Sunday 30 August 2020

BATU BERSURAT TERENGGANU

Sumber : Jabatan Warisan Negara
Pengiktirafan diberikan oleh pihak UNESCO untuk Batu Bersurat Terengganu adalah di bawah kategori Memory of the World International Register pada 31 Julai 2009.
Ia merupakan salah satu program di bawah UNESCO bagi memastikan khazanah warisan berbentuk dokumentasi di seluruh dunia terpelihara untuk diwarisi kepada generasi akan datang.
Pengiktirafan ini merupakan pengiktirafan peringkat dunia ke atas khazanah warisan negara berbentuk dokumentasi yang mempunyai kepentingan di peringkat dunia.
Batu bersurat telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 15 Julai 2010 dengan nombor warta P.U (A) 234 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
Kelebihan atau kepentingan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 4 Rejab 702 Hijrah atau 22 Februari 1303 Masihi adalah dari segi sejarahnya kerana ia merupakan bukti terawal kewujudan tulisan Jawi dalam dunia Melayu Muslim di Asia Tenggara.
Batu bersurat Terengganu ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia.
Batu Bersurat Terengganu yang mempunyai ketinggian 86 sentimeter, lebar 53 sentimeter di bahagian atas dan 24 sentimeter di bahagian bawah seberat 214.8 kilogram telah disedari oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari, seorang ahli perniagaan pada tahun 1902. Beliau menyedarinya semasa sedang mengambil wuduk untuk bersolat Zuhur di sebuah surau Kampung Buluh yang mana Batu tersebut telah dijadikan alas kaki.
Seterusnya, dengan bantuan penduduk, ia dibawa untuk dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III. Batu ini yang telah patah di bahagian atasnya (masih belum dijumpai sehingga kini) pada asalnya dijumpai selepas banjir surut di tebing Sungai Tara, Kuala Berang. Terdapat beberapa pendapat mengenai tarikh sebenar ia dijumpai. Namun begitu, tarikh yang masyhur ialah pada tahun 1887 dan 1899.
Batu ini telah dipinjamkan kepada Muzium Singapura pada tahun 1923. Ia telah dipulangkan ke Kuala Lumpur setelah Muzium Negara siap dibina.
Seterusnya Jemaah Menteri telah memutuskan pada tahun 1991 supaya ia dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu setelah dipohon oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1987.
Sumber rujukan: Jabatan Warisan Negara. Larik-Larik Warisan (2014)
•••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••••
Ikuti kami di:
Facebook : Jabatanwarisannegara
Instagram / Twitter / Youtube : @JWNinfo

Copy and paste: 30 Ogos 2020 / 11 Muharram 1442H: 3.28 pm

No comments: