Monday 27 March 2023

WIRA TAK DIDENDANG - ABD JALIL SAAT : 29 JAM TERAPUNG DI LAUTAN

Oleh: MASTIKA > 22 December 2022

PADA tahun 1993, sekali lagi Abdul Jalil Saat yang bertugas sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia, didrafkan ke Kapal Ronda. Kali ini di kapal Skuadron PC 14 KD SRI SARAWAK (KDSS) yang berpangkalan di Tanjong Gelang, Kuantan.
Jalil masih memikul tugas hakiki sebagai anggota meriam 40/70mm. Selain menjadi anggota Tim Mendarat (LandingParty), Jalil juga seorang anggota Tim Menggeledah (BoardingParty).
Pada 8 April 1993, Jalil menyertai KDSS belayar untuk rutin ‘Ops Cabut’. Pukul 8.00 pagi, kapal berlepas dari Jeti TLDM Tanjung Gelang di Kuantan, Pahang. Keesokannya pada pukul 10.00 opagi, kapal KDSS telah menahan sebuah bot pukat tunda Thailand di perairan Terengganu.
Seletah digeledah, ternyata bot tersebut menceroboh perairan negara dengan menangkap ikan tanpa kebenaran. Pegawai Memerintah KDSS, Leftenan Adam Aziz, mengarahkan supaya bot tadi termasuk enam awak-awak ditahan dan dibawa ke Pulau Redang.
Jalil bersama dua lagi rakan iaitu Laskar Kanan AlHaimi Alip dan Laskar Kanan Hairozali Hamzah diarahkan naik ke atas bot Thailand bersama awak-awak kapal tersebut untuk dibawa ke Pulau Redang yang memakan masa tiga jam perjalanan dengan diiringi Kapal Induk KDSS.
Pada 10 April pukul 6.00 pagi, Jalil dan rakan-rakannya mendapat arahan untuk meneruskan pelayaran membawa semua tahanan ke Pulau Kapas. Perjalanan itu turut diekori oleh kapal KDSS. Awak-awak yang ditahan akan diserahkan kepada penguat kuasa bagi tindakan selanjutnya.
Diserang Awak-Awak Kapal.
Dua jam pelayaran menuju ke Pulau Kapas, cuaca yang sebelum itu cerah bertukar mendung. Angin bertiup kencang dan laut mula bergelora. Beberapa minit kemudian, hujan lebat turun diikuti angin kencang.
Bot nelayan asing yang dinaiki Jalil mula terhuyung hayang dilambung ombak. Lebih memburukkan keadaan, kompas bot Thailand itu gagal berfungsi sehingga mereka hilang arah tujuan. Kapal pengiring KDSS yang sebelumnya mengekori di belakang juga sudah tidak kelihatan. Pulau Kapas yang tadinya boleh dilihat dari jauh telah hilang ditelan kabus dan hujan lebat.
Dalam keadaan cemas dilambung ombak, Jalil dan rakan-rakan masih gagah mengawasi awak-awak yang dipindahkan ke anjung bot supaya tidak tercapk ke dalam laut.
Jalil bertugas mengawal bahagian sebelah kiri bot, manakala AlHaimi mengawal sebelah kanan. Rakan Jalil iaitu Hairozali pula menjaga bahagian enjin sambil mengawasi mereka.
Hampir dua jam bertarung ombak dan mencari arah haluan, Pulau Kapas masih belum kelihatan. Kapal KDSS telah lama hilang dari pandangan. Mereka telah terputus hubungan. Alat walkie talkie tidak mampu memberi liputan kerana berada dalam jarak luar kemampuan selain faktor cuaca buruk.
Dalam keadaan itu, Jalil terdengar perbualan awak-awak antara satu sama lain. Namun, dia tidak faham butirannya kerana mereka berbual dalam bahasa Thailand. Waktu itu, Jalil tidak mengesyaki apa-apa sebelum secara tiba-tiba, tekong yang diarahkan mengemudi bot bertindak mematikan enjin.
Sepantas kilat, dua orang dari enam awak-awak yang ditahan menyerbu ke arah Jalil. Dua orang lagi menyerang AlHaimi dan selebihnya menyerang Hairozali. Akibat terkejut diserang mendadak, ditambah dengan ruang bot yang sempit, Jalil dan rakan-rakannya tidak sempat bertindak. Pergelutan mula berlaku.
Jalil dipukul bertalu-talu. Dalam pergelutan itu, dia sempat meloloskan diri ke sebelah kanan bot sebelum melihat Hairozali telah ditawan. Tangannya telah diikat oleh awak-awak.
Dalam keadaan cemas, Jalil cuba mencari AlHaimi, namun susuk tubuh rakannya itu tidak kelihatan. Kemudian, Jalil nampak seorang awak-awak naik dari laut dengan keadaan badannya berlumuran darah.
Lantas, senjata M16 di tangannya dihalakan ke arah mereka. Namun, seorang awak-awak bertindak lebih pantas. Sepantas kilat, Jalil diterajang. Jalil hilang imbangan dalam keadaan laut bergelora sebelum dia dan senjatanya jatuh ke dalam laut.
Di dalam laut, Jalil mengapungkan diri seketika sambil mengawasi pergerakan bot. Jalil risau sekiranya bot tadi berpatah balik dan melanggarnya. Namun setelah sejam, bot tadi tidak kelihatan. Ketika itu barulah Jalil berani menarik pelepas gas karbon dioksida untuk mengembangkan jaket keselamatannya.
Bagaimana nasib Hairozali dan AlHaimi? Jalil tidak tahu.
Dalam keadaan sejuk dilambung gelora ombak, Jalil kuatkan semangat untuk terus mengapungkan diri dengan harapan ada bot-bot nelayan yang melalui kawasan itu akan menyelamatkannya.
Dalam keadaan lemah, Jalil terlihat sebuah bot dari jauh. Dia menjerit meminta tolong sambil melambai-lambaikan tangan. Namun, jeritannya sia-sia. Bot itu terlalu jauh, mungkin sukar mendengar jeritannya.
Dengan sisa kudrat masih berbaki, Jalil gagahkan diri untuk berenang. Namun hanya beberapa meter, Jalil tewas. Ombak dan arus deras terus menghentam dan menghanyutkannya.
Matahari yang tadinya tegak di atas kepala sudah mula condong dan akhirnya hilang daripada pandangan. Jalil masih terapung di lautan luas dalam kepekatan malam. Nyawanya ibarat di hujung tanduk, hanya bergantung kepada jaket keselamatan untuk mengapung diri. Tenaganya sudah tidak seberapa.
Ketika itu apa yang ada dalam fikiran Jalil hanyalah kematian. Namun, dia cuba juga dengan sisa kudrat yang ada untuk terus bertahan. Badannya terasa gatal, sakit dan pedih akibat disengat obor-obor. Sakitnya menyeksakan Jalil, ibarat badannya dicucuk beribu-ribu batang jarum.
Waktu itu, Jalil pasrah. Sudah berbelas jam dia terapung. Hanya doa dan Allah saja tempat dia mengharap. Tambah sedih bila Jalil mengenangkan isterinya yang sedang mengandung empat bulan anak sulung mereka. Bagaimana nasib isteri dan anaknya bila dia meninggal?
Muncul Seekor Burung Camar.
11 April – Hari sudah siang. Laut berombak tenang. Cuaca panas terik menambahkan lagi rasa letih dan dahaga. Muka Jalil pedih akibat panahan matahari. Puas dia memerhati sekeliling. Langsung tidak kelihatan bot atau pulau-pulau berdekatan. Berdasarkan pengalaman, Jalil yakin masih berada di perairan negeri Kelantan berdasarkan objek-objek yang hanyut berdekatannya.
Sedang berpaut pada pelampung keselamatan, tiba-tiba seekor burung camar hinggap di atas bahunya.
“Wahai camar, kalau engkau makhluk Allah, ikhtiarkanlah untuk selamatkan aku,” kata Jalil pada burung camar tadi. Selepas dua tiga minit bertenggek atas bahunya, burung itu pun terbang.
Dalam keadaan hiba dan sudah putus harapan, tiba-tiba Jalil terasa seperti ada sinar baru apabila melihat sebuah kapal berlayar ke arah kedudukannya. Jalil mengumpul segala kudrat. Dia berenang ke arah sisi kapal.
Apabila kapal itu sudah berada setentang, Jalil gunakan jaket keselamatan berwarna oren melambai-lambai ke arah kapal tadi. Namun, Jalil kecewa. Tiada siapa perasan lambaiannya. Kali ini Jalil merasakan harapannya untuk hidup semakin tipis. Jalil yakin jasadnya akan berkubur di lautan itu.
Selepas kapal itu melepasinya, tiba-tiba Jalil terlihat seorang anak kapal perasan kedudukannya. Waktu itu, semangat Jalil untuk hidup datang semula. Apatah lagi bila melihat kapal itu mula mengubah haluan untuk berpatah balik ke arahnya.
Akhirnya, selepas 29 jam terapung di laut bersabung nyawa untuk hidup, Jalil diselamatkan oleh sebuah kapal dagang GASTOR GAS yang berdaftar di Panama dan sedang dalam perjalanan ke Korea.
Sebaik diselamatkan, Jalil tertanya-tanya keadaan dua sahabatnya. Adakah mereka selamat?
Hanya selepas melaporkan diri semula, Jalil dimaklumkan yang Hairozali telah ditawan oleh awak-awak sebelum dibebaskan di Songkhla, Thailand. Apa yang menyedihkan ialah nasib AlHaimi. Rakannya itu disahkan meninggal dunia. Namun, mayatnya tidak dijumpai hingga kini. Jalil percaya, lautan luas itu menjadi pusara rakannya itu. Al-Fatihah untuk arwah.
NOTA : Kisah di atas diceritakan oleh Jalil sewaktu wartawan Mastika berkunjung ke rumahnya di Batu Pahat, Johor beberapa tahun lalu. Abdul Jalil Saat merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Jalil berkhidmat dalam TLDM dari tahun 1986 hingga 1999. Ketika kejadian, Jalil berpangkat Laskar Kanan (1). Kejadian yang hampir meragut nyawanya itu turut disiarkan dalam akhbar tempatan ketika itu.
______
Kredit : UtusanTV
Copy and paste: 27/3/2023 : 5 Ramadan 1444H: 10.30 am

No comments: