpijak bergegar, bumbung bangunan runtuh dan ranap menyembah bumi.
Cikgu Razak dan sahabatnya Pengiran Yusuf dari Brunei tiba-tiba ditimbuni serpihan kayu. Apabila Cikgu Razak tersedar, dia mendapati alam sekitar menjadi sempit, gelap-gulita, sesak dan mengerikan. Kepalanya luka, berdarah dan menyakitkan.
"Cikgu Razak di antara anak Melayu yang merantau mencari ilmu di Jepun ketika itu yang masih hidup dan dapat membicarakan pengalaman getir itu,".
Sewaktu menceritakan pengalaman di Hiroshima, ingatan Cikgu Razak melayang ke tahun 1945. Kisah menggerunkan itu dihuraikan satu demi satu.
Kehendak Allah sudah demikian. Waktu bom atom digugurkan, Cikgu Razak dan dua rakannya, Allahyarham Nik Yusof Ali dari Kelantan dan Allahyarham Syed Omar Alsagoff dari Johor, ada di Hiroshima.
Ketiga-tiga anak Melayu itu dihantar ke Jepun oleh tentera Jepun yang memerintah Malaya pada 1943 untuk belajar di Kokusai Gakuyukai, Tokyo (Institut Pelajar Antarabangsa, Tokyo). Pada 1944, mereka ke Hiroshima Bunri Daigaku (Universiti Hiroshima).
Pada 1940-41, sebelum melanjutkan pelajaran ke Jepun, Cikgu Razak menjadi guru pelatih di Sekolah Melayu Ulu Klang. Beliau berhenti apabila Jepun memasuki Malaya pada 1941.
Beliau kemudian dipilih mengikuti kursus bahasa Jepun selama tiga bulan di Sekolah Melayu Francis [SIC] Road (kini Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Muda Aziz). Apabila tamat kursus, beliau dilantik menjadi pegawai pelajaran bahasa Jepun dan diminta menyusun sukatan pelajaran sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur.
Pada peringkat awal, Cikgu Razak belajar bahasa Jepun selama enam bulan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka yang menjadi markas tentera Jepun dan di situ beliau serta beberapa rakan, termasuk Tan Sri Eusoffe Abdelcader [SIC] (Hakim), Allahyarham Nik Yusof Ali dan Syed Omar, belajar bersama-sama.
Ketika di Jepun, beliau bertemu dan berkenalan dengan Pangiran Yusoff (bekas Menteri Besar Brunei Darussalam, kini masih hidup). Mereka sering melihat kapal perang pengebom B29 Tentera Udara Amerika Syarikat yang menghujani bom ke atas bandar itu.
Suatu hari, sebuah pesawat Amerika berlegar-legar di angkasa bandar Hiroshima sambil menggugurkan risalah yang bermaksud `Jepun akan hancur jika tidak menyerah segera'.
Risalah itu menimbulkan ketegangan di kalangan penduduk Hiroshima. Pada 6 Ogos, 1945, sebutir bom dengan kepanasan suhunya mencapai 300,000 darjah celsius meranapkan sebahagian besar Hiroshima.
Ketika itu, Cikgu Razak dan teman mahasiswa Universiti Hiroshima sedang mengikuti kuliah matematik manakala rakan lain ada di asrama. Kira-kira jam 8.15 pagi, sebaik sahaja gurunya, Kiyoshi Toda (masih hidup berusia 82 tahun dan menjadi Profesor Pelawat) memulakan kelas, beliau melihat cahaya dari cermin tingkat kelas seperti kilat meluncur laju dan serentak itu, terdengar dentuman seperti halilintar membelah bumi.
Sekaligus, pemandangan ketika itu penuh gebu dan bandar itu seperti di langgar garuda, menjadi padang jarak, padang terkukur.
Cikgu Razak berkata: "Kulit dan badan mangsa yang terkena bom radioaktif, menggelupas seperti udang kena bakar, muka bengkak, rambut dan pakaian terbakar, kalau ada pun, tinggal tali pinggang daripada kulit dan jam tangan sahaja."
Nik Yusuf, kawan karib Cikgu Razak, menjadi mangsa radioaktif dan tidak dapat dikesan manakala Syed Omar yang sempat lari ke Kyoto untuk mendapatkan rawatan, meninggal dunia dua minggu kemudian.
"Ketika inilah baru saya sedar betapa besarnya kuasa dan hikmah Allah, hingga tanpa diduga, saya terselamat daripada bencana malapetaka amat dahsyat dan menggerunkan itu." katanya.
Cikgu Razak dilahirkan di Pulau Pinang pada 1925. Pernah mengajar bahasa Melayu di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (kini Universiti Perguruan Sultan Idris).
Cikgu Razak meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, pada 18 Julai 2013, pada usia 88 tahun. Menetap di Taman Kamariah, Gombak, Selangor, meninggalkan tiga anaknya, termasuk mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman Ibukota di Setapak, Kuala Lumpur. ....Al Fatihah (dibaca)

C&P: 6 OGOS 2021 / 27 ZULHIJJAH 1442H: 10.14 AM

No comments: