Monday 14 April 2014

2014 - PULAU SAYAK, KUALA MUDA, KEDAH





Kampung Pulau Sayak terletak lebih kurang 30 km dari Sungai Petani, Kedah. Kita sering mendengar nama Kg Pulau Sayak apabila bulan Ramadhan menjelang kerana disitu tertelak salah satu dari tempat untuk melihat anak Bulan setiap menjelang Ramadhan.
Saya berkesempatan untuk berkunjung ke Pulau Sayak ketika menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Program Kesedaran Penyakit Jantung di Central Square, Sungai Petani pada 18 Februari 2014. Tak pernah terfikir yang saya akan dapat menjejak kaki ke destinasi yang sering aku dengar namanya setiap menjelang bulan Ramadhan. 


Osman bin Desa
Terima kasih ku ucapkan kepada sahabat lama ku En. Osman bin Desa yang menetap di Tikam Batu, Kedah. Beliaulah yang telah membawa saya ke Pulau Sayak untuk menikmati mee udang yang cukup terkenal di sini. 
En Osman pernah bertugas satu kapal denganku pada tahun 1981 iaitu kapal KD Ganas (TLDM) yang ketika itu berpengkalan di Woodlands, Singapura. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama aku bertemu dengan Osman Desa setelah tamat perkhidmatan dengan TLDM pada tahu 1996. Kali pertama aku bertemu beliau ialah di Gelugor, Pulau Pinang pada 2012 dan kemudian di Kuala Nerang, Kedah pada tahun yang sama. 



Kesempatan menikmati mee udang yang cukup terkenal di Pulau Sayak tidak aku lepaskan. Dengan harga yang berpatutan dengan udang yang besar memang membuka selera sesiapa yang melihatnya. 

KUALA MUDA - TSUNAMI 2004




Tugu Peringatan Tsunami Kuala Muda, Kedah


Tugu Peringatan Tsunami dibina sebagai memperingati tragedi Tsunami yang melanda Kuala Muda Kedah pada 26 Disember 2004 yang berlaku pada jam 7.30 pagi. 
Lebih kurang 100 keluarga yang tinggal berhampiran pantai di Kuala Kedah terpaksa meninggalkan rumah mereka dalam keadaan tergesa- gesa apabila beberapa nelayan melihat ombak besar di laut sedang menuju kearah pantai. 

Walaupun sudah 10 tahun berlalu, namun tragedi ini masih segar dalam ingatan beberapa penduduk di sekitar Kuala Muda terutama mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam tragedi tersebut. 

** Jumlah korban Tsunami di Malaysia mengikut laporan ialah 60 orang iaitu 52 di Pulau Pinang, 12 di Kedah, 3 di Perak dan 1 di Selangor. 


Zulheimy Maamor
14.4.2014 : 12.24 am