Monday 13 March 2023

Wanita Nabatea Yang Membuka Mata Dunia Tentang Budaya Arab An-Nabat

BY AHMAD FAEZAL > KRONIKEL DUNIA
11 FEBRUARY 2023
(Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH)

Pada tahun 2015, sepasukan saintis meninjau tapak bersejarah Hegra yang terletak dalam bandar AlUla. Di sini mereka menemui rangka seorang wanita dipercayai hidup sekitar 2,000+ tahun yang lalu. Penemuan ini sebenarnya sangat penting kerana saintis sedang bergelut dalam usaha untuk memahami budaya an-Nabat (Nabatean culture). Satu saja masalah: bangsa ini tiada sistem tulisan rasmi.
Jadi segala warna-warni budaya tenggelam dalam timbunan masa. Maka rangka ini adalah salah satu cara untuk mengenali budaya an-Nabat.
Sebelum itu, biar saya terangkan dulu pasal an-Nabat. Mereka sudah lama wujud; tetapi pertama kali disebut sejarah semasa pemerintahan Tukulti-apil-Esarra III (Raja Neo-Assyria). Ketika itu, Neo-Assyria menyangka mereka bersuku Aramean. Sangkaan tersebut ternyata salah, kerana an-Nabat (seperti ditulis Neo-Assyria) sebenarnya berbangsa Arab (Lipinski, 2000).
Beratus-ratus tahun mereka berada dalam payungan Neo-Assyria, yang diganti Neo-Babylonia… sebelum kebangkitan Parsi semasa zaman pemerintahan Kurus II.
Berdiri Di Atas Kaki Sendiri
Budaya an-Nabat membina sebuah kerajaan bermula pada abad keempat S.M. Ketika ini, mereka dipimpin dalam bentuk ‘majlis orang-orang tua’ yang pandai mengambil kesempatan kerana menyedari lokasi mereka sangat strategik untuk perdagangan. Untuk memudahkan pemahaman, biar kita bezakan “an-Nabat” dan “Nabatea” masing-masing sebagai budaya dan negara.
Sekitar abad ketiga S.M., budaya an-Nabat membangunkan sebuah kerajaan iaitu Nabatea. Penemuan arkeologi daripada zaman ini mengesahkan populasi Nabatea bertutur dan beragama Arab (Maalouf, 2003). Dan zon kenegaraan mereka lebih tertumpu di bahagian Utara Hejaz.
Namun mereka jauh sekali berkuasa secara mutlak. Boleh kata ramai tidak suka mereka. Catatan menggambarkan Raja Aretas I sebagai “penzalim Arab”. Dan Nabatea juga pandai bermain diplomasi. Mereka menyokong Yahudi Makkabi yang dizalimi Seleucid. Tapi terkemudian, mereka berperang pula dengan Yahudi Hasmonea yang mengepung Gaza pada 100 S.M.
Apabila Nabatea menewaskan Hasmonea, pihak Seleucid pula panas hati. Kerana Nabatea dianggap terlalu kuat selepas menyelesaikan sebuah konflik (Ball, 2016). Kira buat apa pun salah. Selepas Seleucid, pihak Nabatea berkelahian pula dengan Republik Rom. Kali ini mereka tewas dan dijadikan naungan.
Rampasan Bumi Nabatea
Raja terakhir yang memerintah Nabatea merdeka adalah Aretas III. Baginda berkuasa antara 87 hingga 62 S.M. Jadi mudah kata, perdamaian dengan Rom sebenarnya bagus untuk diri sendiri. Kerana tiada empayar berani kacau mereka… sampailah Rom sendiri menjadi sebuah empayar dibawah Augustus. Sebagai sekutu baik, Rom berbesar hati memberi segala pengaruh kepada Nabatea sampai berkuasa dari Laut Merah ke Yaman.
Ibu negaranya iaitu bandar Petra menjadi sebuah pusat perdagangan pelbagai jenis bangsa. Tidak berani memberontak, bangsa Arab di Nabatea menjadi lebih bertamadun. Mereka memburu ilmu perdagangan dan pertanian ke tahap untuk memastikan persahabatan dengan Rom takkan sesekali tercabar.
Walau bagaimanapun, mereka tidak begitu menceburi sistem tulisan. Mana-mana yang menulis pun adalah dalam bahasa Aramaic – yang tidak lengkap bercerita pasal lenggok anutan dan budaya mereka. Dan pada tahun 106 (selepas Masihi), Nabatea runtuh. Kenapa?
Kerana raja Rabbel II mangkat tanpa pewaris yang bertakhta. Baginda adalah raja terakhir Nabatea. Mengambil peluang, Maharaja Trajan menghantar bala tenteranya untuk mengambil bumi Nabatea yang ditukar menjadi “Arabia Petraea”. Pengilhakan ini dikatakan sangat licin, barangkali rangkulan kuasa semata-mata tanpa pertumpahan darah (barangkali golongan bangsawan saja yang marah).
Bukan lagi Nabatea walaupun berbudaya an-Nabat, bangsa Arab Petraea ini mula menulis dalam bahasa Rom.
Wanita Nabatea
Rangka wanita yang ditemui di AlUla dipercayai hidup semasa awal zaman Empayar Rom, iaitu dalam abad terakhir Nabatea sebagai kerajaan naungan. Rangka ini dikeluarkan daripada makam untuk tujuan imbasan. Selama tujuh tahun saintis meneliti rekabentuk tulang-temulangnya, untuk mengumpulkan data berkaitan antropologi dan arkeologi.
Setelah berpuas hati, mereka menggunakan mesin cetak 3D untuk ‘cetakkan’ hasil imbasan mereka. Tujuannya adalah untuk menghidupkan wajah yang sudah lama reput ditelan zaman. Akhirnya setelah siap, mereka mengenakan hasil cetakan dengan pakaian berbudaya Arab.
Maka lengkaplah wajah Wanita Nabatea yang hari ini menarik perhatian ramai saintis untuk turun ke tapak-tapak arkeologi supaya dapat mendedahkan lagi rahsia budaya an-Nabat.
Tidak banyak yang didedahkan pasalnya, kecuali saintis bagi nama ‘Hinat’… dan dia dikeluarkan daripada makam bersama 80 rangka yang lain.
RUJUKAN:
  1. Ball, W. (2016, Jun 10). Rome in the East: The Transformation of an Empire. Routledge. Halaman 65.
  2. Lipinski, E. (2000). The Arameans: Their Ancient History, Culture, Religion. Peeters Publishers. Halaman 448-450.
  3. Maalouf, T. (2003). Arabs in the Shadow of Israel: The Unfolding of God’s Prophetic Plan for Ishmael’s Line. Kregel Academic.
Sumber artikel : thepatriots
Copy and paste:
13/3/2023 > 20 Syaaban 1444H: 12. 58 pm

No comments: